Tuesday, August 05, 2014

Kesusasteraan dan kesenian tamadun Melayu, Cina dan India








1.0 Pengenalan

Tamadun Melayu merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang secara luasnya digolongkan sebagai kumpulan orang Melayu, tertumpu kepada satu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang mewarnai tamadun wilayah ini ialah bahasa Melayu, yang menjadi bahasa perhubungan luas (lingua franca) di seluruh kawasan in, dan agama Islam yang menjadi asas kepada pembentukan tamadun Melayu. Tamadun Melayu telah menghasilkan pelbagai bentuk kesenian seperti seni tari, seni muzik, seni ukir dan khat, seni bela diri, seni pertukangan, seni tenun dan sulam seni kulinari dan lain-lain. Kesusasteraan Tamadun Melayu pula terbahagi kepada dua komponen utama iaitu Kesusasteraan Lisan dan Kesusasteraan Tulisan.

Tamadun Cina merupakan salah sebuah tamadun tertua dan berterusan sehingga masa kini. Walaupun pada awalnya tamadun Cina agak terlindung namun warisan sistem nilainya memberi kesan kepada perkembangan tamadun Cina sehingga kini. Tamadun Cina telah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang kesusasteraan.Tamadun Cina telah menghasilkan puisi, prosa, drama dan fiksyen dalam bidang kesusasteraan. Muzik klasik, kaligrafi, seni lukis dan seni bina merupakan kesenian tamadun Cina.

Tamadun India merujuk kepada tamadun yang berpusat di lembah Sungai Indus. Terdapat beberapa aspek seperti sosial, budaya, sistem politik dan pemerintaha , sains, falsafah, agama, ekonomi serta kesenian yang terkandung dalam tamadun India. Tamadun India menghasilkan pelbagai bentuk kesenian seperti seni halus, seni muzik, seni tarian, seni bina dan seni lukis. Kesusasteraan yang ada pada masa Tamadun India ialah kitab-kitab Veda, epik, sangam, puisi aham dan puisi puram.

1.1 Objektif Kajian

Pada masa kini, kebanyakan masyarakat telah mengamalkan budaya yang berlainan. Budaya yang diamalkan dipengaruhi oleh kesusasteraan dan kesenian tamadun Melayu, tamadun Cina dan tamadun India yang telah lama diwarisi. Kajian ini adalah untuk mengetahui persamaan dan perbezaan kesusasteraan dan kesenian antara tamadun Melayu, tamadun Cina, dan tamadun India. Setiap tamadun mempunyai kesusasteraan dan kesenian tamadun tersendiri. Namun begitu, terdapat persamaan kesusasteraan dan kesenian antara tamadun-tamadun disebabkan pengaruh tokoh-tokoh ataupun pengaruh tempat asing.

Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui impak kesusasteraan dan kesenian setiap tamadun terhadap kehidupan masyarakatnya. Impak kesusateraan dan kesenian telah mengubah kehidupan masyarakat, terutamanya masyarakat tempatan. Kita seharusnya memelihara kesan-kesan tamadun yang telah mewarnai kehidupan kita ini. Objektif kajian terakhir untuk tajuk ini ialah nilai-nilai murni kesusasteraan dan kesenian dalam pembentukan masyarakat. Kesusasteraan dan kesenian telah banyak menyumbang dalam pembentukan masyarakat. Kesenian yang diwarisi telah membentuk masyarakat kita dari segi pembangunanan, lukisan, muzik dan tulisan manakala kesusasteraan telah mendewasakan masyarakat kita dengan kefahaman kehidupan dan pengajaran.


2.0 Sorotan Kajian

2.1 Kesusasteraan Tamadun Melayu

Kesusasteraan lisan (tradisi lisan) lazimnya diamalkan oleh kaum tani dan nelayan. Pada waktu tersebut sistem tulisan belum lagi muncul dan masyarakat lazimnya buta huruf. Daya kreativiti mereka dalam bidang kesusasteraan masih tidak terhad disebabkan mereka tidak menguasai sistem tulisan. Sebaliknya ia dikembangkan melalui pertuturan atau penceritaan secara lisan. Hasil-hasil kesusasteraan yang dicipta oleh kelompok ini disebut sebagai kesusasteraan lisan kerana penyampaian cerita secara lisan. Kesusasteraan lisan dikenali juga sebagai kesusasteraan rakyat.

