Wednesday, June 30, 2010

Mulanya gagal, kemudiannya hidup bahagia

Kisah-kisah kegagalan dalam hidup boleh menjadi inspirasi kepada kita. Ada pemimpin yang terpaksa bersaing dan melalui banyak rintangan sebelum dapat meraih kejayaan. Ada ahli sukan yang perlu melalui rutin latihan harian yang meletihkan sebelum dapat menggenggam sebutir pingat emas.

Mengakui kegagalan bukannya sesuatu perkara yang mudah kerana kesan kegagalan amat besar kepada emosi dan perubahan tingkah laku. Sebagai contoh, jika gagal mendapat tempat di universiti, seorang pelajar tidak perlu risau kerana dia boleh membuat rayuan dan mohon dipertimbangkan. Mungkin selepas belajar, di akhir pengajian dinobatkan sebagai pelajar terbaik fakulti.

Gagal kali pertama akan menyemarakkan ikhtiar dan usaha untuk mencuba dengan berbagai-bagai cara dan upaya. Kata orang hendak seribu daya, usaha seribu cara.

Tidak semua pensyarah di universiti bermula dengan cemerlang dalam pengajian mereka. Ada yang mendapat pangkat tiga dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan lulus bahasa Inggeris. Namun kesungguhan dan tekad mahu berjaya membuatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang pensyarah. Seterusnya belajar bahasa Inggeris bersendirian dan menumpukan masa untuk penyelidikan.

Kegagalan bukannya penamat kehidupan. Sebaliknya perlu untuk menjadi azimat ke arah pencapaian yang lebih cemerlang untuk hidup yang bahagia.

Tuesday, June 29, 2010

Sewaktu sakit datang menyapa

‘Mamit dah banyak berubah sekarang,’ bisik Adi, anak saudara Mamit ketika saya bertanya khabar keadaannya. Baru sebulan Mamit menjalani pembedahan pintasan jantung di Jerudong Park Medical Centre (JPMC). Keadaannya masih lemah biarpun dapat berjalan ke sana-sini. Ketika saya sampai di halaman rumahnya, Mamit keluar perlahan-lahan dan sekali-sekala cuba memberi senyuman. Terasa ada kelainan apabila bersalam dengan Mamit, kelibatnya sangat ‘slow’ apatah lagi ketika bercakap. Sepatah ditanya, terasa lambat sekali untuk membuka mulut.

Sekali-sekala Mamit tunduk sambil mulut sedikit terbuka, terkumat-kamit untuk menyatakan sesuatu namun tidak juga keluar perkataan yang dipilihnya.

Walaupun sakit, Mamit gagahkan juga melayan saya sekeluarga. Riak wajahnya masih kurang berseri, jauh bezanya ketika kami berjumpa pada Februari lalu. Ketika itu, Mamit sentiasa tersenyum, kadang-kadang bergurau dan ketawa riang. Geraknya juga pantas dan pantang dikeloi, pasti dia akan terus menyahut dan bersuara.

Kini semuanya berbeza.

Sejak dimasukkan ke JPMC akibat serangan angin ahmar, senyum ketawa Mamit tidak lagi kelihatan. Sepuluh hari di unit rawatan rapi, ingatan Mamit banyak yang telah hilang. Rakan-rakan yang suatu ketika dulu diingatinya, kini ramai yang ‘lenyap’ dari memori. Rakan-rakan yang pernah minum teh tarik, rakan-rakan yang kerap berjemaah di Masjib Kampung Beribi, rakan-rakan yang pernah naik kereta dan bermalamnya di rumahnya kini sudah tidak dikenalinya seperti dulu.

Isterinya, Kak Midah begitu tabah dan setia disisi Mamit. Saat-saat sakit datang menyapa Mamit adalah ujian kesetiaan seorang isteri. Walaupun ketika berbual Kak Midah sering senyum dan ketawa, namun jauh di sudut harinya berkumpul risau dan bimbang yang menggunung kerana Mamit perlu diperhati dan dilayan setiap masa.

Sejarah kesihatan Mamit tidaklah begitu baik biarpun dia nampak sihat dan cergas. Secara berkala dia perlu mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi bagi menstabilkan kandungan gula dan tekanan darah. Sebagai penguasa di jabatan kerajaan, Mamit perlu sentiasa bersedia apabila dipanggil untuk membuat pemeriksaan kehalalan ayam dan daging di terminal Muara. Jenis kerjaya yang dipilih Mamit membuatkannya mendapat ramai kenalan khususnya dari agensi penguatkuasa dan ahli perniagaan.

Justeru, apabila Mamit hadir dalam majlis perkahwinan anak perempuannya, rakan-rakan yang belum mengetahui keadaan Mamit berasa cuak apabila sapaan mereka tidak dijawab. Terkejut dan simpati. Dalam setiap masa, Mamit lebih suka duduk berbanding melayan tetamu yang hadir.

Sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, saya menghantar pesanan ringkas kepadanya.

‘Alhamdulillah, kami dah sampai KL tadi. Mamit rajin2 pi kelas terapi nanti cepat baik. Zahir.’

Selang beberapa minit, saya menerima SMS Mamit.

‘Terima kasih datang brunei, maaf kerana layanan tidak sbrapa... lain kali aku sihat kami dtg kl, insya Allah.’

Saya tahu bukan Mamit yang hantar SMS kerana susunan ayatnya sangat berbeza. Ingatan saya kepada beliau saya panjangkan dalam doa supaya Mamit cepat pulih dan kembali bekerja. Doktor kata Mamit seorang yang kuat semangat dan dapat ceria seperti dulu. Jika Mamit dapat hadir ke sesi terapi, otot-otot tangan dan kakinya akan kuat semula dan kami dapat menikmati teh tarik dan roti canai di Restauran Akhbar Ria, Sengkurong.

Mamit, semoga biskita sihat dan dipanjangkan umur.

Saturday, June 26, 2010

Abies Canadensis

Bertindak pada permukaan membran mukus yang menghasilkan keadaan rembesan berlebihan seperti kahak pekat atau mukus khususnya di perut.

Fikiran: Meradang dan mudah risau.

Kepala: Kepala ringan, sedikit mabuk, rasa seperti berenang-renang.

Perut: Mulut kering. memulas, lapar dan rasa lemah di bahagian epigastrium. Benci daging, jeruk dan makanan yang kasar. Mahu banyak makan lebih dari yang sepatutnya. Sakit usus. Perut dan epigastrium membengkak, panas terbakar.

Abdomen: Menderam-deram dalam usus selepas makan, rasa sangat berselera hendak makan. Kawasan hati rasa keras.

Najis: Dubur rasa terbakar. Sembelit.

Kencing: Kencing kerap siang dan malam. Air kencing warna kuning muda.

Seks Wanita: Fikir rahim menjadi lembut dan lemah. Rasa sakit di dasar usus, lega bila ditekan.

Pernafasan: Letih selepas bekerja penat. Tercungap-cungap.

Jantung: Degupan cepat dengan wujud tanda-tanda pembengkakan.

Belakang: Sakit di belakang bahu kanan. Lemah di kawasan sakral. Rasa sejuk di antara bahu.

Tidur: Mengantuk; malam tidak dapat tidur, berguling-guling dari sisi ke sisi.

Demam: Belakang sejuk; menggigil seluruh badan.

Umum: Tapak tangan rasa sejuk, mengecut;kulit rasa sejuk; mahu baring sepanjang masa.

Friday, June 25, 2010

Rahsia cap jari

Oleh Suzan Ahmad

Cap jari selama ini hanya digunakan sebagai asas pengenalan diri, sistem keselamatan sama ada untuk keperluan forensik ataupun mengenalpasti identiti penjenayah.

Namun tidak ramai yang ketahui cap jari itu mampu mendedahkan rahsia sebenar diri individu termasuk personaliti dan potensi dirinya. Ini hasil teknologi analisis imbasan cap jari yang boleh menyerlahkan bakat semula jadi insani hasil bawaan genetik. Malah cap jari itu disifatkan pakar umpama berlian yang hanya menanti masa untuk dicanai bagi merungkai rahsia diri seseorang.

Jika bakat adalah kemampuan diwarisi dalam diri seseorang yang dibawa sejak lahir dan berkaitan struktur otak, analisis cap jari adalah sistem mengenali potensi genetik seseorang berdasarkan sains dermatoglifik - ilmu yang mempelajari pola cap jari termasuk hujung luar derma kulit jari, telapak tangan dan tapak kaki yang sudah wujud selama lebih 200 tahun dalam sejarahnya.

Kebarangkalian memiliki cap jari sama pula disifatkan amat mustahil iaitu pada nisbah 1 setiap 64 juta atau hampir mustahil walaupun pada anak kembar. Ini kerana ia mula terbentuk sejak embrio berusia 13 minggu dalam kandungan ibu, lengkap pada usia 24 minggu dan terus berkembang seiring perkembangan sel otak.

Dermatoglifik pula adalah tiga pola dasar rupa bentuk cap jari iaitu arches atau lengkungan, simpulan (loops) dan lingkaran (whorls) atau gabungan ketiga-tiganya. Analisis cap jari ini menjadi antara khidmat yang disediakan syarikat perundingan, Airborne Discovery Sdn Bhd yang berpejabat di Shah Alam, Selangor.

Pengurusnya, Hanizah Ujang, berkata cap jari adalah bahagian tubuh yang bersifat kekal dan tidak pernah berubah.

“Cap jari adalah unik dan tersendiri bagi setiap individu dan mampu menggambarkan watak terperinci setiap orang. Memandangkan pertumbuhan cap jari bermula bagi embrio berusia 13 minggu dan perkembangannya pula seiring pertumbuhan otak. Pembentukan pola garis cap jari menggambarkan cara kerja dan fungsi bahagian otak,” katanya.

Namun, tegas Hanizah, tujuan dan manfaat analisis cap jari adalah untuk mengetahui potensi bakat, kecerdasan, watak dan motivasi individu dan tiada kena mengena dengan perbuatan meramal masa depan seperti menilik nasib berasaskan tapak tangan (Palmistry) dan sebagainya.

“Kaedah ini boleh dijadikan sumber rujukan berdasarkan potensi genetik untuk menentukan kejayaan masa depan, bukan untuk mengetahui masa depan. Memandangkan analisa dibuat melalui teori dan metodologi ilmiah dan proses perhitungan logik maka laporan adalah tepat berdasarkan data statistik dan biometrik.

“Masyarakat kini tidak lagi meletakkan kepentingan akademik sebagai kayu pengukur kejayaan dalam hidup secara seratus peratus, potensi bakat juga dilihat dan dinilai dalam diri seseorang kerana sebagai manusia kita dilahirkan unik. Ada kalanya kelebihan orang lain adalah kekurangan pada kita dan di situlah cabaran untuk kita memperbaiki diri,” katanya.

Bagi anak ‘auditory’ (gemar belajar dengan iringan suara, muzik dan bahasa) misalnya perlukan pendekatan berbeza berbanding anak kinestetik (menyukai pembelajaran dengan gerakan, pancaindera dan praktikal) dan visual (menyukai pembelajaran dengan gambar, grafik, foto dan tampilan). Begitu juga kedudukan mereka dalam kelas dan cara untuk berkomunikasi dengannya atau kalangan majikan, pekerja, pelajar, ibu, bapa dan individu lain.

Menurut Hanizah, teknologi analisis cap jari mula dipelopori lebih 25 tahun lalu di Amerika Syarikat (AS) terutama bahagian forensik Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hanya selepas dua tahun kaedah ini tersebar di Singapura dan Indonesia barulah ia sampai ke sini.

Katanya, sejak mula beroperasi lebih dua tahun lalu, syarikat Airborne Discovery sudah mempunyai 5,000 pangkalan data sampel cap jari. Kaedah ini bukan saja banyak memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak sebagai panduan memilih jurusan yang sesuai berdasarkan potensi diri, mengesan gaya pembelajaran yang sesuai dan efektif malah berupaya merancang masa depan dan kerjaya yang sesuai dengan bakat.

