Di dalam al-quran, Allah swt memilih kisah hidup Nabi Yunus as sebagai peringatan kepada Nabi Muhammad saw untuk tabah dan cekal semasa menghadapi tugas sebagai rasul yang terakhir. Justeru, setiap hari yang dilalui oleh baginda saw adalah pengalaman baru yang menguatkan azam dan tekad untuk berdakwah kepada bangsanya.
Nabi Yunus as merasa kesal dan marah dengan sikap bangsanya iaitu penduduk Iraq yang sangat liat untuk menerima seruan dakwah. Kemarahan ini dibalas Allah swt dengan melemparkan Nabi Yunus as ke dalam laut lalu dimakan oleh ikan nun yang bersaiz besar. Ketika dalam perut ikan, dia bertasbih dan memohon maaf kepada Allah swt. Selepas itu Nabi Yunus as dikeluarkan dari perut ikan dalam keadaan amat dhaif iaitu kulitnya hilang dan yang tinggal hanyalah tulang-temulang diselimuti daging yang masih membentuk jasad Nabi Yunus as.
Dalam kisah ini, Allah swt hendak mengingatkan dan memberikan semangat kepada Rasulullah saw tentang cabaran-cabaran dakwah yang berada di hadapannya.
Pertama, usaha dakwah hendaklah disampaikan secara terus-terang. Membetulkan masyarakat perlu dilakukan tanpa berselindung. Terus-terang di sini diumpakan seperti lebih terang daripada matahari, lebih cerah daripada fajar dan lebih bersinar daripada sinaran siang. Di sebalik berterus-terang, sistem penerangan yang lebih baik dan berkesan amat membantu seorang pendakwah untuk istiqamah dalam kerja-kerjanya.
Kedua, kesucian. Suci bermaksud bebas daripada ideologi atau kepercayaan yang meletakkan Allah swt bersama dengan sembahan-sembahan yang lain. Memilih untuk memberi sumbangan kepada dakwah islamiah perlukan ketulusan jiwa kerana urusan dakwah tidak meminta sesuatu daripada orang ramai.
Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’ [Surah Yusuf: 108]
Ketiga, kasih sayang.Kuasa kasih sayang ialah menggugurkan benteng ego dan benci. Jiwa yang keras akan menjadi lembut apabila disirami dengan kasih sayang. Seorang pendakwah wajar menguasai kemahiran memberi kasih sayang supaya lebih ramai orang yang ingin mengenali dakwah Islamiah. Justeru, enam kesimpulan daripada kisah ini ialah:
1. Nabi Muhammad saw berdakwah di Thaif sehingga dibaling batu dan mendapat luka. Namun dalam keadaan ini pun baginda saw masih bersabar dan bersemangat untuk berdakwah dengan harapan penduduk Thaif akan mendapat hidayah suatu hari nanti.
2. Rasulullah saw dan begitu juga dengan pendakwah yang lain telah menunjukkan sifat sayang kepada kaum sendiri dan sanggup terseksa demi masa depan mereka.
3. Sifat sayang biarpun salah akan memberi dorongan kepada seseorang untuk bertindak.
4. Rasa sayang mesti dihidupkan supaya melimpah ruah kepada orang lain. Di tempat kerja, bos sayang kepada pekerja dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan pekerja. Bagi pekerja pula, mereka mendoakan kesihatan yang baik untuk bos mereka supaya seluruh organisasi dapat dipimpin dengan cemerlang.
5. Dari mana datangnya sifat kasih sayang Nabi Muhammad saw? Tentulah dididik oleh Allah swt dan dipraktikkan kepada keluarga dan para sahabat.
6. Sama ada berjaya atau gagal dalam mengajak orang ramai, keputusannya kita serahkan kepada Allah swt.
No comments:
Post a Comment