Kesusasteraan tulisan (tradisi tulisan) muncul apabila orang Melayu mula menerima pengaruh luar. Melalui kemasukan pengaruh India, orang Melayu diperkenalkan dengan sistem tulisan. Kedatangan agama Islam ke alam Melayu membuka satu lembaran baru dalam kamus kesusasteraan Melayu. Agama Islam muncul bersama-sama dengan sistem tulisan yang lengkap bersumberkan al-quran sebagai kitab suci orang Islam. Orang Melayu kini mempunyai sistem tulisan yang dinamakan tulisan Jawi. Tradisi tulisan lebih condong digunakan di istana menjadikan istana sebagai pusat penyebaran ilmu pada masa itu.

Semua hasil karya telah merakamkan segala perihal kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Ia adalah himpunan daya kreativiti masyarakat Melayu tradisional yang menyerlahkan daya fikir, akal budi, sentuhan jiwa, cita rasa, jati diri dan kebijaksanaan masyarakat Melayu.

Secara umumnya, karya-karya kesusasteraan tradisional boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu lisan dan tulisan. Lisan bererti yang dituturkan dan tulisan maksudnya yang ditulis atau dibukukan.

Antara kesenian tamadun Melayu ialah seni muzik. Seni muzik pada zaman dahulu mempunyai hieraki tersendiri. Dalam masyarakat terdapat dua kelompok iaitu tradisi tinggi dan tradisi rendah. Tradisi tinggi dimainkan dalam upacara pertabalan, kematian raja dan upacara mengadap oleh para pembesar di hadapan balairung. Tradisi rendah adalah di kalangan rakyat biasa yang terdiri daripada kaum petani dan nelayan. Di samping pelbagai jenis muzik yang lain seperti muzik wayang kulit, kuda kepang dan ghazal juga merupakan muzik Melayu tradisional dari zaman silam. Antara contoh seni muzik tradisional Melayu ialah gamelan, nobat, caklempong, kompang dan lain-lain.

Selain daripada itu, seni tarian tamadun Melayu terdapat pelbagai jenis tarian unik. Sebagai contohnya, tarian zapin adalah sejenis tarian Arab. Rentak zapin adalah rentak yang digunakan untuk lagu-lagu keagamaan seperti nasyid dan lagu yang menggunakan bahasa Arab dan disesuaikan dengan lagu bahasa Melayu. Gerak-geri sekarang banyak mencerminkan tingkah laku dan kesenian orang Melayu. Ia bertukar menjadi gerak-geri yang lembut dan sopan-santun. Rentak zapin menggunakan pukulan alat-alat dengan ketegasan, kemas dan nyata. Pada asalnya rentak zapin ini cuma memerlukan gendang seperti tambur, meruas dan rebana kecil tetapi kini ditambah serunai dan gambus.

Seni bina tamadun Melayu menampakkan pengaruh Hindu dan Buddha yang begitu kuat. Antara yang terkenal ialah Candi Borobudur di Jawa Tengah. Candi ini dibina berasaskan ajaran Buddha oleh raja-raja Sailendra antara tahun 778 – 850M. Candi ini dibina daripada batu gunung berapi berwarna kelabu dan memagari sebuah bukit kecil. Bentuknya seperti piramid bertangga dan terdiri daripada lapan tingkat. Kemuncaknya tediri daripada menara batu yang besar (stupa). Setiap tingkat mempunyai menara batu kecil. Dinding Borobudur dihiasi dengan pelbagai lukisan timbul tentang ajaran Buddha.

2.2 Kesusasteraan Tamadun Cina

Kesusasteraan tamadun Cina terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya ialah puisi. Sebagai contoh, Shi Jing merupakan antologi puisi di Utara yang terawal (Klasik Puisi). Puisi dalam Shijing lebih mementingkan elemen lirik lebih daripada elemen naratif. Puisi digunakan dalam pertemuan rasmi raja dan pegawai diplomatik. Puisi dinyanyikan sebagai pembayang bagi sesuatu keadaan sebenar atau untuk menyatakan maksud sebenar.

