Sunday, August 31, 2014

Semarak merdeka







Kemerdekaan Malaysia telah mencapai tempoh 57 tahun hari ini. Semarak merdeka semakin bererti apabila negara ini dirundung kesedihan dua peristiwa yang menyentap kegembiraan. Pertama, kehilangan misteri MH370 dan kedua, kemusnahan MH17 akibat ditembak. 

Ketabahan hati dan kecekalan jiwa yang menjadi benteng untuk meneruskan hidup dan perjuangan. 

Malaysia, bermula dari sebuah persekutuan di Tanah Melayu, berkembang maju dan makmur bersama Sabah dan Sarawak, dua buah negeri di Borneo. Kedua-dua negeri ini mampu menjadi contoh kepada hidup harmoni dalam kepelbagaian agama, budaya dan tradisi kepada masyarakat dunia.

Setiap tahun kita menyaksikan perbarisan menyambut kemerdekaan. Acara wajib ini diselarikan dengan imej gembira dan bahagia sebagai negara merdeka. Barangkali tidak pernah dibayangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu bahawa anak cucu mereka akan merasai nikmat merdeka dengan cara yang sangat istimewa.

Apakah cara lain untuk kita menyambut kemerdekaan Malaysia?

Mempamerkan pencapaian sepanjang 57 tahun seakan menjadi kebiasaan. Ada baiknya kita mengambil inisiatif membandingkan pencapaian Malaysia dengan jiran seberang, Indonesia. Negara itu jauh lebih awal merdeka dan ada baiknya juga kita membandingkan pencapaian kita dengan negara itu.

Saya memilih dua tempat untuk membandingkan kemajuan sosial. Pertama di Padang dan kedua di Pekanbaru, Riau. Kedua-dua kawasan ini terletak di Sumatera.

Sebelum pemerintah Indonesia mengagihkan kuasa kepada wilayah untuk pentadbiran sendiri, Riau merupakan wilayah yang sangat miskin walaupun kaya dengan sumber asli. Riau mula menunjukkan perubahan dalam pelbagai sektor selepas diberi peluang mentadbir sendiri melalui konsep desentralisasi. Hari ini Riau mula berkembang pesat dan menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara.

Padang, sebuah kawasan yang sering ditimpa gempa bumi. Di sini tidak ada bangunan yang tinggi-tinggi kerana risikonya sangat besar. Ketika gempa besar tahun 2009, seorang pelajar yang baru sahaja keluar dari bangunan selepas belajar kelas tambahan, menemui ibunya dan naik di atas motosikal, berasa amat prihatin dengan rakannya yang belum keluar. Lalu pelajar ini memberitahu ibunya untuk turun dari motosikal dan mahu mengajak rakannya yang masih di dalam bangunan tersebut untuk keluar bersama-sama. Ibu mengizinkan. Langkah demi langkah yang dizahirkan oleh si anak ketika menuju rakannya merupakan langkah terakhir yang dilihat ibu. Ketika anak telah masuk ke dalam bangunan, gempa yang dahsyat meranapkan keseluruhan bangunan dan memerangkap si anak. 

Ibu meraung dan akhirnya menghidap sakit mental atau istilahnya 'gila'.

Padang tidak dapat maju dengan pantas kerana menghadapi kekangan gempa yang berkala. Bukit Tinggi tidak boleh dibina bangunan lebih enam tingkat kerana risiko gempa apatah lagi banyak terowong di bawahnya, kesan daripada penjajahan Jepun.

Malaysia, bumi bertuah, tidak ada gempa bumi atau terowong bawah tanah berkilo meter panjangnya. Di sini tidak ada batasan untuk membina bangunan tinggi. Di sini juga tidak ada masalah jika rajin bekerja atau malas bekerja kerana konsep yang digunakan ialah kejayaan bersama-sama. Yang rajin akan membantu yang malas dan yang malas ini akan malu kerana kemalasannya.




Pendekatan pembangunan di Malaysia juga seperti Indonesia sebelum ini iaitu pemusatan pentadbiran dengan kuasa kerajaan negeri diiktiraf dan diperkasa. Konsep ini lebih baik kerana masing-masing kerajaan negeri perlu berusaha berfikir dan memajukan negeri. Hasilnya juga menakjubkan.

Melaka, sebuah negeri yang kecil dengan 700,000 penduduk berupaya menjadi sebuah negeri maju. Melaka tidak punya hasil mahsul, cuma anak cucu Hang Tuah ini bijak berfikir. Pendapatan pelancongan diagihkan untuk pembangunan negeri.

Namun, jika Terengganu diberikan royalti minyak lebih tinggi, rakyat negeri itu sudah tentu merasai nikmat pembangunan seperti Riau. Apakah ia akan menjadi kenyataan?

Pengurusan hasil alam wajar dikaji semula untuk membantu menambah pendapatan rakyat mengikut sumbangan negeri-negeri. Perlis, negeri paling kecil dan sumber ekonomi terhad, wajar dibantu supaya sama-sama dapat menikmati kemerdekaan Malaysia.




No comments:

Post a Comment