Tuesday, June 01, 2010

Israel serang kapal aktivis

Israel sekali lagi menggunakan kaedah ganas untuk menghalang armada kecil kapal laut, Mavi Marmara ke Gaza. Dalam serangan pada pukul 2 pagi itu, sekurang-kurangnya 15 hingga 20 orang dilaporkan telah dibunuh oleh Shayetet 13, pasukan komando laut Israel yang lengkap bersenjata.

Dalam reaksi antarabangsa, Turkey, Sweden dan Greece memanggil duta Israel bagi menyatakan bantahan ke atas serangan berkenaan. Perancis berkata mereka ‘sangat terkejut’ dengan tindakan ganas tersebut. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan serangan itu sebagai ‘penyembelihan’.

Dalam maklum balas media Israel, mereka menyatakan kononnya terdapat pisau, kayu pemukul dan batang paip yang digunakan untuk memukul komando Israel. Laporan tentera Israel menyatakan aktivis telah merampas dua pucuk senjata daripada komando dan melepaskan tembakan menyebabkan berlaku pertempuran. Bagi mengukuhkan persepsi masyarakat dunia ke atas kewajaran tindakan komando Israel, media Israel seperti Jerusalem Post dan Haaretz mengulang-ulang berita yang sama dari perspektif berbeza tetapi semuanya ke arah membenarkan tindakan keganasan dan kezaliman ke atas penumpang kapal.

Bantahan keras datang dari Turkey di mana kementerian luar meminta pelancong Israel untuk tidak menonjolkan diri dan mengelak daripada mengujungi tempat terbuka ketika ketegangan berada di kemuncak di antara Turkey dan Israel. Tindakan Israel menggunakan senjata untuk menghalang armada kapal berkenaan hanya menambah derita keganasan negara itu ke atas bantuan ke Semenanjung Gaza.

‘[Serangan terhadap konvoi] tidak dapat diterima ... Israel akan menderita di atas tindakannya itu.’

Di Gaza, presiden Hamas, Ismael Haniyeh berkata kemaraan armada kapal laut yang membawa aktivis dan bahan perubatan merupakan kemenangan kepada kerajaannya dan merupakan tanda permulaan berakhirnya sekatan laut Israel, sama ada ia diserang oleh Israel atau sampai ke destinasinya.

‘Jika kapal-kapal ini tiba di Gaza, ai adalah kemenangan untuk Gaza’. Beliau berkata demikian ketika meninjau pelabuhan kecil di bandar Gaza. ‘Jika mereka dihalang oleh Zionis, ia adalah kemenangan untuk Gaza dan mereka akan datang lagi dengan kapal-kapal baru ke Gaza’.
Post a Comment