Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), yang menaik taraf Malaysia ke Tier 2 daripada Tier 3 dalam Laporan Senarai Pemerhatian Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010, menggesa negara ini untuk menyusun tindakan undang-undang awal penguatkuasaan di bawah Akta Pemerdagangan Manusia, khasnya berkaitan pemerdagangan buruh.
Laporan itu mencadangkan agar Malaysia melaksanakan hukuman jenayah lebih ketat terhadap mereka yang terbabit dalam mengambil buruh atau mengeksploitasi buruh paksaan. Dalam laporan itu yang dikeluarkan di laman webnya Isnin lalu, juga menggesa Malaysia untuk meningkatkan usaha bagi mendakwa dan mensabitkan kesalahan pegawai awam yang mengambil keuntungan daripada aktiviti ini atau terbabit dalam pemerdagangan atau mengeksploitasi mangsa.
Ia juga mencadangkan agar Malaysia membangun dan melaksanakan prosedur untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan buruh di kalangan kumpulan yang sering terdedah dengan aktiviti ini seperti pekerja migran dan merujuk mereka kepada perkhidmatan perlindungan yang ada. Laporan itu menggesa Malaysia memastikan bahawa mangsa pemerdagangan tidak diancam atau sebaliknya dihukum kerana jenayah dilakukan yang disebabkan pemerdagangan.
Laporan berkenaan mencadangkan agar Malaysia merundingkan semula memorandum persefahaman (MoU) dengan negara-negara sumber dalam menggabungkan perlindungan mangsa dan menarik balik pasport atau merampas dokumen perjalanan.
Ia juga mencadangkan agar Malaysia meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbaiki usaha perlindungan terhadap mangsa termasuk tempat untuk menempatkan mangsa pemerdagangan.
Laporan mencadangkan supaya Malaysia terus memperluaskan latihan kepada pegawai mengenai pengendalian pemerdagangan kes seks dan buruh, dengan penekanan terhadap perlindungan mangsa serta menerus dan memperluaskan kempen komprehensif dan jelas mengenai kesedaran antipemerdagangan bagi kedua-dua pemerdagangan buruh dan seks.
Ia juga meletakkan negara berdasarkan tahap pematuhan mereka mengenai pewujudan piawaian minimum untuk pembanterasan pemerdagangan manusia.
Negara Tier 1 bagi kerajaan yang mematuhi sepenuhnya dengan piawaian minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPA), sementara negara Tier 2 untuk kerajaan yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum, tetapi berusaha sungguh-sungguh untuk mematuhinya.
Senarai Pemerhatian Tier 2 adalah kerajaan yang tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum TVPA, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa mereka dalam pematuhan dengan piawaian terbabit, dan:
•Jumlah mangsa mutlak dalam bentuk pemerdagangan yang teruk adalah sangat ketara atau meningkat dengan ketara;
•Wujud kegagalan dalam menyediakan keterangan usaha yang meningkat bagi membanteras bentuk permerdagangan manusia yang teruk dari tahun sebelumnya atau,
•Keazaman bahawa sesebuah negara itu berusaha dengan ketara untuk membawa dirinya dalam pematuhan dengan piawaian minimum berdasarkan komitmen oleh negara itu bagi mengambil langkah tambahan pada masa akan datang pada tahun depan.
Sementara itu negara Tier 3 adalah bagi kerajaan yang tidak mematuhi sepenuhnya dengan piawaian minimum dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian.
Laporan itu menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk pembanterasan pemerdagangan, bagaimanapun, ia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian.
“Kerana penilaian bahawa kerajaan sudah berusaha bersungguh-sungguh berdasarkan sebahagian komitmennya untuk mengambil tindakan pada tahun akan datang – khususnya pelaksanaan yang lebih besar dalam undang-undang antipemerdagangan Malaysia menentang pemerdagangan buruh – Malaysia ditempatkan pada Senarai Pemerhatian Tier 2,” katanya.
Kerajaan Malaysia sudah menunjukkan komitmen besar dalam menangani pemerdagangan manusia yang dijangka mendahului peningkatan penyiasatan dan pendakwaan kesalahan pemerdagangan buruh dan mengenal pasti mangsa pemerdagangan buruh oleh pegawai kerajaan dan bekerjasama rapat dengan NGO serta pertubuhan antarabangsa bagi memperbaiki perkhidmatan mangsa dalam penempatan kerajaan.
