Thursday, April 17, 2014

Jadikan jalan raya tempat selamat








Kemalangan jalan raya di Malaysia sering kali dikaitkan dengan sikap pemandu sama ada kenderaan yang dipandu itu kecil atau besar. Setiap pemandu ini yang memiliki corak pemanduan tertentu boleh memberi kebaikan dan keburukan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Contohnya pemandu bas atau lori, biasanya mereka menggunakan lorong sebelah kiri ketika di jalan raya dan akan memberi isyarat memotong jika hendak menggunakan lorong sebelah kanan atau lorong memotong. Corak pemanduan ini sangat bagus dan membantu pengguna lain untuk berhati-hati dan menguruskan kenderaan masing-masing.

Namun ada pemandu bas atau lori yang berbeza. Kelompok ini kurang prihatin dengan amalan pemanduan yang baik kerana menganggap pengguna jalan raya yang lain perlu memahami sikap mereka. Contohnya, ada yang membuat keputusan memasuki lorong kanan untuk memotong tanpa memberi isyarat memotong, akhirnya pemandu di belakang terpaksa memperlahan kenderaan dan dalam sesetengah kes melibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa.

Begitu juga dengan penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak prihatin dengan keselamatan diri. Sudah menjadi lumrah ketika ini motosikal menyumbang kadar kemalangan jalan raya dan kematian yang lebih kerap. Sistem jalan raya seperti lampu isyarat, lorong motosikal dan alat bantuan keselamatan ketika memandu tidak dapat mengubah tabiat sebilangan penunggang dan pembonceng motosikal yang agresif.

Kita dapat lihat tingkah laku dan sikap tidak bertimbang rasa mereka ketika menunggu peralihan warna lampu isyarat. Sikap tidak peduli dengan warna merah menyebabkan mereka meneruskan perjalanan tanpa memikirkan kesan tindakan itu ke atas pengguna lain yang berhak melalui laluan ketika lampu isyarat berwarna hijau. Ada kes yang melibatkan pelanggaran dan kematian akibat tidak pedulikan warna lampu isyarat ini.

Kemalangan jalan raya menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kematian di negara ini selain daripada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, darah tinggi dan kencing manis. Setiap tahun khususnya musim perayaan, kerajaan mengadakan kempen dan operasi bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar menjaga keselamatan diri dan mengikut peraturan jalan raya. Walaupun statistik kemalangan dan kematian melibatkan kemalangan sentiasa turun naik, langkah yang lebih berkesan wajar difikirkan supaya jalan raya menjadi tempat selamat untuk digunakan.

Memperkenal silibus keselamatan jalan raya di peringkat tadika amat baik dan wajar menjadi instrumen wajib supaya kanak-kanak membesar dengan penuh kesedaran terhadap keselamatan diri di jalan raya. Di samping itu penguatkuasaan yang lebih keras tetapi berhemah wajar diberi keutamaan supaya pemandu dan pengguna jalan raya memahami bahawa peraturan adalah untuk mendidik dan menyusahkan kehidupan kehidupan. Pesalah trafik perlu diberi pilihan dengan merit kesalahan pemanduan supaya pesalah merasai betapa berharganya bebas daripada kesalahan memandu.

Kemalangan jalan raya tidak mengenal kelas sosial atau status sosial seseorang. Ketika kemalangan, dua kemungkinan akan berlaku iaitu kita melanggar ataupu kita dilanggar. Dalam kedua-dua keadaan, kemungkinan untuk hidup atau mati juga dalam lingkungan 50 peratus. Bagi mengelakkan daripada kedua-duanya memberi trauma, kita perlu menjadikan corak pemanduan kita adalah dalam pilihan selamat. Jika corak berfikir begini ada pada setiap pemandu, jalan raya negara kita sudah pasti selamat.

 

No comments:

Post a Comment