Friday, January 03, 2014

Dasar Keluarga Negara: Agenda kestabilan sosial dan kesejahteraan negara






oleh Abdul Shukur Abdullah
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia
 
Institusi keluarga merupakan salah satu sistem mikro di dalam sebuah rangkaian sistem sosial yang luas. Peranan utama institusi ini ialah memenuhi keperluan intim (intimacy), ekonomi, pengasuhan dan sosialisasi anak. Kesejahteraan keluarga merangkumi keperluan memenuhi aspek pendidikan, ekonomi, kesihatan, persekitaran, sosiopsikologikal dan sebagainya. Keluarga juga berfungsi bagi membekal sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang.
Sebagai sebahagian daripada unit dalam sistem sosial, keharmonian dan kebahagiaan (happiness) keluarga akan menjadi penentu kestabilan sosial sesebuah negara dan kesejahteraan negara. Peranan institusi keluarga dalam sebuah institusi sosial sememangnya telah diperakui di peringkat antarabangsa. Deklarasi Hak Manusia Sejagat pada tahun 1948 (Artikel 16 [3]) mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam masyarakat (United Nations, 1948). Menerusi deklasi ini, institusi keluarga berhak mendapat bantuan dan perlindungan daripada pihak berwajib dan kerajaan.
Kestabilan sosial dan kesejahteraan sesebuah negara sering kali dikaitkan dengan sejauh mana keharmonian dan kualiti keluarga dan masyarakat. Keluarga yang sejahtera akan menghasilkan penduduk yang berkualiti dan produktif.
Justeru, kerajaan akan terus komited kepada Deklarasi Hak Manusia Sejagat (1948) iaitu keluarga sebagai unit terpenting dalam masyarakat dan perlu diberi perlindungan oleh masyarakat dan kerajaan. Komitmen kerajaan menerusi Dasar Keluarga Negara yang diluluskan pada Disember 2010 akan menyokong dan melengkapi dasar-dasar sedia ada selari dengan misi nasional ke arah pencapaian matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju serta masayrakat yang bersatu, mampu berdikari, progresif dan maju.
 
Gejala Sosial dan Kestabilan Sosial
 
Kestabilan sosial dilihat berdasarkan petunjuk sosial. Gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kita memberi kesan negatif ke atas pertumbuhan psikologikal, fizikal, ekonomi dan pembangunan seseorang individu dan negara. Perlakuannya yang negatif secara berterusan menyebabkan situasi baru iaitu economic dysfunctioning yang berkaitan dengan kemiskinan, penganguran dan penghijrahan sama ada dari dalam atau luar bandar yang mampu dilihat sebagai masalah sosial selain faktor pendorong kepada pelbagai lagi masalah yang bakal dihasilkan.
Masalah sosial juga akan menyebabkan peningkatan kos sosial, sekali gus menjejaskan pembangunan negara. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan seramai 4,222 (23 peratus) daripada 18,652 orang remaja hamil (berumur 10 – 19 tahun) adalah kes baru yang sedang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan kerajaan pada tahun 2011. Bagi tempoh Januari – Mei 2012, sebanyak 1,700 (23 peratus) daripada 7,499 orang bagi kes baru remaja hamil masih belum berkahwin (Berita Harian, 6 Oktober 2012). Seramai 132 orang pelajar hamil sedang menuntut di Sekolah Harapan, Melaka.
Lebih 70 peratus ibu bapa tidak sedar anak mereka terdedah kepada pornografi dan satu per tiga ibu bapa pula tidak tahu mengenai media sosial yang digunakan anak-anak mereka setiap hari. Remaja dan kanak-kanak menghabiskan masa 4.5 jam sehari melayari internet dengan remaja lelaki mendahului remaja perempuan berhubung penggunaan bahan porno di internet. Ibu bapa tidak tahu anak mereka menggunakan purata 19 jam seminggu untuk membuat carian di internet.
Kajian Profil dan Faktor Kanak-kanak dan Remaja Lari dari Rumah yang dijalankan oleh Institut Sosial Malaysia pada tahun 2010 pula mendapati tiga sebab utama kanak-kanak dan remaja lari dari rumah adalah disebabkan oleh faktor tekanan (48.8 peratus), mengikut rakan (27.7 peratus) dan hidup bebas (14.5 peratus).
Kajian Fenomena Pelacuran di Malaysia (Lukman dan Zuriana, 2000) mendapati bahawa sebahagian besar remaja yang ditangkap (85 peratus) berada dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun. Namun terdapat segelintir daripada mereka (13.3 peratus) yang berusia antara 12 hingga 14 tahun. Situasi ini amat memeranjatkan kerana pada usia sebegitu muda, mereka berani mengambil risiko yang tinggi untuk menjalani satu proses kehidupan yang jauh berbeza daripada realiti kehidupan sebenar yang sepatutnya ditempuhi.
Laporan Majlis Aids Malaysia mendapati golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun merupakan kelompok yang tertinggi mengidap HIV di negara kita. Lebih daripada 76 peratus daripada keseluruhan kes HIV hingga tahun 2010 membabitkan golongan belia ini yang keseluruhannya berjumlah 69,747 orang. Pada tahun 2011 pula, bagi setiap empat kes baru jangkitan HIV, satu dilaporkan terdiri daripada golongan orang muda dan belia dalam lingkungan umur 13 hingga 29 tahun.
Gejala-gejala di atas jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak mampu menggugat pembangunan sosial dan kesejahteraan negara. Kemajuan dan pembangunan ekonomi yang pesat pasti boleh meletakkan negara kita di peta dunia sebagai sebuah negara yang amat berjaya dari segi fizikal. Namun sekiranya kita gagal membentuk individu yang mempunyai nilai diri yang tinggi, bebas daripada segala anasir negatif, berfikiran luas, menjadi teladan kepada masyarakat dan negara secara menyeluruh, bermakna kita gagal melahirkan sebuah negara maju yang serba lengkap dalam kesemua aspek (Abd. Rahim, Sufean Hussin dan Jamaludin, 2006).
 
