Tuesday, April 15, 2014

Impak penggunaan internet terhadap kehidupan sosial pelajar





1.0 Pengenalan

Di era globalisasi hari ini, “dunia tanpa sempadan” adalah satu istilah yang sinonim dengan internet. Kamus Pelajar mentaktifkan internet sebagai rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu dengan yang lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia. Internet mempunyai impak positif dan negatif kepada golongan remaja dan kanak-kanak bahkan mereka semakin celik IT dan pandai menggunakan kemudahan internet ini ketika rumah, pusat siber atau di mana sahaja mereka berada.

Penciptaan laman sosial yang pada mulanya digunakan untuk mencari maklumat dan kenalan lama telah mengalami evolusi fungsi di mana internet digunakan secara meluas untuk melayari laman sosial seperti facebook, twitter dan friendster. Hari ini boleh dikatakan bahawa majoriti rakyat Malaysia mempunyai akaun facebook masing-masing. Jika tidak mempunyai akaun, mereka akan dianggap sebagai ketinggalan zaman. Selain itu, penggunaan internet ini juga bukan sahaja digunakan untuk mencari maklumat bahkan untuk melayari laman sosial sehingga memberi impak yang besar kepada pola kehidupan sosial mereka.

Melayari internet memberi kemudahan kepada anggota masyarakat dalam berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Para remaja dapat menambah kenalan dari seluruh pelosok dunia melalui pertukaran idea dan berkongsi cerita mengenai negara dan budaya negara masing-masing. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat kesejahteraan dan keamanan sejagat melalui internet kerana para pengguna internet mendapat serba sedikit pengetahuan mengenai sesuatu budaya.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui pola sosial pelajar semasa melayari internet dan mencadangkan penggunaan internet yang lebih efisyen bagi meningkatkan kesedaran kepada pelajar mengenai impak penggunaan internet terhadap kehidupan sosial pelajar.


2.0 Sorotan Kajian

Istilah “internet” berasal daripada perkataan “Interrconnection Networking” yang bermaksud hubungan dari pelbagai rangkaian komputer yang pelbagai jenis dengan menggunakan peralatan telekomunikasi seperti telefon, satelit dan lain-lain. Menurut kajian yang dijalankan oleh Gupta Pit Kow (1995) di Amerika Syarikat tentang penggunaan internet ke atas 13,000 responden mendapati bahawa majoriti daripada mereka menggunakan internet sebagai sumber untuk mencari maklumat dan meluaskan pengetahuan.

Selain daripada itu, mereka menggunakan internet untuk tujuan perbualan (83%), bertukar-tukar pendapat dan membuat perhubungan pekerjaan (51%), pelajaran (47%), penyelidikan perniagaan (38%) dan penyelidikan akademik (35%). Mereka juga mempunyai tanggapan bahawa internet dapat memberi rujukan (82%), memudahkan penyediaan kertas kerja dan penyuratan elektronik (77%), memberi maklumat tentang barangan dan perkhidmatan (57%), membekalkan laporan penyelidikan (47%), mengandungi maklumat kerajaan (44%) dan maklumat kewangan (33%). Wanita yang menggunakan internet biasanya terdiri daripada mereka yang sedang belajar di institusi pengaijan tinggi atau universiti.

Di samping itu, menurut Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, pakar perunding psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, penggunaan komputer atau internet tanpa batasan bukan saja boleh memudaratkan aspek psikologi kanak-kanak, malah mengganggu kesihatan fizikal. Dalam kes lebih serius, pendedahan mata terlalu lama ke atas skrin komputer serta penggunaan kerusi yang tidak betul ketika melayari internet juga boleh memudaratkan kesihatan fizikal kanak-kanak yang masih dalam proses tumbesaran. Penggunaan komputer sehingga lewat malam boleh menyebabkan mereka sering tertidur ketika waktu pembelajaran.

Menurut penyelidik dari Universiti Gothenburg, Sweden, kajian mendapati kebanyakan pengguna yang mula membuka komputer akan terus memasuki laman sesawang jaringan sosial tersebut. Penggunaan jaringan sosial facebook merupakan satu aktiviti yang boleh mengakibatkan ketagihan tetapi pengguna yang menghabiskan masa terlalu lama menggunakannya mungkin merasa tidak gembira dengan kehidupan mereka. Kajian itu juga mendedahkan golongan berpendapatan kecil dan berpendidikan rendah didapati merupakan golongan paling berisiko mengalami ketagihan itu. Golongan berkenaan meluangkan lebih banyak masa menggunakan facebook dan sebahagian daripada mereka melahirkan rasa tidak gembira atau tidak puas hati dengan kehidupan masing-masing.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan menjadikan soal selidik sebagai instrumen. Selain itu kajian perpustakaan turut dilakukan sebagai dokumentasi sokongan. Kajian ini melibatkan seramai 20 responden yang terdiri daripada pelajar universiti dari pelbagai fakulti dan program pengajian.


