Monday, May 21, 2012

Mencari calon biasiswa kecemerlangan Maxis

 
 
 


Selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, tugas pelajar ialah mencari tempat belajar yang sesuai dengan kelayakan dan minat masing-masing. Mendapat tempat di institusi pengajian tinggi yang dihajatkan bukanlah pelengkap kepada kejayaan untuk menjejakkan kaki ke universiti sebaliknya hanya separuh yang diselesaikan. Selebihnya ialah kemudahan pembiayaan pengajian.

Pelajar yang datang dari kawasan luar bandar, anak-anak petani, penoreh getah dan anak nelayan tentu menghadapi laluan sukar untuk memenuhi syarat ini. Di mana hendak mendapat RM1000 hingga RM2000 sebagai yuran pengajian dan kos-kos lain? Pelajar di bandar dengan ibu bapa yang berpendapatan lebih tinggi tidak menjadi masalah untuk menyediakan wang seribu dua.

Artikel ini sebaliknya ingin mendedahkan bagaimana bantuan pelajaran yang ditawarkan kepada pelajar sebenarnya boleh didapati dengan mudah tetapi sangat kompetitif.

Terdapat banyak syarikat, agensi, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan yang menawarkan bantuan pendidikan ke universiti. Kerajaan sendiri melalui pelbagai agensi memberi bantuan ini sama ada dalam bentuk pinjaman atau biasiswa dengan matlamat menggalakkan rakyat negara ini belajar. Di syarikat swasta, pemain industri berlumba-lumba menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar pintar dari seluruh negara. Salah satu syarikat tersebut ialah Maxis.

Peneraju telekomunikasi utama di  Malaysia, Maxis, sentiasa menawarkan peluang pembangunan sumber manusia yang lebih dinamik khususnya dalam bidang yang menjadi teras syarikat. Saban tahun, Maxis menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum. Justeru, permohonan dibuka kepada pelajar yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang yang ditawarkan dengan jumlah pembiayaan yang menakjubkan. Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya dan calon mesti menunjukkan tahap kecerdikan dan kematangan ketika sesi temuduga.

Panel temuduga terdiri daripada mereka yang profesional dari pelbagai latar belakang, pengalaman luas dan rekomendasi yang tepat. Jadi, bagaimanakah calon yang hendak dipilih ini? Oleh kerana namanya pun kompetitif, calon-calon perlu menunjukkan kelebihan masing-masing. Apa dan di mana kelebihan ini akan diperhati dan dinilai?

Proses temuduga bersifat dinamik. Tidak ada soalan yang mengikut skima kerana panel perlu melihat kematangan calon menjawab soalan dan memberi pendapat. Jadi, kemahiran paling penting di sini ialah persediaan sebelum ditemuduga. Bagaimana hendak melakukannya?

Pelajar-pelajar bukan Melayu biasanya telah bersedia dengan temuduga ini kerana ibu bapa mereka sendiri yang membuat 'drill' temuduga. Proses 'drilling' ini seperti temuduga sebenar termasuk penggunaan bahasa Inggeris, tatacara menjawab soalan, kaedah memberi jawapan yang logik, kawalan emosi dan penampilan fizikal. Malah minyak wangi yang bersesuaian turut diberi perhatian.

Adakah pelajar-pelajar Melayu  dan bumiputera kita melakukan perkara yang sama? Ibu bapa mengadakan sesi temuduga, mengenakan soalan yang relevan dan menilai tahap jawapan anak sendiri? 

Dalam pemerhatian, wajah-wajah Melayu dan bumiputera yang disiarkan dalam iklan di media massa sangat kurang. Kemungkinan besar ramai calon yang berkelayakan tidak perasan tawaran biasiswa ini ataupun memang tidak layak dan gagal dalam proses temuduga. Jika gagal, mereka wajar belajar dan meneruskan usaha memberi penampilan yang terbaik semasa sesi temuduga. Dalam syarikat-syarikat besar seperti Maxis, meritokrasi dan kebolehan individu diutamakan, bukannya bermurah hati menawarkan biasiswa kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi berasaskan kaum.

Sekiranya tidak ramai pelajar Melayu atau bumiputera lain yang ditawarkan biasiswa Maxis, perlu ada pihak-pihak yang memiliki kepakaran dalam menemuduga akan dapat melatih calon-calon ini menjawab soalan dalam sesi temuduga dengan lebih berkesan.



No comments:

Post a Comment