Tuesday, June 15, 2010

Malaysia pada tahap dua pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR: Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahap Dua Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 berikutan keberkesanan kerajaan mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Tahun lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahap Tiga dalam menangani masalah jenayah pemerdagangan manusia. Laporan TIP menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan tahap pematuhan standard minimum bagi memerangi aktiviti pemerdagangan manusia. Tahap Satu merujuk kepada pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua pula bagi usaha yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA), manakala Tahap Tiga adalah negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat semalam, kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sangat prihatin mengenai isu pemerdagangan manusia, mengambil pelbagai langkah termasuk meningkatkan siasatan dan mendakwa mereka yang terbabit dalam kes seumpama itu serta menambah latihan pegawai yang terbabit dalam pencegahan dan siasatan.

Kerajaan juga mengadakan pelbagai kempen kesedaran awam mengenai isu pemerdagangan manusia, membuka tiga lagi pusat perlindungan mangsa dan melancarkan pelan tindakan peringkat nasional.

Kejayaan Malaysia itu turut dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui sepucuk surat daripada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat, pagi semalam.


Mengulas perkara itu, Hishammuddin yang ditemui di lobi Parlimen berkata, peningkatan tahap itu adalah pengiktirafan kepada Malaysia yang sentiasa komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia, termasuk menggubal Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan mewujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dengan lima jawatankuasa tetap.

“Selain itu, kita melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2010-2015, memperketatkan kawalan di sempadan negara dan mengenal pasti agensi kerajaan serta pihak berkepentingan untuk membasmi jenayah itu secara bersepadu,” katanya.

Terdahulu, pada persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata, seramai 1,447 orang berjaya diselamatkan daripada jenayah pemerdagangan manusia dari Februari 2008 hingga Mei lalu serta diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) di bawah Seksyen 44 (2), Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Daripada jumlah itu, 338 dikenal pasti sebagai mangsa sebenar yang diberikan Perintah Perlindungan (PO) di bawah Seksyen 51 (3),akta yang sama.

"Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman bagi membendung jenayah itu, kelemahan di negara asal mangsa untuk mencegah dan mendidik menyebabkan mangsa diperdaya oleh sindiket. Tahap kerjasama daripada orang awam dan agensi penguatkuasa juga perlu dipertingkatkan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

(Berita Harian Online, 15 Jun 2010)

No comments:

Post a Comment