Wednesday, April 16, 2014

Impak sosioekonomi yang dibawa oleh Marrybrown Pasir Gudang terhadap masyarakat setempat








1.0 Pengenalan

Ismail Said adalah pemilik restoran Marrybrown di Pasir Gudang dan menjadi pengurus besar Marrybrown di Johor. Beliau berpengalaman menceburkan diri dalam bidang industri makanan selama 24 tahun lebih-lebih lagi dalam quick service restaurant. Justeru, pengalaman beliau amat banyak dan telah melalui pahit manis dan jatuh bangun dunia perniagaan. Nama Syarikat yang didirikan beliau ialah Cherish Gold yang terletak di Marrybrown Restaurant, Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor.

Syarikat tersebut telah beroperasi lebih daripada dua tahun. Sebelum ini Ismail bekerja dengan sebuah syarikat francais di mana syarikat tersebut memberi peluang kepada pekerjanya untuk membuka perusahaan francais. Peluang ini digunakan untuk membuka restoran makanan segera Marrybrown pertamanya di Pasir Gudang. Dalam masa memikirkan untuk membuka francais yang pertama, Ismail kerap kali patah semangat kerana memikirkan risiko perniagaan francais amat tinggi seperti muflis. Namun sokongan dan dorongan yang diterima daripada kawan-kawan dan keluarga menjadikan beliau lebih kental dan memastikan perniagaan itu tetap akan berjaya. Pengurusan restoran dibantu oleh anak sulungnya Saifuddin, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Perdagangan, Johor.

Modal untuk membuka syarikat ini ialah melalui pinjaman Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Selain itu, ahli keluarga beliau turut menyumbang modal bagi mengukuhkan modal permulaan perniagaan itu.


2.0 Latar Belakang

Marrybrown merupakan syarikat yang diusahakan dan dipunyai oleh rakyat Malaysia. Bermula pada tahun 1981, Marrybrown merupakan rangkaian makanan segera tempatan terbesar yang mengembangkan sayap ke luar negara. Marrybrown terdapat di banyak negara dan mempunyai lebih 200 cawangan di Malaysia, China, India, Sri Lanka, Arab Saudi, Afghanistan, Australia, Cambodia, Indonesia, Laos, Myanmar, Russia, Thailand, Afrika Selatan, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan bakal dibuka di Tanzania dan Iran. Marrybrown pernah memenangi beberapa anugerah dan ia berkembang menjadi organisasi rangkaian makanan segera global dan jenama terkenal.

Marrybrown adalah sebuah restoran francais yang memerlukan modal yang tinggi untuk menjalankan perniagaan. Marrybrown dilihat sama seperti McDonald’s dan perusahaan francais yang lain di mana mereka mengeluarkan produk makanan ringan yang mempunyai kualiti tersendiri dengan rasa yang berbeza-beza. Produk mereka sudah melambangkan perbezaan antara Marrybrown dan francais restoran makanan segera yang lain.

Di Johor, Marrybrown telah membuka beberapa buah cawangan di seluruh negeri. Salah satunya di Pasir Gudang, Johor. Pembukaan cawangan Marrybrown di Pasir Gudang dikatakan akan mendatangkan impak yang sangat berbeza apabila dibuka di banyak kawasan lain. Hal ini kerana Pasir Gudang adalah sebuah kawasan yang sedang pesat membangun dengan kawasan industri dan kawasan perumahan. Selain itu, pembukaan Marrybrown di Pasir Gudang juga amat strategik kerana banyak sumber bahan mentah dan pemasaran produk Marrybrown sangat laris.

Marrybrown selaku pemasar perlu mengesan perubahan budaya untuk mencari produk baru yang mungkin diingini oleh pengguna hari ini. Perubahan kepada keadaan yang tidak formal memberi kesan kepada permintaan yang lebih terhadap makanan segera yang lebih ringkas dan senang didapati. Pemasar perlu memahami budaya dalam setiap pemasaran dan menyesuaikan strategi-strategi pemasaran mereka. Marrybrown sentiasa mencari peluang untuk mengesan perubahan budaya untuk mencari produk keluaran terbaru untuk menepati citarasa pengguna.


