Wednesday, January 15, 2014

Mr Rama dalam kenangan






“Sir, good morning”, ucapan saya setiap kali melihat pintu bilik Mr Rama terbuka luas.

Dari dalam biliknya, saya mendapat ucapan balas, “good morning” diikuti ketawa kecil.

Inilah rutin harian kami setiap pagi apabila masing-masing ada di pejabat. Mr Ramachandran Nair, seorang pensyarah bahasa Inggeris yang gigih dan memberi perhatian yang luar biasa untuk mengajar pelajar atau staf agar mahir dalam penguasaan bahasa itu. Kegigihan dan ketekunan beliau ditunjukkan sehingga ke akhir hayat pada 11 Januari lalu.

Mr Rama meninggal dunia dalam tidur disebabkan serangan jantung. Kematiannya mengejutkan ramai kenalan dan pelajar kerana sebelumnya beliau tidak menunjukkan masalah kesihatan yang serius atau dimasukkan ke hospital.

Saya menjadi jiran biliknya selama empat tahun, mengenali beliau sebagai seorang yang “workhaholic” iaitu ketagih dengan kerja. Beliau sering bekerja sehingga pukul enam petang khususnya menyiapkan tugasan yang paling diminati iaitu proses editing penulisan bahasa Inggeris.

Sedikit tentang latar belakang kerjaya Mr Rama, beliau adalah pelajar di Malayan Teachers’ Training College in Kirkby, United Kingdom. Rakan-rakannya tidak ramai tetapi mereka sangat akrab dan sering mengadakan pertemuan untuk mengetahui perkembangan semasa. Mr Rama berasal dari Terengganu dan mempunyai beberapa orang bekas pelajar yang telah berjaya dalam pelbagai bidang. Salah seorang daripadanya ialah Tan Sri Salleh Sulong. Beliau mengingati dengan jelas anak muridnya itu ketika mengajar Terengganu.

Mr Rama berhijrah ke Brunei untuk tempoh yang agak lama. Mengajar bahasa Inggeris dan sangat bertuah kerana memiliki anak murid di dua negara, Brunei dan Malaysia. Setiap kali saya bertandang ke Brunei, saya akan belikannya dua barang, pertama, akhbar Borneo Bulletin dan kedua, coklat.

Membaca Borneo Bulletin mengingatkan beliau kepada memori lama semasa bekerja di Brunei, manakala makan coklat menjadikan fikirannya lebih aktif.

Setiap hari beliau akan turun ke pejabat pentadbiran untuk melihat surat khabar ruangan “Obituaries” kerana beliau ingin mengetahui siapakah rakan-rakannya yang telah meninggal dunia khususnya yang bersama di Kirkby College. Satu demi satu gambar yang ada ditatap dan setakat ini tidak ada pula yang saya lihat ada rakan-rakannya dalam ruangan tersebut.

Usianya dalam lingkungan 70-an dan perlu membaharui kontrak kerja setiap enam bulan kerana keadaan kesihatan yang dialami. Walaupun sudah “7 series”, beliau masih kuat dan pantas berjalan cuma beberapa kali saya sempat melihat beliau agak semput ketika mendaki tangga.

Dalam satu majlis meraikan ulang tahun kelahiran, seseorang bertanya kepadanya apakah rahsia beliau sehingga sekarang masih kuat, cergas dan bersemangat untuk bekerja. Beliau merenung dan berfikir sejenak lalu menjawab “a lot of sex” yang disambut gelak ketawa hadirin. Jawapannya berterus-terang dan tentulah berdasarkan pengalaman. Anak perempuannya tinggal di United Kingdom, telah berkahwin dan bekerja sebagai doktor perubatan.

Kekuatan Mr Rama ialah keupayannya bekerja tanpa mengira masa malah pernah datang pada hari cuti ke pejabat untuk menyiapkan bidang editing yang digemarinya. Saya bertanya kenapa beliau sanggup datang ke pejabat pada Sabtu atau Ahad, katanya untuk mendapatkan “mood” bekerja.

Pelajar-pelajar di bawah bimbinganya sering berkerumun di hadapan bilik untuk bertanya dan belajar ilmu bahasa Inggeris. Ada yang datang bersendirian dan ada berkumpulan. Namun pelajar yang kerap berjumpanya ialah pelajar antarabangsa.

Saya juga menjadi sebahagian daripada pelajar tidak rasmi Mr Rama kerana sering merujuk beliau apabila berhadapan dengan maksud ayat bahasa Inggeris yang bersifat teknikal. Malah juga acap kali beliau merujuk saya beberapa perkataan bahasa Melayu dan Arab untuk diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai melengkapkan teks khutbah Jumaat. Pendek kata, beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja.

Kematian Mr Rama mengejutkan saya dan rakan-rakan yang lain. Dua hari sebelum meninggal dunia, beliau kelihatan agak sibuk menyiapkan markah pelajar. Saya hanya dengar pintu bilik dibuka dan ditutup tanpa ada tegur sapa. Saya juga tidak mengesyaki sebarang perubahan pada keadaan fizikalnya seperti bertongkat atau berjalan terlalu perlahan seolah-olah tidak ada apa-apa yang akan berlaku.



Di akhir hayatnya, Mr Rama sempat menyiapkan proses editing tugasan berkaitan dokumen universiti. Beliau tidak meninggalkan harta kepada saya dan rakan-rakan sebaliknya beliau meninggalkan sifat kegigihan dan “enjoy” dengan kerjaya yang kita pilih, memberi sepenuh komitmen dan menikmati hidup dengan baik.

Legasi Mr Rama sebagai pensyarah dan rakan akan terus diingati dan menjadi sumber inspirasi untuk berjaya dalam dunia pendidikan tinggi.
 

No comments:

Post a Comment