Tuesday, July 01, 2014

Dekan jawatan bergilir







Tugas Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya sudah berakhir. Untuk seketika, ia menjadi isu. Media melaporkan keputusan berkenaan ada kaitan dengan rasa kurang senang Kementerian Pendidikan terhadap keputusan penyelidikan pilihan raya yang dilaksanakan oleh UMcedel.

Beberapa protes kecil muncul sebaik sahaja isu ini diketengahkan seperti pengunduran bekas calon Barisan Nasional di Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai felo penyelidik kanan di Universiti Malaya dan kecaman ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan. Walau bagaimanapun tindakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang mahu kedua-dua jawatan dikembalikan kepada Prof Datuk Mohammad Redzuan dilihat sebagai tidak munasabah.

Jawatan dekan dalam sesebuah fakulti ditentukan oleh universiti selepas melalui beberapa proses seperti pencalonan dan temuduga. Profesor Redzuan telah pun menjadi dekan selama lima tahun, satu jangka masa yang panjang selepas disambung bagi penggal kedua. Apabila Universiti Malaya membuat keputusan tidak lagi perlukan khidmat beliau, tindakan tersebut merupakan hak universiti. Tentulah Universiti Malaya ada program penggantian bakat baru (succession planning) untuk mendedahkan pemimpin akademik yang lebih muda supaya universiti tidak ketandusan pemimpin.

Jarang berlaku dekan yang dilantik kemudiaannya ditarik balik lantikan berkenaan. Jika ini berlaku, memang terdapat sesuatu yang besar sedang berlaku dan naib canselor boleh menamatkan pelantikan lalu digantikan dengan orang baru. Kes seperti ini memang pernah berlaku di universiti apabila naib canselor merasakan beliau perlu menggantikan seorang dekan.

Lagi pun jawatan dekan bersifat penggiliran. 

Dekan bukannya jawatan tetap dan berpencen sebaliknya ada tempoh dan terma syarat tertentu. Ada dekan hanya diberi dua tahun atau disambung penggal kedua tetapi amat jarang disambung berterusan. Melalui cara ini pensyarah akademik dapat belajar urusan pentadbiran dan pada masa yang sama memahirkan mereka dalam urusan birokratik dan prosedur kerajaan.

Dalam kes Profesor Redzuan yang tidak disambung sebagai dekan, sudah tentu hubungannya dengan staf akademik diambil kira. Tidak dinafikan beliau menghadapi masalah dengan pensyarah di fakulti tetapi ia adalah lumrah kerana perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara. Biasanya perbezaan ini disambut baik oleh ahli akademik kerana mereka dapat memperkaya ilmu masing-masing. Tetapi saya melihat faktor ini kurang penting berbanding faktor penggantian bakat baharu dalam kalangan kakitangan muda akademik Universiti Malaya.

Universiti Malaya juga sudah tentu tidak mahu menyimpan seseorang profesor di sesuatu tempat pada tempoh yang lama sehingga peluang orang baharu tergugat. Justeru melantik timbalan dekan fakulti adalah langkah tepat untuk mengenengahkan bakat-bakat baharu yang boleh memimpin dan membawa perubahan. Jika Prof Redzuan tidak ralat, beliau boleh membantu kepimpinan muda untuk meneruskan tradisi kepimpinnan dan kecemerlangan beliau.

Universiti Malaya tidak perlu melayan pelbagai kerenah ini sebaliknya memberi tumpuan kepada program penggantian yang menyeluruh supaya ranking universiti dapat ditingkatkan dari tahun ke tahun.


No comments:

Post a Comment