Thursday, January 02, 2014

Kepentingan tadika kepada kanak-kanak






Pelajar-pelajar seluruh negara kembali ke sekolah dengan pakaian baru dan azam yang baru. Tidak terkecuali pelajar yang baru melangkah ke sekolah bagi kali pertama.

Situasi yang menyentuh hati ialah seorang kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun, Nur Damia yang kudung tangan dan kaki hadir ke Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu dengan keceriaan dan semangat yang tinggi. Beliau menulis menggunakan tiga jari kaki kanan sambil duduk di lantai beralaskan tikar. Kecekalan dan ketabahannya wajar menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain yang kurang rajin dan tidak bersyukur dengan kesempurnaan diri.

Bagi kedua ibu dan bapanya, kesungguhan Nur Damia hendak belajar menjadi penawar yang sangat bererti. Semoga beliau akan terus cemerlang kerana ramai pelajar sepertinya yang telah berjaya belajar sehingga ke universiti.

Selain daripada sekolah, institusi pra sekolah seperti tadika juga menjadi tumpuan ibu bapa menghantar anak masing-masing. Kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan tadika telah menyumbang kepada penubuhan tadika yang berkualiti. Kualiti yang dimaksudkan ialah tenaga pengajar yang berkelulusan diploma, persekitaran pembelajaran yang merangsang perkembangan emosi, intelek dan fizikal kanak-kanak yang rata-ratanya berumur tiga hingga enam tahun dan pengurusan yang mementingkan tahap keupayaan kanak-kanak.

Dari pemerhatian yang dibuat, tadika yang diuruskan secara berpasukan dan melibatkan beberapa orang yang mahir dalam pengajaran, pengurusan dan psikologi kanak-kanak lebih berdaya maju daripada tadika yang diuruskan oleh seorang individu yang minat dengan kanak-kanak.

Menghantar anak-anak ke tadika sudah menjadi satu keperluan kerana ketika umur tiga tahun, perkembangan mental mereka sangat aktif. Kanak-kanak perempuan ketika umur ini sudah mampu membaca dengan baik jika diberi asuhan yang sempurna berbanding kanak-kanak lelaki yang lebih suka bermain.

Apabila mencapai umur empat tahun, kanak-kanak sudah banyak bertanya “kenapa” kerana sifat penerokaan yang wujud dalam diri mereka sukar ditahan, mereka ingin mengetahui semua perkara biarpun yang kecil dan dianggap remeh.

Ibu bapa yang menyedari perkembangan ini akan melayan anak-anak dengan pelbagai jawapan yang kreatif dan logik serta ada kaitan dengan kehidupan anak-anak. Konsep di sini ialah setiap soalan ada jawapan. Mereka perlu dilayan kerana setiap pertanyaan anak-anak merupakan satu kemahiran yang mesti digilap dari semasa ke semasa kerana tidak semua ibu bapa yang senang dengan pertanyaan anak-anak.

Ada ibu bapa yang menyuruh anak-anak diam setiap kali banyak soalan yang ditanya menyebabkan naluri ingin bertanya terencat dan berkubur. Dalam konteks ini, ibu bapa wajar mengambil sikap lebih banyak bersabar dan memberi ruang kepada anak-anak untuk meneroka persekitaran hidup mereka melalui pertanyaan.

Anak-anak yang banyak bertanya tentulah mereka sentiasa berfikir dan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berlegar-legar dalam minda mereka.

Tadika juga dapat membentuk kemahiran bersosial kanak-kanak. Mereka belajar berkomunikasi, bertolak ansur dan hormat-menghormati kerana kehidupan mereka sentiasa ada perbalahan, tolak-menolak dan kasih sayang. Konflik yang dihadapi itu akan dileraikan oleh guru-guru yang bertindak sebagai pendidik supaya jiwa dan fikiran kanak-kanak ini terbentuk nilai-nilai luhur sebagai insan yang cemerlang.

No comments:

Post a Comment