Thursday, April 24, 2014

Implikasi penjajahan barat terhadap seni bina Melaka







 1.0 Pengenalan

Portugis menyerang Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah pada 1511 baginda sultan telah menghalau orang Portugis yang ingin meluaskan kuasanya ke luar negara bagi merealisasikan impan menyebarkan agama kristian, meluaskan kawasan jajahan dan mencari kekayaan. Selepas berjaya menguasai Melaka, Portugis membina Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur") sebagai kubu pertahanan. Kota A Famosa mengambil masa selama lima5 bulan untuk disempurnakan dengan menggunakan bahan-bahan dari runtuhan masjid dan bangunan. Oleh kerana pembinaan kota ini ketika panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang meninggal dunia.


Kota yang dibina atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka. Kota A Famosa mempunyai empat menara dengan tembok setebal 2.4 meter. Empat menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam. A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah meliputi Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah dan Jalan Istana. Portugis turut mendirikan penempatan masyarakat kristian yang mengandungi lima buah gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya.

Selain bangunan A Famosa, terdapat banyak bangunan yang telah dibina di Melaka iaitu Stadthuys yang dibina oleh orang Belanda. Stadthuys merupakan sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Chris.
Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni bina Belanda yang halus. Selain itu, perkuburan Belanda yang terkenal terletak di Bandar Hilir bersebelahan dengan replika Istana Kesultanan Melaka. Kubur ini telah digunakan pada akhir suku kurun ke-17.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui implikasi penjajahan barat terhadap seni bina Melaka, meninjau proses pemuliharaan seni bina barat di Melaka dan mengenal pasti kesan-kesan pemuliharaan seni bina barat di Melaka terhadap industri pelancongan


2.0 Sorotan Kajian

Pengaruh penjajahan barat terhadap seni bina di Melaka telah menarik perhatian ramai untuk menjalankan kajian mengenainya. Terdapat pelbagai kajian-kajian lepas yang menjurus kepada tajuk tersebut, antaranya Sejarah Awal Melaka (2011) oleh Siti Zawiyah Zakaria dan Puspawati Ahmad. Kajian ini menyimpulkan bahawa bangsa Portugis merupakan kaum Eropah yang pertama belayar di timur iaitu seawal abad ke-15. Kedatangan Portugis boleh dikaitkan dengan pertemuan jalan laut, ke timur dunia dengan pelbagai tujuan.

Dalam buku yang lain iaitu Melaka Bandar Raya Bersejarah Tapak Warisan Dunia (2011) kedua-dua penulis menyenaraikan dan menerangkan sejarah gereja-gereja yang wujud dari zaman penjajahan dahulu. Antara gereja yang masih ada sehingga sekarang ialah Gereja St. Paul yang dibina pada tahun 1521 oleh Duarte Coelho. Gereja St. Francis Xavier’s merupakan gereja yang dibina oleh seorang keturunan Katholik Perancis bernama Rev. Farve sekitar tahun 1849 bagi mengingati jasa St. Francis Xavier dalam menyebarkan Kristian di Asia Tenggara pada abad ke-16. Gereja St. Peter pula dibina pada tahun 1710 semasa pemerintahan Belanda di atas tanah yang dikurniakan oleh seorang Belanda bernama Franz Ambow. Gereja ini merupakan bangunan Roman Katholik tertua di Malaysia.

Di samping itu, buku Malacca Sketchbook (2011) oleh Chin Kon Yit dan Chen Voon Fee menerangkan latar belakang Stadthuys,


“Built around the mid-1560s, the Stadthuys – or ‘State House’ – is perhaps the oldest extant Dutch building in the East. It served as the governor’s residence, while also housing administrative offices, stores, a warehouse and a bakery. It now houses the History and Ethnography Museum. The solidly built three-storey edifice imposes a strict, Dutch look on Town Square.”
Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia juga menerangkan sejarah bangunan Stadthuys yang dibina oleh Belanda pada tahun 1650 dengan lebih terperinci.


“Bangunan Stadthuys serba merah dan dilengkapi sebuah menara jam merupakan sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni reka bentuk Belanda yang halus."


Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Pada Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang. Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.

Menurut sumber dari Wikipedia, terdapat tiga penjajah barat yang dapat dikenal pasti iaitu pihak Portugis, Belanda dan British yang telah meninggalkan kesan seni bina bangunan di Melaka.