Selain itu, Chu ci juga merupakan antologi puisi yang terawal di sebelah Selatan (Nyanyian Chu). Puisi-puisi yang berasal dari kawasan selatan ini menunjukkan pola irama yang agak berbeza daripada Shijing, misalnya baris-baris lebih panjang dan tidak tetap menyebabkan puisinya lebih sesuai dideklamasikan.

Tambahan lagi, kesusasteraan tamadun Cina terdiri daripada prosa. Prosa klasik (guwen) adalah dominan dalam sastera klasik Cina dan ia mempunyai fungsi sosial dan politik. Secara amnya, bahasa klasik telah menjadi medium bagi hampir semua penulisan prosa disebabkan ia adalah bahasa yang dikhaskan dalam peperiksaan rasmi dan juga kerana penghormatan tradisional yang ada pada pencapaian budaya zaman dahulu.

Dalam hal ini, drama juga merupakan salah satu kesusasteraan tamadun Cina yang bertujuan mendukung kelakuan baik dan memberi amaran atau waspada terhadap perbuatan-perbuatan jahat. Terdapat penulis-penulis yang menghasilkan karya dan menggunakan karya mereka sebagai saluran untuk mengeluarkan perasaan tidak puas hati atau sebagai alat kritikan. Secara ringkasnya, drama Cina lebih cenderung dalam menekankan nilai-nilai etika berbanding agama.

Sementelahan, fiksyen juga merupakan ciri kesusasteraan tamadun Cina. Fiksyen berperanan sebagai pendukung prinsip-prinsip moral etika dan juga sebagai alat politik. Bahkan juga, fiksyen digunakan sebagai alat untuk menggambarkan dunia utopia dan menyokong perubahan baru.

Tamadun Cina mempunyai ciri kesenian yang tersendiri, seperti muzik klasik Cina. Lazimnya, muzik bagi tamadun Cina adalah sesuatu yang harmoni dengan alam semesta dan tokoh-tokoh seperti Confucius juga mempunyai minat terhadap muzik. Alat-alat muzik Cina dapat dikelaskan kepada kategori meniup, genderang, memetik dan menggesek. Selain memberi hiburan kepada pendengarnya, muzik juga merupakan satu cara untuk memberi nasihat dan gambaran kepada penduduk ketika itu.

Kaligrafi yang merupakan kesenian tamadun China juga melambangkan tahap pencapaian dan kehalusan peribadi seseorang sama ada maharaja mahupun sarjana. Seni kaligrafi memerlukan bahan-bahan tertentu antaranya dakwat, berus, kertas, dan sutera. Selain itu, kaligrafi Cina amat bergantung kepada kemahiran dan imaginasi seseorang pakar kaligrafi untuk menghasilkan bentuk garis yang menarik lalu meggubah struktur yang cantik.

Di samping itu, seni lukis juga antara kesenian tamadun China. Lukisan Cina tradisional boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang pertama, Xieyi (bebas tangan) dan kedua, Gonghi (menggunakan garis halus dan teliti dengan memberi perhatian kepada butir-butir). Malahan, setiap lukisan bersifat simbolik dan mementingkan lukisan landskap untuk menggambarkan hubungan manusia dengan alam semula jadi. Oleh itu, lukisan Cina sebagai satu perantara paling baik untuk membayangkan personaliti, perasaan dan jiwa seseorang pelukis.

Selain itu, kesenian tamadun China menampakkan seni bina tinggalan binaan dan tembok dari zaman dahulu yang masih wujud sehingga kini. Antara ciri utama binaan Cina yang paling jelas ialah membuat binaan berdasarkan keharmonian dengan alam semesta (feng shui). Merujuk kepada kepercayaan, lokasi dan penyusunan yang tidak menepati feng shui akan menjejaskan masa depan sesebuah keluarga atau masyarakat.

2.2 Kesusasteraan Tamadun India

Perkembangan kesusasteraan tamadun India kebanyakannya diwarisi daripada Empayar Gupta. Nama sasterawan yang paling agung dan terkenal ialah Kalidasa dengan karyanya yang berjudul Sakuntala. Sakuntala mengandungi puisi klasik dan drama tentang sosial masyarakat Hindu. Orang Aryan dan bahasa Sanskrit turut memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan India. Orang Arya telah menghasilkan Kitab Veda yang merupakan kumpulan sajak agama dan tradisi lisan. Perkataan Veda (Vid) bererti melihat dan mengetahui. Empat kitab suci Veda ialah Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda. Vedanga, iaitu anggota kitab-kitab Veda dan terdapat enam bidang pengajian yang dapat membantu memahami kitab-kitab Veda dengan tepat.

