Peluang menghadiri bengkel menyelesaikan konflik melalui kaedah naratif di Palestin dan Israel baru-baru ini sangat menyeronokkan. Fasilitator , Prof Sami Adwan seorang rakyat Palestin mencetuskan idea yang menarik bagi merungkai masalah yang berlaku di antara kedua-dua buah negara.
Bagaimanapun kaedah naratif hanya berkesan jika kedua-dua pihak yang bersengketa mahu duduk bersama dan melihat masa depan bersama-sama. Jika tidak, Palestin dan Israel akan terus berperang dan berbunuhan.
Melalui kaedah main peranan (role play), perbincangan dan pembentangan secara bebas dan terbuka, para peserta bebas memberi pendapat dan meluahkan isi hati. Terdapat hampir lima orang profesor yang datang dari pelbagai latar belakang, peserta dari pertubuhan bukan kerajaan khususnya Interfaith, pensyarah dan pelajar antarabangsa.
Prof Sami membahagikan peserta kepada dua kumpulan bagi membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan konflik di dalam dan luar negara.Kumpulan pertama memilih isu bumiputera dan bukan bumiputera di Malaysia. Dalam pembentangan, wakil kumpulan itu melahirkan rasa tidak puas hati dengan dasar kerajaan Malaysia yang sangat berkait rapat dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hak istimewa orang Melayu dan Perkara 161A berkaitan kedudukan istimewa anak negeri Negeri Sabah dan Sarawak. Bagi beliau, sepatutnya wujud keadaan sama rata antara kaum di Malaysia tanpa membezakan warna kulit dan bangsa. Beliau memberi contoh bagaimana seorang bumiputera mendapat tujuh peratus diskaun ketika membeli rumah sedangkan bukan bumiputera tidak menikmati diskaun berkenaan.
Lalu beliau menyatakan, ‘Tanah ini adalah kepunyaan dinasour dan kita hanya mewarisinya dari dinasour.’
Ungkapan ini menyegarkan fikiran para peserta yang rata-ratanya agak tertekan dengan kandungan pembentangannya. Ternyata beliau masih belum memahami kandungan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyangnya 53 tahun yang lalu.
Kumpulan kedua membentangkan isu sebenar yang menjadi intipati dalam bengkel ini iaitu konflik Palestin dan Israel. Kumpulan ini diberi tugasan untuk membincangkan harapan kedua-dua buah negara untuk masa depan mereka bersama. Bagi kumpulan Palestin, mereka ingin mendapat peluang untuk memenuhi keperluan asas hidup dan kebebasan bergerak. Sistem pendidikan yang berkualiti turut menjadi impian mereka. Pada masa yang sama juga mengharapkan komuniti antarabangsa dapat membuat akujanji yang lebih kukuh bagi menekan Israel supaya menghormati hak-hak rakyat Palestin. Mereka juga ingin melihat kumpulan Hamas dan Fatah berdamai dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud dalam kalangan mereka.
Manakala Israel, hanya satu perkara yang difikirkan iaitu keselamatan. Apakah pada masa depan tidak ada lagi roket yang akan dilancarkan dari Semenanjung Gaza atau Tebing Barat?
Dari segi membina pemikiran yang lebih terbuka dalam menyelesaikan konflik yang melibatkan negara, kaedah naratif ini mampu memberi sumbangan kepada pemahaman yang lebih mendalam terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam konflik yang panjang.
No comments:
Post a Comment