“Kaedah analisis ini besar manfaatnya kepada pembangunan sosio-ekonomi negara terutama kalangan perunding motivasi dalam membina sahsiah diri, majikan, ketua jabatan, guru-guru khidmat bimbingan dan kaunseling, penghuni pusat pemulihan akhlak serta pesalah juvana, golongan berkerjaya malah pasangan yang bakal melangkah ke alam perkahwinan.”

Bagi menjaga sensitiviti pelanggan yang majoriti beragama Islam, kaedah ini mempunyai panel syariah sendiri iaitu Penasihat dakwah untuk Kerajaan Negeri Selangor, Dr Azahar Yaakob yang juga Pensyarah Pengajian Islam UTM dan diiktiraf Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Kami juga menitikberatkan soal keselamatan data yang tersimpan dalam pangkalan datanya. Menjadi amalan penganalisis untuk memusnahkan imej sampel cap jari mengikut tempoh yang sudah ditetapkan iaitu satu hingga tiga bulan,” katanya

8 perkara asas analisis cap jari

“Sejak kecil hingga berkahwin dan beranak pinak, satu soalan yang masih sukar untuk dijawab hingga kini ialah adakah salasilah dalam keluarga yang berkahwin dengan orang asing? Adakah saya berdarah campur?” kata Zenora Ibrahim, 35, salah seorang pelanggan Airborne Discovery Sdn Bhd.

Pelbagai soalan timbul kerana pertama mungkin rupa paras, nama selain perwatakannya yang ceria, mesra dan mudah untuk didekati.

“Hidup tanpa kepastian memang cukup menyeksakan, dan maklumat mengenai salasilah keluarga menjadi semakin sukar kerana perpisahan dan juga kematian, jadi saya hilang punca dan tiada sumber untuk merujuk hal berkaitan keturunan dan darah,” kata Eksekutif Perhubungan Awam di sebuah firma swasta di ibu negara.

Mengetahui mengenai kaedah yang diperkenalkan AD selepas terlihat pameran mereka di sebuah pusat membeli belah. Selepas membuat temujanji semua persoalan semakin jelas.

“Analisis itu ternyata satu kejutan buat saya, berdasarkan rupa bentuk atau pola cap jari jenis lengkungan (arches), saya memang sah berdarah kacukan. Apapun, salasilah keturunan dan bangsa masih lagi satu misteri namun apa yang pasti arwah moyang saya adalah seorang guru taranum begitu juga ibu yang berbakat mengaji dengan baik manakala ayah yang berkebolehan bermain muzik.”

Hasil analisis itu juga menjelaskan ibu kepada tiga orang anak ini punya kecenderungan yang besar terhadap muzik. Laporan itu turut mendedahkan tabiat Zenora sewaktu menuntut yang tidak boleh belajar tanpa mendengar muzik. Ternyata Zenora jatuh dalam kategori pelajar auditory iaitu lebih menyukai pembelajaran dengan suara, muzik dan bahasa.

Laporan itu turut menggambarkan bahawa otak kanan Zenora yang mewakili kreativiti, warna, seni, visual, intuisi, idea, khayalan, muzik, bentuk dan ruang lebih dominan berbanding otak kiri, yang begitu cenderung terhadap sesuatu yang artistik.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah, perisian khas analisis imbasan cap jari akan memproses dan menilai lapan subjek atau perkara menerusi data yang diperoleh iaitu Ujian otak kanan otak kiri; Ujian potensi kompetensi multiple intelligence; Ujian pengambilan/penempatan pekerja; Ujian gaya belajar; Ujian kepekaan belajar; ujian keperibadian; Alternatif kerjaya dan Cadangan gaya kerja.

Laporan analisis oleh penganalisis yang siap akan dicetak dan dibukukan dalam Buku Bakat. Menerusi laporan analisis ini penganalisis akan berbincang dengan pelanggan mengenai maksud, interpretasi dan cadangan-cadangan untuk dijadikan panduan dalam merancang kejayaan dan masa depan pelanggan di mana proses ini hanya mengambil masa kurang dari 30 minit.

Laporan analisis ini juga membolehkan penganalisa mengesan Kecerdasan secara majmuk (multiple intelligence) supaya pelanggan lebih fokus dan terarah pada bidang tugas yang paling sesuai dengan potensi dan bakatnya.

INFO: Proses cap jari
• Sampel cap jari peserta diambil (sepuluh jari satu persatu)
• Sistem komputer mengumpulkan dan menganalisa data cap jari
• Perisian khas akan menganalisa data cap jari berdasarkan ilmu Neuroscience dan Dermatoglifik
• Fungsi kerja otak dipetakan
• Laporan Hasil Analisa Potensi Bakat dan proses rundingan.

(Berita Harian, 20 Jun 2010)

Thursday, June 24, 2010

Selesai konflik cara naratif

Peluang menghadiri bengkel menyelesaikan konflik melalui kaedah naratif di Palestin dan Israel baru-baru ini sangat menyeronokkan. Fasilitator , Prof Sami Adwan seorang rakyat Palestin mencetuskan idea yang menarik bagi merungkai masalah yang berlaku di antara kedua-dua buah negara.

Bagaimanapun kaedah naratif hanya berkesan jika kedua-dua pihak yang bersengketa mahu duduk bersama dan melihat masa depan bersama-sama. Jika tidak, Palestin dan Israel akan terus berperang dan berbunuhan.

Melalui kaedah main peranan (role play), perbincangan dan pembentangan secara bebas dan terbuka, para peserta bebas memberi pendapat dan meluahkan isi hati. Terdapat hampir lima orang profesor yang datang dari pelbagai latar belakang, peserta dari pertubuhan bukan kerajaan khususnya Interfaith, pensyarah dan pelajar antarabangsa.

Prof Sami membahagikan peserta kepada dua kumpulan bagi membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan konflik di dalam dan luar negara.Kumpulan pertama memilih isu bumiputera dan bukan bumiputera di Malaysia. Dalam pembentangan, wakil kumpulan itu melahirkan rasa tidak puas hati dengan dasar kerajaan Malaysia yang sangat berkait rapat dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hak istimewa orang Melayu dan Perkara 161A berkaitan kedudukan istimewa anak negeri Negeri Sabah dan Sarawak. Bagi beliau, sepatutnya wujud keadaan sama rata antara kaum di Malaysia tanpa membezakan warna kulit dan bangsa. Beliau memberi contoh bagaimana seorang bumiputera mendapat tujuh peratus diskaun ketika membeli rumah sedangkan bukan bumiputera tidak menikmati diskaun berkenaan.

Lalu beliau menyatakan, ‘Tanah ini adalah kepunyaan dinasour dan kita hanya mewarisinya dari dinasour.’

Ungkapan ini menyegarkan fikiran para peserta yang rata-ratanya agak tertekan dengan kandungan pembentangannya. Ternyata beliau masih belum memahami kandungan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyangnya 53 tahun yang lalu.

Kumpulan kedua membentangkan isu sebenar yang menjadi intipati dalam bengkel ini iaitu konflik Palestin dan Israel. Kumpulan ini diberi tugasan untuk membincangkan harapan kedua-dua buah negara untuk masa depan mereka bersama. Bagi kumpulan Palestin, mereka ingin mendapat peluang untuk memenuhi keperluan asas hidup dan kebebasan bergerak. Sistem pendidikan yang berkualiti turut menjadi impian mereka. Pada masa yang sama juga mengharapkan komuniti antarabangsa dapat membuat akujanji yang lebih kukuh bagi menekan Israel supaya menghormati hak-hak rakyat Palestin. Mereka juga ingin melihat kumpulan Hamas dan Fatah berdamai dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud dalam kalangan mereka.

Manakala Israel, hanya satu perkara yang difikirkan iaitu keselamatan. Apakah pada masa depan tidak ada lagi roket yang akan dilancarkan dari Semenanjung Gaza atau Tebing Barat?


Dari segi membina pemikiran yang lebih terbuka dalam menyelesaikan konflik yang melibatkan negara, kaedah naratif ini mampu memberi sumbangan kepada pemahaman yang lebih mendalam terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam konflik yang panjang.

Wednesday, June 23, 2010

Konflik etnik di Kyrgyzstan- sebab dan pengajaran

Pemerhati politik menyifatkan konflik etnik yang berlaku di Kyrgyzstan sebagai tanda awal ke arah pemisahan negara itu kepada kelompok etnik yang berkuasa. Kyrgyzstan didiami 5.5 juta orang dengan kelompok Kyrgyz membentuk 64.9 peratus, Uzbek 13.8 peratus, Russian 12.5 peratus, Dungan 1.1 peratus dan masing-masing Ukranian dan Uyghur 1 peratus. Sebahagian besar penduduk Kyrgyzstan beragama Islam (75 peratus) dan selebihnya Russian Orthodoks.

Semenjak merdeka pada 31 Ogos 1991, Kyrgyzstan berdepan dengan kerajaan yang tidak stabil. Peralihan kepimpinan sering menimbulkan masalah. Akhir-akhir ini berlaku rusuhan, konfranstasi dan skandal. Keadaan ini merupakan refleksi terhadap peralihan kerajaan pada Mac 2005 yang dikatakan sebagai permulaan demokrasi. Semua peringkat masyarakat merasakan mereka berupaya menyuarakan tuntutan masing-masing dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankannya.

Proses pendemokrasian menyerlahkan persaingan untuk berkuasa di antara kumpulan-kumpulan yang berpengaruh. Pelantikan dan perpindahan penjawat awam ke jabatan lain menyebabkan kemarahan dan bantahan awam. Seterusnya persaingan sengit antara beberapa kelompok berbeza untuk merebut kuasa menjadikan keadaan politik bertambah tegang. Pihak yang pro kepada kerajaan, pembangkang dan angkatan tentera memberi laluan kepada gambaran kabur terhadap masa depan rakyat yang banyak dipengaruhi oleh perjalanan politik negara.

Tidak ada harapan untuk berbincang tentang peranan pihak eksekutif atau perundangan yang dapat berkongsi pandangan tentang isu-isu utama negara. Sebaliknya setiap satu terpisah dengan bahagian masing-masing yang dipengaruhi oleh kuasa-kuasa luar. Parahnya kewujudan fraksi ini dijejak dengan penahanan pegawai keselamatan kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri, parlimen dan kerajaan.

Apabila ia berkaitan dengan tugas asasi kerajaan, undang-undang dan arahan, pengurusan sumber dan reformasi- persepsi umum terhadap pihak berkuasa amat negatif dan terdedah pada kritikan.

Berdasarkan kepada semua pertimbangan ini, ditambah dengan pandangan-pandangan yang meyakinkan, negara itu dilihat sedang beralih kepada sebuah negara yang akan berkonflik menyebabkan pasukan pengaman antarabangsa masuk untuk menyelesaikan masalah. Pandangan yang terlalu ekstrem ialah Kyrgyzstan akan berpecah kepada dua- satu bahagian akan bersama-sama dengan Uzbekistan dan satu lagi kekal sebagai Kyrgyzstan.

Dalam kalangan pakar-pakar politik antarabangsa, ada dua kemungkinan yang akan berlaku.

Pandangan pertama melihat Kyrgyzstan akan kembali melaksanakan sistem autokratik kerana sebilangan besar rakyat negara itu belum bersedia untuk melaksanakan proses demokrasi. Mungkin seorang pemimpin yang kuat akan muncul ataupun sebuah kerajaan junta yang menggabungkan polis dan pasukan keselamatan. Akhirnya akan berlaku revolusi dan anti revolusi di mana salah satunya akan menang.

Pandangan kedua pula ialah melihat Kyrgyzstan akan berubah menjadi sebuah Afghanistan- peperangan saudara. Idea yang menakutkan ini membayangi fikiran banyak pihak, dalam dan luar negara. Bagaimanapun pandangan ini tidak mengambil kira banyak perkara.

Konflik yang berlaku di Kyrgyzstan tidak dapat lari daripada ketidakadilan sosial khususnya di wilayah Osh. Konflik di Osh telah berlaku pada tahun 1990 dan berulang lagi pada tahun 2010. Institusi sosial di Osh jauh ketinggalan di mana hanya 25 peratus kanak-kanak yang hadir ke tadika. Bilangan sekolah hanya untuk 65 peratus penduduk. Di selatan Kyrgyzstan, bilangan tempat kemudahan awam adalah sangat sedikit. Tidak banyak perkhidmatan yang disediakan. Setiap saat penduduk di situ menyuarakan rasa tidak puas hati. Semua faktor ini menyumbang kepada ketegangan sosial dan ketidakpuasan rakyat.

