Friday, April 25, 2014

Malang tidak berbau









Lebuhraya Utara Selatan menjadi laluan rutin saya setiap minggu. Perjalanan sehala hampir dua jam rasa tidak ada apa-apa yang meletihkan kerana telah biasa dengan keadaan jalan. Lebuh raya ini menjadi nadi kepada pendapatan dan kehidupan saya. 

Justeru, berhadapan dengan suasana tidak menentu di sepanjang laluan Melaka-Seremban-Kuala Lumpur adalah biasa, cuma kadang-kadang menjadi luar biasa apabila banyak kenderaan terpaksa bergerak perlahan kerana kemalangan jalan raya.

Minggu ini saya ke Kuala Lumpur dengan berhati-hati kerana kenderaan bergerak perlahan selepas tol Seremban. Sepanjang jalan hingga ke Nilai saya terpaksa memilih lorong paling kiri supaya tidak perlu sangat menekan brek.

Tiba di kawasan kemalangan, seorang anggota polis trafik sedang mengawal laluan paling kanan sementara di laluan kecemasan terdapat sebuah kereta dan sebiji motosikal. Mangsa kemalangan mungkin sudah dibawa ke hospital. Saya bertolak dalam pukul 4.15 petang dan sampai ke rumah dalam pukul 6.30 petang.

Ada sebiji dua kereta sudah tidak dapat bergerak kerana enjin yang panas.

Ini kisah perjalanan pulang. Kemalangan dan beratur panjang. Saya sempat mengambil gambar dan memaklumkan kepada rakan-rakan melalui WhatsApp.

Malang tidak berbau lagi. Awal pagi esoknya sudah ada kemalangan di Nilai. Biasanya saya bergerak dari Kuala Lumpur dalam pukul tujuh pagi. Kali ini sebuah kereta yang sudah punah bahagian depannya melintang di laluan tengah. 

Kawasan kemalangan sedang dinaik taraf kepada empat lorong. Namun kemalangan pagi-pagi hari memberi sedikit tekanan kepada pengguna lain yang hendak cepat ke tempat kerja.

Kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan sering kali berlaku tanpa mengira masa. Di sinilah pemandu boleh memecut laju kerana tidak ada siapa yang boleh menghalangnya. Kereta besar dengan caranya termasuk bas ekspres. Tidak hairanlah kemalangan kerap berlaku melibatkan pemandu dan penumpang bas ekspres kerana kelajuan kenderaan ini luar biasa.

Selain bas ekpres, lori tangki turut kerap dilihat terlibat dalam kemalangan sama ada serius ataupun ringan. Biasanya melibatkan tayar pancit dan bertabur di atas jalan. 
Jiika hujan, mangsa yang paling banyak ialah kereta kerana struktur jalan yang agak licin dan bertampal-tampal. Saya rasa kualiti jalan semakin buruk kerana kurang selenggara. Lubang semakin banyak, bertampal dan tidak sama rata. 

Penunggang motosikal juga dilihat kerap menggunakan laluan kenderaan kerana kurang yakin dengan lorong motosikal. Kesannya pemandu terpaksa berhati-hati mengawal stereng kenderaan masing-masing jika ada motosikal.

Kesimpulannya ialah lebuh raya yang kita gunakan hari ini semakin banyak dengan kenderaan. Proses selenggara juga agak lemah dan kewujudan lubang yang bertampal-tampal menunjukkan pengurusan lebuh raya kurang prihatin dengan aspek keselamatan kenderaan. Kenderaan rosak di tengah perjalanan memberi ruang kepada "longkai" untuk menekan pengguna dengan mengenakan caj yang lebih tinggi. PLUS wajar menaik taraf lebuh raya dengan menurap jalan baru dan melakukan pemeriksaan kualiti jalan dari semasa ke semasa.




No comments:

Post a Comment