Kerajaan sementara Kyrgyzstan hari ini mengumumkan penangkapan 'seorang yang terkenal' kerana disyaki mendalangi keganasan etnik terburuk di negara ini dalam tempoh 20 tahun.
Kementerian Dalam Negeri di negara Asia Tengah yang menempatkan pangkalan-pangkalan tentera Rusia dan AS ini menyifatkan situasi di Osh dan Jalalabad sebagai 'tegang' berikutan keganasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 117 orang maut dan 1,500 lagi cedera.
Seorang saksi di Osh berkata, gerombolan perusuh hari ini kembali melepaskan tembakan ke arah penduduk dan rumah di satu bahagian bandar ini.
Kerajaan sementara berkata, pihak berkuasa di Jalalabad menangkap seorang suspek tetapi tidak mendedahkan identitinya.
Mereka bagaimanapun mengulangi dakwaan bahawa para penyokong bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev mendalangi keganasan itu.
Bakiyev yang hidup dalam buangan di Belarus menafikan pembabitannya dan menuduh kerajaan sementara gagal melindungi rakyat.
Namun ketua tentera di Jalalabad, Kubatbek Baibolov berkata, keganasan itu tidak lain tidak bukan adalah percubaan penyokong dan ahli keluarga Bakiyev untuk merampas kuasa.
Keganasan etnik yang bermula lewat Khamis lalu dan meningkat pada hujung minggu telah menyebabkan 75,000 penduduk etnik Uzbek melarikan diri ke negara jiran, Uzbekistan setelah gerombolan etnik Kyrgyz membunuh anggota masyarakat minoriti itu serta membakar rumah dan perniagaan mereka.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, anggotanya melihat kira-kira 100 mayat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan, dan angka kematian rasmi dipercayai tidak termasuk mayat yang masih bergelimpangan di jalan raya.
Kebakaran yang dicetuskan oleh perusuh merebak di seluruh Osh, bandar kedua terbesar di negara ini, sementara kumpulan-kumpulan lelaki Kyrgyz bermaharajalela.
Keganasan merebak dengan pantas ke Jalalabad, sebuah lagi bandar besar 70 kilometer dari Osh, serta kampung-kampung berdekatan. - Reuters/AP
(Utusan Online, 15 Jun 2010)
No comments:
Post a Comment