Keganasan dan kezaliman Israel dibalas Allah swt. Selepas menabur peluru hidup ke atas aktivis keamanan di atas kapal Mavi Marmara dan membunuh 19 orang, Israel meraikan kejayaan mereka dengan menerima kecaman dari seluruh dunia. Walaupun bentuk dan nada kecaman berkenaan berbeza-beza, ia membuatkan perdana menteri dan menteri luar rejim zionis itu tidak cukup tangan untuk menepis kutukan yang datang bertubi-tubi. Ketika Benyamin Netanyahu tergagap-gagap mengiyakan misi pembunuhan, sempadan Israel terus dibedil dengan roket dari pasukan keselamatan Hamas.
Pada masa yang sama, Israel terpaksa mengerahkan tenteranya mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan pemantauan di sempadan dengan Syria dan Lubnan. Mereka juga terpaksa mengawal keselamatan penduduk Yahudi yang sedang ketakutan kerana dunia sedang membuka mata di atas kezaliman dan keganasan Israel pada 13 Mei lalu.
Tindakan Israel menyerang dan membunuh aktivis keamanan serta menahan beratus-ratus aktivis dari seluruh dunia adalah tindakan bodoh dan tergesa-gesa. Rejim zionis berfikir dengan menutup laluan laut ke Gaza akan melemahkan usaha bantuan kemanusiaan ke sana. Namun perancangan Allah swt lebih hebat. Sebaik sahaja masyarakat dunia melihat kematian di atas flotila keamanan, Mesir bertindak membuka sempadan Rafah dan membenarkan bantuan antarabangsa dan rakyat Palestin untuk keluar dari Gaza. Manakala Turki membuka sempadan laut untuk membantu bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.
Agensi bantuan antarabangsa turut mengambil tindakan segera dengan mengumpul ubat-ubatan dan membuat persediaan bagi dihantar ke hospital-hospital yang semakin kurang bekalan ubat. Hospital Shifa umpamanya telah tidak menerima ibu yang sarat untuk melahirkan anak kerana kekurangan ubat dan kemudahan wad bersalin.
Dalam reaksi antarabangsa, hubungan Israel dan Turki semakin keruh dan tegang apabila masing-masing mengusir keluar diplomat dan keluarga mereka. Nicaragua pula bertindak memutuskan hubungan dengan Israel sebagai tanda bantahan manakala parlimen Malaysia akan mengemukakan usul mengutuk rejim zionis Isnin depan.
Di sana-sini, sama ada di negara Barat, Timur atau Timur Tengah, bantahan berterusan digerakkan oleh rakyat yang bencikan kezaliman. Mereka bergabung tenaga menentang tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan. Amerika Syarikat sebagai sekutu utama Israel turut mengutuk rejim berkenaan walaupun dengan nada yang lembut kerana memahami sentimen masyarakat antarabangsa ketika ini.
Imej Isreal telah merosot dengan teruk sebaik sahaja media antarabangsa menyiarkan pertempuran di atas kapal Mavi Marmara. Kerajaan Benyamin Netanyahu tidak mampu lagi hendak menyembunyikan kisah sebenar kebengisan komando laut Israel apabila satu demi satu kisah benar didedahkan oleh aktivis yang dihantar balik ke negara asal mereka. Media Israel juga semakin kurang dipercayai dan ulasan oleh pembaca di laman web akhbar Israel lebih banyak memaparkan kutukan dan kata-kata hinaan ke atas negara Yahudi itu.
Doa masyarakat Islam di Palestin dan seluruh dunia dikabulkan Allah swt. Selepas rejim zionis menutup laluan darat, kini semua laluan ke atas penderitaan rakyat Palestin di Gaza terbuka seluas-luasnya dan kezaliman Israel tersingkap. Kehancuran Israel semakin nyata dan penderitaan rakyat Palestin, Insya Allah akan berakhir.
No comments:
Post a Comment