Konflik yang berlaku dilihat tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku seiring dengan perubahan sosial. Memusnahkan institusi sedia ada dan membentuk sistem yang lebih demokratik selalu berhadapan dengan kekeliruan nilai, pengasingan pengaruh dan tidak berkesan. Faedah terbesar yang diperoleh oleh masyarakat Kyrgyzstan ialah mempelajari hidup dalam suasana pertentangan kepentingan pelbagai pihak.

Dalam masyarakat yang berusaha membentuk sebuah kerajaan demokratik, sebarang konflik akan memusatkan pada satu arah. Kepelbagaian kepentingan yang muncul dalam konflik di Kyrgyzstan membolehkan rakyat negara itu belajar untuk hidup bersama. Bahaya besar yang menanti mereka ialah menjalarnya pemerintahan kuku besi yang memberi ruang kepada revolusi dan tekanan.

Konflik di Kyrgyzstan hanya dapat diatasi melalui proses intervensi dengan mengehadkan hak dan kebebasan awam demi mengembalikan kestabilan negara itu.

Tuesday, June 22, 2010

Nasihat sebelum melangkah ke universiti

Sekalung tahniah ditujukan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjejakkan kaki untuk memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), pada sesi pengajian Julai 2010.

Tawaran menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS tentunya berita yang sangat menggembirakan pelajar dan seluruh keluarga. Justeru, tidak hairan jika ada yang sanggup berhabis menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung semata-mata untuk menghantar anak masuk ke universiti. Kegembiraan itu ditambah lagi dengan majlis kenduri kesyukuran yang diadakan.

Namun lebih daripada itu, setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia Ilahi kerana terpilih masuk ke universiti. Mana tidaknya, antara ratusan ribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebilangan kecil ditawarkan ke IPTA/IPTS yang menyediakan tempat terhad kepada mereka yang benar-benar layak.

Seterusnya kejayaan itu hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.

Jangan hanya bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti, mereka mula lalai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara.

Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.

Golongan mahasiswa juga perlu mengikhlaskan niat sejak hari pertama melangkah kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap segulung sijil dan gaji lumayan apabila bergraduat nanti.

Dewasa ini, terdapat golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas.

Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk itu. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda: “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”.

Selain itu, para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan memohon pertolongan-Nya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Ini kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan Pencipta-Nya, seseorang itu tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan holistik, dunia dan akhirat.

Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan tidak mengabaikan tanggungjawab utama iaitu melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan.

Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Ini kerana sebagai individu Muslim, ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain. Menurut Waqi, guru kepada Imam Shafie, ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pelaku maksiat.

Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti seperti menganggotai pergerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

Ia bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru, sebelum melakukan sesuatu, berfikirlah dengan matang dan bijaksana.

Golongan pelajar juga perlu bersedia untuk berkorban sepenuh masa dan sekuat tenaga untuk berjaya mengharungi liku-liku perjalanan sebagai pelajar universiti. Ia tak ubah seperti tentera yang bersabung nyawa berjihad di jalan Allah SWT. Malahan jika diperhalusi, ia adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadunan ilmu yang dikuasai oleh umatnya.

Nama-nama tersohor seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kegemilangan.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda: “Barang siapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barang siapa yang ingin kedua-duanya (dunia dan akhirat) juga hendaklah dengan ilmu.”

Justeru peluang mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti. Begitu juga diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga berasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya.


(Utusan 22 Jun 2010)

Saturday, June 19, 2010

Zincum Metallicum

Penawar lemah kuasa hayat dan sangat perlukan tenaga saraf ke otak.

Fikiran: Lemah ingatan; lupa apa yang telah berlaku sepanjang hari. Risau, putus asa, perasaan muram terutama petang. Menangis teresak-esak kerana menyesal. Bimbang.

Kepala: Pening dan rasa hendak rebah sebelah kiri bila berjalan. Tekanan pada pangkal hidung dan naik ke arah kepala. Dahi terasa tompokan tajam. Migrain; teruk selepas makan malam, menyengat. Pelipis kanan berdenyut-denyut. Ubun-ubun kepala sensitif bila disentuh; teruk sebelah petang. Belakang kepada rasa berat. Rambut gugur; botak keseluruhannya.

Mata: Radang mata; sakit teruk sebelah petang dan malam seperti ada pasir dalam mata, kerap berair; juga berlaku semasa datang haid. Mata dan kelopak mata panas terbakar, pagi dan petang dengan rasa kekeringan dan tekanan. Mata kanan rasa gatal seperti digigit kerana ada habuk; fotofobia dan mata berair; teruk di sebelah petang; menyucuk-nyucuk di sudut mata dengan pandangan menjadi kabur. Kelopak mata melekat-lekat di sebelah malam.

Telinga: Menyucuk-nyucuk di telinga kanan.

Hidung: Sakit dalam hidung seperti dipotong-potong dan gatal sebabkannya berair. Ada tekanan di pangkal hidung. Tersumbat.

Muka: Pucat; silih berganti dengan kemerah-merahan. Sakit seolah-olah dikoyak dari tulang-tulang muka. Tulang pada pipi kanan berdenyut-denyut. Bibir kering dan pecah-pecah. Radang semasa tumbuh gigi.

Kerongkong: Kering, banyak kahak berkumpul; cenderung berdehem, sakit kerongkong.

Perut: Mulut rasa masin. Hendak makan macam-macam. Tidak mahu gula. Hilang selera makan. Lapar, panas tapak tangan. Sendawa masam. Pedih ulu hati selepas makan makanan manis. Tersedu. Loya dan muntah. Muntah dengan mukus berdarah. Menyucuk-nyucuk di dalam dan bawah perut; kiri dan kanan.

Abdomen: Kejang di hipokondria, rasa senak dan sesak dada selepas makan. Hipokandrium kanan menyucuk-nyucuk; dalam limpa. Hati membesar. Sakit selepas makan sedikit dengan perut kembung. Sangat kenyang dan abdomen semakin mengembang. Rasa tekanan selepas makan. Kentut kerana sakit perut, berbunyi-bunyi. Sakit mencengkam selepas sarapan pagi atau dipotong-potong selepas makan malam.

Najis: Dubur gatal-gatal. Cacing mengorek-ngorek dubur. Dubur panas terbakar semasa berak. Sembelit degil; najis kecil, keras, kering dan hancur. Kuat meneran. Cirit-birit.

Kencing: Tekanan di kawasan pinggang kiri. Sakit di kawasan zakar dan saluran kencing. Air kencing berdarah. Kencing tanpa dapat dikawal semasa berjalan, batuk dan bersin.

Seks Lelaki: Kuat seks tetapi susah atau cepat keluar air mani.

Seks Perempuan: Kuat seks sebelah malam, mahu melakukan onani. Haid terlalu awal. Sakit semasa datang haid. Discaj berketul-ketul semasa haid; bila berjalan. Keputihan dan mukus tebal; berdarah.

Pernafasan: Suara serak. Terbakar di dada; menyucuk-nycuk di dada kanan. Dada sempit. Kering, batuk sekejap-sekejap.

Jantung: Berdebar-debar tanpa sebarang kebimbangan yang khusus. Laju.

Belakang: Rasa terbakar di seluruh tulang belakang. Tengkuk rasa lenguh kerana menulis atau aktiviti fizikal. Belakang rasa letih selepas berjalan. Sakit di kawasan pinggang, menyucuk-nyucuk; dipotong-potong; tekanan. Rasa terbakar di seluruh tulang belakang.

Kakitangan: Sendi-sendi kaki dengan rasa tajam menikam di bahagian atas sendi, kerap melintang. Tulang-tulang tengah rasa berbisa. Hujung-hujung jari kakitangan sejuk. Sendi-sendi seperti gatal. Simpulan dalam kaki. Rheumatik, lenguh-lenguh di anggota bawah kanan. Kaki bengkak air. Rasa berat. Tulang kering panas terbakar. Kaki lemah; teruk bila berjalan. Kaki lumpuh; lemah dan menggeletar; teruk sebelah pagi di tempat tidur, lega bila bangun dan berjalan. Ulser dan sakit-sakit di tumit, teruk bila berjalan. Sakit kaki kerana bengkak yang merah dan gatal-gatal kulit semasa cuaca sejuk (chilblains). Kaki banyak berpeluh. Menyucuk-nyucuk dalam sendi ibu jari kaki.

Tidur: Tidur tidak nyenyak; menjerit dan terkejut; kaki, tangan dan badan tersentak-sentak.

Umum: Menggigil dan tersentak-sentak serta simpul biawak di seluruh badan. Sangat berat, letih dan lesu semasa bangun pagi. Rasa semut-semut pada kulit.

Demam: Belakang badan menggigil. Sejuk menggeletar pada sebelah petang. Panas sepanjang malam dengan peluh.

Melarat: Kebanyakan simptom muncul selepas makan malam dan menjelang petang; semasa rehat; duduk; di tempat terbuka.

Lega: Kapur barus; berjalan; makan; berpeluh.

Thursday, June 17, 2010

Anak-anakku berjuanglah

Penulis: Ummu Anas (ummu-anas.blogspot.com)
Tahun: 2010
Penerbit: Tinta Image, Kajang, Selangor.
Muka Surat: 139

Ummu Anas seorang yang rajin menulis. Buku ini adalah buku yang kedua dihasilkannya selepas ‘Anak-anakku Bangunlah’ yang telah diulang cetak. Sambutan orang ramai terhadap buku-buku seperti ini amat menggalakkan kerana ia menjadi bahan nasihat yang sangat berguna.

‘Anak-anakku Berjuanglah’ mengandungi 13 bab yang disusun dengan berhati-hati supaya ada urutan dari satu topik ke topik lain. Setiap bab pula dimuatkan dengan tajuk-tajuk kecil untuk memudahkan pembaca mendapat mesej yang cepat.

Kandungan buku ini boleh dijadikan sumber bahan pengajaran dan pendidikan kepada semua peringkat kerana gaya bahasa yang mudah, santai dan ada elemen pengukuh yang dipetik dari al-quran dan hadis. Jika dijadikan bahan perbincangan usrah, ia mampu menambah pengetahuan ahli-ahlinya di samping membina kesedaran terhadap pembentukan generasi bertaqwa dan soleh.

Sumbangan saya pula ialah membuat suntingan manuskrip asal supaya kualiti buku ini dimantapkan.

Maklum balas daripada pembaca amat baik kerana ia penuh dengan nasihat dan peringatan yang dapat membangunkan jiwa dan akal mereka.

Wednesday, June 16, 2010

Penguatkuasaan akta pemerdagangan manusia perlu lebih mantap

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), yang menaik taraf Malaysia ke Tier 2 daripada Tier 3 dalam Laporan Senarai Pemerhatian Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010, menggesa negara ini untuk menyusun tindakan undang-undang awal penguatkuasaan di bawah Akta Pemerdagangan Manusia, khasnya berkaitan pemerdagangan buruh.

Laporan itu mencadangkan agar Malaysia melaksanakan hukuman jenayah lebih ketat terhadap mereka yang terbabit dalam mengambil buruh atau mengeksploitasi buruh paksaan. Dalam laporan itu yang dikeluarkan di laman webnya Isnin lalu, juga menggesa Malaysia untuk meningkatkan usaha bagi mendakwa dan mensabitkan kesalahan pegawai awam yang mengambil keuntungan daripada aktiviti ini atau terbabit dalam pemerdagangan atau mengeksploitasi mangsa.

Ia juga mencadangkan agar Malaysia membangun dan melaksanakan prosedur untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan buruh di kalangan kumpulan yang sering terdedah dengan aktiviti ini seperti pekerja migran dan merujuk mereka kepada perkhidmatan perlindungan yang ada. Laporan itu menggesa Malaysia memastikan bahawa mangsa pemerdagangan tidak diancam atau sebaliknya dihukum kerana jenayah dilakukan yang disebabkan pemerdagangan.

