Friday, April 11, 2014

Wasatiyyah dan indeks Maqasid Syariah

 
 
 
 

 

Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Ia adalah suatu saranan yang baik supaya negara-negara Islam dapat mengukur setakat mana lima prinsip dalam Maqasid Syariah telah dilaksana dan dirancang untuk dilaksana dalam negara masing-masing.

Maqasid Syariah berasaskan lima prinsip iaitu menjaga agama (Deen), nyawa (kehidupan), akal (ilmu dan pendidikan), maruah (jati diri Islami) dan harta benda (kekayaan sumber).

Allah mengurniakan sumber rahmah dan nikmat yang banyak di negara-negara Islam. Buminya yang subur dan hasil perut buminya yang banyak, suatu tamadun yang pernah lahir dan bertahan selama 700 tahun sebagai sumber refleksi, jumlah manusia melepasi 1.6 bilion yang memerlukan pemugaran kembali supaya kekuatan tamadun Islam memberi inspirasi bersama dengan kekuatan sumber hasil bumi dan sumber daya manusia yang banyak.

Umat Islam kini sudah hilang prioriti atau keutamaan. Peperangan, perseteruan, perpecahan, kebencian dan dendam kesumat menjadi pilihan mereka menyebabkan kelemahan yang sangat ketara berlaku.

Umat Islam memerlukan pendekatan bijaksana bagaimana strategi dan maslahah dapat disantuni supaya terelak menjadi mangsa pihak ketiga dengan mengambil pendekatan sederhana dan berimbang supaya yang dikejar dapat dan yang diken­dung tidak berciciran.

Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah Al Baqarah : 143 adalah manifestasi pendekatan bijaksana dan adil supaya umat Islam menjadi saksi kepada contoh kemajuan dan perubahan bagi umat manusia seperti yang berlaku pada masa terdahulu.

Maqasid Syariah menuntut supaya agama terpelihara. Memelihara agama bukan sekadar menampilkan syiar yang sifatnya rohaniah semata tetapi Deenul Islam harus mampu dijana sebagai sumber tamadun.

Nyawa atau kehidupan umat Islam ha­rus berada dalam tahap karamah insan supaya diri mereka terpelihara, tidak menjadi mang­sa kepada eksploitasi pihak ketiga, ju­taan terpinggir sebagai pelarian dan tahap kesihatan yang rendah bagi sesetengah negara.

Ia memerlukan strategi membangun akal fikir supaya sistem ilmu dan pendidikan yang sifatnya integratif dan holistik terjadi untuk menghasilkan modal insan yang mampu mencetuskan perubahan dan kemajuan.

Maruah atau jati diri Islami warga umat perlu dipertahan dan dikembang suburkan supaya keupayaan dan kejayaan umat Islam menjadi contoh terbaik kebangkitan "Order Baru Dunia" yang menjadikan ilmu yang bermanfaat dan teknologi yang terpedoman sebagai landasan memugar kekayaan yang dimiliki.

Malaysia boleh menjadi contoh kepada dunia Islam bagaimana pendekatan wasa­tiy­yah yang diteroka sekian lama mengha­silkan kemajuan dan perubahan yang boleh menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Kita tidak memilih jalan revolusi dan anarki dalam realiti masyarakat majmuk yang menuntut ketinggian kebijaksanaan.

Dalam bidang pendidikan integrasi dan Islamisasi ilmu terjadi, Pelan Pembangunan Pendidikan mengambil kira asas-asas negara yang fundamental dan menyediakan generasi penerus menghadapi cabaran globalisasi, Universiti Al-Quran bakal dibina dan menghasilkan graduan yang mempunyai daya kompetensi tinggi untuk hadir dalam sistem.

Dalam bidang ekonomi dan kewangan perbankan dan takaful Islam, sukuk dan waqaf berkembang sehingga Bank Rakyat yang patuh syariah menjadi tarikan pe­minjam dan pelabur Bukan Islam. Undang-undang keluarga Islam diperkemas, sistem mahkamah syariah dipertingkatkan, industri halal dimajukan dan dasar-dasar negara menyantuni kelompok miskin dan kebajikan golongan yang tidak bernasib menjadi agenda negara.

Pada hemat penulis, Malaysia harus mewujudkan Indeks Maqasid Syariahnya terlebih dahulu supaya suatu jawatankuasa di peringkat antarabangsa dibangunkan dan menjadikan model Malaysia sebagai model rujukan.

Umat Islam harus meletakkan wahdah atau kesatuan sesama umat sebagai ke­utamaan, bijaksana dalam mengurus krisis, cabaran dan kemenangan. Pendekatan berimbang (wasat) dan sederhana ternyata memberi kesan positif kepada perubahan dan kemajuan kerana ia adalah suatu proses dan tidak harus berlaku sikap gopoh dan melampau yang merugikan.

(Utusan Malaysia, 11 April 2014)



No comments:

Post a Comment