Wednesday, June 16, 2010

Perniagaan internet lubuk rezeki generasi milineum

Hari ini perniagaan internet di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi. Perniagaan seumpama ini semakin digemari lantaran keberkesanan Internet sebagai medium komunikasi dan pemasaran.

Sehubungan itu, peningkatan jumlah pengguna internet juga dilihat sebagai tanda positif untuk berkecimpung dalam perniagaan seumpama itu. Bagi usahawan internet, Mohd Suhaimy Abu Bakar, 30, atau lebih dikenali sebagai Shuth, perniagaan internet adalah satu bentuk perniagaan untuk masa depan kerana kebanyakan perniagaan dan kedai baru akan dibuka dalam bentuk perniagaan internet berbanding perniagaan kovensional.


“Kedai buku terbesar di dunia bukanlah terletak di Amerika, China atau Jepun tetapi di internet iaitu amazon.com manakala pasar raya terbesar di dunia pula ialah eBay. Tidak mustahil suatu hari nanti semua orang akan lebih gemar membeli-belah di internet berbanding pasar raya,” katanya kepada Bernama.

Menceburi bidang perniagaan bukanlah impian Shuth ketika kecil. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, beliau mula bercita-cita menjadi usahawan. Hal ini kerana Shuth menyedari kebaikan dan keburukan antara bekerja makan gaji dengan bekerja sendiri.

Pada masa ini Shuth menjalankan beberapa jenis perniagaan internet yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan penyewaan ‘webhosting’, penerbitan serta penjualan ‘eBook’.


Sebelum menceburi bidang perniagaan, anak kelahiran Muar ini pernah bekerja sebagai eksekutif IT yang menguruskan bahagian multimedia dan juga pembangunan web di sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menyedari betapa pentingnya memiliki kebebasan masa dan juga kewangan, beliau cuba menceburi bidang perniagaan kerana percaya bidang ini mampu memberikan semua itu. ‘Saya sedar, cara terbaik untuk memiliki kedua-dua kebebasan itu ialah dengan menceburi diri ke dalam dunia perniagaan,’ jelasnya.

Sedia mengambil tanggungjawab 100 peratus dan sentiasa berfikiran positif ialah prinsip hidup Shuth untuk menjadi seorang usahawan berjaya. Beliau juga berpendapat, untuk menjalani kehidupan yang lebih gembira dan bebas, berniaga dan menjadi seorang usahawan adalah pilihan paling tepat.

Menurut Shuth, ada kajian yang menyatakan bahawa golongan yang bekerja sendiri dan berniaga mempunyai kehidupan yang lebih gembira dan memuaskan berbanding golongan yang makan gaji.

Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, setakat ini tiada halangan terlalu besar dihadapi beliau kecuali sedikit kritikan ketika melancarkan ‘eBook’ yang pertama pada 2005.

“Saya menerima e-mel dan juga panggilan telefon daripada seseorang yang mencerca saya dan mengatakan saya penipu sebab menjual ‘eBook’ di internet.

Pada masa itu, saya sedikit kecewa tetapi kembali bersemangat apabila melihat semakin ramai orang membeli ‘eBook’ dari sehari ke sehari.

“Pada pendapat saya, saya menjual ilmu dan maklumat, bukannya menjual fail kosong. Dunia sudah maju dan zaman sudah berubah, zaman ini ialah zaman informasi dan maklumat. Pada zaman ini, maklumat ialah sesuatu yang sangat penting dan berharga, jadi tidak hairanlah jika orang ramai akan mula memperdagangkannya di alaf baru ini,” jelasnya.

“Kejayaan yang saya rasa paling besar dalam hidup saya selepas menceburi bidang ini ialah apabila saya dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata saya setiap hari,” katanya bangga.

Penulis buku terlaris, Rahsia Blogger ini didorong oleh seorang rakannya yang mahu beliau berkongsi ilmu mengenai blog kepada orang ramai. Buku itu menceritakan peluang yang ada untuk mendapatkan wang di internet.

Harapan Shuth adalah selepas membaca buku berkenaan, mereka dapat melihat dan bertindak merebut peluang yang ada.

Generasi milineum atau nama lainnya, generasi Y, yang membesar dengan kewujudan internet, lebih gemar menggunakan internet untuk tujuan bersosial dan berhibur seperti Facebook, Myspace, ‘games’ (permainan mata) dan sebagainya.

Menurut Shuth, golongan ini mempunyai peluang cerah dalam bidang perniagaan internet selagi mereka mempunyai minat untuk berniaga serta menyedari kepentingan internet bagi tujuan perniagaan.

Shuth berkata golongan belia harus bijak mengambil peluang dan menggunakan ruang sedia ada ke arah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan. – BERNAMA

(Berita Harian, 16 Jun 2010)
Post a Comment