Laporan berkenaan mencadangkan agar Malaysia merundingkan semula memorandum persefahaman (MoU) dengan negara-negara sumber dalam menggabungkan perlindungan mangsa dan menarik balik pasport atau merampas dokumen perjalanan.

Ia juga mencadangkan agar Malaysia meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbaiki usaha perlindungan terhadap mangsa termasuk tempat untuk menempatkan mangsa pemerdagangan.

Laporan mencadangkan supaya Malaysia terus memperluaskan latihan kepada pegawai mengenai pengendalian pemerdagangan kes seks dan buruh, dengan penekanan terhadap perlindungan mangsa serta menerus dan memperluaskan kempen komprehensif dan jelas mengenai kesedaran antipemerdagangan bagi kedua-dua pemerdagangan buruh dan seks.

Ia juga meletakkan negara berdasarkan tahap pematuhan mereka mengenai pewujudan piawaian minimum untuk pembanterasan pemerdagangan manusia.

Negara Tier 1 bagi kerajaan yang mematuhi sepenuhnya dengan piawaian minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPA), sementara negara Tier 2 untuk kerajaan yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum, tetapi berusaha sungguh-sungguh untuk mematuhinya.

Senarai Pemerhatian Tier 2 adalah kerajaan yang tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum TVPA, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa mereka dalam pematuhan dengan piawaian terbabit, dan:

•Jumlah mangsa mutlak dalam bentuk pemerdagangan yang teruk adalah sangat ketara atau meningkat dengan ketara;

•Wujud kegagalan dalam menyediakan keterangan usaha yang meningkat bagi membanteras bentuk permerdagangan manusia yang teruk dari tahun sebelumnya atau,

•Keazaman bahawa sesebuah negara itu berusaha dengan ketara untuk membawa dirinya dalam pematuhan dengan piawaian minimum berdasarkan komitmen oleh negara itu bagi mengambil langkah tambahan pada masa akan datang pada tahun depan.

Sementara itu negara Tier 3 adalah bagi kerajaan yang tidak mematuhi sepenuhnya dengan piawaian minimum dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian.

Laporan itu menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk pembanterasan pemerdagangan, bagaimanapun, ia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian.

“Kerana penilaian bahawa kerajaan sudah berusaha bersungguh-sungguh berdasarkan sebahagian komitmennya untuk mengambil tindakan pada tahun akan datang – khususnya pelaksanaan yang lebih besar dalam undang-undang antipemerdagangan Malaysia menentang pemerdagangan buruh – Malaysia ditempatkan pada Senarai Pemerhatian Tier 2,” katanya.

Kerajaan Malaysia sudah menunjukkan komitmen besar dalam menangani pemerdagangan manusia yang dijangka mendahului peningkatan penyiasatan dan pendakwaan kesalahan pemerdagangan buruh dan mengenal pasti mangsa pemerdagangan buruh oleh pegawai kerajaan dan bekerjasama rapat dengan NGO serta pertubuhan antarabangsa bagi memperbaiki perkhidmatan mangsa dalam penempatan kerajaan.

Ketika tempoh pemberitaan itu, pegawai kanan kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan orang awam mengetahui masalah pemerdagangan manusia Malaysia.

Laporan itu menyatakan kerajaan juga sudah meningkatkan siasatannya dalam kes pemerdagangan dan memfailkan jumlah pertuduhan jenayah yang meningkat terhadap mereka yang melakukan aktiviti ini, memperluaskan latihan pegawai dengan ketara mengenai undang-undang antipemerdagangan 2007, menjalankan kempen kesedaran awam mengenai pemerdagangan manusia, membuka tiga lagi penempatan untuk mangsa pemerdagangan dan melancarkan pelan tindakan kebangsaan lima tahun mengenai pemerdagangan.

“Bagaimanapun, usaha awal ini akan memerlukan perhatian berterusan, kerana banyak perhatian yang serius masih ada berkaitan pemerdagangan di Malaysia, termasuk penahanan mangsa pemerdagangan dalam kemudahan kerajaan,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan bahawa kerajaan Malaysia sudah melakukan sedikit perkembangan dalam usaha undang-undang penguatkuasaan menentang pemerdagangan seks ketika tempoh pemberitaan dan mengehadkan kemajuan, pendakwaan serta mensabitkan kesalahan pesalah pemerdagangan buruh.

Undang-undang Malaysia melarang semua bentuk pemerdagangan manusia menerusi undang-undang antipemerdagangan manusia 2007, yang menyifatkan hukuman itu hendaklah setimpal dengan kesalahan serius lain, seperti rogol.

Ketika tempoh pemberitaan, kerajaan mensabitkan kesalahan tiga pemerdagangan seks dan melaporkan usaha 180 siasatan berkaitan pemerdagangan dan memfailkan 123 pertuduhan terhadap 69 individu, walaupun bilangan sebenarnya pemerdagangan adalah tidak jelas. Laporan itu menyatakan kerajaan melakukan sedikit kemajuan dalam perlindungan mangsa ketika tempoh pemberitaan itu.

“Usaha untuk mengenal pasti dan melindungi kedua-dua mangsa pemerdagangan seks dan buruh pada keseluruhannya masih tidak mencukupi. Kerajaan tidak melaporkan pengenalan sebarang mangsa rakyat Malaysia yang memerdagangkan,” kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus menyediakan dua penempatan pemerdagangan untuk wanita serta kanak-kanak dan membuka yang ketiga pada Julai tahun lalu, yang menahan mangsa pemerdagangan seks secara sukarela untuk 90 hari sehingga mereka dihantar pulang ke negara asalnya, mengikut undang-undang Malaysia.

Ketika tempoh pemberitaan itu, kerajaan juga membuka satu daripada dua penempatannya untuk mangsa pemerdagangan lelaki, sungguhpun penempatan ini juga menahan mangsa secara sukarela sehingga mereka dihantar pulang.

Menurut laporan itu, ketika tempoh pemberitaan, 139 wanita dan kanak-kanak disijilkan sebagai mangsa dan ditahan di tempat penempatan itu.

Tambahan 232 individu diberikan perintah perlindungan asal tetapi akhirnya ditentukan oleh kerajaan bukan mangsa pemerdagangan dan dihantar pulang sungguhpun pegawai mengetahui bahawa sesetengah mangsa pemerdagangan itu enggan bekerjasama dengan prosiding undang-undang penguatkuasaan.

Dalam tempoh tahun itu, kerajaan melaporkan sudah membuat sedikit pembaikan dalam pengimbasan untuk mengenal pasti individu yang memiliki kad UNHCR atau memiliki kepandaian memperdagangkan mangsa bagi mengasingkan mereka daripada penduduk migran yang haram.

Laporan itu menyatakan bahawa undang-undang antipemerdagangan menyediakan imuniti kepada mangsa pemerdagangan untuk kesalahan imigresen seperti masuk secara haram, kehadiran tidak sah dan memiliki dokumen perjalanan palsu, tetapi mangsa terus ditahan dan dihantar pulang kerana kesalahan imigresen, jika ditangkap. – BERNAMA


(Berita Harian, 16 Jun 2010)

Inisiatif mengurangkan penyeludupan manusia

Media melaporkan terdapat kumpulan agama dan politik negara luar yang memilih Malaysia sebagai tapak untuk memperkemaskan aktiviti subversif di negara masing-masing. Kumpulan agama Jemaah Islamiah (JI) dan kumpulan politik Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) disebut sebagai dua kumpulan asing yang mencari pengaruh selain daripada melakukan transaksi kewangan. Kedua-duanya dapat bertapak di negara ini kerana ada simpati daripada orang tempatan atau orang asing yang telah lama menetap di sini tetapi mempunyai aspirasi yang sama. Selain itu kita juga yakin terdapat kegiatan kumpulan pembebasan Selatan Thailand dan Selatan Filipina di negara ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun mengeluarkan amaran yang jelas supaya masyarakat awam bersedia dengan siri tangkapan yang akan dilakukan di samping mendapat maklumat yang boleh membantu melumpuhkan gerakan kumpulan-kumpulan berkenaan. Kecekapan PDRM amat membanggakan namun banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi menghalang pengaruh mereka berkembang dengan pantas.

Kadangkala pembongkaran sesuatu aktiviti yang menggugat keselamatan negara lebih dahulu dikesan oleh perisik negara luar seperti yang berlaku ke atas aktiviti penyeludupan manusia. Amerika Syarikat sering kali memberi tekanan ke atas kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain supaya mengambil tindakan segera bagi menghalang kegiatan penyeludupan manusia merentas sempadan ini. Tekanan ini dikesan pada tahun 2003 dan dua tahun selepas itu masyarakat awam mula menyedari kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada negara transit pelarian dari Iraq, Afghanistan, Sri Lanka dan Myanmar yang bercadang meneruskan perjalanan ke negara ketiga khususnya Australia. Kesedaran ini bermula apabila media melaporkan beberapa siri serbuan dan tangkapan di sempadan Malaysia-Thailand dan di perairan Kota Tinggi, Johor. Pelarian ini datang dari berbagai-bagai arah menggunakan jalan darat, laut dan udara.

Pada 2007, kerajaan Malaysia menggubal Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan mewujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang serta menggerakkan tindakan di peringkat nasional sebagai tindak balas di atas tekanan Amerika Syarikat.

Cabaran terkini ialah mewujudkan sebuah pusat penempatan mangsa penyeludupan manusia supaya selaras dengan ketetapan Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA). Walaupun Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 meletakkan Malaysia pada Tahap Dua, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam aspek penguatkuasaan dan perlindungan. Peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sama besar dengan Kementerian Dalam Negeri kerana kedua-duanya boleh menyumbang kepada penarafan yang lebih baik dalam TIP.

Kita ingin melihat sejauh mana kedua-dua kementerian ini mengambil inisiatif mengurangkan kemasukan pelarian asing dan pada masa yang sama membantu mewujudkan hubungan yang lebih baik dengan negara serantau.

Perniagaan internet lubuk rezeki generasi milineum

Hari ini perniagaan internet di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi. Perniagaan seumpama ini semakin digemari lantaran keberkesanan Internet sebagai medium komunikasi dan pemasaran.

Sehubungan itu, peningkatan jumlah pengguna internet juga dilihat sebagai tanda positif untuk berkecimpung dalam perniagaan seumpama itu. Bagi usahawan internet, Mohd Suhaimy Abu Bakar, 30, atau lebih dikenali sebagai Shuth, perniagaan internet adalah satu bentuk perniagaan untuk masa depan kerana kebanyakan perniagaan dan kedai baru akan dibuka dalam bentuk perniagaan internet berbanding perniagaan kovensional.


“Kedai buku terbesar di dunia bukanlah terletak di Amerika, China atau Jepun tetapi di internet iaitu amazon.com manakala pasar raya terbesar di dunia pula ialah eBay. Tidak mustahil suatu hari nanti semua orang akan lebih gemar membeli-belah di internet berbanding pasar raya,” katanya kepada Bernama.

Menceburi bidang perniagaan bukanlah impian Shuth ketika kecil. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, beliau mula bercita-cita menjadi usahawan. Hal ini kerana Shuth menyedari kebaikan dan keburukan antara bekerja makan gaji dengan bekerja sendiri.

Pada masa ini Shuth menjalankan beberapa jenis perniagaan internet yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan penyewaan ‘webhosting’, penerbitan serta penjualan ‘eBook’.


Sebelum menceburi bidang perniagaan, anak kelahiran Muar ini pernah bekerja sebagai eksekutif IT yang menguruskan bahagian multimedia dan juga pembangunan web di sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menyedari betapa pentingnya memiliki kebebasan masa dan juga kewangan, beliau cuba menceburi bidang perniagaan kerana percaya bidang ini mampu memberikan semua itu. ‘Saya sedar, cara terbaik untuk memiliki kedua-dua kebebasan itu ialah dengan menceburi diri ke dalam dunia perniagaan,’ jelasnya.

Sedia mengambil tanggungjawab 100 peratus dan sentiasa berfikiran positif ialah prinsip hidup Shuth untuk menjadi seorang usahawan berjaya. Beliau juga berpendapat, untuk menjalani kehidupan yang lebih gembira dan bebas, berniaga dan menjadi seorang usahawan adalah pilihan paling tepat.