Pemerintahan Portugis

1511: Alfonso de Albuquerqu tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaanya ditolak oleh sultan. Selepas sepuluh hari dengan bantuan pembelot dari kalangan pembesar dan orang dalam istana yang iri hati dan dengki di atas pemashuran Tun Fatimah serta bimbang kedudukan jalur keturunannya, pihak Portugis berjaya mengepung dan menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh lima bulan. Kekalahan Sultan Mahmud Shah di tangan Portugis menyebabkan Melaka dijajah selama 130 tahun.

1521: Gereja St. Paul dibina oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho dan dinamakan "Our Lady of The Hill" tetapi kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan dinamakan "Gereja St. Paul".

1548: Kolej St. Paul (St. Paul's College), sekolah pertama di Melaka, dibina oleh St. Francis Xavier untuk orang Katholik Portugis dan orang tempatan yang memeluk agama kristian.


Pemerintahan Belanda

1641: Belanda (1641-1795) menewaskan Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho menyerah kalah kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.

1650: Bangunan Stadthuys dibina sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya lalu dijadikan pusat pentadbiran Belanda di Melaka.

1710: Gereja St. Peter, gereja Katholik tertua di Malaysia,dibina selepas pihak Belanda memberi kebebasan kepada orang Katholik untuk mengamalkan agama mereka.

1753: Gereja Christ yang melambangkan seni reka bentuk Belanda disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua belas tahun.


Pemerintahan British

1849: Gereja St. Francis Xavier dibina.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dan kajian kes untuk mendapatkan maklumat berkaitan seni bina di Melaka. Soal selidik melibatkan 50 responden di Bandaraya Melaka yang dipilih secara rawak. Borang soal selidik merangkumi dua bahagian iaitu bahagian satu dan bahagian dua. Bahagian satu merupakan latar belakang responden manakala bahagian dua berkaitan pandangan responden terhadap aktiviti pemuliharaan seni bina barat ke atas industri pelancongan di Melaka.

Kajian perpustakaan melibatkan rujukan ke atas tiga buah bagi menambahkan maklumat yang diperolehi supaya menepati objektif kajian.

Temu bual turut dilakukan untuk mengetahui proses-proses pemuliharaan seni bina barat di Melaka yang telah dan sedang dilakukan.


4.0 Hasil Kajian

Analisis telah dilakukan untuk menentukan dan mengkategorikan responden mengikut jantina, umur dan etnik. Dapatan kajian dihuraikan seperti berikut.

Rajah 1: Responden mengikut jantina

Berdasarkan rajah 1, responden lelaki berjumlah 38 orang (76%) manakala responden perempuan berjumlah 12 orang (24%). Jumlah keseluruhan responden ialah 50 orang.

Rajah 2: Responden mengikut umur

Berdasarkan rajah 2, seramai 36 orang (72%) berumur 20 tahun ke bawah, sepuluh orang (20%) berumur 21 hingga 29 tahun, tiga orang (6%) berumur 30 hingga 39 tahun, seorang responden (2%) berumur 40 hingga 49 tahun dan tidak ada responden yang berumur lebih daripada 50 tahun.

Rajah 3: Responden mengikut bangsa

Berdasarkan rajah 3, bilangan responden yang berbangsa Melayu ialah 39 orang (78%), Cina seramai lima orang (10%) dan India seramai enam orang atau 12 peratus.

Rajah 4: Pandangan terhadap pengaruh seni bina Barat pada bangunan di Melaka

Berdasarkan rajah 4, seramai lapan responden (16%) tidak setuju dengan kenyataan berkenaan manakala 17 responden (34%) tidak pasti dengan kenyataan ini. Selebihnya iaitu 25 orang (50%) bersetuju dengan kenyataan ini.

Rajah 5: Pemuliharaan seni bina barat menjadikan Melaka pusat pelancongan yang terkenal

Berdasarkan rajah 5, terdapat 4 orang responden bersamaan 8% tidak setuju dengan kenyataan bahawa pemuliharaan seni bina Barat menjadikan Melaka pusat pelancongan yang terkenal manakala 16 orang responden bersamaan 32% tidak pasti dengan kenyataan ini. Seterusnya, terdapat 30 orang responden bersamaan 60% yang setuju dengan kenyataan ini.

Rajah 6: Kekurangan pelancong selepas pemuliharaan seni bina barat

Berdasarkan rajah 6, terdapat 17 responden (34%) tidak setuju dengan kenyataan tersebut sebaliknya sepuluh responden (20%) bersetuju dengan kenyataan ini. Selebihnya iaitu 23 responden (46%) tidak pasti. 

