Usaha
pembasmian kemiskinan dalam masyarakat Brunei melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat
(PROPAZ) telah menunjukkan kemajuan untuk membawa keluar kelompok miskin
daripada cengkaman dan lingkaran ganas yang menghalang mereka daripada
menikmati kesejahteraan hidup.
Amat membanggakan apabila para peserta ini
memiliki tahap pengetahuan dan kemahiran yang melayakkan mereka untuk mendapat
pekerjaan di sektor swasta atau kerajaan. Malah ada yang sangat berkeyakinan
untuk memulakan bisnes biar pun secara kecil-kecilan. Menepati pepatah ‘sikit-sikit lama-lama menjadi bukit’, bisnes amat sesuai
bagi mereka untuk berusaha sendiri mengubah hidup.
Kemiskinan
merupakan fenomena global termasuk dalam kalangan negara-negara maju. Di
Brunei, walaupun jumlah kelompok miskin secara relatifnya adalah kecil, ia
tidak wajar dibiarkan.
Justeru, penglibatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB)
melalui Urus Setia Program PROPAZ dan Pusat Pembangunan Belia boleh menjadi
model kepada program intervensi pembasmian kemiskinan supaya keluarga miskin
tidak terus terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan. Jika ibu bapa, anak
dan cucu dari keluarga miskin ini tidak dapat keluar dari belenggu kemiskinan,
besar kemungkinan generasi akan datang akan terus berada dalam kedaifan.
Penentuan
terhadap kelompok yang miskin ditentukan oleh Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)
dan beberapa kaedah lain. Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
menyatakan golongan yang benar-benar miskin atau dikelompokkan sebagai miskin
mutlak ialah berpendapatan hanya US$2 sehari. Bagaimanapun takrifan miskin di
Brunei harus melihat keperluan dan senario yang ada di dalam negara.
Dalam
memberi takrifan terhadap miskin, tiga aspek yang boleh diambil kira. Pertama,
pengambilan kalori. Sejumlah kalori perlu diambil oleh individu atau isi rumah
untuk melayakkan mereka tidak dikelompokkan sebagai miskin.
Kedua, keperluan
asas. Pendekatan ini mengambil kira jumlah wang yang diperlukan bagi membeli
barangan keperluan untuk hidup termasuk makanan dan barangan bukan makanan.
Ketiga, kemiskinan relatif yang menggunakan ukuran pendapatan garis kemiskinan
(PGK) untuk menentukan kelompok miskin dalam masyarakat. Kumpulan miskin yang
mendapat separuh pendapatan daripada PGK dikategorikan sebagai miskin mutlak
atau miskin tegar.
Menentukan
kaedah yang tepat dalam mengenal pasti golongan sasar sangat penting. Ini
kerana implikasi dasar yang akan digubal dan dilaksanakan oleh agensi kerajaan
akan menentukan keberkesanan program kemiskinan, peruntukan bajet yang
mencukupi dan yang lebih penting ialah kelompok sasar dapat keluar daripada
lingkaran ganas kemiskinan dengan cepat.
Negara-negara
yang masih memiliki kelompok miskin yang ramai sering kali menilai kaedah
program pembasmian yang digunakan. Namun begitu, dalam banyak pendekatan yang
digunakan, penglibatan kerajaan amat memberi perubahan yang ketara.
Di Malaysia,
inisiatif kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan menyebabkan
kadar kemiskinan menurun setiap tahun. Pada tahun 1970, kadar kemiskinan di
negara itu ialah 52.4 peratus, 6.8 peratus pada tahun 1997 dan sehingga tahun 2007 masih
terdapat 5.1 peratus. Melalui
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 2006-2010, Malaysia berjaya mengurangkan
kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 dengan peruntukan sebanyak
RM11.52 bilion.
Kejayaan
ini disumbangkan oleh banyak perkara seperti memiliki data lengkap kelompok
miskin, dasar yang komprehensif, bajet yang cukup dan keazaman politik kerajaan
untuk menghapuskan kemiskinan. Contohnya dalam mengenal pasti kumpulan sasar
yang benar-benar miskin, kerajaan Malaysia menggunakan kaedah bancian untuk
mendapatkan jumlah isi rumah miskin, seterusnya diberi pelbagai bantuan supaya
mereka keluar dari status miskin.
Di
Indonesia kerajaan negara itu menggunakan pendekatan memberi bantuan modal
kepada kelompok sasar untuk memulakan bisnes dan perusahaan. Manakala di
Brazil, kerajaan negara itu menggunakan kaedah pendapatan asas atau ‘basic
income.’
Dalam
era moden dan persaingan hari ini, kemiskinan bukan lagi suatu misteri. Ia boleh
diatasi dan kunci kepada perubahan ini ialah pendidikan. Memberi pendidikan
yang lengkap, peluang yang lebih luas kepada pekerjaan serta membuka sektor
perkhidmatan dan pembuatan pasti dapat menghapuskan kelompok miskin khususnya
miskin tegar.