Thursday, July 24, 2014

Impak dasar luar Indonesia di bawah Jokowi






Selepas sedekad Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menjadi presiden,, pilihan raya presiden 2014 memilih Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi sebagai presiden baru Indonesia. Kemunculan Jokowi mendapat reaksi berbeza daripada pellbagai pemimpin negara khususnya berkaitan dasar luar.

Ketika pentadbiran SBY, Indonesia kembali menjadi pemain utama peringkat serantau khususnya ASEAN dan sedikit demi sedikit membina imej sebagai aktivis penting peringkat global. Namun, tidak dapat dipastikan arah tuju dasar luar Indonesia di bawah presiden baru akan datang.

Melihat Indonesia secara umum iaitu penduduk yang ramai, saiz geografi yang besar, potensi ekonomi yang berkembang dan negara majoriti umat Islam yang demokratik, amat penting bagi Indonesia melibatkan diri dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Bagi Malaysia, kerajaan harus mengikut rapat karektor dan latar belakang Jokowi supaya dapat meneruskan dasar luar dan kepentingan negara. Hal ini kerana keadaan semasa yang wujud belum dapat memastikan jejak langkah dasar yang aktif di bawah SBY boleh diteruskan.

Ketidakpastian ini wujud kerana Jokowi belum lagi bersedia berkongsi visi yang jelas untuk Indonesia. Popular sebagai reformis dalam kalangan rakyat belum tentu dapat menghasilkan dasar luar yang berkesan kerana kedudukannya berbeza jika dibandingkan dengan kelompok elit tradisi.

Walaupun mendapat pendedahan dan pengalaman sebagai Datuk Bandar Solo dan Gabenor Jakarta, Jokowi dikatakan memiliki sedikit pengalaman di peringkat nasional dan antarabangsa. Fokus utama beliau selama ini ialah isu-isu tempatan seperti pembasmian kemiskinan dan peningkatan kualiti hidup masyarakat miskin.

Pembuat dasar luar Malaysia sudah tentu lebih berminat hendak melihat bagaimana dasar luar Indonesia dibentuk oleh Jokowi. Jika kenyataan bahawa pengalaman Jokowi menjadi sandaran, perhatian harus diarahkan kepada Naib Presiden, Yusuf Kalla dan menteri-menteri yang pernah berkhidmat seandainya Jokowi membuat pilihan itu.

Yusuf Kalla mempunyai pengalaman peringkat nasional dan diketahui mempunyai hubungan yang mesra dengan pemimpin Malaysia khususnya perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Pengalaman Yusuf amat bernilai untuk mengukuhkan dasar luar sedia ada kerana beliau telah menunjukkan keupayaan menyelesaikan dua konflik besar negara itu.

Penglibatan beliau dalam meleraikan keganasan antara agama di Sulawesi pada 2001 dan menamatkan pemberontakan pemisah Aceh selepas tsunami 2004 menggambarkan kematangannya dalam menguruskan isu-isu besar yang berlaku di negara itu. Berdasarkan pengalaman Yusuf, beliau mampu menjadi penentu dasar luar yang sudah tentu menjadi sebahagian daripada strategi Jokowi.

Dalam era SBY, beliau berganding dengan menteri luar, Marty Natalegawa untuk membentuk idea-idea dasar luar. Dalam beberapa tahun lalu, Natalegawa menyerlahkan kepada masyarakat dunia bahawa Indonesia mahu berperanan sebagai kuasa utama di ASEAN dan menggalakkan kerjasama Indo-Pasifik melalui perundingan dan komunikasi berkaitan penyelesaian konflik serantau.

Melalui gagasan “kuasa serantau, pemain global” yang diucapkan dalam kebanyakan persidangan, Natalegawa menggunakan platform di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengenengahkan usaha memenuhi Millenium Development Goals, prihatin dengan perubahan iklim dunia dan melibatkan diri secara aktif dalam Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC).

Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia berada pada tahap mesra dan harmoni biarpun terdapat beberapa insiden kecil berkaitan pekerja asing Indonesia dan penangkapan nelayan di perairan kedua-dua negara. Sentimen yang agak keras hanya dimainkan oleh media yang mempengaruhi masyarakat awam tetapi tidak menggugat pemimpin atasan kedua-dua negara.

Indonesia akan teus berperanan sebagai pemain penting di peringkat serantau dan antrabangsa. Perkembangan ekonomi melebihi enam peratus, kemasukan palabur asing dan pertambahan dalam peranan pelabur luar, Indonesia akan menjadikan rantau ASEAN dan Asia rancak dengan pertumbuhan pesat pelbagai industri dan sektor ekonomi. Persoalannya ialah sejauhmana Indonesia memilih untuk menggunakan pengaruhnya terletak pada pentadbiran baru di bawah Jokowi.

No comments:

Post a Comment