Wednesday, May 09, 2012

Faktor kewangan punca lelaki lewat kahwin





Sumber: utusan.com


Masalah kewangan, tidak ada calon yang sesuai, kerjaya dan komitmen keluarga menjadi punca kepada pembujangan golongan lelaki di Malaysia. Dengan 60.4 peratus lelaki yang tidak pernah berkahwin berbanding wanita (39.6 peratus), kedua-dua kelompok ini bakal menyumbang kepada masalah sosial yang lebih besar dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Faktor utama yang telah dikenal pasti sebagai penghalang kepada niat untuk berkahwin ialah tidak cukup wang iaitu 44.7 peratus berbanding tidak ada calon yang sesuai iaitu 19.3 peratus.

Apakah punca orang lelaki tidak cukup wang?

Pertama, gaji yang kecil. Pendapatan pekerja di Malaysia jauh lebih kecil berbanding rakan mereka di Singapura atau di Brunei kerana kerajaan masih berkira-kira hendak menaikkan gaji kakitangan awam yang lebih tinggi atau menetapkan gaji minimum yang lebih baik berbanding RM900 sebulan ketika ini. Kos hidup yang meningkat setiap tahun (lebih-lebih lagi apabila harga bahan api naik) membuatkan sebahagian daripada pendapatan golongan lelaki diperuntukkan kepada sewa rumah, bayaran kenderaan dan belanja hidup. Jika ada pun untuk simpanan, jumlahnya sangat kecil.

Kedua, budaya menyimpan belum menjadi tabiat hidup. Keutamaan orang lelaki yang muda ialah membeli kenderaan seperti motosikal atau kereta, telefon bimbit dan pakaian berjenama. Budaya menyimpan sebahagian kecil pendapatan kurang mantap menyebabkan tidak ada simpanan apatah lagi hendak membeli harta sebagai pelaburan.

Ketiga, statistik jumlah lelaki di institusi pengajian tinggi menunjukkan trend kemerosotan kemasukan dalam pelbagai kursus. Ke mana mereka menghilangkan diri? Sifat lelaki yang lebih cenderung terhadap pekerjaan menyebabkan mereka mengambil keputusan memasuki pasaran kerja yang bergaji rendah bagi menyara keperluan keluarga. Berbanding pelajar perempuan, fokus golongan ini ialah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang seterusnya meraih pekerjaan yang baik dengan gaji yang lebih tinggi.

Keempat, kos mengadakan majlis perkahwinan yang semakin meningkat. Pelaksanaan nikah dan kahwin semakin kompleks. Kos biasa yang bakal dibayar untuk majlis kenduri, mas kahwin dan wang hantaran turut bertambah kerana wanita lebih terpelajar nilainya lebih mahal. Anggaran RM15 ribu hingga RM20 ribu adalah normal pada hari ini termasuk di kampung. Ini kerana majlis perlu dilihat meriah dengan bunyi-bunyian, kompang dan gendang, acara potong kek, penyediaan pelamin dan hadiah untuk pengunjung. Elemen-elemen ini dibentuk secara sengaja kesan psikologi daripada persaingan “siapa lebih meriah” dalam menganjurkan majlis perkahwinan ini. Mentaliti ini menyebabkan “lebih baik bujang” muncul sedikit demi sedikit dalam diri orang lelaki dan melenyapkan keinginan untuk berkahwin.

Kelima, pergaulan bebas dan tidak tahu mempraktikkan amalan beragama membuka ruang kepada tawarnya hati lelaki untuk mencari pasangan yang secocok bagi dijadikan isteri. Hati lelaki menjadi kering kerana dalam fikirannya sangat susah mencari calon isteri yang benar-benar boleh dijadikan isteri. Akhirnya perkahwinan tidak lagi menjadi ekslusif dan menarik.

Keenam, kefahaman terhadap kepentingan berkahwin yang semakin lemah. Masalah ini berpunca daripada tidak ada perasaan “seronoknya kahwin” dalam diri orang lelaki, yang ada “susahnya kahwin”. Galakan berkahwin kurang diberi insentif kewangan, nasihat, tunjuk ajar dan bimbingan. Agensi kerajaan yang terlibat dalam hal ehwal perkahwinan kurang aktif berkempen bagi menggalakkan orang lelaki mencari isteri. Kalau ada pun insentif, ia dilakukan secara bermusim.

Ketujuh, nilai diri orang lelaki yang semakin rendah. Maksudnya ialah wanita dengan pendidikan dan pendapatan yang lebih tinggi mencetuskan rasa gerun kepada orang lelaki untuk masuk meminang. Motivasi diri untuk mencari bakal isteri sangat lemah kerana beranggapan nilai diri yang rendah ini bakal memberi kesusahan kepada keluarga. Lama-kelamaan rasa ghairah untuk berkahwin hilang begitu sahaja.

Banyak lagi sebab-musabab orang lelaki enggan berkahwin. Penyelesaian kepada “bujang lapok” ini perlukan kerjasama banyak pihak. Jika masalah kewangan menjadi puncanya, insitusi kewangan boleh melaksanakan skim pinjaman untuk berkahwin dalam jumlah yang munasabah kepada semua orang lelaki yang cukup umur dan bersedia untuk berkahwin. Ia tidak menjadi masalah besar kalau dilaksanakan. Institusi agama boleh menyediakan bantuan kewangan melalui zakat dan baitulmal bagi menggalakkan perkahwinan ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengambil inisiatif mengadakan kempen “seronoknya kahwin” di media massa supaya orang lelaki mendapat suntikan untuk berlumba-lumba mencari calon isteri masing-masing. Calon-calon ini tidak semestinya anak dara sahaja kerana ia boleh jadi ibu tunggal.

Menguruskan perkahwinan yang mendapat berkat perlu menjadi keutamaan dan niat kita. Telah banyak berlaku perkahwinan yang berharga puluhan ringgit berakhir dengan penceraian dan pasangan naik dan turun mahkamah. Persepsi terhadap perkahwinan ini perlu dibetulkan kembali supaya orang lelaki mendapat suntikan motivasi untuk berkahwin.

 

No comments:

Post a Comment