Wednesday, July 02, 2014

Cara buka akaun simpanan Tabung Haji anak-anak







Mengerjakan haji ke Mekah merupakan impian dan hajat setiap umat Islam di Malaysia kerana ibadah haji menyempurnakan kelima-lima Rukun Islam. Justeru, mendaftarkan diri sebagai calon jemaah haji adalah langkah awal untuk merealisasikan impian yang hebat ini.

Tabung Haji menjadi instrumen terbaik untuk umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji. Ia mempunyai mekanisme yang teratur bagi memastikan calon haji dapat beribadat dengan selesa bermula dari Malaysia sehinggalah selesai mengerjakan tuntutan haji.

Mekanisme yang dimaksudkan ialah membuka akaun di Tabung Haji dan mendaftarkan nama sebagai calon jemaah haji di bawah seliaan Tabung Haji. Menggunakan konsep menabung dan simpanan, kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun simpanan dan mendaftarkan diri termasuk anak-anak.

Prosedur membuka akaun Tabung Haji bagi anak-anak sangat mudah. Dapatkan borang maklumat ahli, JP003 dan lengkapkan semua maklumat dengan jelas dan tepat. Dengan RM20, anak-anak sudah mempunyai akaun simpanan Tabung Haji mereka sendiri. 

Katakan yang pergi mendaftar anak-anak adalah bapa. Apa yang perlu dibawa sekali ialah kad pengenalan bapa dan kad pengenalan (MyKid) anak atau surat beranak. Biasanya MyKid lebih mudah kerana ia dilengkapi mikro cip yang merekodkan maklumat anak-anak terus ke dalam sistem simpanan Tabung Haji.

Tidak perlu membawa salinan kad pengenalan kerana sistem yang digunakan adalah tanpa kertas (paperless).

Semasa di kaunter, bapa diminta memberi kad pengenalan dan MyKid anak dan mengimbas cap ibu jari tangan kiri. Di samping itu bapa juga perlu mengisi borang maklumat waris (dua penama). Sebaiknya penama ini masih muda.







Seterusnya bapa diminta mengecap ibu jari tangan kiri sekali lagi di atas tiga borang iaitu dua borang sedia ada dan satu borang tambahan. Semua dokumen yang mempunyai cap jari ini adalah bukti pendaftaran dan sebagai tujuan rekod perundangan pada masa hadapan.

Selepas itu bapa akan diberi buku simpanan Tabung Haji berwarna kuning dan berakhirlah proses membuka akaun simpanan di Tabung Haji.

Syarat untuk mendaftarkan nama anak sebagai calon jemaah haji tidak berubah iaitu simpanan minimum sebanyak RM1,300. Jumlah ini sama seperti yang diperlukan oleh calon jemaah dewasa.

Bagaimana hendak menambah simpanan haji anak-anak?

Pertama, duit raya yang diperolehi setiap tahun jangan dibelanjakan terlalu banyak, sebaliknya ambil sedikit dan masukkan ke dalam simpanan.

Kedua, wang lebihan belanja pemberian kerajaan seperti BR1M boleh dimasukkan ke dalam simpanan ini.

Ketiga, jika anak-anak kecil sering menerima wang daripada saudara mara yang datang berziarah, kumpulkan wang ini dan masukkan ke dalam simpanan.

Keempat, peranan ibu bapa sendiri yang memperuntukkan sedikit wang daripada pendapatan bulanan mereka. Katakan setiap anak diperuntukkan RM50 sebulan. Dalam tempoh 20 tahun simpanan Tabung Haji sudah mencecah RM12,000 yang cukup untuk membayar kos mengerjakan haji. Ketika sudah sampai masa menunaikan haji, anak-anak ini sudah cukup dewasa dan mereka hanya perlu mencari wang belanja ketika di Tanah Suci Mekah nanti. Jelas sekali bebanan kewangan telah dapat dikurangkan jika ada kesedaran menyimpan di Tabung Haji sejak kecil.

Perancangan masa hadapan anak-anak menunaikan haji terletak di atas kesedaran ibu dan bapa. Melalui perancangan yang berkala dan teratur, impian mengerjakan haji akan menjadi kenyataan, Insya Allah.


1 comment:

  1. kenapa ye, ayah warga asing, ibu pula PR x boleh buka akaun TH untuk anak. mohon penjelasan..

    ReplyDelete