Thursday, August 14, 2014

Langkah Khalid







Suasana politik di Selangor mencapai kemuncak pergolakan apabila menteri besar dipecat. Tan Sri Khalid Ibrahim atau lebih mudah dikenali sebagai TSKI dipecat sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila bertegas tidak mahu menyerahkan jawatan kepada calon pilihan parti tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah, isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Keputusan memecat diambil atas alasan yang diberikan oleh Dato' Dr Tan Kee Kwong, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR seperti enggan menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2; enggan menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor; gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor; berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu; dan gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Tuduhan-tuduhan ini dikemukakan sebagai bukti TSKI tidak layak untuk menjadi menteri besar dan perlu digantikan segera.

Sudah banyak analisis yang dibuat oleh media, media sosial, tokoh politik dan pemerhati politik dari perspektif masing-masing. Tulisan ini memberi fokus kepada strategi TSKI untuk berhadapan dengan cabaran politik yang dihadapi dari sudut personaliti, cara fikir dan gaya tindakan bagi menyelamatkan kerjaya politik dan jawatan yang disandang.

Saya melihat TSKI memiliki daya fikir yang lebih baik daripada sebahagian ahli politik sedia ada. Pengalamannya dalam misi 'serangan sebelum subuh' untuk menguasai Guthrie Corporation PLC daripada Bursa Saham London pada 8 September, 1981 mengajar beliau bagaimana melakukan perancangan yang teliti dan strategi yang betul akan berjaya juga akhirnya. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada beliau bagaimana merancang, menguasai dan memusnahkan impian musuh politik.

Selepas dipecat, beliau mengambil tindakan satu demi satu yang mendahului musuh politik. Pertama, menghadap Sultan Selangor untuk memaklumkan perkembangan politik dirinya dan kekuatan sokongan yang dimiliki. Langkah awal ini berjaya dan TSKI masih kekal berkuasa. 

Langkah kedua, sebagai tindak balas dipecat, beliau dengan berani dan yakin memecat exco dari PKR dan DAP kerana berkomplot untuk mengehadkan kuasa menteri besar. Bahasa mudahnya ialah mereka tidak mahu memberi kerjasama, jadi wajarlah disingkirkan. Tindakan ini juga berjaya. Walaupun  exco yang terlibat enggan menerima pemecatan berkenaan, TSKI menunjukkan perkenan Sultan Selangor melalui surat yang diterima dari istana. Surat berkenaan menutup mulut pengkritik yang enggan menerima kenyataan.

Langkah ketiga, mengadakan mesyuarat exco bersama exco dari PAS. Pada masa yang sama menghalang semua exco yang dipecat daripada menghadiri mesyuarat berkenaan. Kejayaan mesyuarat exco menunjukkan beliau lebih kuat dan ada sokongan.

Langkah keempat, menyaman pihak yang berterusan menjejaskan maruahnya. Hebahan saman ini pantas dilaporkan oleh media. Fungsi saman berkenaan ialah membuatkan pihak terlibat sibuk dengan kes saman dan tidak memberi tumpuan kepada perkembangan politik. 

Langkah kelima ialah menonjolkan individu atau pemimpin yang berpengaruh dalam PKR yang mengisytiharkan mereka tidak lagi menjadi ahli PKR. Beliau mungkin boleh meminta cawangan parti yang menyokongnya untuk membubarkan cawangan berkenaan sebagai tanda protes. Bagaimanapun proses yang melibatkan individu lebih mudah berbanding berkumpulan.

Langkah keenam, merancang dengan beradab untuk mewujudkan lompong kuasa yang dapat menyokong dirinya sebagai menteri besar. Prosesnya rumit tetapi beliau harus melakukannya.

Dalam tempoh krisis politik bermula, riak wajah TSKI kurang menunjukkan kesedihan atau kemurungan sebaliknya beliau mempamerkan senyuman dan tanda "bagus" di samping memberi mesej yang jelas kepada rakyat Selangor. Justeru tindakan memecat lima exco dari PKR dan DAP dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya semua elemen dan pengaruh kedua-dua parti dalam pentadbirannya dapat dihapuskan serta-merta.

TSKI dijangkakan tidak memberi muka kepada Ketua Umum PKR untuk mendapatkan kembali kuasa Pakatan Rakyat. Kenyataannya berkaitan Pakatan Rakyat yang tidak berdaftar merupakan mesej demi mesej yang bakal menghilangkan persepsi positif pengundi terhadap gabungan tiga parti itu. 

Di sebalik semua perkembangan ini, bagaimana TSKI dapat melakukan langkah demi langkah dalam bentuk yang tersusun dan menang? Saya berpendapat beliau mempunyai sebuah 'pasukan atur cepat' yang telah dibentuk sebaik sahaja merasai dirinya akan dipecat. Ahli-ahlinya tentulah terdiri daripada orang yang setia dan yakin dengan kepimpinannya. Sepanjang enam tahun menjadi pemimpin sudah tentu beliau mempunyai ramai pengikut yang setia dan sanggup berjuang. 

TSKI tidak mengambil pendekatan 'roadshow' mengajak pengikutnya turun ke jalan raya, sebaliknya menggunakan setiap ruang dan peluang yang dimiliki untuk lawan. Antaranya menziarahi Datuk Nik Aziz dan cuba akrab dengan kepimpinan dan ahli PAS. Beliau juga menjemput ahli-ahli PAS dalam majlis doa selamat di rumahnya. Pengalaman sebagai ahli korporat dilihat mengukuhkan keyakinan beliau untuk berjaya dalam pertelingkahan ini.

Sikap mengambil mudah terhadap TSKI mungkin menyebabkan PKR memecat beliau. Namun sejarah panjang sebagai ahli korporat dan pemimpin politik membuktikan TSKI seorang yang berani berhadapan dengan konflik, bersedia dengan cabaran dan gemar mencetuskan kegemparan yang memeningkan musuh politik.

Konflik yang dikatakan bermula dengan 'Langkah Kajang' oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak kesampaian. Ketika dalam UMNO, Tun Dr Mahathir dikatakan menurunkan banyak ilmu politik kepada beliau namun ada satu ilmu yang tidak diturunkan menyebabkan Amwar Ibrahim selalu gagal dalam tindakannya. Anwar hanya bijak merancang dan bertindak tetapi tidak pasti bagaimana hendak membuat kesimpulan. Oleh kerana tidak tahu menyimpul, beliau akan terus kecewa.

Biar apa pun hasilnya, rakyat Selangor sendiri yang harus menentukan nasib dan masa hadapan mereka. Doa kita ialah Selangor akan terus maju, aman dan makmur.


No comments:

Post a Comment