Menurut Shuth, ada kajian yang menyatakan bahawa golongan yang bekerja sendiri dan berniaga mempunyai kehidupan yang lebih gembira dan memuaskan berbanding golongan yang makan gaji.

Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, setakat ini tiada halangan terlalu besar dihadapi beliau kecuali sedikit kritikan ketika melancarkan ‘eBook’ yang pertama pada 2005.

“Saya menerima e-mel dan juga panggilan telefon daripada seseorang yang mencerca saya dan mengatakan saya penipu sebab menjual ‘eBook’ di internet.

Pada masa itu, saya sedikit kecewa tetapi kembali bersemangat apabila melihat semakin ramai orang membeli ‘eBook’ dari sehari ke sehari.

“Pada pendapat saya, saya menjual ilmu dan maklumat, bukannya menjual fail kosong. Dunia sudah maju dan zaman sudah berubah, zaman ini ialah zaman informasi dan maklumat. Pada zaman ini, maklumat ialah sesuatu yang sangat penting dan berharga, jadi tidak hairanlah jika orang ramai akan mula memperdagangkannya di alaf baru ini,” jelasnya.

“Kejayaan yang saya rasa paling besar dalam hidup saya selepas menceburi bidang ini ialah apabila saya dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata saya setiap hari,” katanya bangga.

Penulis buku terlaris, Rahsia Blogger ini didorong oleh seorang rakannya yang mahu beliau berkongsi ilmu mengenai blog kepada orang ramai. Buku itu menceritakan peluang yang ada untuk mendapatkan wang di internet.

Harapan Shuth adalah selepas membaca buku berkenaan, mereka dapat melihat dan bertindak merebut peluang yang ada.

Generasi milineum atau nama lainnya, generasi Y, yang membesar dengan kewujudan internet, lebih gemar menggunakan internet untuk tujuan bersosial dan berhibur seperti Facebook, Myspace, ‘games’ (permainan mata) dan sebagainya.

Menurut Shuth, golongan ini mempunyai peluang cerah dalam bidang perniagaan internet selagi mereka mempunyai minat untuk berniaga serta menyedari kepentingan internet bagi tujuan perniagaan.

Shuth berkata golongan belia harus bijak mengambil peluang dan menggunakan ruang sedia ada ke arah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan. – BERNAMA

(Berita Harian, 16 Jun 2010)

Bina keyakinan diri

Ramai daripada kita sering tercari-cari kaedah atau cara untuk meyakinkan diri sendiri. Ada yang mengeluarkan wang sendiri bagi menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan sama ada di dalam atau luar negara. Tidak cukup dengan dalam bilik-bilik kuliah, aktiviti luar dan lasak menjadi pilihan. Kalau bukan di darat, laut pun diterjah.

Pelaburan yang besar untuk membina keyakinan diri belum tentu memberi impak yang maksimum dan bergraduat sebagai seorang yang 100 peratus berkeyakinan diri. Jika sistem pembentukan keyakinan diri itu berjaya, wujudlah sifat yakin dalam diri. Yakin dalam semua hal- bercakap, buat keputusan, analisis masalah atau merumuskan sesuatu peristiwa.

Dalam usaha membina keyakinan diri, di mana kita harus bermula? Ia bergantung pada individu kerana keyakinan diri tidak boleh dipindahkan dari seorang kepada seorang yang lain, atau dari bapa kepada anak atau dari suami kepada isteri. Begitu juga dari seorang yang tersohor kepada peminatnya.

Keyakinan diri mesti bermula dari individu khususnya kemahiran komunikasi. Namun komunikasi ini mempunyai konsep yang luas, jadinya di mana perlu diberi perhatian? Sama ada mahu ataupun tidak, kemahiran bercakap adalah kemahiran yang mesti dikuasai.

Apakah maksud kemahiran bercakap ini? Ia bukannya bercakap banyak atau berjela-jela sehingga membosankan orang lain tetapi bersuara untuk menyatakan pandangan dan keberanian tersebut diiringi dengan ketertiban.

Contohnya begini. Dalam satu ceramah, penceramah menanyakan soalan yang minta dijawab. Dalam kalangan peserta, masing-masing diam dan tidak memberi sebarang maklum balas kepada soalan tersebut. Maknanya, peserta tidak memiliki kemahiran komunikasi yang baik dalam aspek keberanian bersuara. Keadaan ini berbeza dengan situasi berikut. Seorang peserta tidak setuju dengan isi kandungan penceramah lalu keluar ke hadapan dan berkata, ‘Tuan, saya amat teruja dengan ceramah tuan mengenai perkara itu tetapi saya rasa ia kurang lengkap. Saya berpendapat begini...’

Ini adalah cara orang yang yakin dan ada tertib bersuara di khalayak. Kemahiran beginilah yang wajar dicontohi khususnya pelajar dan generasi muda yang mula menceburkan diri dalam dunia pekerjaan.

Tuesday, June 15, 2010

Dalang keganasan di Kyrgyzstan ditahan

Kerajaan sementara Kyrgyzstan hari ini mengumumkan penangkapan 'seorang yang terkenal' kerana disyaki mendalangi keganasan etnik terburuk di negara ini dalam tempoh 20 tahun.

Kementerian Dalam Negeri di negara Asia Tengah yang menempatkan pangkalan-pangkalan tentera Rusia dan AS ini menyifatkan situasi di Osh dan Jalalabad sebagai 'tegang' berikutan keganasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 117 orang maut dan 1,500 lagi cedera.

Seorang saksi di Osh berkata, gerombolan perusuh hari ini kembali melepaskan tembakan ke arah penduduk dan rumah di satu bahagian bandar ini.

Kerajaan sementara berkata, pihak berkuasa di Jalalabad menangkap seorang suspek tetapi tidak mendedahkan identitinya.

Mereka bagaimanapun mengulangi dakwaan bahawa para penyokong bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev mendalangi keganasan itu.

Bakiyev yang hidup dalam buangan di Belarus menafikan pembabitannya dan menuduh kerajaan sementara gagal melindungi rakyat.

Namun ketua tentera di Jalalabad, Kubatbek Baibolov berkata, keganasan itu tidak lain tidak bukan adalah percubaan penyokong dan ahli keluarga Bakiyev untuk merampas kuasa.

Keganasan etnik yang bermula lewat Khamis lalu dan meningkat pada hujung minggu telah menyebabkan 75,000 penduduk etnik Uzbek melarikan diri ke negara jiran, Uzbekistan setelah gerombolan etnik Kyrgyz membunuh anggota masyarakat minoriti itu serta membakar rumah dan perniagaan mereka.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, anggotanya melihat kira-kira 100 mayat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan, dan angka kematian rasmi dipercayai tidak termasuk mayat yang masih bergelimpangan di jalan raya.

Kebakaran yang dicetuskan oleh perusuh merebak di seluruh Osh, bandar kedua terbesar di negara ini, sementara kumpulan-kumpulan lelaki Kyrgyz bermaharajalela.

Keganasan merebak dengan pantas ke Jalalabad, sebuah lagi bandar besar 70 kilometer dari Osh, serta kampung-kampung berdekatan. - Reuters/AP


(Utusan Online, 15 Jun 2010)

Puluhan ribu tinggalkan Kyrgyzstan

Pertempuran bersenjata di antara kumpulan etnik di bandar raya Kyrgyzstan ini menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri sementara mayat bergelimpangan di jalan raya, kelmarin.

Letupan bom petrol mengakibatkan sebuah kedai milik etnik Uzbek terbakar dan mayat yang hangus dibiarkan tanpa diberikan perhatian oleh sesiapa pun. Kyrgyzstan adalah negara penting kepada kedua-dua Amerika Syarikat dan Russia yang mempunyai pangkalan tentera di negara Asia Tengah itu. “Mungkin sekurang-kurang 1,000 orang mati di Osh. Kami tidak dapat mendaftar mangsa maut kerana kami ditolak oleh pihak hospital atas alasan ia hanya untuk rakyat Kyrgyzstan,” kata Isamidin Kudbidunov, 27.

Jallahitdin Jalilatdinov, yang mengetuai Pusat Nasional Uzbek, memberitahu Associated Press semalam, 200 rakyat Uzbek dikebumi setakat ini.

Penduduk yang terkejut dengan kejadian itu berkata keganasan berkenaan akan mempunyai kesannya bagi beberapa generasi akan datang. “Kami tidak dapat hidup bersama lagi,” kata Akbar, seorang penduduk etnik tempatan Uzbek yang mundar-mandir di jalan raya di Osh.

Sekali sekala kedengaran bunyi tembakan di Osh semalam sementara di Jalalabad, kejadian dilaporkan semakin ganas.
“Situasi semakin teruk di Jalalabad,” timbalan ketua kerajaan sementara Kyrgyzstan, Temir Sariyev memberitahu pemberita di Bishkek.

Kejadian itu meletus Jumaat lalu di Osh apabila kumpulan etnik Kyrgyzstan mula menyerang kedai dan rumah penduduk etnik Uzbek yang mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan etnik terbesar di negara berkenaan.

Keganasan itu menyebabkan puluhan ribu golongan etnik Uzbek dan sebahagian besar penduduk Tajik membanjiri kawasan sempadan untuk masuk ke Uzbekistan.

Izzat Ibragimov, timbalan ketua perkhidmatan kecemasan di daerah Andijan, berkata terdapat 60,000 pelarian di sempadan Andijan saja tidak termasuk kanak-kanak.

Di timur daerah Khujaobad, Ikromiddin Valiyev, seorang pegawai penyelaras, berkata 2,500 tiba sejak Sabtu lalu. Anggaran pelarian yang melarikan diri ke Uzbekistan agak berbeza-beza tetapi pegawai kerajaan berkata angka berkenaan melebihi 100,000 orang.

Helikopter tentera Uzbek kelihatan terbang di sempadan Uzbek-Kyrgyz manakala anggota tentera memasang dapur sementara dan kemudahan perubatan di beberapa daerah di timur Uzbekistan.

Presiden sementara Kyrgyzstan, Roza Otunbayeva, Sabtu lalu merayu kepada Russia supaya menghantar bantuan ketenteraan bagi membendung keganasan itu.

Sementara itu, di KHOJAOBOD, Uzbekistan dilaporkan bertungkus lumus mendapatkan makanan, air dan bantuan perubatan bagi membantu puluhan ribu pelarian yang membanjiri negara itu.

Helikopter tentera berkawal di sepanjang sempadan ketika pihak berkuasa di beberapa daerah berusaha mencari perlindungan di sekolah, kilang dan bangunan lain untuk pelarian.

Seorang penduduk tempatan di daerah Kasansay di wilayah Namangan, timur Uzbekistan, ketika dihubungi menerusi telefon berkata, ramai pelarian – kedua-dua etnik Uzbek dan Tajik, tiba di sana pada waktu malam. – AFP

(Berita Harian Online, 15 Jun 2010)

Malaysia pada tahap dua pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR: Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahap Dua Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 berikutan keberkesanan kerajaan mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Tahun lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahap Tiga dalam menangani masalah jenayah pemerdagangan manusia. Laporan TIP menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan tahap pematuhan standard minimum bagi memerangi aktiviti pemerdagangan manusia. Tahap Satu merujuk kepada pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua pula bagi usaha yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA), manakala Tahap Tiga adalah negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat semalam, kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sangat prihatin mengenai isu pemerdagangan manusia, mengambil pelbagai langkah termasuk meningkatkan siasatan dan mendakwa mereka yang terbabit dalam kes seumpama itu serta menambah latihan pegawai yang terbabit dalam pencegahan dan siasatan.

Kerajaan juga mengadakan pelbagai kempen kesedaran awam mengenai isu pemerdagangan manusia, membuka tiga lagi pusat perlindungan mangsa dan melancarkan pelan tindakan peringkat nasional.

Kejayaan Malaysia itu turut dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui sepucuk surat daripada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat, pagi semalam.


Mengulas perkara itu, Hishammuddin yang ditemui di lobi Parlimen berkata, peningkatan tahap itu adalah pengiktirafan kepada Malaysia yang sentiasa komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia, termasuk menggubal Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan mewujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dengan lima jawatankuasa tetap.

