Friday, August 08, 2014

Membina persepsi terhadap Peguam Negara







Prestasi Peguam Negara Malaysia sedang dinilai oleh masyarakat Islam ketika ini kerana dikatakan melakukan pendakwaan terpilih berkaitan isu sensitif  iaitu agama dan kaum.

Media melaporkan terdapat beberapa laporan polis yang dibuat terhadap penghinaan ke atas agama Islam dan masyarakat Melayu yang belum diambil tindakan oleh pejabat Peguam Negara. Tajuk depan sebuah akhbar menyeru beliau "jangan tidur" dalam menyelesaikan kes-kes ini.

Pejabatnya begitu cepat bertindak apabila didapati terdapat penghinaan yang dilakukan oleh masyarakat Islam terhadap bukan Islam. Contohnya ialah penghinaan yang dilemparkan melalui kata-kata oleh seorang wakil rakyat etnik India di Perak tidak diambil tindakan sebaliknya sekelompok orang Melayu yang menyerbu Dewan Undangan Negeri untuk mencari wakil rakyat berkenaan yang dikenakan dakwaan dan tuduhan.

Dakwaan terpilih ini menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam keseluruhannya.

Bibit-bibit kecil yang muncul sedikit demi sedikit di hati dan fikiran masyarakat Islam akibat lambat bertindak boleh mencetuskan suasana huru-hara dan menyebabkan hubungan kaum terjejas.

Begitu juga kes seorang wanita Melayu yang dikenakan denda RM5000 dan melakukan kerja sosial kerana tindakannya mengancam pengguna jalan raya yang lain semasa kemalangan jalan raya. Dengan pantas pihak polis bertindak dan wanita berkenaan menerima hukuman. Penceramah bebas dan ahli Pas juga menerima nasib yang sama apabila ucapan ceramahnya menyentuh sensitiviti agama hindu.

Namun belum ada apa-apa perkembangan ke atas beberapa kes yang melibatkan penghinaan ke atas Islam dan masyarakat Melayu. Kes seorang lelaki Cina menyepak suspek pencuri Melayu, Kelvin Yap menghina takbir dan pendakwaan ke atas wanita Cina yang mempertikai ucapan Yang di-Pertuan Agong masih belum ada. 

Konflik etnik selepas 1969 tidak banyak berlaku kerana kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk merungkai akar umbi masalah tersebut. Antaranya ialah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Hanya pada awal tahun 2001 terdapat kes pergaduhan etnik di Kampung Medan antara etnik Melayu dan India.

Selepas itu tidak ada lagi kes yang melibatkan pergaduhan etnik kerana agensi kerajaan, pemimpin politik dan masyarakat semakin matang untuk berhadapan dengan situasi demikian jika berlaku.

Walau bagaimanapun senario hubungan etnik sudah berubah apabila media sosial mula digunakan oleh masyarakat. Kadar penembusan internet yang semakin tinggi menjadikan sedikit maklumat yang "aneh" disebarkan dalam tempoh yang singkat.

Pejabat Peguam Negara wajar mempunyai penasihat yang memiliki latar belakang dan kefahaman tentang hubungan etnik di Malaysia khususnya berkaitan isu agama Islam, Melayu dan hak-hak terhadap bukan Islam dan bukan Melayu. Penasihat-penasihat ini juga sebaiknya terdiri daripada pelbagai kaum supaya semua aspek agama dan budaya  tidak dicemari ketika pendakwaan dilakukan.

Apa yang dilihat sedang berlaku ialah pendakwaan ke atas bukan Islam dilakukan dengan pantas namun akhirnya suspek dibebaskan kerana kesalahan atau kesilapan teknikal. Apakah kesilapan tersebut disengajakan atau persiapan yang dibuat oleh pejabat Peguam Negara kurang teliti?

Dua persoalan ini sering menjadi perbincangan dalam kalangan "circle" yang prihatin dengan tindak-tanduk pejabat berkenaan terhadap kepentingan Islam di Malaysia. Hal ini kerana dengan pembebasan tertuduh yang didakwa itu menyebabkan imej dan moral masyarakat Islam pasti terjejas. Bukan Islam tidak berasa gentar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kerana persepsi mereka ialah mahkamah sendiri yang memihak kepada mereka.

Media melaporkan Peguam Negara Malaysia akan dibincangkan dalam Majlis Tertinggi UMNO selepas terdapat banyak laporan polis berkaitan kes penghinaan agama dan kaum ini tidak diselesaikan. Nasib beliau sedang ditentukan namun kita juga harus melihat jasa beliau dalam mengekalkan keselamatan negara. Kes-kes besar seperti liwat, Hindraf, C4 dan Lahad Datu dapat diurus dengan lancar, malangnya isu sensitif agama dan penghinaan ke atas ketua negara Malaysia belum disempurnakan.

Kegagalan memberi maklum balas dan tindakan sambil lewa menyebabkan wujud perspesi negatif terhadap prestasi Peguam Negara. Pada masa sama terdapat desakan supaya beliau digantikan.




No comments:

Post a Comment