Pengangkutan darat di Malaysia sering kali menjadi cabaran kepada pihak kerajaan. Agensi penguatkuasa berhadapan dengan sikap lepas tangan dan tidak kisah pengusaha bas ekspres terhadap keselamatan penumpang. Dalam bulan ini sahaja terdapat tiga kemalangan bas ekspres yang menyebabkan kematian dan kecederaan parah.
Langkah keras Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ialah bakal menggantung operasi sebuah syarikat bas ekspres yang mengabaikan aspek keselamatan ini. Dua aspek utama ialah tidak melakukan pemantauan had kelajuan dan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) tidak berfungsi.
Bas ekspres merupakan nadi kepada ratusan ribu pengguna jalan raya yang bergerak di seluruh negara. Kewujudan bas ekspres seiring dengan keperluan pergerakan rakyat Malaysia dari utara ke selatan dan timur ke barat, lambang kemakmuran ekonomi. Namun pemodenan perkhidmatan bas ekspres tidak selari dengan kehendak kerajaan dan pengguna sendiri.
Ada bas ekspres yang uzur tetapi masih beroperasi di jalan raya. Ada bas ekspres yang canggih tetapi pemandunya memiliki mentaliti "pemandu Formula One" menjadikan lebuh raya sebagai tempat menguji keupayaan bas yang dibawa.
Ada juga bas ekspres yang badannya berbagai-bagai corak tetapi asap berkepul-kepul.
Dalam kemalangan baru-baru ini, di manakah silapnya? Adakah keadaan bas, struktur jalan raya ataupun pemandunya? Kesalahan sepatutnya diletakkan ke atas pemandu kerana mereka yang mengemudi kenderaan tersebut namun faktor jalan dan pertambahan kenderaan lain juga wajar diberi perhatian.
Kadangkala kemalangan bas ekspres berlaku mengikut musim. Ketika inilah SPAD perlu melakukan intervensi supaya kemalangan tidak terus berlaku. Operasi berterusan wajar mengambil kira tahap keyakinan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan ini.
Barangkali tahap keyakinan pengguna bas ekspres akan kurang setiap kali mendengar kemalangan bas dan mereka memilih untuk berhenti seketika. Malangnya suara pengguna tidak begitu kuat untuk membolehkan pengusaha bas ekspres melakukan penambahbaikan supaya keadaan bas lebih selamat. Justeru jadilah pengguna yang sentiasa dipermain oleh pengusaha bas yang mahukan keuntungan dengan segera.
Pengguna patut belajar menjadi kelompok pendesak untuk melobi kerajaan bagi mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pemandu dan pengusaha bas ekspres apabila berlaku kemalangan. Hukuman denda dan penjara yang sedia ada patut ditambah supaya pengguna berasa lebih selamat setiap kali membuat perjalanan dengan bas ekspres.
No comments:
Post a Comment