Keputusan mahkamah sivil membenarkan dua orang anak pasangan yang berpisah kerana perbezaan agama diserahkan kepada ibu yang beragama Hindu sekali lagi menjadi tumpuan. Kes ini berlarutan agak lama melibatkan kedua-dua jenis mahkamah sivil dan syariah.
Media melaporkan kekecewaan suami yang beragama Islam dan melihat wujud penganiayaan kerana tidak dibela walaupun dirinya adalah Islam. Tindakannya yang terkini ialah dituduh melarikan anak lelaki dari rumah bekas isteri. Masalah pasangan ini dijangkakan akan berlarutan kerana proses perundangan masih lagi terbuka kepada pasangan ini untuk diselesaikan.
Kes ini agak baru dalam perundangan negara kita dan sangat unik. Ia menjadi unik kerana pasangan India beragama Hindu terpaksa berpisah kerana salah seorangnya menjadi memeluk agama Islam dan mahu melihat anak-anaknya turut menjadi seorang Islam. Persengketaan ini menjadi lebih rumit apabila mahkamah sivil dan syariah membuat keputusan yang berbeza.
Peranan hakim di mahkamah sivil adalah menentukan hak penjagaan anak pasangan berkenaan harus diserahkan kepada siapa, lalu melihat perkahwinan yang dilaksanakan secara tradisi agama Hindu sebagai pemutus kepada keputusannya untuk memberi hak penjagaan kepada isteri. Hakim tidak melihat kepada perubahan-perubahan yang berlaku selepas itu dan tidak mengaitkannya dengan fungsi seorang muslim untuk menjaga hak umat Islam. Keadaan ini sudah tentu berbeza dengan mahmah syariah yang mempunyai sandaran yang lebih kuat terhadap kepentingan hak umat Islam.
Dalam sesuatu pengadilan, masyarakat ingin melihat keadilan ditegakkan dan orang yang bersengketa berpuas hati. Hakim wajar dipilih berdasarkan kearifan mereka dalam kes berkenaan supaya setiap ahli masyarakat berpuas hati dengan keputusan di mahkamah.
Kes ini bakal menjadi rujukan bagi kes-kes yang akan datang. Jika keadaan ini berterusan, imej Islam sudah pasti dipandang rendah dan tidak ada penghomatan, sedangkan rasa bangga dan dihormati adalah sebahagian daripada sebab-musabab Islam dapat berkembang kerana Islam menjaga hak dan maruah penganutnya.
No comments:
Post a Comment