Wednesday, June 16, 2010

Inisiatif mengurangkan penyeludupan manusia

Media melaporkan terdapat kumpulan agama dan politik negara luar yang memilih Malaysia sebagai tapak untuk memperkemaskan aktiviti subversif di negara masing-masing. Kumpulan agama Jemaah Islamiah (JI) dan kumpulan politik Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) disebut sebagai dua kumpulan asing yang mencari pengaruh selain daripada melakukan transaksi kewangan. Kedua-duanya dapat bertapak di negara ini kerana ada simpati daripada orang tempatan atau orang asing yang telah lama menetap di sini tetapi mempunyai aspirasi yang sama. Selain itu kita juga yakin terdapat kegiatan kumpulan pembebasan Selatan Thailand dan Selatan Filipina di negara ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun mengeluarkan amaran yang jelas supaya masyarakat awam bersedia dengan siri tangkapan yang akan dilakukan di samping mendapat maklumat yang boleh membantu melumpuhkan gerakan kumpulan-kumpulan berkenaan. Kecekapan PDRM amat membanggakan namun banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi menghalang pengaruh mereka berkembang dengan pantas.

Kadangkala pembongkaran sesuatu aktiviti yang menggugat keselamatan negara lebih dahulu dikesan oleh perisik negara luar seperti yang berlaku ke atas aktiviti penyeludupan manusia. Amerika Syarikat sering kali memberi tekanan ke atas kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain supaya mengambil tindakan segera bagi menghalang kegiatan penyeludupan manusia merentas sempadan ini. Tekanan ini dikesan pada tahun 2003 dan dua tahun selepas itu masyarakat awam mula menyedari kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada negara transit pelarian dari Iraq, Afghanistan, Sri Lanka dan Myanmar yang bercadang meneruskan perjalanan ke negara ketiga khususnya Australia. Kesedaran ini bermula apabila media melaporkan beberapa siri serbuan dan tangkapan di sempadan Malaysia-Thailand dan di perairan Kota Tinggi, Johor. Pelarian ini datang dari berbagai-bagai arah menggunakan jalan darat, laut dan udara.

Pada 2007, kerajaan Malaysia menggubal Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan mewujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang serta menggerakkan tindakan di peringkat nasional sebagai tindak balas di atas tekanan Amerika Syarikat.

Cabaran terkini ialah mewujudkan sebuah pusat penempatan mangsa penyeludupan manusia supaya selaras dengan ketetapan Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA). Walaupun Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 meletakkan Malaysia pada Tahap Dua, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam aspek penguatkuasaan dan perlindungan. Peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sama besar dengan Kementerian Dalam Negeri kerana kedua-duanya boleh menyumbang kepada penarafan yang lebih baik dalam TIP.

Kita ingin melihat sejauh mana kedua-dua kementerian ini mengambil inisiatif mengurangkan kemasukan pelarian asing dan pada masa yang sama membantu mewujudkan hubungan yang lebih baik dengan negara serantau.

No comments:

Post a Comment