1.0 Pengenalan
Melaka secara amnya terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana nilai sejarahnya, kecantikan fatamorgana serta keunikan budaya dan kepelbagaian makanan serta tempat-tempat bersejarah untuk dilawati. Slogan “Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia” secara ringkas sudah dapat memberi gambaran apa yang dapat disajikan kepada pelancong oleh penduduk berbilang kaum di negeri ini. Kelebihan ini meletakkan Negeri Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelancong yang terbilang di Aia Tenggara.
Pada 7 Julai 2008, Melaka telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebuah Bandaraya Warisan Dunia dan dikenali sebagai "Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO". Pengiktirafan ini disokong dengan 12 subsektor pelancongan Negeri Melaka yang terkenal iaitu pelancongan sejarah, pelancongan budaya, pelancongan rekreasi, pelancongan sukan, pelancongan membeli-belah, pelancongan konvensyen, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan agro, pelancongan makan-makan, pelancongan Melaka Rumah Keduaku dan pelancongan belia. Kepelbagaian subsektor pelancongan di Melaka dapat menarik minat para pelancong untuk datang ke sini.
Antara tempat-tempat yang menarik minat pelancong untuk datang ke Melaka ialah Kota A-Farmosa, Muzium Melaka, galeri seni rakyat, Bukit St. John, perigi Hang Tuah, Kota Belanda dan sebagainya. Terdapat banyak kesan industri pelancongan terhadap Negeri Melaka terhadap ekonomi dan sosial yang boleh dibahagikan kepada kesan positif mahupun negatif. Dari segi kesan positif, Melaka akan mengalami peningkatan ekonomi, perubahan positif budaya serta peningkatan infrastruktur manakala dari segi kesan negatif masalah sosial dan sifat mundur budaya mungkin akan berlaku sekiranya terdapat migrasi pelancong asing ke negeri ini.
1.1 Objektif Kajian
Tujuan utama kajian ini dijalankan ialah untuk mengkaji impak industri pelancongan terhadap Negeri Melaka dari segi ekonomi dan sosial tidak kira dari sudut positif mahupun negatif. Secara terperincinya, kajian ini dijalankan untuk mengetahui perubahan ekonomi, pembangunan dan sosial masyarakat setempat setelah kedatangan pelancong asing dan juga mengkaji kemajuan yang dicapai oleh Melaka.
2.0 Sorotan Kajian
Pelancongan merupakan industri yang terbesar di dunia. Pelancongan mempunyai maksud mengikut perspektif dan pandangan pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi, penginapan dan pengangkutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya. Definisi pelancongan ialah “suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi, dan persekitaran”.
Pelancongan mampan merujuk kepada aplikasi asas daripada idea pembangunan mampan untuk sektor pelancongan, di mana pembangunan pelancongan yang memenuhi keperluan pada masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi pada masa depan. Menurut Budowski (1976), ini merupakan senario simbiosis yang mana pelancongan digunakan dengan cekap di samping memelihara sumber-sumber yang ada supaya dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang. Pembangunan pelancongan pula merupakan perubahan ekonomi dan sosial yang berlaku sama ada dalam industri atau destinasi pelancongan (Nurhazani, 2004).
Konsep pembangunan pelancongan pernah diketengahkan oleh Noronha (1979) dengan mengenal pasti tiga tahap pembangunan. Tahap pertama melibatkan perjumpaan sesuatu kawasan oleh pelancong dan tuan rumah destinasi itu. Apabila wujudnya kedatangan pelancong, maka tuan rumah dengan sendirinya mewujudkan kemudahan seperti tempat tinggal, pengangkutan dan sebagainya untuk kegunaan pelancong. Seterusnya membawa kepada tahap ketiga di mana akan berlakunya institusi yang formal. Institusi formal ini merujuk kepada kewujudan organisasi pelancongan seperti hotel, resort, restoran, syarikat penerbangan dan lain-lain. Pada tahap ini juga akan berlakunya perubahan dalam persekitaran dan sosiobudaya masyarakat tempatan.
