Sunday, July 20, 2014

Puasa di Brunei

 
 
 



Menyambut puasa di Brunei merupakan pengalaman yang menarik. Suasana aman dan tenang di ibu negara Bandar Seri Begawan amat memudahkan tugasan saya kali ini. Tiga hari dua malam tidak terasa kerana sebahagian besar masa dipenuhi dengan aktiviti ke sana-sini.

Tiba di lapangan terbang antarabangsa yang baru dan masih dalam proses disiapkan, pelancong mungkin tidak biasa dengan papan tanda dan tempat-tempat yang ditetapkan. Mereka boleh keliru dengan kedudukan bilik air kerana tanda dan warna biru bilik air lelaki dan perempuan yang sama di samping reka bentuk juga tidak banyak perbezaan. Jika warna berbeza ia tentu banyak membantu pelancong yang baru datang kali pertama. Saya cadangkan warna biru untuk bilik air lelaki dan warna merah jambu untuk bilik air perempuan.

Bandar Seri Begawan masih seperti dahulu. Dahulu bermaksud sepuluh hingga 15 tahun lepas. Di sini tidak ada bangunan tinggi mencakar langit, tidak ada gedung membeli-belah yang besar, tidak banyak motosikal dan yang penting tidak ada kesesakan jalan raya.

Kompleks yayasan, bangunan bank HSBC, terminal bas dan teksi, pusat perdagangan bumiputera, pasar tamu Kianggeh, kampung air, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, sekolah Cina dan sebuah gereja kecil masih berada di situ. Tempat-tempat ini masih boleh dilihat dengan jelas dari Hotel Terrace yang dulunya dikenali sebagai Ang’s Hotel.

Perubahan yang ketara ialah kawasan lapang berhampiran Kampung Sumbiling yang telah didirikan bangunan mahkamah syariah. Dulunya kawasan ini dipenuhi pokok-pokok dan dijadikan kawasan meletak kenderaan. Begitu juga bangunan PGGMB yang dulunya usang kini telah digantikan dengan bangunan moden dan lebih tinggi di tapak yang sama. Pembinaan terbengkalai yang bertentangan dengan bangunan PGGMB masih kekal seperti itu.

Pengangkutan awam di Brunei masih boleh dipertingkatkan khususnya teksi dan bas. Laluan perjalanan bas awam dibezakan dengan warna badan bas dan nombor. Kebanyakan pemandu bas di sini terdiri daripada warga asing sama ada Indonesia atau India. Kebanyakan pekerja India di sini bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti buruh dan pekerja restoran. Majoritinya beragama Islam. Ada juga pekerja India ini yang telah lama bermastautin di Brunei dan memiliki perniagaan sendiri seperti kedai makan dan dobi.

Pekerja asing yang lain datang dari Filipina (perkhidmatan), Thailand (pembinaan), Nepal (keselamatan), Indonesia (pembinaan) dan Malaysia (profesional, perkhidmatan, pendidikan dan pelaburan).

Di Brunei, gerai bazar Ramadhan utama disediakan di dua tempat iaitu kawasan parkir Stadium Hassanal Bolkiah dan pasar Gadong. Saya hanya sempat melawat pasar Gadong sebelah malam tetapi tidak sempat ke stadium. Katanya gerai Ramadhan di stadium lebih besar dan mencari tempat meletak kenderaan merupakan cabaran. Di kawasan letak kenderaan bertentangan Lapau didirikan khemah jualan sempena musim perayaan kali ini. Ianya kelihatan meriah sebelah malam denga kunjungan pembeli.

Selesai tugasan pada hari pertama, saya terus ke gedung membeli-belah Hua Ho di kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mencari “kacang senyum” iaitu kacang yang mesti dicari untuk dibawa pulang. Di kompleks yayasan, sayap kanan dan kiri bangunan ini dimuatkan dengan lot-lot kedai jualan barangan komputer, telefon bimbit, kasut, pakaian dan kedai jam. Ada juga kedai buku dan restoran termasuk KFC dan Jollibee.

Sayap satu lagi merupakan gedung Hua Ho yang besar. Saya selalu meninjau harga barangan di sini untuk dibandingkan dengan harga di Kuala Lumpur. Ada sesetengahnya lebih mahal sedikit dan ada sebahagiannya agak murah. Barangan yang dijual kebanyakannya diimport dan lebih berkualiti seperti pakaian, alat mainan kanak-kanak dan barangan elektrik. Harga kamera berjenama, kamera kenderaan dan aksesori penampilan diri saya dapati lebih murah sedikit.

“Kacang senyum” saya dapati berada di bahagian bawah gedung yang diletakkan di satu kawasan kacang. Satu kilogram berharga B$17.40 atau kira-kira RM43.50, harga yang jauh lebih baik jika kita membeli kacang ini di Kuala Lumpur iaitu seratus gram berharga antara sepuluh hingga sebelas ringgit, bergantung pada syarikat pengeluar. Kali ini saya membeli lima kilogram “kacang senyum” kerana harganya masih berpatutan. “Kacang senyum” ini akan dihidangkan kepada tetamu pada hari raya nanti.