4.0 Hasil Kajian

Dapatan berkaitan melayari internet hingga lewat malam menunjukkan responden yang berumur 18-19 tahun lebih ramai berbanding responden dalam lingkungan 20-22 tahun dan 23-25 tahun.

Dapatan berdasarkan jantina menunjukkan bahawa kedua-dua kategori jantina memiliki pandangan yang sama iaitu internet membantu mereka mencari maklumat yang lebih banyak walaupun ada sedikit yang tidak begitu pasti. Begitu juga dengan kegunaan internet untuk bersosial di mana dapatan memperlihat lebih separuh daripada responden mengakui mereka menggunakan internet untuk bersosial.

Dapatan dari segi impak negatif internet, majoriti responden bersetuju internet tidak memberi kesan negatif ke atas pemikiran mereka khususnya bagi kelompok 18-19 tahun. Sebaliknya responden lelaki dan perempuan bersetuju bahawa internet mendatangkan kebaikan kepada mereka untuk mencari maklumat.

Dapatan ke atas pengaruh internet terhadap budaya hidup memperlihat separuh daripada responden bersetuju dan mengakui bahawa terdapat pengaruh yang ketara ke atas hidup mereka apabila melayari laman sesawang tertentu di internet khususnya dalam peringkat umur 18-19 tahun. Bagi kelompok umur lebih dewasa, mereka jarang dipengaruhi.

Dapatan ke atas kekerapan penggunaan internet terhadap kesihatan menunjukkan lebih separuh daripada responden mengakui terdapat gangguan ke atas kesihatan akibat penggunaan internet. Kedua-dua kategori responden lelaki dan perempuan menzahirkan pandangan ini berdasarkan pengalaman masing-masing.

Dapatan ke atas pengaruh internet ke atas kehidupan sosial, rata-ratanya bersetuju bahawa terdapat perubahan hidup sosial mereka khususnya bagi kelompok yang berumur 18-19 tahun. Bagaimanapun bagi kelompok 20 tahun ke atas, pengaruh internet kurang ketara.


5.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kita boleh dapati bahawa kebanyakan pelajar kini telah mempunyai laman akaun laman sosial seperti facebook, twitter, myspace dan banyak lagi. Perkara seperti ini mendorong para pelajar untuk lebih terlibat dalam penggunaan internet yang berlebihan dan boleh memberi impak negatif kepada mereka. Bahkan, dunia tanpa batasan hari ini menambahkan lagi kecelaruan dalam hidup pelajar kerana segala maklumat peribadi begitu mudah diperolehi. Jika kita lihat dari aspek teknologi kini, boleh dikatakan hampir setiap pelajar menggunakan telefon pintar, tablet dan pelbagai gajet yang bersifat kompak dan mudah dibawa. Kesan kepada pengguna adalah terjejasnya kesihatan seperti kerosakan mata, kelesuan dan mungkin sekali menyebabkan kesihatan fizikal terjejas.

Hal ini ditambah lagi dengan terciptanya teknologi komputer yang semakin hari semakin canggih dan moden. Ia mendorong pengguna khususnya golongan remaja untuk melayari internet hingga lewat malam dan berlarutan ke pagi hari. Bahkan kemudahan ini bukanlah digunakan untuk kegunaan yang berfaedah seperti untuk mencari maklumat dan bahan pengajian namun disalahgunakan dengan bersosial di laman sosial.

Apa juga teknologi dan kemudahan mempunyai baik dan buruknya. Terpulang cara kita menggunakannya sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya. Justeru, untuk mengatasi ketagihan internet pada awal usia ia perlu bermula daripada ibu bapa yang terlebih dahulu memberi kesedaran dan ilmu kepada anak-anak tentang manfaat dan bahaya penggunaan internet. Ibu bapa juga perlu memerhati dan menyelia penggunaan internet anak dari semasa ke semasa.


Rujukan

Ahmad Ridzwan Mohd Noor, Nor Azila Ahmad, Norliah Kudus, Mahadi Abu Hassan, Shahrulanuar Mohamed, Ismail Ibrahim, Radzuan Nordi dan Ali Hafizar Mohamad Rawi . (2011). Falsafah Sains dan Teknologi. Melaka: Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Jerald Bullock. (2012). American Journal of Psychiatry.

Mohd Aizaini Maarof. (n.d). Teknologi Maklumat Siri II: Internet, Sistem Maklumat dan Bahasa Pengaturcaraan. Penerbitan UTM.

Tih Sio Hong.(1978). Tinjauan Terhadap Penggunaan Internet di Malaysia. Jurnal Pengurusan 17.
www.bharian.com.my/bharian/articles/ketagihaninternetjejaspelajar/article
www.edu5900group2,blogspot.com/2012
www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0408&pub=utusan_malaysia&ses=Luar_Negara&pg=lu_04.htm


MZ Zainudin, Ummi Humaira Mohd Shahli, Nurshaheera Zamri, Siti Ezzatul Ain Yazid, Farhana Sutan Abd. Latif Hamidi, Mas Sukria Masmud

No comments:

Post a Comment