Monday, August 18, 2014

Ciri-ciri unggul masyarakat Islam





Penulis: Yusuf Al-Qardhawi
Tahun:2012 (edisi terjemahan)
Penerbit: Penerbitan Seribu Dinar Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 606

Arus kebangkitan Islam semakin meluas. Sebahagian daripada umat Islam yang sudah lama terlena telah terjaga dari tidur lalu mencari-cari di manakah Islam berada. Malangnya mereka hanya mendapati Islam pada individu-individu tertentu. Sukar bagi mereka untuk melihat sebuah "masyarakat Islam" yang benar-benar mempamerkan ciri-ciri keislaman yang tulen lagi unggul. Lantaran itu, mereka sering menggambarkan Islam dengan pelbagai gambaran dan tafsiran yang jauh meleset dari hakikat yang sebenar.

Fenomena ini semakin buruk jadinya apabila terdapat faktor-faktor sekeliling yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan imej "masyarakat Islam" yang sebenar. Musuh tradisi seperti Yahudi, Kristian, sekularisme, kapitalisme dan pelbagai anutan lain cuba memasukkan jarum-jarum halus mereka melalui pelbagai prasarana informasi canggih.

Antara mereka yang giat di arena antarabangsa ialah Yusuf Al-Qardhawi, seorang ulama terkenal. Dalam buku ini beliau mengenengahkan ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang menjadi idaman. Terdapat sebelas ciri utama yang sering disalah fahami oleh kebanyakan umat Islam. 

Beliau mengupas tentang masyarakat Islam dari pelbagai sudut sama ada ekonomi, politik atau sosial. Kupasan beliau yang jujur dan berani ini dapat memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa Islamlah satu-satunya sistem yang dapat menyelamatkan dunia. Secara tidak langsung, perbahasan ini dapat menjawab sebahagian besar alasan dan dolak-dalih para pemerintah yang enggan melaksanakan sistem Islam.



No comments:

Post a Comment