Tuesday, April 01, 2014

Tinjauan pembangunan sosial di Malaysia







Semenjak Perang Dunia Kedua hingga pertengahan tahun 1970-an, corak umum pertumbuhan ekonomi negara-negara perindustrian adalah pesat dan berkembang sehingga ke pertengahan tahun 1990-an. Pada masa yang sama, negara-negara di Asia Tenggara mula menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang pantas. Ketika tempoh ini, kerajaan di negara-negara terbabit berupaya membangunkan pembangunan sosial yang membolehkan mereka melaksanakan langkah-langkah pengawalan dalam pelbagai aspek ekonomi. Bukan sahaja berupaya mempengaruhi pemboleh ubah ekonomi seperti kadar faedah, pengangguran, pelaburan atau struktur industri, malah berupaya menambah pendapatan yang dapat disalurkan ke arah pencapaian matlamat sosial yang dapat memberi impak kepada pembangunan komuniti (Roziah Omar dan John Doling, 2000).

Pembangunan berteraskan ekonomi menyaksikan kemunculan Negara Industri Baru (NIB) seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia. Dalam menentukan tahap pencapaian pembangunan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenal Matlamat Pembangunan Milenium (Millenium Development Goals) pada September 2002 untuk memperkukuh usaha ke arah keamanan, demokrasi, urus tadbir yang baik dan pembasmian kemiskinan secara global. Di samping itu, MDG juga memberi komitmen yang tegas kepada hak untuk kesaksamaan gender dan memperkasa wanita, pembasmian kemiskinan dan pembangunan manusia yang mapan (Unit Perancang Ekonomi, 2011).

Pencapaian Malaysia dalam MDG ini diukur dengan beberapa indikator khususnya Human Development Index (HDI) yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme (UNDP). Laporan Pembangunan Manusia 2013 (Human Development Report 2013) menunjukkan indeks pembangunan Malaysia berada pada kedudukan ke-64. Midgley dan Livermore (2009) melihat HDI boleh digunakan sebagai alat ukur langsung untuk mengetahui situasi masyarakat dan berupaya membuat jangkaan terhadap hasil sesuatu atau sebahagian daripada dasar sosial. Berdasarkan laporan ini, Malaysia telah memperlihat taraf hidup yang lebih baik khususnya dalam aspek jangka hayat, celik huruf, pendidikan, asas hidup dan kehidupan yang lebih berkualiti (Human Development Report, UNDP, 2013).

Perubahann sosial ini berlaku kerana kerajaan Malaysia menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan kemanusiaan yang merangkumi ekonomi, sosial dan keselamatan di mana di bawah setiap bidang ini terdapat pelbagai jenis program yang lebih khusus. Antaranya ialah perkhidmatan sosial yang merangkumi perkhidmatan luar (keluarga dan kanak-kanak), perkhidmatan atau bantuan orang papa, perkhidmatan kanak-kanak bersalah, perkhidmatan perlindungan wanita dan gadis, perkhidmatan untuk orang kurang upaya, perkhidmatan untuk mangsa keganasan rumah tangga dan perkhidmatan institusi (kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, perkhidmatan kebajikan dan perlindungan warga tua serta perkhidmatan kebajikan dan perlindungan orang papa). Kesungguhan kerajaan Malaysia menyediakan program pembangunan sosial dilihat melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu sebanyak RM230 bilion disediakan meliputi keseluruhan sektor dengan sosial menerima RM69 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan peruntukan. Agenda utama RMK-10 ialah menyediakan modal insan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi melalui peningkatan kualiti pendidikan, penyediaan latihan dan strategi menambah kemahiran. Di samping itu, RMK-10 juga mahu membentuk keadilan sosial khususnya di antara bandar dan luar bandar.

Kejayaan Malaysia 44 tahun yang lalu dalam melaksanakan pembangunan sosial kepada kesejahteraan masyarakat ialah melalui inisiatif pembasmian kemiskinan. Pada tahun 1970, sebanyak 49.3 peratus daripada penduduk Malaysia hidup di bawah garis kemiskinan yang meliputi 64.8 peratus masyarakat Bumiputera, 39.2 peratus masyarakat India dan 26.0 peratus masyarakat Cina. Selain itu wujud jurang sosioekonomi yang ketara khususnya dalam kalangan masyarakat Bumiputera. Dasar-dasar ekonomi dan sosial yang digubal oleh kerajaan Malaysia telah mengubah struktur ekonomi dan sosial masyarakat. Kemiskinan secara keseluruhan telah berkurangan dengan ketara kepada 3.8 peratus pada tahun 2009 manakala taraf hidup telah dapat ditingkatkan. Justeru katakseimbangan ekonomi antara etnik telah berkurangan dengan ketara (Malaysia, 2011).

Seterusya Malaysia telah menikmati pertumbuhan ekonomi dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun semenjak 1991 hingga 2010. Kadar pertumbuhan ini telah membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dan menyokong kemajuan yang lebih menyeluruh dalam bidang pendidikan, kesihatan, infrastruktur, perumahan dan kemudahan awam (RMK-10). Namun, pertumbuhan ekonomi bukan satu-satunya faktor yang menentukan kualiti hidup masyarakat malah perkara yang lebih penting ialah memenuhi kesejahteraan hidup mereka.

Kepesatan pembangunan ekonomi ini telah menambah baik agihan pendapatan, menurunkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi. Perubahan ini sebahagiannya telah disumbangkan oleh pelaksanaan program pembangunan sosial yang mengubah keadaan hidup masyarakat ke arah yang lebih baik atau sejahtera. Perubahan ini dilakukan oleh dasar-dasar sosial yang mengambil kira tiga perkara yang penting iaitu memahami masalah sosial, menyediakan sistem penyampaian yang berkesan dan memberikan peluang sosial untuk individu dan masyarakat memaju dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Masalah sosial turut berkait rapat dengan keperluan-keperluan sosial. Namun, sebab-musabab masalah sosial dan penyelesaian tidak semestinya terbatas kepada struktur dan institusi nasional. Penyelesaian terhadap masalah sosial ini menimbulkan tuntutan-tuntutan yang memerlukan respons dalam bentuk perkhidmatan manusia bagi mengekal, menjamin dan memelihara kesejahteraan hidup individu dan masyarakat.

 
 

No comments:

Post a Comment