3.0 Impak Sosioekonomi

Setiap perniagaan yang dijalankan pasti akan menghasilkan impak sosioekonomi kepada pengusaha, masyarakat setempat dan lebih-lebih lagi kepada kedai-kedai di sekitar. Model perniagaan Marrybrown telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat yang ingin mendapatkan pekerjaan sepenuh masa atau kerja sambilan. Kebanyakan pekerja yang bekerja di Marrybrown Pasir Gudang ini ialah pekerja sambilan yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang sedang menunggu cuti semester, ingin meneruskan pelajaran dan mencari duit saku tambahan.

Dalam hal ini, Marrybrown tidak mengalami sebarang masalah untuk mencari pekerja kerana ramai yang mahu bekerja di Marrybrown. Dengan tenaga kerja yang cukup, Marrybrown dapat melaksanakan aktiviti pengeluaran produk dengan lebih pantas dan efektif. Selain itu, produktiviti Marrybrown dapat ditingkatkan dan menjana lebih banyak wang pelaburan untuk aktiviti dan kempen promosi yang berterusan.

Kejayaan Marrybrown membuka cawangan di seluruh negeri Johor memberi kesan kepada perkembangan sosioekonomi sekitar Pasir Gudang. Antaranya ialah permintaan bahan-bahan mentah daripada pengedar tempatan seperti Ayamas merupakan rantaian yang panjang dengan mendapatkan bekalan daripada ladang tempatan. Perjanjian kontrak bagi bekalan yang berterusan dapat menjamin pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk menikmati limpahan ekonomi negara.

Melalui promosi yang diatur oleh pengurusan pemasaran Marrybrown, orang ramai sekitar Pasir Gudang dapat mengetahui tentang kewujudan restoran ini dan jenis makanan yang disediakan. Selain merasai keenakan resepi-resepi ini, mereka dapat melihat perbezaan konsep dan tema yang diperkenalkan oleh Marrybrown dari semasa ke semasa. Dalam kajian ini, kekuatan dan kelemahan perniagaan yang diusahakan Ismail telah dianalisis dan dibandingkan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh pihak Marrybrown, pelanggan utama mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mengajak ibu bapa mereka untuk menikmati hidangan yang enak di restoran itu. Pengaruh kanak-kanak dalam proses pembelian barangan makanan terbukti amat tinggi bagi meningkatkan penjualan produk. Ahli keluarga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas pilihan keluarga khususnya kanak-kanak. Tumpuan ke atas peranan dan pengaruh suami isteri dan kanak-kanak dalam pembelian makanan segera membantu meningkatkan populariti Marrybrown sebagai pilihan keluarga.


6.0 Potensi Masa Hadapan

Marrybrown mempunyai potensi besar menjadi pilihan orang ramai. Namun, kehadiran Marrybrown di sesetengah kawasan kurang dirasai memandangkan promosi yang sangat lemah. Bagi mengatasi perkara ini, aktiviti pemasaran berbentuk iklan di media elektronik dan media sosial perlu digiatkan supaya maklumat tentang keenakan resepi Marrybrown dapat disebarkan.

Bagi mengetahui selera orang ramai, kajian tentang produk makanan perlu sentiasa dilakukan. Cara ini dapat membantu Marrybrown mencipta resepi yang memenuhi selera orang ramai. Kaedah ini boleh memastikan pelanggan tidak jemu untuk datang ke Marrybrown dan mengambil set makanan yang sama setiap masa. Selain itu, kualiti dan ramuan makanan juga wajar diperbaharui untuk menambahkan rasa sambil mengekalkan cita rasa pengunjung Marrybrown.


MZ Zainudin, Muhammad Ikram bin Ramli, Dzulfiqar Kamarzaman, Muhammad Aidil Burhanudin, Mohamad Farid Hakim Norfadzlon


 

No comments:

Post a Comment