Tuesday, April 08, 2014

Usahawan gagal masih berpotensi








"Saya tidak mampu. Jika mahu makan nasi, saya perlu membeli lauk-pauk untuk dimasak. Ini semua melibatkan kos. Saya perlu mencatu makanan setiap hari. Saya kini tidak ada lagi pendapatan. Hanya mi goreng yang saya mampu beli untuk dimakan bersama keluarga".

Luahan di atas bukannya dialog filem tetapi adalah kisah benar seorang usahawan wanita yang kehilangan kontrak membuat nombor plat timbul aluminium kenderaan. Akibatnya beliau terpaksa menanggung hutang lebih RM30 juta.

Bisnes ini memang lumayan tetapi bergantung kepada kontrak tanpa mempunyai bisnes sokongan menyebabkan usahawan menderita. Jika dahulu beliau boleh berbangga kerana mampu naik kenderaan besar, kini hanya dapat naik teksi. Jika dahulu beliau dapat memberi gaji kepada orang lain, kini hanya makan mi goreng untuk meneruskan hidup.

Usahawan, bisnes dan kontrak adalah rangkaian penting dalam mencipta keajaiban hidup. Rezeki lebih banyak dalam bisnes dan seseorang usahawan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat keuntungan sama ada bergantung atau tidak bergantung kepada kontrak. Masalah muncul apabila risiko bisnes besar kerana kemampuan bertahan berbeza dalam diri setiap usahawan.

Dalam kes ini, usahawan wanita dilihat tidak berupaya lagi meneruskan bisnes sedia ada. Kemungkinan besar beliau tidak memiliki bisnes sampingan yang dapat menyokong kehidupannya ketika ditamatkan kontrak. Akibat terlalu bergantung pada kontrak menyebabkannya berasa selesa tanpa membuat persediaan lain seperti melabur di luar negara atau mewujudkan bisnes hiliran yang menyokong bisnes teras.

Satu-satunya kelebihan yang ada dalam dirinya ialah ketabahan dan kesungguhan untuk bangkit kembali selepas kegagalan hidup yang dahsyat itu. Tidak ramai usahawan wanita yang begitu berani membuat pelaburan besar dan berhadapan dengan risiko seperti itu. Disebabkan kita tidak dapat mengetahui lebih lanjut latar belakang usahawan wanita ini, kita tidak dapat membuat andaian tentang corak bisnes dan prospek masa depan.

Kita boleh membantu sekadar yang cukup supaya beliau terus berusaha mencari penyelesaian, lebih kreatif dan tidak menjadikan kegagalan ini sebagai penutup kepada usahanya. Kita juga menyeru ada pihak yang dapat memberi bantuan kepadanya untuk memulakan bisnes baru supaya beliau dapat bangkit daripada kegagalan.
 

No comments:

Post a Comment