India juga terkenal dengan dua buah epik iaitu Mahabharata dan Ramayana. Mahabharata mengisahkan tentang pemerintahan kerajaan Kurukshetra di India Utara, memberi ajaran agama dan moral dan juga dianggap sebagai sejarah bheda (konflik), rajyavinasa (kehilangan negara) dan jaya (kekayaan). Ramayana menerangkan prinsip-prinsip abadi (sanatana dharma) dan menjelaskan sifat-sifat ideal.

Kesasusteraan Sangam merujuk kepada akademi penyair-penyair agung yang menghasilkan puisi. Ia disusun kepada dua koleksi iaitu Pattupattu dan Ettuttokai. Tema-tema puisi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu Aham(bahagian dalaman ataupun perasaan dalam hati) dan Puram (bahagian luaran iaitu sifat-sifat mulia seperti semangat keperwiraan, keadilan, berani, murah hati dan sebagainya).

Kehidupan orang India lebih terikat pada alam semula jadi dan kesenian. Dalam bidang seni halus, India telah mencapai kecemerlangan sejak awal tahun masihi lagi. Bidang muzik, tarian dan drama berkembang maju. Dalam muzik India, walaupun teori harmoni tidak begitu meluas, mereka mempunyai raga yang lebih kompleks daripada corak melodi Barat. Raga dan ragini digunakan untuk menggambarkan waktu (kala) atau sesuatu musim, perayaan dan emosi. Alat-alat muzik India terbahagi kepada empat kategori iaitu pertama, tata (tali); kedua, avanaddha (dram); ketiga, ghana (solid atau ideophone); dan keempat, susira (angin).

Tradisi kesenian India juga menunjukkan bahawa seni tarian dan seni muzik mempunyai hubungan yang erat. Antara tarian-tarian utama ialah Bharata Natyam yang penuh dengan tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap, penuh dengan kegemilangan.

India maju dalam seni logam terutamanya dalam bidang seni ukir. Pembinaan dasar menampakkan sepenuhnya ciri-ciri seni bina Islam tetapi kerja-kerja pengindahan sesuatu bangunan banyak melibatkan ciri-ciri Hindu. Tiang Asoka merupakan contoh terbaik kemegahan seni bina dan seni ukir India.

Kesusasteraan India awal menunjukkan bahawa bidang seni lukis India mencapai kemajuan pada zaman tersebut. Dinding Istana dan ruang dalaman rumah golongan berada dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menarik. Kebanyakan kuil gua (cave temples) India dihiasi dengan lukisan bersifat agama. 

3.0 Metodologi Kajian

Langkah pertama yang digunakan ialah dengan mendapatkan data dari sumber di perpustakaan tentang kesenian dan kesusasteraan tamadun Melayu, tamadun Cina dan tamadun India. Setiap perkara yang berkaitan kesenian dan kesusasteraan tamadun diambil perhatian. Langkah kedua, pelbagai soalan dibentukkan untuk menjalankan penyelidikan.

Soalan yang dibuat adalah berdasarkan data yang didapatkan dari sumber di perpustakaan ataupun internet. Untuk lebih memahami dan mengetahui pengetahuan responden tentang kesusasteraan dan kesenian tamadun, soalan telah dibuat dalam dua bentuk iaitu objektif dan subjektif. Demi memenuhi objektif kajian ini, empat bahagian soal selidik telah dibahagikan supaya satistik pelajar untuk penyelidikan tidak mengelirukan.

Langkah seterusnya, borang soal selidik telah diagihkan kepada mahasiswa/mahasiswi di Universiti Tenikal Malaysia Melaka. Lima puluh set borang soal selidik diedarkan untuk mendapatkan maklumat mengenai pengetahuan responden terhadap kesenian dan kesusasteraan tamadun bagi menjawab objektif kajian. Data yang diperolehi daripada borang selidik dianalisis dan dibuat dalam bentuk statistik untuk mengetahui pengetahuan pelajar-pelajar tentang kesenian dan kesusasteraan tamadun.


