Monday, April 28, 2014

Social policy for the developing countries






Penulis: Riant Nugroho
Tahun: 2012
Penerbit: Pustaka Pelajar, Yogyakarta, Indonesia.
Muka Surat: 227

Dasar sosial berbeza-beza mengikut negara khususnya negara membangun. Oleh itu, mana-mana negara yang menggunakan kaedah “copy-and-paste” dasar sosial dari negara yang telah maju sudah tentu akan mengalami kegagalan.

Buku ini mempunyai tujuan khusus iaitu menutup jurang di antara kefahaman dan amalan dasar sosial yang lompangnya begitu besar di negara membangun. Kandungannya merupakan kompilasi seminar dan syarahan oleh penulis serta pengalaman membangunkan dasar sosial di Indonesia dan beberapa negara di Asia.

Kebanyakan negara membangun melaksanakan model dasar sosial sendiri yang menggandakan teori-teori dasar sosial dengan membina kefahaman dasar awam, menceritakan bagaimana ia harus dilaksanakan dan berkongsi pengalaman.

Setiap kerajaan demokratik di negara membangun dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan “agenda rakyat” berasaskan ideologi dan politik mereka. Agenda ini amat akrab dengan keperluan sosial yang diamalkan dalam budaya dan nilai masyarakat.

Justeru kerajaan wajar mengambil kira kepentingan awam dalam membuat keputusan selepas rakyat memberikan isyarat dalam menentukan kepimpinan negara. Untuk kekal sebagai kerajaan, pemimpin politik ini perlu “membeli” keperluan dan kehendak rakyat seterusnya dibentuk dalam visi kerajaan sebagai bukti dan komitmen ke arah sebuah masyarakat yang lebih baik.

Inilah yang dikatakan masyarakat harapan iaitu dasar yang diterjemahkan selepas rakyat memilih pemimpin mereka. Inilah tujuan rakyat keluar mengundi dan memilih pemimpin dalam pilihan raya.

Namun, kunci kepada tugas ini ialah bagaimana menyampaikan harapan tadi? Tidak lain dan tidak bukan ialah melalui keputusan kerajaan, jadi dasar sosial ialah keputusan kerajaan terhadap kehidupan sosial untuk mencapai masyarakat harapan dan sejahtera.

Kefahaman asas tentang dasar sosial ialah kebajikan sosial. Ia ada kaitan dengan pendidikan awam, penjagaan kesihatan, perumahan dan keselamatan sosial. Bagaimanapun pembangunan sosial di negara membangun perlukan lebih daripada kebajikan sosial. Pembangunan di mana-mana negara membangun selalunya mencetuskan kelompok terpinggir dan tersisih - iaitu yang tidak dapat mengakses kepada proses pembangunan dan tertinggal dalam proses pembangunan itu.

Keadaan ini mencetuskan masalah sosial dalam sektor ekonomi dan sektor sosial. Dasar sosial berperanan menyelesaikan masalah sosial ini. Oleh kerana masalah sosial di negara membangun mempunyai ciri-ciri berbeza, dasar sosial boleh dikaji melalui tiga isu utama iaitu keadilan sosial, pembangunan sosial dan kebajikan sosial.

 

No comments:

Post a Comment