Cabaran Keluarga dan Negara Masa Hadapan
 
Dalam usaha mencapai matlamat Dasar Wawasan Negara, Malaysia mementingkan kualiti dan kuantiti penduduk untuk melahirkan penduduk yang progresif. Kepentingan ini berdasarkan keperluan untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang terlatih, berkemahiran dan berpengetahuan bagi membantu proses pembangunan sosioekonomi negara. Institusi keluarga yang sejahtera akan menjadi paksi melahirkan generasi penduduk yang berkualiti bagi mencorak pembangunan negara akan datang.
Pada masa ini, bilangan penduduk Malaysia berjumlah 28.3 juta. Jumlah ini diunjurkan meningkat kepada 35 juta orang pada tahun 2020. Daripada perspektif demografi pula, Malaysia kini berada dalam fasa kedua transisi demografi di mana satu per tiga penduduk negara adalah kanak-kanak di bawah 15 tahun. Justeru, penduduk Malaysia dikategorikan sebagai penduduk muda dan tergolong dalam kumpulan umur produktif. Dividen atau bonus demografi ini perlu dioptimumkan bagi memastikan generasi yang bakal meneruskan warisan negara dilengkapkan dengan nilai-nilai murni, tahap daya tahan (resilient) yang tinggi dan menjadi warga yang produktif.
Selain itu, bilangan keluarga di Malaysia telah meningkat dari 6.2 juta pada tahun 2000 kepada 7.5 juta orang kelurga pada tahun 2010 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus setahun. Selain itu, berdasarkan kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 yang telah dijalankan oleh LPPKN pada tahun 2004, 69.7 peratus daripada jumlah keluarga di Malaysia adalah terdiri daripada keluarga nuklear (nuclear family) berbanding 66.2 peratus pada tahun 2000. Pertambahan bilangan keluarga khususnya keluarga berbentuk nuklear memerlukan satu bentuk sistem sokongan keluarga yang mantap untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga dan membolehkan keluarga mengharungi cabaran pada masa hadapan.
Justeru, penduduk Malaysia dikategorikan sebagai penduduk muda yang tergolong dalam kumpulan produktif dan juga dikenali sebagai bonus demografi. Sehubungan dengan itu, langkah-langkah proaktif yang holistik perlu diambil dalam memastikan kumpulan yang bakal meneruskan warisan negara ini dilengkapi dengan nilai-nilai murni agar menjadi warga yang produktif. Perhatian juga harus diberikan kepada memenuhi keperluan warga emas yang berumur 65 tahun ke atas yang semakin bertambah.
Bilangan isi rumah dan keluarga yang bertambah merupakan petanda positif ke arah melahirkan penduduk yang berkualiti di negara ini. Pada tahun 2000, bilangan isi rumah dan keluarga di Malaysia adalah 4.7 juta dan telah meningkat kepada 6.4 juta pada tahun 2010. Seiring dengan pertambahan tersebut, struktur keluarga di Malaysia telah mengalami perubahan saban tahun. Secara purata saiz isi rumah didapati semakin menurun di mana pada tahun 1980, purata saiz isi rumah adalah 5.2 orang menurun kepada 4.6 pada tahun 2000 dan terus menurun kepada 4.3 pada tahun 2010 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Pembentukan struktur keluarga asas semakin ketara berbanding dengan generasi sebelum merdeka. Daripada 55.2 peratus pada tahun 1980, keluarga asas kini telah bertambah kepada 65.4 peratus daripada jumlah keluarga pada tahun 2000.
Berdasarkan agama dan undang-undang negara, pembentukan keluarga di Malaysia bermula dengan perkahwinan yang sah. Namun kini terdapat trend untuk melewatkan perkahwinan khususnya dalam kalangan penduduk muda. Penemuan Banci 1990, 2000 dan 2010, minimum umur perkahwinan pertama bagi wanita telah meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun dan 25.7 tahun pada 2010. Sebaliknya minimum umur perkahwinan pertama bagi lelaki terdapat sedikit peningkatan iaitu daripada 28.2 tahun pada tahun 1991 kepada 28.6 tahun pada tahun 2000 dan menurun sedikit kepada 28.0 tahun pada tahun 2010 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Senario berkahwin lewat akan memberi implikasi kepada pembentukan keluarga, penjagaan anak dan struktur keluarga.
Arus pembangunan dan cabaran kehidupan moden masa kini diperhatikan turut menghasilkan kepelbagaian bentuk keluarga baru. Antara bentuk keluarga baru dan cabaran yang dikenal pasti kini adalah:
 