Masa berbuka puasa di sini lebih awal iaitu pukul 6.38 petang. Waktu subuhnya 4.52 pagi. Kali ini saya "bersungkai" (berbuka) denga sushi, buah pisang dan air asam kerana tekak sedikit gatal. Sahurnya dengan sup sayur dan roti keping.

Saya mengambil kesempatan untuk menunaikan solat terawih di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang mengambil masa 15 minit berjalan dari hotel penginapan. Bilal yang melaungkan azan isyak mirip azan di Mekah.

Masuk ke ruang solat masjid sudah terasa sejuk kerana masjid ini dipasang pendingin hawa sepenuhnya. Ramai jemaah yang datang dan meletakkan kenderaan di kiri dan kanan jalan berhampiran masjid. Oleh kerana banyak masjid dan surau yang mendirikan solat terawih, orang ramai boleh memilih tempat kegemaran masing-masing untuk berterawih. Imam terawih di sini pun hafiz dan membuat 20 rakaat. Seperti tempat lain, selesai lapan rakaat kebanyakan jemaah beredar dan ada yang membaca al-quran.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin memiliki ciri-ciri binaan yang unik dan menarik, menjadi tumpuan utama lawatan pelancong dan antara masjid yang mesti dilawati. Cuma saya rasa ruang solat agak kecil, tidak seperti Masjid Jamek Asr’ Hassanal Bolkiah yang luas.

Tumpuan saya seterusnya ialah ingin mengetahui bagaimana pandangan masyarakat Brunei selepas kerajaan memperkenalkan undang-undang hudud di negara itu. Saya bertanyakan rakan-rakan dan kenalan tentang apa yang mereka fikirkan dan bagaimana penerimaan masyarakat keseluruhan.

Saya menceritakan kepada mereka tentang pengalaman saya bersama penerbangan Royal Brunei iaitu pramugari memakai tudung dan menutup aurat di samping bacaan doa dipaparkan pada skrin sebelum memulakan penerbangan. Semua penumpang beragama Islam berdoa bersama-sama.

Dalam perbualan saya dengan rakan-rakan ini, masing-masing memberi pandangan yang cenderung ke arah menerima pelaksanaan undang-undang hudud. Antara pengalaman yang menarik ialah rakan saya yang pergi ke Miri, Sarawak dan berkesempatan berbual-bual dengan pekerja warga asing (kebanyakannya warga Eropah yang bekerja di Brunei). Warga asing ini menyambut baik pengenalan undang-undang hudud kerana tidak ada siapa yang berani lakukan jenayah. Kalau tidak bersalah seseorang tidak perlu berasa takut. Suasana juga lebih aman dan kadar jenayah dapat dikurangkan.

Selain bertanya, saya juga membuat pemerhatian ke atas kehidupan seharian masyarakat di sini. Rata-ratanya cenderung memenuhi tuntutan syariah dan arahan pihak berkuasa. Contohnya pemakaian tudung dalam kalangan wanita di sini, rata-ratanya memilih untuk menutup aurat. Begitu juga penyedia makanan di restoran, mereka diminta menjual makanan selepas pukul tiga petang dan untuk menjual lebih awal, penyediaan hanya untuk dibungkus. Hal ini kerana ada orang yang tidak dapat berpuasa dan terpaksa membeli makanan di luar.

Selepas membuat tinjauan dan pemerhatian, saya berasa optimis masyarakat Islam dan bukan Islam di Brunei cenderung menerima dengan baik pelaksanaan undang-undang hudud ini. Usaha yang perlu terus dilakukan ialah memberi penerangan dan mendidik masyarakat untuk memahami bahawa pelaksanaan hudud memberi kebaikan kepada masyarakat.

Kajian lanjut terhadap perubahan hidup masyarakat Brunei berkaitan hudud boleh dilakukan supaya kita dapat pelajari bagaimana cabaran dan impak hudud ke atas sistem bernegara.

Berita MH17 juga menjadi perhatian di sini. Ramai yang terkejut dan tidak menyangka sebuah pesawat MAS akan ditembak dan terhempas di Ukraine. Kerajaan Brunei turut menzahirkan kesedihan bersama-sama masyarakat dunia dan mendoakan keselamatan rakyat Malaysia.

Kesempatan ke Brunei kali ini memberi peluang kepada saya untuk lebih mengetahui bagaimana masyarakat di sini menguruskan kehidupan sosial mereka. Banyak lagi aspek yang boleh dikaji khususnya masalah sosial dan pembangunan sosioekonomi masyarakat. Dapatan yang menarik ialah generasi muda Brunei dilihat semakin terbuka terhadap cabaran hidup. Sudah ramai anak muda yang mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan, manjalankan aktiviti kesukarewanan dan mengambil pendekatan berusaha sendiri lebih baik daripada bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

 

No comments:

Post a Comment