Ketika tempoh pemberitaan itu, pegawai kanan kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan orang awam mengetahui masalah pemerdagangan manusia Malaysia.
Laporan itu menyatakan kerajaan juga sudah meningkatkan siasatannya dalam kes pemerdagangan dan memfailkan jumlah pertuduhan jenayah yang meningkat terhadap mereka yang melakukan aktiviti ini, memperluaskan latihan pegawai dengan ketara mengenai undang-undang antipemerdagangan 2007, menjalankan kempen kesedaran awam mengenai pemerdagangan manusia, membuka tiga lagi penempatan untuk mangsa pemerdagangan dan melancarkan pelan tindakan kebangsaan lima tahun mengenai pemerdagangan.
“Bagaimanapun, usaha awal ini akan memerlukan perhatian berterusan, kerana banyak perhatian yang serius masih ada berkaitan pemerdagangan di Malaysia, termasuk penahanan mangsa pemerdagangan dalam kemudahan kerajaan,” menurut laporan itu.
Laporan itu menyatakan bahawa kerajaan Malaysia sudah melakukan sedikit perkembangan dalam usaha undang-undang penguatkuasaan menentang pemerdagangan seks ketika tempoh pemberitaan dan mengehadkan kemajuan, pendakwaan serta mensabitkan kesalahan pesalah pemerdagangan buruh.
Undang-undang Malaysia melarang semua bentuk pemerdagangan manusia menerusi undang-undang antipemerdagangan manusia 2007, yang menyifatkan hukuman itu hendaklah setimpal dengan kesalahan serius lain, seperti rogol.
Ketika tempoh pemberitaan, kerajaan mensabitkan kesalahan tiga pemerdagangan seks dan melaporkan usaha 180 siasatan berkaitan pemerdagangan dan memfailkan 123 pertuduhan terhadap 69 individu, walaupun bilangan sebenarnya pemerdagangan adalah tidak jelas. Laporan itu menyatakan kerajaan melakukan sedikit kemajuan dalam perlindungan mangsa ketika tempoh pemberitaan itu.
“Usaha untuk mengenal pasti dan melindungi kedua-dua mangsa pemerdagangan seks dan buruh pada keseluruhannya masih tidak mencukupi. Kerajaan tidak melaporkan pengenalan sebarang mangsa rakyat Malaysia yang memerdagangkan,” kata laporan itu.
Laporan itu menyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus menyediakan dua penempatan pemerdagangan untuk wanita serta kanak-kanak dan membuka yang ketiga pada Julai tahun lalu, yang menahan mangsa pemerdagangan seks secara sukarela untuk 90 hari sehingga mereka dihantar pulang ke negara asalnya, mengikut undang-undang Malaysia.
Ketika tempoh pemberitaan itu, kerajaan juga membuka satu daripada dua penempatannya untuk mangsa pemerdagangan lelaki, sungguhpun penempatan ini juga menahan mangsa secara sukarela sehingga mereka dihantar pulang.
Menurut laporan itu, ketika tempoh pemberitaan, 139 wanita dan kanak-kanak disijilkan sebagai mangsa dan ditahan di tempat penempatan itu.
Tambahan 232 individu diberikan perintah perlindungan asal tetapi akhirnya ditentukan oleh kerajaan bukan mangsa pemerdagangan dan dihantar pulang sungguhpun pegawai mengetahui bahawa sesetengah mangsa pemerdagangan itu enggan bekerjasama dengan prosiding undang-undang penguatkuasaan.
Dalam tempoh tahun itu, kerajaan melaporkan sudah membuat sedikit pembaikan dalam pengimbasan untuk mengenal pasti individu yang memiliki kad UNHCR atau memiliki kepandaian memperdagangkan mangsa bagi mengasingkan mereka daripada penduduk migran yang haram.
Laporan itu menyatakan bahawa undang-undang antipemerdagangan menyediakan imuniti kepada mangsa pemerdagangan untuk kesalahan imigresen seperti masuk secara haram, kehadiran tidak sah dan memiliki dokumen perjalanan palsu, tetapi mangsa terus ditahan dan dihantar pulang kerana kesalahan imigresen, jika ditangkap. – BERNAMA
(Berita Harian, 16 Jun 2010)
No comments:
Post a Comment