1. Keluarga komuter di mana salah seorang pasangan tinggal di satu tempat yang lain dan mereka berjumpa sekali atau dua kali dalam seminggu, sekali sebulan dan sebagainya bergantung pada jurang jarak antara pasangan disebabkan oleh komitmen kerja ataupun sebab-sebab tertentu.
2. Keluarga sandwich juga merupakan satu bentuk keluarga baru yang telah dikenal pasti dalam masyarakat Malaysia. Bentuk keluarga ini merupakan pasangan yang perlu menanggung anak dan menjaga ibu bapa yang tinggal bersama. Situasi ini dijangka akan menjadi lebih serius terutama bagi pasangan muda dwi-kerja yang kurang mempunyai sumber mencukupi dalam mengurus keperluan anak-anak dan ibu bapa mereka pada masa yang sama. Cabaran ini tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya boleh memberi tekanan emosi dan mental sekiranya tiada khidmat keluarga dan majikan.
3. Keluarga dwi-kerja turut menghadapi cabaran besar dalam mengimbangi antara kerja dengan keluarga. Kajian KPKM-4 mendapati hampir 50 peratus daripada mereka mengharapkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja di samping peruntukan cuti khas untuk menjaga anak serta mengharapkan pemberian subsidi untuk menampung kos jagaan anak (LPPKN, 2008). Penyediaan program dan perkhidmatan serta kemudahan dan sistem sokongan yang mesra keluarga akan dapat mendaya upayakan keluarga untuk menangani cabaran semasa serta mampu menyediakan modal insan berkualiti serta berperibadi mulia bagi melaksanakan misi pembangunan negara.
 
Selain daripada cabaran institusi keluarga, isu-isu sosial yang melanda di setiap peringkat perkembangan manusia daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas juga perlu diberi perhatian. Setiap kitaran dalam sesebuah institusi keluarga mempunyai isu dan cabaran tersendiri. Daripada peringkat kanak-kanak seperti isu penderaan dan pengabaian sehinggalah isu warga emas seperto kesunyian, cabaran yang wujud secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan sesebuah institusi keluarga.
Sehubungan dengan isu dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga Malaysia kini, dapat dirumuskan bahawa pembentukan, struktur dan peranan institusi keluarga di Malaysia akan terus berubah sejajar dengan modenisasi dan urbanisasi penduduk di samping perubahan sikap terhadap perkahwinan dan kekeluargaan (Aminah, Doshi dan Ismajalil, 2008).
 
Dasar Keluarga Negara – Kesejahteraan Keluarga Asas Kestabilan Negara
 
Dasar Keluarga Negara telah diluluskan oleh kabinet pada 17 Disember 2010 dan dilancarkan oleh Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dasar ini bertujuan untuk memperkukuh institusi keluarga dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Dasar Keluarga Negara ini memberi tumpuan kepada penerapan hubungan kekeluargaan yang baik dan mewujudkan kesedaran serta mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam pembinaan struktur sesebuah masyarakat serta negara yang mantap, maju dan progresif.
Dasar Keluarga Negara memperjuang konsep “kesejahteraan keluarga”  yang berteraskan nilai keluarga seperti kasih sayang, jujur, adil dan saksama tanpa mengira status, jantina dan umur. Keperibadian mulia ini amat penting bagi memastikan pembangunan sosial dititikberatkan selaras dengan pembangunan material dan ekonomi. Pendekatan ini penting bagi menjamin perlindungan, keselamatan dan kesaksamaan gender dalam institusi keluarga tidak dipinggirkan. Seterusnya setiap ahli keluarga dapat menikmati kehidupan yang sihat, selamat dan harmoni termasuk mempunyai hak perkongsian sumber yang saksama.
Dasar ini bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak yang berkepentingan termasuk setiap anggota masyarakat untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Bagi mencapai matlamat Dasar Keluarga Negara ini, sebanyak tiga teras strategi telah dirangka. Menerusi teras strategi ini, hasrat kerajaan untuk mengukuhkan insitusi keluarga dapat direalisasikan.
 