“Selain itu, kita melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2010-2015, memperketatkan kawalan di sempadan negara dan mengenal pasti agensi kerajaan serta pihak berkepentingan untuk membasmi jenayah itu secara bersepadu,” katanya.

Terdahulu, pada persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata, seramai 1,447 orang berjaya diselamatkan daripada jenayah pemerdagangan manusia dari Februari 2008 hingga Mei lalu serta diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) di bawah Seksyen 44 (2), Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Daripada jumlah itu, 338 dikenal pasti sebagai mangsa sebenar yang diberikan Perintah Perlindungan (PO) di bawah Seksyen 51 (3),akta yang sama.

"Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman bagi membendung jenayah itu, kelemahan di negara asal mangsa untuk mencegah dan mendidik menyebabkan mangsa diperdaya oleh sindiket. Tahap kerjasama daripada orang awam dan agensi penguatkuasa juga perlu dipertingkatkan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

(Berita Harian Online, 15 Jun 2010)

Intipati Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015)

Berikut ialah intipati Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) (2011-2015) yang dikeluarkan Khamis:


TERAS

* Mencarta pembangunan ke arah negara berpendapatan tinggi

* Sasaran pertumbuhan 6 peratus

* Pendapatan perkapita dijangka meningkat kepada RM38,845 (US$12,139) pada 2015

* Membentuk ekonomi yang diteraju sektor swasta

* Menyokong pertumbuhan yang diteraju oleh inovasi

* Pekerjaan sepenuhnya

* Penstrukturan subsidi


PERUNTUKAN

* RM230 bilion: 60 peratus pembangunan fizikal; 40 peratus pembangunan bukan fizikal

* Peruntukan sektor: ekonomi 55 peratus, sosial 30 peratus, keselamatan 10 peratus, pentadbiran am 5 peratus


MENCARTA PEMBANGUNAN KE ARAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI

* 10 idea utama

- Ekonomi dipacu faktor dalam negeri, disamping mengambil kira persekitaran luar negara

- Memanfaatkan kepelbagaian di arena antarabangsa

- Transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi pengkhususan

- Menjayakan pertumbuhan yang diterajui produktiviti dan inovasi

- Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan

- Memastikan peluang sama rata dan melindungi golongan yang mudah terjejas

- Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif

- Menyokong perkongsian pintar dan berkesan

- Menghargai khazanah alam sekitar

- Kerajaan umpama syarikat berdaya saing


12 Bidang Ekonomi Utama Negara

- Minyak dan gas

- Minyak sawit dan produk berkaitan

- Perkhidmatan kewangan

- Pemborongan dan peruncitan

- Pelancongan

- Teknologi maklumat dan komunikasi

- Pendidikan

- Elektrik dan elektronik

- Perkhidmatan perniagaan

- Penjagaan kesihatan swasta

- Pertanian

- Greater Kuala Lumpur


MENARIK MODAL INSAN

* Talent Corporation akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2011 untuk penyumberan modal insan terkemuka global termasuk di kalangan diaspora Malaysia

* Mempermudahkan prosedur penggajian modal insan luar negara

* Membenarkan modal insan asing bertukar kerja

* Pasangan modal insan asing dibenarkan bekerja

* Kebenaran bagi modal insan asing membawa pembantu rumah

* Tiada had tempoh bagi visa pekerjaan modal insan asing berkemahiran yang berpendapatan lebih RM8,000 sebulan

* Visa terbuka dikeluarkan kepada profesional asing berkemahiran

* Profesional asing berkemahiran tinggi dibenarkan membeli unit kediaman berharga RM250,000 dan ke atas

* Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran Kebangsaan dibangunkan pada 2011 untuk mengenal pasti keperluan sektor ekonomi utama.


MENINGKATKAN PENYERTAAN BUMIPUTERA DALAM EKONOMI

* Sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera kekal

* Membangunkan komuniti komersil dan perindustrian Bumiputera

* Mewujudkan peneraju industri yang lebih kukuh dan berdaya saing

* Memperluas dan mempertingkat pemilikan kekayaan secara kekal dan berterusan

* Menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan berpendapatan tinggi melalui peningkatan keupayaan dan insentif permintaan pasaran


PEKERJAAN

* Berkembang pada kadar 2.4 peratus setahun untuk mewujudkan 1.4 juta pekerjaan terutamanya dalam sektor perkhidmatan

* Pekerjaan berkembang kepada 13.2 juta pekerjaan pada 2015

* Status guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran 3.1 peratus pada 2015


MELUASKAN KEBOLEHPASARAN

* Penyeragaman dan pengiktirafan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) oleh Sijil Kemahiran Malaysia

* RM150 juta untuk melatih 20,000 pelajar tercicir

* RM7.5 juta untuk melatih jurulatih, tenaga pengajar dan fasilitator

* Memperkukuh budaya berprestasi tinggi di universiti


MENYUSUN SEMULA PASARAN PEKERJAAN

* Pasaran pekerjaan lebih fleksibel

* Meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja sedia ada

* Menarik dan mengekalkan modal insan

* RM80 juta bagi Tabung Bantuan Kehilangan Pekerjaan dari 2010 hingga 2012 untuk menyediakan bantuan kepada pekerja yang diberhentikan tanpa diberikan pampasan

* Peraturan Kerja Sambilan di bawah Akta Pekerjaan 1955 akan diperkenalkan untuk menarik tenaga kerja daripada kalangan surirumah, pesara dan orang kurang upaya

* Meningkatkan tenaga kerja wanita daripada 46 peratus pada 2010 kepada 55 peratus pada 2015

* RM500 juta disediakan masing-masing kepada pekerja dan lepasan sekolah bagi latihan dan meningkatkan kemahiran

* RM50 juta untuk meneruskan geran padanan bagi latihan dan peningkatan kemahiran bagi pekerja perusahaan kecil dan sederhana

* RM50 juta untuk pembiayaan latihan perantisan membabitkan lebih 8,000 pelajar

* RM50 juta untuk tajaan bersama majikan untuk memperoleh PhD perindustrian

* RM350 juta untuk program bantuan kewangan separuh bagi PhD di universiti tempatan bermula pada 2009


INFRASTRUKTUR BAGI MENYOKONG PERTUMBUHAN/PRODUKTIVITI

* Penembusan jalur lebar sebanyak 75 peratus pada 2015

* RM2.7 bilion untuk pembinaan jalan raya dan rel menuju ke pelabuhan dan lapangan terbang utama untuk meningkatkan keefisienan perdagangan dan sistem logistik

* Keselamatan tenaga melalui pembangunan sumber alternatif iaitu hidro, arang dan gas cecair asli pada 2015


PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI INKLUSIF

* Meningkatkan taraf hidup bagi isi rumah 40 peratus terendah

* Meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi

* Mengurangkan kadar kemiskinan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 2 peratus pada 2015

* Meningkatkan purata pendapatan bulanan bagi isi rumah 40 peratus terendah daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM2,300 pada 2015

* Meningkatkan peratusan kelayakan SPM dan ke atas dalam isi rumah 40 peratus terendah daripada 30 peratus pada 2009 kepada 45 peratus pada 2015

* Bantuan pendidikan bagi kanak-kanak daripada isi rumah 40 peratus terendah


JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL

* Bantuan rumah kepada isi rumah miskin di luar bandar

* Rumah mampu milik dan kos rendah diperluaskan kepada isi rumah miskin di bandar/separuh bandar

* Bantuan pendapatan kepada kumpulan yang layak bagi isi rumah 40 peratus terendah apabila subsidi distruktur semula

* Bantuan pendapatan bagi warga tua kurang upaya dan ibu tunggal

* Menggalakkan GLC menyediakan program CSR bagi golongan memerlukan

* Klinik 1Malaysia diperluaskan kepada miskin bandar dan lain-lain yang memerlukan


KUMPULAN SASARAN KHUSUS

* Mengurangkan kepada separuh kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia kepada 25 peratus pada 2015

* Mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan etnik minoriti di Sabah daripada 22.8 peratus kepada 12 peratus dan etnik minoriti Sarawak daripada 6.4 peratus kepada 3 peratus

* Bantuan kewangan kepada penduduk di kampung baru Cina untuk memperbaharui pajakan tanah, menaik taraf rumah dan membiayai aktiviti perniagaan

* Meningkatkan akses kepada kemudahan asas di ladang dan program latihan semula bagi pekerja ladang


INFRASTRUKTUR ASAS

* 6,312 km jalan baru di Semenanjung Malaysia, 2,540km di Sabah dan 2,819 km di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta rakyat di seluruh negara

* Bekalan air bersih kepada 99 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak

* Bekalan elektrik bagi kawasan luar bandar di hampir 100 peratus di Semenanjung Malaysia dan 99 peratus di Sabah dan Sarawak

* Sekurang-kurangnya satu telecentre 1Malaysia di setiap mukim untuk menggalakkan jalur lebar


MEMBINA MASYARAKAT YANG LEBIH PROGRESIF DAN INKLUSIF

* Memperkasa wanita merupakan agenda penting dengan meningkatkan jumlah pembuat keputusan, tenaga kerja, bantuan untuk janda, ibu tunggal dan berpendapatan rendah

* Menghapuskan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita

* Program pembangunan belia untuk mewujudkan generasi bercita-cita tinggi, mementingkan akademik dan cemerlang dalam kerjaya

* Kursus kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) diperluaskan untuk menawarkan pilihan lebih besar dan juga latihan kemahiran insaniah dan kepimpinan

* Jumlah persatuan belia ditingkatkan daripada 5,000 kepada 11,500

* Perlindungan kanak-kanak dipertingkatkan melalui perkhidmatan penjagaan kanak-kanak berkualiti dan menaik taraf pusat dan rumah kebajikan kanak-kanak

* Program kesedaran masyarakat untuk melindungi kepentingan kanak-kanak

* Pemeriksaan polis ke atas penjaga kanak-kanak untuk menangani isu penderaan

* Sistem siap siaga serupa dengan buletin U.S Amber Alert bagi kanak-kanak hilang/sesat

* Tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan kehidupan warga tua

* Rebat cukai 100 peratus untuk latihan warga tua diteruskan

* Pangkalan data dalam Jobs Malaysia bagi warga tua akan dipromosikan untuk meningkatkan lebih kesedaran kepada mereka yang mencari kerja

* Pusat jagaan harian bagi warga tua akan diperluaskan

* Kerajaan akan giatkan lagi usaha mencapai 1 peratus pekerjaan bagi golongan orang kurang upaya dalam perkhidmatan awam

* Kerajaan akan menubuhkan institusi pendidikan khas dan sekolah vokasional kepada golongan orang kurang upaya


SISTEM PENDIDIKAN

* Rombakan sistem pendidikan dengan tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian

* Menekankan pentingnya nilai dan etika dalam sistem pendidikan

* 181 pusat Permata akan ditubuhkan di seluruh negara

* Enrolmen ke prasekolah akan ditingkatkan daripada 87 peratus pada 2012 kepada 92 peratus pada 2015

* Had umur kemasukan ke sekolah dikurangkan daripada 6 kepada 5 seiring dengan banyak negara maju

* RM400 juta bagi program penguasaan Literasi dan Numerasi (LINUS) antara 2010 hingga 2012 untuk memastikan semua pelajar mempunyai kemahiran asas literasi dan numberasi bagi tempoh tiga tahun pertama pendidikan sekolah rendah

* Memperkukuh pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

* Pelaburan bagi infrastruktur dan kemudahan sekolah terutama bagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak

* RM140 juta untuk pembangunan 100 sekolah berprestasi tinggi pada 2012

* RM160 juta bagi program ganjaran antara 2010 dan 2012 bagi guru besar dan pengetua

* Latihan kepimpinan bagi 14,000 pegawai sekolah setiap tahun oleh Institut Aminuddin Baki daripada 8,000 orang sekarang


