Sambutan hari saya 'aidilfitri pada syawal setiap tahun menandakan kemenangan kepada umat Islam. Menang kerana telah berjaya melaksanakan perintah yang diwajibkan ke atas mereka iaitu berpuasa dengan menahan lapar, dahaga dan larangan-larangan lain untuk Allah swt menguji iman sedia ada.
Bulan ramadhan yang penuh berkat menjadi bukti sifat Maha Pemurah Allah swt yang menggandakan kebaikan-kebaikan dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Beruntunglah orang Islam yang membuat banyak kebaikan pada bulan ramadhan lepas.
Tradisi beraya bagi umat Islam di Malaysia ialah bermaaf-maafan dan kunjung-mengunjung. Maaf ditandai dengan ungkapan "minta maaf" atau "kosong-kosong" dengan harapan akan gugurlah dosa-dosa sesama mereka. Itulah yang menjadi harapan kita pada hari mulia ini.
Saban tahun, sambutan raya bagi umat Islam semakin berubah. Jika 20 atau 30 puluh lalu mereka jarang sekali makan makanan yang sedap-sedap atau berpakaian cantik, hari ini suasana telah berubah.
Perkarangan rumah hatta di kampung dipenuhi tiga hingga lima buah kereta pelbagai jenis. Dari Perodua Viva hingga Honda City seterusnya Toyota Alphard, ia menggambarkan sosioekonomi masyarakat Islam di Malaysia bertambah baik dan kehidupan mereka semakin makmur.
Ibu dan ayah yang duduk berdua di kampung tentu berasa bangga melihat kehidupan anak-anak yang bertambah senang dan mahu kembali ke kampung untuk menyambut raya.
Anak-anak juga tidak lupa asal-usul mereka. Biarpun terpaksa beratur menggunakan bilik air dan tandas, suasana ini lebih baik kerana dapat menerapkan sifat sabar dan tolak ansur yang menunjangi nilai-nilai masyarakat Melayu. Ada keluarga yang terpaksa tidur di ruang tamu kerana jumlah bilik tidak dapat menampung bilangan penghuni yang bertambah tahun demi tahun.
Begitu juga dengan keadaan masjid atau surau yang menjadi tumpuan untuk solat hari raya. Masjid yang kecil sudah dibesarkan dan diindahkan supaya lebih selesa. Jika dulu hanya guna kipas angin, kini kebanyakan surau dan masjid sudah ada pendingin hawa dan kipas "helikopter" supaya jemaah lebih selesa dan khusyuk beribadat.
Kemeriahan 'aidilfitri tidak terletak pada bunyi dentuman mercun bola atau kerlipan bunga api sebaliknya pada kesudian memaafkan kesalahan dan menghalalkan makan-minum. Di sinilah "ruh" sebenar setiap kali menyambut 1 syawal setiap tahun.
No comments:
Post a Comment