Laksa menjadi makanan popular bagi negeri-negeri di utara Malaysia seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Justeru ada gelaran yang diberi kepada pelbagai jenis laksa ini seperti Laksa Penang, Laksa Kuala Ketil dan Laksa Perlis. Nama-nama ini diberi bagi menggambarkan keunikan laksa tersebut kerana ramuan untuk menghasilkan laksa yang sedap bergantung kepada jenis tepung dan kuah.
Laksa yang sedap dibuat daripada tepung beras. Rasanya yang enak dicampur dengan kuah ikan. Ikan ini pula bermacam-macam jenis seperti tamban dan termenung. Sesetengah kuah laksa dibuat daripada belut yang rasanya berbeza sama sekali.
Warna dan kepekatan kuah laksa turut mempengaruhi keenakannya. Kuah laksa berwarna perang kemerahan lebih baik daripada kuah laksa berwarna kelabu. Mungkin lebih baik kerana persepsi orang ramai yang sentiasa terdedah dengan kuah berwarna perang kemerahan ini. Kuah yang tidak pekat dan tidak cair memudahkannya digaul dengan laksa dan tidak terpercik ke baju ketika dimasukkan ke dalam mulut.
Di Jejawi, Perlis, terdapat sebuah perusahaan makanan laksa yang terkenal. Kedai ini menjual laksa berdasarkan kilo dengan sekilo berharga RM9. Ulamnya digaul sekali dan memiliki aroma kuah yang lazat.
Sepinggan laksa di Perlis berharga antara RM2.50 hingga RM3.50. Ada pula laksa spesel yang lebih banyak dan dimasukkan sebiji telur.
Makan laksa lebih baik daripada makan nasi campur kerana laksa tidak mengandungi kolestrol yang tinggi, berasaskan makanan segar dan tidak ada minyak. Kandungan proteinnya terdapat dalam kuah dan telur manakala ulam-ulaman dapat dimakan mentah.
Di Perlis, laksa terdapat hampir di keseluruhan gerai makan sama di tepi jalan atau restoran. Ia menjadi makanan “mesti” yang popular, banyak permintaan dan mudah disediakan. Bagi pengunjung luar, mereka boleh merasa Laksa Perlis di medan selera Kuala Perlis.
No comments:
Post a Comment