BANDAR BERDAYA MAJU DAN SESUAI DIDIAMI

* Menjadikan kualiti kehidupan sebagai teras projek di bandar

* Merancang komuniti dan kejiranan

* Mewujudkan bandar menarik dan selesa untuk kehidupan, pekerjaan dan hiburan

* Fokus kepada hubungan pengangkutan awam tanpa sempadan

* Rangkaian jalan raya mesra pejalan kaki

* Ruangan terbuka dan koridor hijau

* Pemuliharaan sungai dan waterfront diutamakan di bandar raya

* Meningkatkan seni, budaya dan riadah

* Sokongan kepada pelukis dalam bentuk bantuan/pinjaman untuk mewujudkan perkampungan seni

* Menggalakkan penganjuran acara seni dan budaya antarabangsa

* Menarik bakat antarabangsa untuk mencipta, membuat persembahan dan menganjurkan pameran di Kuala Lumpur

* Pusat Malaysia Truly Asia akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan ikonik untuk mempamerkan budaya, seni dan warisan Malaysia


SISTEM PENGANGKUTAN YANG MENGUTAMAKAN RAKYAT

* Meneruskan usaha perancangan bersepadu pengangkutan dalam pelan induk tempatan dan kebangsaan

* Sistem Bus Rapid Transport (BRT) dipertimbangkan untuk menghubungkan pusat pertumbuhan di wilayah Iskandar di Johor

* Kerajaan akan menyemak potensi bagi memperluaskan skop Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke Sabah dan Sarawak bergantung kepada kejayaan pelaksanaan di Semenanjung

* Sistem tiket tanpa penggunaan wang tunai di semua 16 pengusaha pengangkutan awam di Greater Kuala Lumpur


MENTRANSFORMASIKAN PENJAGAAN KESIHATAN

* Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan penjagaan berkualiti di sektor awam dan swasta

* Menyemak pilihan pembiayaan untuk menguruskan peningkatkan kos dan memastikan penjagaan kesihatan kekal mampu dan boleh diakses

* 197 klinik baru dengan kos RM637 juta akan disiapkan pada separuh pertama RMK-10 iaitu 156 klinik di kawasan luar bandar dan 41 klinik kesihatan komuniti

* 50 lagi klinik 1Malaysia akan dibina di kawasan miskin bandar dan kawasan yang memerlukan

* Empat hospital baru dengan kos RM600 juta akan disiapkan dalam dua tahun pertama RMK-10. Ini termasuk Institut Kanser Negara dan Pusat Pemulihan Cheras.

* Pemetaan penyedia penjagaan kesihatan sedia ada untuk mengenl pasti jurang bagi menyelaraskan penyampaian perkhidmatan kesihatan

* Perkhidmatan klinik bergerak, flying doctor dan penjaga kesihatan kampung akan diperluaskan ke kawasan pedalaman


AKSES KEPADA PERUMAHAN BERKUALITI DAN MAMPU MILIK

* 161,00 unit baru perumahan awam

* Reka bentuk rumah akan digabungkan dengan rekaan dan teknologi Bangunan Hijau

* 78,000 unit rumah rendah untuk individu berkelayakan dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan

* Satu agensi persekutuan bertanggungjawab bagi perumahan biayaan persekutuan berbanding beberapa kementerian dan agensi sebelum ini

* RM500 juta diperuntukkan untuk menubuhkan Tabung Penyelengaraan Perumahan untuk membantu penghuni rumah kos rendah awam dan persendirian bagi pembaikan dan penyelenggaran berdasarkan geran padanan 50-50 daripada penghuni

* Kerajaan akan meneruskan bantuan untuk memulihkan projek terbengkalai


PENGURUSAN SISA PEPEJAL

* Kerajaan persekutuan mengambil alih tanggungjawab penuh daripada pihak berkuasa tempatan bagi pengurusan sisa pepejal

* Perkhidmatan kutipan pepejal dari rumah akan diswastakan kepada tiga konsesi dengan kontrak rundingan dijangka siap menjelang akhir 2010

* Pengusaha swasta lain akan dilesenkan untuk mengendalikan operasi pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersiahan awam

* Kutipan sampah bagi isi rumah dua kali seminggu dan harian bagi pasar basah

* Sebanyak 112 pusat perkhidmatan sanitari sedia akan akan ditutup dan dipulihkan, sesetengahnya akan dinaik taraf menjadi pusat pelupusan sampah


JALAN DAN KOMUNITI LEBIH SELAMAT

* RM2.04 bilion bagi program mengalakkan sukarelawan untuk memerangi jenayah

* Mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus setahun pada 2015 untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak satu suku

* Meningkatkan jumlah anggota polis bantuan sebanyak 5,000 pada 2015

* RM2.4 bilion untuk menaik taraf balai-balai polis, kuarters dan meningkatkan prospek kerjaya untuk menaikkan semangat polis

* Meningkatkan keberkesanan rawatan bagi penagih dadah untuk mengurangkan jenayah akibat penyalahgunaan dadah

* RM120 juta untuk Skim Rondaan Sukarela di bawah Rukun Tetangga

* Memperluaskan skim Rakan Cop bagi memudahkan orang ramai melaporkan kes jenayah atau tingkah laku mencurigakan melalui SMS

* RM150 juta diperuntukkan bagi Program Keselamatan Bandaraya


MENGHARGAI KHAZANAH ALAM SEKITAR

* Sasaran tenaga diperbaharui sebanyak 98MW pada 2015 untuk menyumbang 5.5 peratus kepada penjanaan elektrik secara keseluruhan

* Penghapusan pengunaan mentol lampu pijar pada 2014 untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 732,000 tan dan mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 1,074 gigawatss setahun

* Negeri-negeri digalakkan mewartakan kawsan hutan khususnya kawasan tadahan hujan

* Lebih banyak pokok akan ditenaman dengan kerjasama badan bukan kerajaan

* Meningkatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Udara Bersih

* Pelaksanaan Kawasan Hutan Berpusat sebanyak 4.32 juta hektar di Semenanjung Malaysia dan di Borneo membabitkan 6 juta hektar di Sabah dan Sarawak

* Pelan Tidnakan Pemuliharaan Harimau Negara akan dilaksanakan untuk meningkatkan perlindungan dan meningkatkan populasi harimau.


-- BERNAMA

Saturday, June 12, 2010

Amyl Nitrosum

Simptom yang berkaitan dengan remedi ini ialah muka kemerah-merahan dan risau yang disebabkan putus haid (menopause). Berguna dalam rawatan terhadap gangguan fungsi jantung, mengurangkan pertambahan saiz organ jantung yang berkaitan dengan penyakit angina pectoris, asma dan pitam. Haid tidak tetap, rahim tumpah darah, simptom jelas ketika putus haid.

Fikiran: Risau seperti sesuatu akan berlaku; mesti dapatkan udara segar.

Kepala: Sakit kepala teruk sebelah kiri. Panas dan menggigil, rasa penuh. Kepala dan telinga seperti dipukul, berdenyut-denyut dan seolah-seolah meletup-letup dengan rasa kongkong dan jantung menjadi sempit. Bahagian pelipis berdenyut-denyut dan tegang.

Mata: Terbeliak. Salur darah vena di bahagian bawah mata membesar, ada simpulan dan bengkang-bengkok; arteri normal.

Telinga: Berdenyut-denyut.

Muka: Kemerah-merahan kemudiannya pucat. Salur darah pada muka membengkak. Panas kerana darah di bawah kulit muka.

Kerongkong: Rasa tersumbat dalam kerongkong. Kolar baju rasa sempit dan ketat.

Pernafasan: Penyumbatan dalam kerongkong melarat ke dada, menjadi sesak nafas dan lelah dapat dirasai dalam tekak, mahu sendawa.

Jantung: Sangat bimbang. Degupan jantung jelas. Rasa tekanan jantung. Jantung rasa sempit dan sakit, tersentak-sentak, tidak tetap dan pelbagai rentak.

Kakitangan: Lemah. Tangan menggeletar.

Umum: Lemah seluruh badan; kerap berpeluh.

Saturday, June 05, 2010

Rhododendron

Berguna pada kesakitan arthritik dan rheumatik di pelbagai tempat, melarat sebelum petir atau dalam cuaca sejuk. Rheumatik yang kronik pada sendi-sendi kecil. Amat berguna ketika mendapat glaukoma selalunya teruk ketika hampir ribut perit, lega selepas ribut petir. Otot-otot mata letih dengan sakit menikam-nikam di mata. Demam dengan sakit telinga. Cirit-birit dalam cuaca sejuk dan selepas makan buah-buahan. Bengkak buah zakar. Radang buah zakar.

Fikiran: Lupa apa yang diucapkan.

Kepala: Sakit kepala yang mengurangkan deria rasa, lega selepas mula bangun. Keliru. Sakit di dahi dan pelipis bila berbaring di tempat tidur, pagi; teruk selepas minum arak dan dalam cuaca sejuk dan lembap; lega selepas bangun dan bergerak. Pelipis kiri seperti dikoyak.

Mata: Rasa kering dan terbakar; teruk dalam cahaya terang; semasa membaca atau menulis.

Telinga: Sakit di kawasan telinga luar, di sebelah pagi seterusnya sepanjang hari. Berdering-dering. Bergema.

Hidung: Lubang hidung kiri tersumbat, sekali-sekala di lubang hidung kanan; lega di tempat terbuka.

Mulut: Sakit gigi; teruk dalam cuaca mendung atau sebelum ribut.

Kerongkong: Rasa seperti digores dan ada lendir.

Perut: Sendawa kosong. Sempit di saluran perut bila berjalan dengan keadaan pernafasan yang tersekat-sekat.

Najis: Najis lembut. Cirit-birit; ketika cuaca sejuk, selepas makan buah; makanan tidak hadam.

Kencing: Kerap hendak kencing: Sakit dalam saluran kencing. Air kencing berbau.

Seks lelaki: Sakit dari dubur hingga ke bahagian buah zakar. Buah zakar jatuh, bengkak dan sangat sakit. Buah zakar membengkak dan mengeras terutama sebelah kanan, melarat ke paha. Kantung buah zakar gatal dan semakin panas.

Seks perempuan: Sakit dalam ovari; teruk bila cuaca berubah.

Pernafasan: Kering dan batuk yang meletihkan pada sebelah pagi dan petang; dengan dada rasa tertekan dan kerongkong rasa besar; ledakan batuk secara tiba-tiba bila salur kerongkong rasa gatal.

Kakitangan: Sakit rheumatik dengan tengkuk rasa menyucuk-nyucuk; awal pagi dan semasa bangun dari tidur. Sedikit lebam di bahagian belakang; teruk semasa rehat dan masa hujan. Sakit belakang semasa duduk, lega selepas bergerak, teruk bila tunduk. Kaki dan tangan dapat rheumatik; teruk semasa rehat dan cuaca lembap. Rasa sendi-sendi tergeliat. Tangan panas.

Melarat: Pagi, semasa rehat, sebelum ribut petir, cuaca lembap dan sejuk.

Friday, June 04, 2010

Sebar kezaliman Israel

Kezaliman komando Israel yang menyerang flotila keamanan dalam kapal Mavi Marmara mula disebarkan ke seluruh dunia sebaik sahaja Israel membebaskan sebahagian besar aktivis keamanan kembali ke negara masing-masing. Antara aktivis yang dibebaskan ialah 12 orang rakyat Malaysia.

Kita mula mendengar dari mulut mereka gambaran sebenar kejadian yang disaksikan dan dialami sendiri oleh aktivis-aktivis berani ini. Salah seorang daripada mereka adalah Syed Mohd Haleem, seorang pengamal perubatan di Shah Alam. Beliau berada di atas kapal berkenaan ketika serangan berlaku.

Dalam keadaan tidak terkawal, tentera Israel menembak dua rakan mereka sendiri dan kedua-duanya cedera. Seorang ditembak di tangan manakala seorang lagi terkena dua tembakan di dada. Aktivis yang prihatin telah meminta beliau merawat tentera Israel yang cedera ini dan rawatan yang berikan adalah sangat teliti. Rupa-rupanya dua orang tentera Israel ini sangat pengecut. Entah apa yang ditakutkan pun tidak tahu. Sebaik sahaja diletakkan di bahagian tepi kapal tiba-tiba mereka berdua terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri sedangkan keadaan ketika itu tidak memberi ancaman keselamatan.

