Wednesday, April 02, 2014

Abdel Fattah pemusnah demokrasi




 

Pergerakan Islam Mesir, Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa kemenangan bekas ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya Presiden Mei ini, akan menjerumuskan negara ini di bawah pemerintahan tentera, sekali gus memusnahkan demokrasi yang baru bertapak selama setahun sejak penggulingan bekas Presiden, Hosni Mubarak pada 2011. 

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman web www.ikhwanweb.com, Ikhwanul Muslimin berkata, hasrat Abdel Fattah bertanding dalam pilihan raya tersebut secara jelas membuktikan bahawa penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu, merupakan satu rampasan kuasa oleh pihak tentera. 

Malah, tindakan bekas ketua tentera berusia 59 tahun itu menggunakan kesemua saluran media milik kerajaan untuk mengumumkan hasratnya bertanding sebagai Presiden pada 26 Mac lalu, menunjukkan beliau menggunakan harta kerajaan demi kepentingan diri. 

"Rakyat Mesir telah lama berjuang untuk mengecapi sistem pemerintahan demokrasi, sekali gus menamatkan pemerintahan tentera yang bersifat kuku besi selama 40 tahun. 

"Hasrat rakyat untuk merasai pemerintahan demokrasi hanya bertahan selama setahun sehingga Abdel Fattah menghancurkan impian mereka dengan menggulingkan Mursi dan kini mahu bertanding sebagai Presiden," jelas kenyataan itu. 

Dalam pada itu, pergerakan tersebut melabelkan Abdel Fattah sebagai seorang pembunuh yang bertanggungjawab ke atas kematian beribu-ribu orang awam yang tidak bersalah dan penipu kerana sering mengkhianati sumpah atau janji yang dilaungkan sebelum ini bahawa beliau atau institusi tentera tidak berniat memerintah Mesir. 

Jelasnya, Abdel Fattah juga disifatkan sebagai seorang pensabotaj keadilan Mesir dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong Ikhwanul Muslimin dengan hanya dua kali sesi perbicaraan dalam tempoh 20 minit. 

"Sifat diktator dalam diri Abdel Fattah terserlah apabila mendalangi penahanan dan penyeksaan lebih 23,000 tahanan Mesir, termasuk kanak-kanak dan wanita kerana mengadakan tunjuk perasaan secara aman. 

"Beliau juga merupakan seorang pengecut kerana menggunakan kekuatan tentera termasuk kereta kebal dan pesawat tempur untuk menggempur kampung dan pekan di negara ini, sedangkan beliau sendiri tidak pernah berperang menentang musuh Mesir," kata kenyataan tersebut.

(Utusan Malaysia, 2 April 2014)

 

No comments:

Post a Comment