Rajah 7: Pemuliharaan seni bina barat membazirkan wang

Berdasarkan rajah 7, terdapat 20 responden (40%) tidak setuju dengan kenyataan ini bersama-sama yang tidak pasti. Sepuluh responden lagi (20%) bersetuju dengan pandangan bahawa aktiviti pemuliharaan sei bina barat telah membazirkan wang.

Rajah 8: Pemuliharaan seni bina barat menarik minat pelancong dari negara lain

Berdasarkan rajah 8, majoriti responden (64 peratus) bersetuju dengan aktiviti pemuliharaan yang dilakukan telah menarik kehadiran pelancong luar ke Melaka. Sebaliknya 32 peratus kurang pasti sama ada aktiviti berkenaan beruapaya menarik pelancong asing.

Rajah 9: Seni bina barat menjadi tarikan utama berbanding seni bina tradisional

Berdasarkan rajah 9, terdapat 13 responden (26%) tidak setuju dengan kenyataan di atas berbanding 21 responden (42%) yang setuju.

Rajah 10: Pemuliharaan seni bina barat meningkatkan hasil industri pelancongan

Berdasarkan rajah 11, seramai 29 responden bersamaan 58% yang setuju dengan kenyataan ini selebihnya lapan responden (16%) tidak setuju manakala 13 responden (26%) tidak pasti.

Rajah 11: Sektor pelancongan tempatan akan bertambah maju jika memulihara seni bina barat

Berdasarkan rajah 11, hampir separuh daripada responden (48%) yang yakin bahawa sektor pelancongan tempatan dapat pergi lebih jauh jika usaha-usaha memulihara seni bina barat dijalankan berbanding 14% yang tidak setuju. Selebihnya 38% tidak pasti. 

Rajah 12: Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Warisan Dunia disebabkan pemuliharaan seni bina barat

Berdasarkan rajah 12, terdapat 20 responden (40%) yang setuju dengan kenyataan ini manakala 21 responden (42%) tidak pasti. 


5.0 Kesimpulan

Berdasarkan hasil kajian, didapati masyarakat Melaka mengambil tahu tentang pemuliharaan seni bina barat. Di samping itu, mereka juga memahami bahawa seni bina barat mempunyai impak positif terhadap Melaka sebagai pusat pelancongan kerana bangunan-bangunan di Melaka banyak dipengaruhi oleh seni bina barat seperti A Famosa dan Stadhtyus.

Secara tuntasnya, kajian ini mempunyai beberapa persamaan dengan kajian-kajian lepas. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa perbezaan dengan kajian-kajian lepas. Oleh itu, beberapa cadangan telah diberikan supaya penambahbaikan dapat dilakukan untuk keputusan kajian ini.

Terdapat beberapa cadangan yang boleh dibuat sebagai kajian lanjutan oleh pengkaji-pengkaji lain yang berminat. Antara cadangan yang ingin diketengahkan adalah menambahkan bilangan orang respoden untuk meningkatkan ketepatan hasil kajian, mengikuti pelbagai kempen atau ceramah berkaitan dengan seni bina barat supaya boleh mendapat informasi yang lebih banyak dan melawat lebih banyak tempat yang mempunyai seni bina barat supaya dapat membantu pengkaji dan juga responden dalam memberi hasil dapatan untuk kajian.


Rujukan

Chin Kon Yit dan Chen Voon Fee. (2011). Malacca Sketchbook.
Siti Zawiyah Zakaria dan Puspawati Ahmad. (2011). Melaka Bandar Raya Bersejarah Tapak Warisan Dunia.
Siti Zawiyah Zakaria dan Puspawati Ahmad. (2011). Sejarah Awal Melaka.
Bangunan Bersejarah di Melaka di akses dari
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/3236-bangunan-bersejarah-di-melaka.html
Kota-city: perkembangan sejarah dan pengaruh ke atas senibina di Malaysia: sebuah tinjauan ringkas diakses dari http://kota-city.blogspot.com/2010/06/perkembangan-sejarah-dan-pengaruh-ke.html.
Sejarah Melaka di akses dari
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Melaka.


MZ Zainudin, Ng Thiam Tet, Muhammad Faris Kamarudin, Muhamad Syahiran Mohd Shahrin, Muhammad Hafiz Affindi, Mohd Fariz Mokhtar, Muhammad Syafiq Hasan, Muhammad Luqman Hakim Azimat

 

No comments:

Post a Comment