Suasana cemas di atas kapal adalah kisah benar di sebalik propaganda media Israel yang menuduh aktivis membawa pelbagai jenis senjata untuk membunuh tentera negara itu. Dalam suasana cemas inilah tiga orang aktivis ditembak sehingga mati. Salah seorang daripada mereka ditembak menembusi di antara dua kening sehingga bahagian belakang kepalanya terburai dan otaknya meleleh keluar. Seorang lagi ditembak di tangan dan mendapat kecederaan yang parah.

Banyak lagi kisah benar yang diceritakan oleh aktivis yang menyaksikan sendiri kegilaan tentera Israel ini. Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail turut mengalami kisah yang menggerunkan. Dalam keadaan panik menyelamatkan diri, tanpa disedari seorang tentera Israel sedang menghalakan laser penentu sasaran senapang tepat ke kepalanya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa menyerah diri.

Apabila ditanya bagaimana sifat tentera Israel, beliau menyifatkan tentera-tentera ini sangat bengis dan zalim.

‘Jika hendak digambarkan keganasan tentera Israel memang sukar, tetapi cukuplah sekadar dikatakan bahawa mereka langsung tidak ada belas kasihan, tidak peduli apa yang diminta walau puas dirayu dan herdikan mereka menjadi teman sepanjang kami ditawan’.

Di sebalik kisah 12 orang aktivis pro-Palestin ini, kita dapat melihat di wajah mereka ada sedikit sebanyak kekecewaan kerana ada di antara mereka yang sudah membayangkan akan syahid. Seorang rakan berkata, ‘sahabat-sahabat kita yang sedang menuju ke Gaza sedang menempah syahid, namun kita di Malaysia belum ada apa-apa tempahan.’

Aktivis Turki yang ditembak mati dikatakan menunjukkan tanda-tanda kesyahidan mereka apabila jenazah berbau wangi iaitu satu daripada ciri-ciri mati syahid. Arbaie Syawal, seorang pengamal perubatan sempat mencium dahi tiga mayat sukarelawan dari Turki dan mendapati mereka berbau sangat wangi seperti wangian kasturi.

Thursday, June 03, 2010

Israel tutup satu lubang, dua lubang pula bocor

Keganasan dan kezaliman Israel dibalas Allah swt. Selepas menabur peluru hidup ke atas aktivis keamanan di atas kapal Mavi Marmara dan membunuh 19 orang, Israel meraikan kejayaan mereka dengan menerima kecaman dari seluruh dunia. Walaupun bentuk dan nada kecaman berkenaan berbeza-beza, ia membuatkan perdana menteri dan menteri luar rejim zionis itu tidak cukup tangan untuk menepis kutukan yang datang bertubi-tubi. Ketika Benyamin Netanyahu tergagap-gagap mengiyakan misi pembunuhan, sempadan Israel terus dibedil dengan roket dari pasukan keselamatan Hamas.

Pada masa yang sama, Israel terpaksa mengerahkan tenteranya mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan pemantauan di sempadan dengan Syria dan Lubnan. Mereka juga terpaksa mengawal keselamatan penduduk Yahudi yang sedang ketakutan kerana dunia sedang membuka mata di atas kezaliman dan keganasan Israel pada 13 Mei lalu.

Tindakan Israel menyerang dan membunuh aktivis keamanan serta menahan beratus-ratus aktivis dari seluruh dunia adalah tindakan bodoh dan tergesa-gesa. Rejim zionis berfikir dengan menutup laluan laut ke Gaza akan melemahkan usaha bantuan kemanusiaan ke sana. Namun perancangan Allah swt lebih hebat. Sebaik sahaja masyarakat dunia melihat kematian di atas flotila keamanan, Mesir bertindak membuka sempadan Rafah dan membenarkan bantuan antarabangsa dan rakyat Palestin untuk keluar dari Gaza. Manakala Turki membuka sempadan laut untuk membantu bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.

Agensi bantuan antarabangsa turut mengambil tindakan segera dengan mengumpul ubat-ubatan dan membuat persediaan bagi dihantar ke hospital-hospital yang semakin kurang bekalan ubat. Hospital Shifa umpamanya telah tidak menerima ibu yang sarat untuk melahirkan anak kerana kekurangan ubat dan kemudahan wad bersalin.

Dalam reaksi antarabangsa, hubungan Israel dan Turki semakin keruh dan tegang apabila masing-masing mengusir keluar diplomat dan keluarga mereka. Nicaragua pula bertindak memutuskan hubungan dengan Israel sebagai tanda bantahan manakala parlimen Malaysia akan mengemukakan usul mengutuk rejim zionis Isnin depan.

Di sana-sini, sama ada di negara Barat, Timur atau Timur Tengah, bantahan berterusan digerakkan oleh rakyat yang bencikan kezaliman. Mereka bergabung tenaga menentang tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan. Amerika Syarikat sebagai sekutu utama Israel turut mengutuk rejim berkenaan walaupun dengan nada yang lembut kerana memahami sentimen masyarakat antarabangsa ketika ini.

Imej Isreal telah merosot dengan teruk sebaik sahaja media antarabangsa menyiarkan pertempuran di atas kapal Mavi Marmara. Kerajaan Benyamin Netanyahu tidak mampu lagi hendak menyembunyikan kisah sebenar kebengisan komando laut Israel apabila satu demi satu kisah benar didedahkan oleh aktivis yang dihantar balik ke negara asal mereka. Media Israel juga semakin kurang dipercayai dan ulasan oleh pembaca di laman web akhbar Israel lebih banyak memaparkan kutukan dan kata-kata hinaan ke atas negara Yahudi itu.

Doa masyarakat Islam di Palestin dan seluruh dunia dikabulkan Allah swt. Selepas rejim zionis menutup laluan darat, kini semua laluan ke atas penderitaan rakyat Palestin di Gaza terbuka seluas-luasnya dan kezaliman Israel tersingkap. Kehancuran Israel semakin nyata dan penderitaan rakyat Palestin, Insya Allah akan berakhir.

Wednesday, June 02, 2010

Sayang Allah swt kepada Nabi Muhammad saw

Di dalam al-quran, Allah swt memilih kisah hidup Nabi Yunus as sebagai peringatan kepada Nabi Muhammad saw untuk tabah dan cekal semasa menghadapi tugas sebagai rasul yang terakhir. Justeru, setiap hari yang dilalui oleh baginda saw adalah pengalaman baru yang menguatkan azam dan tekad untuk berdakwah kepada bangsanya.

Nabi Yunus as merasa kesal dan marah dengan sikap bangsanya iaitu penduduk Iraq yang sangat liat untuk menerima seruan dakwah. Kemarahan ini dibalas Allah swt dengan melemparkan Nabi Yunus as ke dalam laut lalu dimakan oleh ikan nun yang bersaiz besar. Ketika dalam perut ikan, dia bertasbih dan memohon maaf kepada Allah swt. Selepas itu Nabi Yunus as dikeluarkan dari perut ikan dalam keadaan amat dhaif iaitu kulitnya hilang dan yang tinggal hanyalah tulang-temulang diselimuti daging yang masih membentuk jasad Nabi Yunus as.

Dalam kisah ini, Allah swt hendak mengingatkan dan memberikan semangat kepada Rasulullah saw tentang cabaran-cabaran dakwah yang berada di hadapannya.

Pertama, usaha dakwah hendaklah disampaikan secara terus-terang. Membetulkan masyarakat perlu dilakukan tanpa berselindung. Terus-terang di sini diumpakan seperti lebih terang daripada matahari, lebih cerah daripada fajar dan lebih bersinar daripada sinaran siang. Di sebalik berterus-terang, sistem penerangan yang lebih baik dan berkesan amat membantu seorang pendakwah untuk istiqamah dalam kerja-kerjanya.

Kedua, kesucian. Suci bermaksud bebas daripada ideologi atau kepercayaan yang meletakkan Allah swt bersama dengan sembahan-sembahan yang lain. Memilih untuk memberi sumbangan kepada dakwah islamiah perlukan ketulusan jiwa kerana urusan dakwah tidak meminta sesuatu daripada orang ramai.

Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’ [Surah Yusuf: 108]

Ketiga, kasih sayang.Kuasa kasih sayang ialah menggugurkan benteng ego dan benci. Jiwa yang keras akan menjadi lembut apabila disirami dengan kasih sayang. Seorang pendakwah wajar menguasai kemahiran memberi kasih sayang supaya lebih ramai orang yang ingin mengenali dakwah Islamiah. Justeru, enam kesimpulan daripada kisah ini ialah:

1. Nabi Muhammad saw berdakwah di Thaif sehingga dibaling batu dan mendapat luka. Namun dalam keadaan ini pun baginda saw masih bersabar dan bersemangat untuk berdakwah dengan harapan penduduk Thaif akan mendapat hidayah suatu hari nanti.

2. Rasulullah saw dan begitu juga dengan pendakwah yang lain telah menunjukkan sifat sayang kepada kaum sendiri dan sanggup terseksa demi masa depan mereka.

3. Sifat sayang biarpun salah akan memberi dorongan kepada seseorang untuk bertindak.

4. Rasa sayang mesti dihidupkan supaya melimpah ruah kepada orang lain. Di tempat kerja, bos sayang kepada pekerja dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan pekerja. Bagi pekerja pula, mereka mendoakan kesihatan yang baik untuk bos mereka supaya seluruh organisasi dapat dipimpin dengan cemerlang.

5. Dari mana datangnya sifat kasih sayang Nabi Muhammad saw? Tentulah dididik oleh Allah swt dan dipraktikkan kepada keluarga dan para sahabat.

6. Sama ada berjaya atau gagal dalam mengajak orang ramai, keputusannya kita serahkan kepada Allah swt.

Tuesday, June 01, 2010

Israel serang kapal aktivis

Israel sekali lagi menggunakan kaedah ganas untuk menghalang armada kecil kapal laut, Mavi Marmara ke Gaza. Dalam serangan pada pukul 2 pagi itu, sekurang-kurangnya 15 hingga 20 orang dilaporkan telah dibunuh oleh Shayetet 13, pasukan komando laut Israel yang lengkap bersenjata.

Dalam reaksi antarabangsa, Turkey, Sweden dan Greece memanggil duta Israel bagi menyatakan bantahan ke atas serangan berkenaan. Perancis berkata mereka ‘sangat terkejut’ dengan tindakan ganas tersebut. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan serangan itu sebagai ‘penyembelihan’.

Dalam maklum balas media Israel, mereka menyatakan kononnya terdapat pisau, kayu pemukul dan batang paip yang digunakan untuk memukul komando Israel. Laporan tentera Israel menyatakan aktivis telah merampas dua pucuk senjata daripada komando dan melepaskan tembakan menyebabkan berlaku pertempuran. Bagi mengukuhkan persepsi masyarakat dunia ke atas kewajaran tindakan komando Israel, media Israel seperti Jerusalem Post dan Haaretz mengulang-ulang berita yang sama dari perspektif berbeza tetapi semuanya ke arah membenarkan tindakan keganasan dan kezaliman ke atas penumpang kapal.

Bantahan keras datang dari Turkey di mana kementerian luar meminta pelancong Israel untuk tidak menonjolkan diri dan mengelak daripada mengujungi tempat terbuka ketika ketegangan berada di kemuncak di antara Turkey dan Israel. Tindakan Israel menggunakan senjata untuk menghalang armada kapal berkenaan hanya menambah derita keganasan negara itu ke atas bantuan ke Semenanjung Gaza.

‘[Serangan terhadap konvoi] tidak dapat diterima ... Israel akan menderita di atas tindakannya itu.’

Di Gaza, presiden Hamas, Ismael Haniyeh berkata kemaraan armada kapal laut yang membawa aktivis dan bahan perubatan merupakan kemenangan kepada kerajaannya dan merupakan tanda permulaan berakhirnya sekatan laut Israel, sama ada ia diserang oleh Israel atau sampai ke destinasinya.

‘Jika kapal-kapal ini tiba di Gaza, ai adalah kemenangan untuk Gaza’. Beliau berkata demikian ketika meninjau pelabuhan kecil di bandar Gaza. ‘Jika mereka dihalang oleh Zionis, ia adalah kemenangan untuk Gaza dan mereka akan datang lagi dengan kapal-kapal baru ke Gaza’.