Sunday, April 06, 2014

Telefon pintar punca jenayah








Siapa yang patut dipersalahkan apabila seorang remaja lelaki menikam leher ibunya sehingga mati kerana hendakkan sebuah telefon pintar? Pengakuan remaja terbabit yang ibu memarahinya setiap hari menjadi punca tindakan tersebut. Akhirnya remaja anak sulung dari tiga beradik itu disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam kes ini kita boleh lihat dari tiga perspektif iaitu peranan ibu bapa, pengaruh persekitaran dan gajet telefon pintar.

Aspek pertama iaitu peranan ibu bapa menjadi sangat kritikal pada hari ini. Tidak semua ibu bapa mempunyai perbelanjaan yang banyak untuk mengikut cakap anak-anak kerana harga barangan semakin meningkat setiap hari. Belanja keluarga perlu diutamakan kepada keperluan harian dan pendidikan anak-anak berbanding membeli sebuah telefon pintar. 

Kes remaja itu dilihat sangat relevan dengan keperluan memahami peranan ibu bapa masa kini kerana mangsa merupakan seorang guru kelas tambahan yang terpaksa berjimat-cermat berbelanja. Walau bagaimanapun kesungguhannya menghantar anak remajanya pergi bermain tenis menunjukkan dia mahu yang terbaik untuk anaknya. Kasih sayang ibu untuk melihat anak menjadi seorang remaja yang sihat tidak dipandang positif oleh remaja tersebut kerana dendam dan marah mengatasi fikiran emosinya.

Dalam konteks ibu bapa hari, masalah yang serupa turut dialami. Ada ibu bapa yang tidak cukup wang untuk belanja makan harian dan terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menyara keluarga. Mereka perlu keluar awal pagi dan merayau-rayau di kawasan taman perumahan mencari barangan terpakai yang boleh dijual di pusat kitar semula ataupun meninjau persekitaran pasar borong untuk mencari sayur dan buah yang hampir busuk dan tamat tempoh untuk dibawa ke rumah sebagai hidangan makan malam. Hal ini berlaku kerana kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak-anak.

Pengaruh persekitaran memainkan peranan utama untuk memberi persepsi kepada remaja terbabit. Dia mungkin terdesak untuk mendapatkan sebuah telefon pintar supaya dapat diterima oleh rakan-rakan di sekolah. Di sini, rakan-rakan bertindak sebagai kumpulan pendesak supaya remaja itu seboleh-bolehnya mendapatkan sebuah telefon pintar. Kemungkinan besar desakan berterusan ini menjadikan remaja itu agresif dan bertindak melampaui batas ke atas ibunya.

Perkembangan teknologi telefon pintar meninggalkan jauh telefon bimbit yang pernah menjadi ikon kepada status dan kerjaya seseorang. Sepuluh tahun lalu, memiliki sebuah telefon bimbit Nokia menjadi kegilaan namun scenario itu sudah berubah. jenama Nokia sudah menjadi asing dan digantikan dengan jenama Apple atau Samsung. Justeru memiliki sebuah telefon pintar jenama Apple atau Samsung menggambarkan imej yang canggih bagi seorang remaja. Mungkin dalam kes ini, ibunya tidak mahu membeli sebuah telefon pintar mungkin disebabkan harga yang mahal dan di luar kemampuan. Dalam keadaan tersebut, remaja itu tidak memahami kesulitan yang sedang dihadapi mangsa.

Remaja lelaki yang disabitkan dengan kesalahan membunuh ibunya mengingatkan kita kepada tindakan seorang remaja perempuan di China yang menjual sebiji buah pinggang semata-mata hendak memiliki sebuah iPad Apple. Dia memang dapat membeli sebuah iPad tetapi kehilangan buah pinggang dan mengundang ihsan ibu bapa dan masyarakat. Dia tidak memikirkan suatu hari nanti kesihatannya akan merosot kerana sebiji buah pinggang tidak mampu melakukan tapisan yang lebih banyak bagi tempoh 40 hingga 50 tahun kerana pelbagai jenis makanan hari ini penuh dengan bahan kimia. Biarpun dia tidak membunuh ibunya untuk membeli sebuah iPad tetapi dia telah mendapat nasihat yang salah dalam membuat keputusan.

Jenayah remaja berkaitan teknologi tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi kenyataan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini yang menyatakan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan. Kita perlu bersama-sama memikul tanggungjawab memastikan kawasan sekolah adalah selamat, persekitaran rumah adalah selamat dan masyarakat kita juga selamat.
 

No comments:

Post a Comment