Bekerja supaya Allah sayang |
Bagaimanapun, pekerja yang dimaksudkan ialah mereka yang mendapat upah selepas tempoh tertentu melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
Dari dulu hingga sekarang dan akan datang, pelbagai kaedah dan sistem diperkenalkan untuk pekerja menjadi cemerlang. Negara Jepun telah mengorak langkah dengan memperkenalkan konsep 'kaizen' iaitu sentiasa melakukan kecemerlangan secara berterusan biar pun sedikit. Konsep ini diperkenalkan ke seluruh dunia hingga Malaysia pernah memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur untuk mencontohi kegigihan dan kerajinan pekerja-pekerja Jepun khususnya. Pelaksanaan berbagai-bagai kaedah peningkatan diri pekerja telah menjadi saingan kepada pekerja-pekerja di Amerika Syarikat dan Eropah. Hari ini, kedua-dua masyarakat itu jauh ketinggalan dalam produktiviti kerja jika dibandingkan dengan masyarakat Asia khususnya di Korea Selatan dan China.
Bagi pekerja muslim, konsep bekerja mencakupi tiga hubungan. Pertama, hubungan dengan Allah swt, kedua, hubungan sesama manusia, dan ketiga, hubungan dengan alam sekitar. Memahami dan menghayati konsep bekerja ini dapat dirangkumkan sebagai 'bekerja adalah ibadah.' Konsep seperti ini tidak pernah diterapkan dalam budaya kerja di Jepun atau di Barat kerana mereka tidak ada konsep hubungan dengan Tuhan. Justeru, mereka buat apa yang mereka hendak buat.
Begitu juga dengan konsep kecemerlangan. Cemerlang kerja bagi seorang pekerja biasa ialah dapat memberikan hasil kepada organisasi seperti peningkatan volum jualan, keuntungan yang banyak dan semua orang suka hati. Sebaliknya cemerlang kepada seorang pekerja muslim ialah taqwanya bertambah-tambah, di samping kejayaan seperti pekerja biasa tadi. Pekerja muslim memiliki sifat yang jauh bezanya. Dalam menentukan ciri-ciri pekerja yang bertaqwa dan berkualiti, nukilan Imam Hassan al Banna amat baik untuk kita beri perhatian.
Beliau menyatakan seorang pekerja muslim sentiasa memenuhi tuntutan hidup kepada Allah swt, menunaikan tanggungjawab sesama manusia dan menjaga hubungan dengan persekitaran. Seorang pekerja muslim memulakan hidupnya dengan solat subuh, orang pertama sampai ke tempat kerja dengan niat yang betul, melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh sehinggalah menjadi orang terakhir meningalkan pejabat. Beliau pulang ke rumah dengan tenaga yang masih kuat dan hati yang berkobar-kobar, menyertai program yang diaturkan oleh jemaah dan pada awal pagi, beliau bangun qiamullail sambil menunggu masuk waktu subuh. Selepas itu menjadi orang pertama yang berada dalam pejabat meneruskan kerja.
Budaya kerja cemerlang telah pun didedahkan oleh Rasulullah saw kepada umat Islam seluruh dunia. Diterangkan tip dan sistem terbaik untuk menjadi pekerja cemerlang dari awal bangun tidur hingga bangun keesokan harinya. Cuma kita yang tidak memberi perhatian mungkin kerana mengagungkan sistem dan kaedah dari Barat atau Jepun yang dianggap lebih canggih dan terbaik.
Bekerja semata-mata mengharapkan bos sayang tidak akan ke mana. Sebaliknya, jika bekerja kerana mengharapkan redha Allah swt, bukan sahaja bos yang akan sayang, semua orang akan sayang kerana Rasulullah saw telah menunjukkan contoh dan teladan sejak dulu lagi.
No comments:
Post a Comment