4.0 Hasil Kajian


Rajah 1: Profil responden

Soal selidik telah dilakukan ke atas pelajar-pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Didapati bilangan responden perempuan adalah lebih ramai berbanding responden lelaki. Pelajar dari hampir kesemua fakulti di UTeM telah mengambil bahagian dalam soal selidik yang telah dilakukan ini. Dari segi tahun pengajian, pelajar tahun satu adalah yang paling ramai mengambil bahagian dalam soal selidik ini diikuti oleh pelajar tahun dua, tahun tiga dan tahun empat. Dari segi bangsa pula, bangsa Melayu adalah yang paling ramai diikuti bangsa Cina, India dan lain-lain.

Rajah 2: Persamaan dan perbezaan kesusasteraan tamadun

Berdasarkan rajah yang di atas, didapati kesusasteraan ketiga-tiga tamadun Melayu, Cina dan India memiliki persamaan dalam puisi dan fiksyen manakala perbezaan yang jelas dapat dilihat dalam kesusasteraan ketiga-tiga tamadun ini ialah dari segi drama. Dalam perspektif puisi dan fiksyen persamaan yang jelas ialah gaya bahasa yang diguna pakai dan pembawakan unsure atau nilai murni dalam setiap puisi dan karya fiksyennya. Dalam kontek drama pula jelas memperlihatkan perbezaan kerana unsur kebudayaan diguna pakai dan diadaptasi dalam setiap drama.

Rajah 3: Impak kesusasteraan tamadun Melayu

Berdasarkan soal selidik yang dijalankan, 35% daripada responden memilih puisi sebagai komponen utama dalam kesusasteraan Melayu. Manakala 26% daripada responden pula menyatakan drama dan fiksyen adalah antara genre yang popular dalam kesusasteraan Melayu dan baki 13% lagi responden memilih prosa sebagai genre pilihan. Ini membuktikan bahawa puisi-puisi Melayu menjadi pilihan responden kerana bahasa Melayu senang difahami dan mempunyai gaya bahasa yang menarik.

Rajah 4: Impak kesusasteraan tamadun Cina

Bagi Kesusateraan Cina, 67% daripada responden memilih drama sebagai genre paling popular. Sebanyak 17% daripada responden memilih fiksyen sebagai pilihan mereka. Manakala lapan peratus daripada responden telah memilih prosadan empat peratus responden telah memilih puisi dan lain-lain. Berdasarkan responden, mereka telah memilih drama kerana kebanyakan kita terdedah dengan filem-fiem yang megisahkan tentang konflik dan perjuangan yang berlaku semasa zaman dinasti di China.

Rajah 5: Impak kesenian tamadun Melayu

43% daripada responden telah memilih seni muzik sebagai seni yang paling popular masyarakat Melayu, 26% telah memilih seni tarian, 22% memilih seni bina dan 9% memilih seni lukis. Berdasarkan respon yang telah diberikan, seni muzik Melayu sangat popular di negara kita. Ini adalah kerana rentak dan iramanya yang mengasyikkan. Ini ditambah lagi dengan kemerduan suara penyayinya.

Rajah 6: Impak kesenian tamadun Cina

48% daripada responden telah memilih seni bina bagi seni yang paling popular bagi masyarakat Cina. 22% telah memilih seni tarian dan seni lukis. Baki 8% lagi telah memilih seni muzik. Seni bina Cina di Malaysia menjadi terkenal kerana reka bentuknya yang mudah untuk dikena lpasti.

Rajah 7: Impak kesenian tamadun India

Majoriti responden telah memilih seni tarian iaitu sebanyak 45%, 23% daripada responden telah memilih seni lukis, 18% telah memilih seni bina dan baki 14% telah memilih seni muzik.Ini adalah kerana seni tari masyarakat India sangat popular di negara kita.Seni tari India terkenal dengan pergerakannya yang kompleks dan pantas serta mengikut rentak muzik yang laju.