Teras Strategi 1: Meningkatkan komitmen dan penglibatan semua pihak untuk mengutamakan perspektif keluarga dalam usaha pembangunan sosioekonomi. Di antara langkah awal yang telah diambil adalah menerusi advokasi DKN di mana siri Bual Bicara DKN dan PTDKN telah dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri yang melibatkan pegawai kanan dan wakil agensi-sgensi terlibat. Bagi meningkatkan dan mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam perancangan sosial negara, LPPKN telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Projek Pembangunan Indikator Kesejahteraan Keluarga pada tahun 2011. Menerusi set indikator yang telah dibangunkan ini, indeks kesejahteraan keluarga akan digunakan untuk merangka dan merancang program intervensi pembangunan keluarga serta memantau trend keluarga dan implikasinya kepada negara dan menjadi penanda aras kepada tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia.
 
Teras Strategi 2: Mengkaji semula dasar, undang-undang, prosedur dan peraturan sedia ada yang tidak mesra keluarga dan memberi penekanan kepada menjamin perlindungan, keselamatan dan kesaksamaan gender dalam institusi keluarga. DKN yang memperjuang konsep dan prinsip “kesejahteraan keluarga” akan mengutamakan usaha-usaha nilai dan amalan budaya yang penuh kasih sayang, jujur, adil dan saksama di antara ahli keluarga tanpa mengira status, jantina dan umur. Penekanan ini bertujuan memastikan setiap ahli keluarga dapat menikmati hidup yang sihat, selamat, harmoni dan memuaskan termasuk mempunyai hak perkongsian. Ini termasuklah mengkaji semula pengecualian cukai, rebat dan insentif kepada yang memberi faedah langsung dan tidak langsung kepada ahli keluarga.
 
Teras Strategi 3: Aksessibiliti kepada khidmat sokongan keluarga. Perluasan pendidikan kekeluargaan teritama di tempat kerja dan komuniti merupakan tindakan utama yang akan dilaksanakan. Bagi membantu pasangan mengimbangi keluarga dan kerjaya, program kemahiran kekeluargaan sedia ada yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan akan diperluaskan kepada skop yang lebih luas dan lebih komprehensif. Sistem sokongan keluarga akan diperluaskan seperti penubuhan pusat keluarga yang menyediakan kemudahan yang mesra keluarga seperti khidmat kaunseling, program kependudukan dan kemahiran kekeluargaan, program penjagaan kanak-kanak dan warga emas serta perkhidmatan kesihatan reproduktif.
 
Terdapat enam strategi seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Dasar Keluarga Negara iaitu: 1) Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kesejahteraan keluarga, 2) Advokasi mengutamakan kesejahteraan keluarga, 3) Latihan dan pendidikan sepanjang hayat untuk pembangunan modal insan dan keluarga sejahtera, 4) Perundingan dan perkongsian pintar dalam pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO, institut pengajian tinggi dan komuniti, 5) Penyediaan kemudahan sumber dan persekitaran yang mendaya upayakan keluarga, dan 6) Pemantauan dan penilaian.
Secara keseluruhannya 30 tindakan telah dikenal pasti seperti yang terdapat dalam PTKDN. Tindakan tersebut merangkumi pelaksanaan dari tahun 2011 sehingga tahun 2020 malahan terdapat juga tindakan yang perlu dilakanakan secara berterusan.
 
Rumusan
 
Dasar Keluarga Negara perlu dijadikan panduan dan rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam urusan pembangunan negara supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam proses penggubalan perundangan dan dasar secara menyeluruh. Penglibatan peranan agensi kerajaan, IPT, pihak swasta dan NGO adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan keluarga diberi perhatian utama dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program dan projek yang dilaksanakan oleh organisasi masing-masing dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan keluarga di setiap peringkat kitaran hidup.
 
Rujukan
Abd. Rahim Abd. Rashid, Sufean Hussin dan Jamaludin Tubah. (2006). Institusi Keluarga Menghadapi Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Aminah Abdul Rahman dan Ismahalil Ishak. (2009). Profil keluarga di Malaysia dan kesannya kepada masyarakat. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Kuala Lumpur: Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2011). Laporan Kajian Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.
Jabatan Perdana Menteri. (2010). Program Transformasi Kerajaan: Pelan Hala Tuju. Putrajaya, Malaysia.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. (2010). Dasar Keluarga Negara. Kuala Lumpur: Malaysia.

No comments:

Post a Comment