Kezaliman komando Israel yang menyerang flotila keamanan dalam kapal Mavi Marmara mula disebarkan ke seluruh dunia sebaik sahaja Israel membebaskan sebahagian besar aktivis keamanan kembali ke negara masing-masing. Antara aktivis yang dibebaskan ialah 12 orang rakyat Malaysia.
Kita mula mendengar dari mulut mereka gambaran sebenar kejadian yang disaksikan dan dialami sendiri oleh aktivis-aktivis berani ini. Salah seorang daripada mereka adalah Syed Mohd Haleem, seorang pengamal perubatan di Shah Alam. Beliau berada di atas kapal berkenaan ketika serangan berlaku.
Dalam keadaan tidak terkawal, tentera Israel menembak dua rakan mereka sendiri dan kedua-duanya cedera. Seorang ditembak di tangan manakala seorang lagi terkena dua tembakan di dada. Aktivis yang prihatin telah meminta beliau merawat tentera Israel yang cedera ini dan rawatan yang berikan adalah sangat teliti. Rupa-rupanya dua orang tentera Israel ini sangat pengecut. Entah apa yang ditakutkan pun tidak tahu. Sebaik sahaja diletakkan di bahagian tepi kapal tiba-tiba mereka berdua terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri sedangkan keadaan ketika itu tidak memberi ancaman keselamatan.
Suasana cemas di atas kapal adalah kisah benar di sebalik propaganda media Israel yang menuduh aktivis membawa pelbagai jenis senjata untuk membunuh tentera negara itu. Dalam suasana cemas inilah tiga orang aktivis ditembak sehingga mati. Salah seorang daripada mereka ditembak menembusi di antara dua kening sehingga bahagian belakang kepalanya terburai dan otaknya meleleh keluar. Seorang lagi ditembak di tangan dan mendapat kecederaan yang parah.
Banyak lagi kisah benar yang diceritakan oleh aktivis yang menyaksikan sendiri kegilaan tentera Israel ini. Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail turut mengalami kisah yang menggerunkan. Dalam keadaan panik menyelamatkan diri, tanpa disedari seorang tentera Israel sedang menghalakan laser penentu sasaran senapang tepat ke kepalanya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa menyerah diri.
Apabila ditanya bagaimana sifat tentera Israel, beliau menyifatkan tentera-tentera ini sangat bengis dan zalim.
‘Jika hendak digambarkan keganasan tentera Israel memang sukar, tetapi cukuplah sekadar dikatakan bahawa mereka langsung tidak ada belas kasihan, tidak peduli apa yang diminta walau puas dirayu dan herdikan mereka menjadi teman sepanjang kami ditawan’.
Di sebalik kisah 12 orang aktivis pro-Palestin ini, kita dapat melihat di wajah mereka ada sedikit sebanyak kekecewaan kerana ada di antara mereka yang sudah membayangkan akan syahid. Seorang rakan berkata, ‘sahabat-sahabat kita yang sedang menuju ke Gaza sedang menempah syahid, namun kita di Malaysia belum ada apa-apa tempahan.’
Aktivis Turki yang ditembak mati dikatakan menunjukkan tanda-tanda kesyahidan mereka apabila jenazah berbau wangi iaitu satu daripada ciri-ciri mati syahid. Arbaie Syawal, seorang pengamal perubatan sempat mencium dahi tiga mayat sukarelawan dari Turki dan mendapati mereka berbau sangat wangi seperti wangian kasturi.
No comments:
Post a Comment