Pada asasnya pelancongan mampan meminimumkan kesan negatif dan memaksimumkan kesan positif. Pelancongan mampan boleh menjadi satu bentuk pembangunan mampan dalam mencapai objektif pembangunan. Merujuk kepada Brundtland Commisian Report (1987), pembangunan pelancongan mampan dibuat untuk memastikan kualiti kehidupan untuk semua orang pada masa ini dan juga untuk generasi pada masa akan datang. Pembangunan mampan memberi kesan positif dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar di samping mengurangkan kesan negatif.
Kesan pelancongan perlu diberi perhatian kerana kesan itu menentukan penerimaan penduduk terhadap pembangunan pelancongan sesebuah destinasi. Malah kesan pelancongan perlu dititikberatkan dalam merancang dan membangunkan pelancongan kerana ia menentukan sama ada industri pelancongan sesebuah destinasi itu dapat terus berkembang ataupun sebaliknya. Dalam konteks pelancongan, impak merujuk kepada kesan ke atas sesuatu aspek akibat daripada pembangunan pelancongan. Dengan erti kata lain, dengan membangunkan pelancongan di sesebuah destinasi, maka sudah tentu memberi sedikit kesan ke atas beberapa aspek terutamanya ekonomi, persekitaran dan juga sosiobudaya. Kebiasaannya kesan positif dapat membangunkan lagi industri pelancongan dan kesan negatif sebaliknya menyebabkan berlakunya kemerosotan dalam industri pelancongan (Nurhazani, 2004).
Banyak kajian pernah dijalankan bagi mengenal pasti impak pelancongan. Malah terdapat juga kajian yang dijalankan bagi menentukan kaedah dalam mengukur setiap impak yang berlaku. Walau apa sekalipun, kesan pelancongan agak sukar diukur kerana ia melibatkan subjek dan objek yang sensitif seperti budaya masyarakat setempat, gelagat serta tingkah laku penduduk. Walaupun penulis-penulis seperti Cohen (1972), Robinson (1976) dan Pizam (1978) telah menekankan betapa perlunya perhatian yang lebih diberikan kepada aspek kelakuan pelancong dan penduduk dan kesan perhubungan di antara sesebuah masyarakat dengan pelancongnya, namun hanya dua rangka konsep yang digunakan secara meluas dalam penyelidikan tentang kesan pelancongan terhadap keadaan sosial. Kedua-dua rangka konsep tidak menafikan bahawa kesan pelancongan terhadap keadaan sosial berubah menurut masa sebagai reaksi terhadap keadaan sosial. Kedua-dua rangka konsep tidak menafikan bahawa kesan pelancongan terhadap keadaan sosial berubah menurut masa sebagai reaksi terhadap perubahan struktur dalam industri pelancongan, dan betapa jauh serta betapa lama penduduk tuan rumah terdedah kepada pembangunan pelancongan.
Menurut Butler (1975) rangka konsep yang dibuat oleh Bjorklund dan Philbrick (1972, 1975) bagi menganalisis proses perhubungan dua kumpulan budaya atau lebih, dapat digunakan bagi memahami hubungan sosial antara pelancong dengan tuan rumah. Sikap dan kelakuan kumpulan atau individu terhadap pelancongan masing-masing boleh jadi positif ataupun negatif dan aktif ataupun pasif.
3.0 Metodologi Kajian
Dalam mendapatkan maklumat mengenai tajuk ini, kaedah yang telah digunakan ialah temu bual, soal selidik, kaedah tinjauan dan kajian ilmiah. Berikut merupakan subsektor kaedah kajian ini.
Bagi mendapatkan kepastian tentang kesan industri pelancongan ke atas negeri Melaka, proses temu bual ke atas responden yang melibatkan orang awam ataupun peniaga komuniti setempat dilakukan bagi mengetahui pendapat mereka mengenai kesan industri pelancongan dari segi ekonomi, pembangunan fizikal dan perubahan sosial di Melaka. Dari segi ekonomi, mereka berpendapat bahawa kedatangan pelancong membuatkan ekonomi Negeri Melaka stabil selain dapat membantu meningkatkan perniagaan komuniti setempat dan seterusnya mengelakkan kes pengangguran di negeri ini.
Borang soal selidik sebanyak 30 salinan telah diedarkan bagi mengetahui pendapat responden mengenai impak ataupun kesan industri pelancongan terhadap Negeri Melaka. Sebanyak 15 soalan dikemukakan dalam borang selidik itu dan telah diedarkan kepada 30 orang responden mengikut jantina iaitu 15 orang perempuan dan 15 orang lelaki. Semua jawapan dan pandangan yang diperoleh dalam borang soal selidik tersebut dikumpulkan dan direkodkan dalam hasil kajian ini.
