Friday, May 04, 2012

Ubah pelaku ganas melalui pendidikan







Polis Diraja Malaysia mula mencari pelaku ganas yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 untuk didakwa. Gambar pelaku-pelaku ini disiarkan di akhbar dan sangat mudah untuk dikenali kerana wajah mereka ini sangat jelas.

Bagi orang yang tidak menyertai perhimpunan berkenaan, seribu satu macam persoalan yang muncul dalam fikiran mereka seperti perlakuan merosakkan kenderaan rasmi kerajaan, tidak menghiraukan arahan dan mengenepikan peraturan sememangnya menjadi sebahagian daripada tabiat masyarakat. 

Pihak berkuasa menggunakan media sebagai alat kuasa untuk menjejak pelaku ganas dalam tempoh beberapa tahun ini. Bantuan orang ramai ditagih ketika polis mahu menyelesaikan kes-kes yang melibatkan kepentingan masyarakat awam. Rompakan, pembunuhan, penculikan dan pergaduhan semakin lumrah dewasa ini menyebabkan keselamatan rakyat sendiri terancam.

Setiap tahun terdapat pelaku ganas yang dicari dan wajah mereka disiarkan di akhbar. Sejauh mana keberkesanan ini tidak dapat dipastikan. Apatah lagi jumlah pelaku ini agak ramai nemun tugas menegakkan undang-undang perlu dilaksanakan. Kita yakin andainya pelaku ganas seperti yang dipaparkan itu ditangkap dan didakwa, mereka tentu berfikir dua kali untuk melakukan aksi yang sama pada masa depan.

Perlakuan yang dianggap remeh ini muncul ketika adanya perhimpunan yang bersifat meluahkan perasaan sama ada kecil ataupun besar.Ia berpunca sebahagiannya kerana masyarakat biasa menyelesaikan masalah secara emosi dan tidak bersedia untuk berunding dan menerima perbezaan pendapat. Begitu juga dengan sistem penyelesaian yang ada, kerajaan memilih pendekatan berkeras untuk menyelesaikan masalah dan tidak bersedia kemahiran berunding. Akhirnya banyak masalah yang berakhir dengan kekerasan dan kecederaan.

Mendidik rakyat supaya berkelakuan mengikut undang-undang adalah tanggungjawab negara melalui sistem pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang. Negara yang mempunyai tahap jenayah yang rendah dinilai telah berjaya mendidik rakyatnya mengikut peraturan dan undang-undang yang disediakan.

Kita ambil contoh peraturan jalan raya. Penunggang motosikal dikatakan menjadi mangsa kemalangan maut paling ramai di atas jalan raya di Malaysia. Tidak kira tua, muda, kecil atau besar, mangsa-mangsa ini terus bertambah kerana sistem pendidikan dan infrastruktur tidak memberi kesan kepada kesedaran ketika menunggang motosikal atau kenderaan lain. Di persimpangan lampu isyarat, mereka melanggar lampu warna merah seolah-olah tidak rasa bersalah dan tidak pernah memikirkan keselamatan pengguna lain. Di sesetengah jalan, tidak ada ruang untuk penunggang motosikal menyebabkan mereka berkongsi alur jalan dengan bas dan lori.

Kita tidak tahu berapa lama lagi hendak melihat pengguna jalan raya yang betul-betul menghargai peraturan yang dibuat.

Kerajaan perlu memantapkan sistem pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang supaya masyarakat kita dapat berkembang dengan mental yang sihat dan tidak terikat dengan nilai-nilai yang menyekat kemajuan.


No comments:

Post a Comment