Saturday, May 05, 2012

Propaz, inisiatif pembasmian kemiskinan di Brunei

 
 


Usaha pembasmian kemiskinan dalam masyarakat Brunei melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) telah menunjukkan kemajuan untuk membawa keluar kelompok miskin daripada cengkaman dan lingkaran ganas yang menghalang mereka daripada menikmati kesejahteraan hidup.

Amat membanggakan apabila para peserta ini memiliki tahap pengetahuan dan kemahiran yang melayakkan mereka untuk mendapat pekerjaan di sektor swasta atau kerajaan. Malah ada yang sangat berkeyakinan untuk memulakan bisnes biar pun secara kecil-kecilan. Menepati pepatah ‘sikit-sikit  lama-lama menjadi bukit’, bisnes amat sesuai bagi mereka untuk berusaha sendiri mengubah hidup.

Kemiskinan merupakan fenomena global termasuk dalam kalangan negara-negara maju. Di Brunei, walaupun jumlah kelompok miskin secara relatifnya adalah kecil, ia tidak wajar dibiarkan.

Justeru, penglibatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Urus Setia Program PROPAZ dan Pusat Pembangunan Belia boleh menjadi model kepada program intervensi pembasmian kemiskinan supaya keluarga miskin tidak terus terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan. Jika ibu bapa, anak dan cucu dari keluarga miskin ini tidak dapat keluar dari belenggu kemiskinan, besar kemungkinan generasi akan datang akan terus berada dalam kedaifan.

Penentuan terhadap kelompok yang miskin ditentukan oleh Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan beberapa kaedah lain. Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan golongan yang benar-benar miskin atau dikelompokkan sebagai miskin mutlak ialah berpendapatan hanya US$2 sehari. Bagaimanapun takrifan miskin di Brunei harus melihat keperluan dan senario yang ada di dalam negara. 

Dalam memberi takrifan terhadap miskin, tiga aspek yang boleh diambil kira. Pertama, pengambilan kalori. Sejumlah kalori perlu diambil oleh individu atau isi rumah untuk melayakkan mereka tidak dikelompokkan sebagai miskin.

Kedua, keperluan asas. Pendekatan ini mengambil kira jumlah wang yang diperlukan bagi membeli barangan keperluan untuk hidup termasuk makanan dan barangan bukan makanan. Ketiga, kemiskinan relatif yang menggunakan ukuran pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk menentukan kelompok miskin dalam masyarakat. Kumpulan miskin yang mendapat separuh pendapatan daripada PGK dikategorikan sebagai miskin mutlak atau miskin tegar.

Menentukan kaedah yang tepat dalam mengenal pasti golongan sasar sangat penting. Ini kerana implikasi dasar yang akan digubal dan dilaksanakan oleh agensi kerajaan akan menentukan keberkesanan program kemiskinan, peruntukan bajet yang mencukupi dan yang lebih penting ialah kelompok sasar dapat keluar daripada lingkaran ganas kemiskinan dengan cepat.

Negara-negara yang masih memiliki kelompok miskin yang ramai sering kali menilai kaedah program pembasmian yang digunakan. Namun begitu, dalam banyak pendekatan yang digunakan, penglibatan kerajaan amat memberi perubahan yang ketara.

Di Malaysia, inisiatif kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan menyebabkan kadar kemiskinan menurun setiap tahun. Pada tahun 1970, kadar kemiskinan di negara itu ialah 52.4 peratus, 6.8 peratus pada tahun 1997 dan sehingga tahun 2007 masih terdapat 5.1 peratus. Melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 2006-2010, Malaysia berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 dengan peruntukan sebanyak RM11.52 bilion. 

Kejayaan ini disumbangkan oleh banyak perkara seperti memiliki data lengkap kelompok miskin, dasar yang komprehensif, bajet yang cukup dan keazaman politik kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan. Contohnya dalam mengenal pasti kumpulan sasar yang benar-benar miskin, kerajaan Malaysia menggunakan kaedah bancian untuk mendapatkan jumlah isi rumah miskin, seterusnya diberi pelbagai bantuan supaya mereka keluar dari status miskin. 

Di Indonesia kerajaan negara itu menggunakan pendekatan memberi bantuan modal kepada kelompok sasar untuk memulakan bisnes dan perusahaan. Manakala di Brazil, kerajaan negara itu menggunakan kaedah pendapatan asas atau ‘basic income.’ 

Dalam era moden dan persaingan hari ini, kemiskinan bukan lagi suatu misteri. Ia boleh diatasi dan kunci kepada perubahan ini ialah pendidikan. Memberi pendidikan yang lengkap, peluang yang lebih luas kepada pekerjaan serta membuka sektor perkhidmatan dan pembuatan pasti dapat menghapuskan kelompok miskin khususnya miskin tegar.


No comments:

Post a Comment