4.0 Hasil Kajian
Berdasarkan soal selidik yang diberikan, 25 responden bersetuju industri pelancongan memainkan peranan penting terhadap perbangunan di Negeri melaka. Tiga responden tidak bersetuju manakala dua responden tidak pasti industri pelancongan dapat membangunkan Melaka.
Dari segi pengaruh budaya masyarakat di Melaka, 11 responden bersetuju kedatangan pelancong banyak mempengaruhi budaya masyarakat negeri ini manakala sembilan responden tidak bersetuju dan sepuluh responden tidak pasti budaya masyarakat di Melaka dipengaruhi budaya yang dibawa oleh pelancong. Bagaimanapun semua responden bersetuju kesan-kesan peninggalan zaman dahulu adalah tarikan utama para pelancong datang ke Melaka.
Dari segi perkembangan ekonomi, majoriti responden bersetuju industri pelancongan banyak menyumbang pendapatan kepada komuniti setempat melalui pemeliharaan dan memulihara tempat dan bangunan-bangunan bersejarah. Di samping itu, inap desa dilihat mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk Melaka di mana 21 responden bersetuju inap desa dapat meningkatkan industri pelancongan Negeri Melaka.
Dalam aspek sosial, hampir separuh responden bersetuju kedatangan pelancong di Negeri Melaka meningkatkan masalah sosial dalam masyarakat setempat. Namun sebahagian besar daripada mereka kurang setuju jika dikatakan peningkatan jenayah yang berlaku di Melaka ada kaitannya dengan pelancongan.
Pelancongan juga menjadi katalis kepada pemupukan persefahaman masyarakat setempat dengan dua per tiga responden melihat situasi itu sebagai amat membina perpaduan kaum di Melaka. Justeru mereka bersetuju bahawa Melaka dikenali kerana industri pelancongan.
Kajian juga mendapati 30 peratus responden bersetuju kenaikan harga barang memang berlaku apabila berurusan dengan pelancong.
5.0 Kesimpulan
Berdasarkan soal selidik ini, majoriti responden memberi tindak balas positif terhadap impak industri pelancongan dari segi ekonomi dan sosial. Berdasarkan hasil kajian diperolehi, kebanyakan responden menyokong bahawa industri pelancongan memainkan peranan penting dalam pembangunan Negeri Melaka. Justeru, semakin ramai pelancong, semakin banyak kemudahan awam dibina bagi memudahkan pergerakan para pelancong.
Dari segi perkembangan budaya, kedatangan pelancong dari luar negara banyak mempengaruhi budaya dan sosial masyarakat setempat, memupuk persefahaman antara masyarakat dengan pelancong dan dapat mencontohi budaya yang dibawa oleh pelancong asing seperti menjaga kebersihan dan hormat-menghormati. Tidak syak lagi industri pelancongan telah banyak menyumbang pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat dan perolehan pendapatan kepada kerajaan Melaka itu sendiri.
Rujukan
Ahmad Salim. (1991). Pelancongan Di Melaka. Selangor: Fajar Bakti.
Bonny Wee dan Mohammad Al-wi. (2009). Malacca: A World Heritage Site. Melaka: Purple Productions & PR consultants Sdn. Bhd.
Melaka. (2006). Pencapaian Gemilang Melaka. Kerajaan Negeri Melaka.
Wee Hock Chye dan Bonny Wee. (1998). You’ll love Malacca More. Melaka: Purple Productions & PR consultants Sdn. Bhd.
Internet
http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/pelancongan.html
http://bicarapakkebun.blogspot.com/2008/08/pelancongan-versus-warisan-budaya-di.html
htttp://mazlan66.wordpress.com/2008/03/06/kesan-pelancongan-terhadap-budaya- tempatan/"
MZ Zainudin, Mohd Lokman Ramli, Muhammad Azwadi Abdullah, Khairul Afzam Zolkeply, Che Wan Muhammad Ridhuan Che Wan Razaley, Amir Nashrul Abd Jalil
No comments:
Post a Comment