Rajah 8: Nilai murni tamadun Melayu dalam pembentukan masyarakat

Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan, 54% reponden telah memilih kasih sayang sebagai nilai yang paling penting dalam pembentukan masyarakat di dalam tamadun Melayu. 25% lagi telah memilih berkerjasama dan selebihnya memilih keharmonian. Ini membuktikan bahawa masyarakat melayu sangat mementingkan nilai kasih sayang di dalam keluarga dan juga di dalam masyarakat. Ini dapat dibuktikan dengan kesustareaan Melayu yang banyak mengajar kita supaya menghormati orang tua dan juga adab ketika bersama dengan orang tua.

Rajah 9: Nilai murni tamadun Cina dalam pembentukan masyarakat

Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan, 41% responden telah memilih taat setia sebagai nilai yang paling penting dalam pembentukan masayarakat di dalam tamadun Cina, disamping 17% memilih bekerjasama, 17% memilih kasih sayang dan 25% memilih keharmonian. Ini menunjukkan masyarakat Cina sangat mementingkan taat setia terhadap sesama sendiri dan juga pemerintah mereka. Sebab utama mereka mementingkan taat setia adalah kerana mereka telah dipupuk semenjak zaman Dinasti Maharaja Cina lagi.

Rajah 10: Nilai murni tamadun India dalam pembentukan masyarakat

Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan, 59% responden telah memilih keharmonian sebagai nilai yang paling penting dalam pembentukan masayarakat di dalam tamadun India selain itu, sebanyak 29% telah memilih kasih sayang, 4% memilih taat setia dan selebihnya bekerjasama. Ini menunjukkan masyarakat India sukakan keadaan yang aman damai, selari dengan ajaran Hindu dan juga kesusasteraan India yang lebih memupuk keharmonian di dalam kehidupan seharian.


5.0 Kesimpulan

Setiap tamadun mempunyai persamaan dan perbezaan yang tersendiri. Tamadun Melayu, India dan Cina memiliki unsur keunikannya yang tersendiri tidak kira dalam segi aspek kesusasteraan mahu pun keseniaan. Keunikan ini membuatkan setiap tamadun menyimpan keistimewaannya yang tersendiri. Selain itu dapat juga kami selitkan bahawanya nilai-nilai dan unsur-unsur murni yang dibawa dalam kesusasteraan dan kesenian setiap tamadun diguna pakai sehingga ke hari ini sebagai garis pandu untuk masyarakat harmoni masa kini. Tambahan lagi, terdapat banyak unsur seni bina tamadun-tamadun ini digunakan dalam pembinaan masa kini. Hal ini kerana keunikan seni bina tamadun-tamadun ini tidak dapat ditandingi maka idealoginya diguna pakai sehingga kini.



Rujukan


Abd Rahman Nawas, Nawawee Mohamma, Omardin Haji Ashaari & Arip. (1995). Tamadun Islam. Pustaka Haji Abd Majid.

Afifah Abu Yazid. (2006). Pengajian Tamadun Asia. Selangor: Penerbit PTS Profesional.

Osman Bakar. (1997). Islam dan Civilizational Dialogue. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Osman Bakar. Azizan Baharuddin & Zaid Ahmad. (2010). Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

http://titas-hty.blogspot.com/2012/04/bahasa-dan-kesusasteraan-cina-klasik.html
http://s4g09jeooi-ppc.blogs.smjk.edu.my/tamadun-china-118-3/
http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/tamadun-cina-kesusasteraan-kesenian.html
http://www.caklempong.com/muzik.htm
http://alunanmustika.blogspot.com/2010/08/nobat.html
http://senidance.blogspot.com/p/tarian-melayu.html
http://bobezani.tripod.com/budaya.htm
http://tamadundunia-stpm.blogspot.com/2009/03/kesenian-tamadun-melayu.html
http://hbwz4679.blogspot.com/2012/04/tamadun-india-sejarah-tamadun-india.html
http://www.slideshare.net/azira74/tamadun-india-presentation-715819
http://tamadundunia-stpm.blogspot.com/2009/03/kesenian-tamadun-indiaindus.html
http://551india.blogspot.com/2010/01/ringkasan-tamadun-india.html


MZ Zainudin , Muhd Izzuddin Abd Rahman, Amirul Aqiim Shamsul Anuar , Yamin Abdul Rahman, Syed Muhammad Faheem Syed Baharuddin, Mohamad Ikhmal Hafizee Mehmad, Tan Lee Ping

No comments:

Post a Comment