Pemerhati politik menyifatkan konflik etnik yang berlaku di Kyrgyzstan sebagai tanda awal ke arah pemisahan negara itu kepada kelompok etnik yang berkuasa. Kyrgyzstan didiami 5.5 juta orang dengan kelompok Kyrgyz membentuk 64.9 peratus, Uzbek 13.8 peratus, Russian 12.5 peratus, Dungan 1.1 peratus dan masing-masing Ukranian dan Uyghur 1 peratus. Sebahagian besar penduduk Kyrgyzstan beragama Islam (75 peratus) dan selebihnya Russian Orthodoks.
Semenjak merdeka pada 31 Ogos 1991, Kyrgyzstan berdepan dengan kerajaan yang tidak stabil. Peralihan kepimpinan sering menimbulkan masalah. Akhir-akhir ini berlaku rusuhan, konfranstasi dan skandal. Keadaan ini merupakan refleksi terhadap peralihan kerajaan pada Mac 2005 yang dikatakan sebagai permulaan demokrasi. Semua peringkat masyarakat merasakan mereka berupaya menyuarakan tuntutan masing-masing dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankannya.
Proses pendemokrasian menyerlahkan persaingan untuk berkuasa di antara kumpulan-kumpulan yang berpengaruh. Pelantikan dan perpindahan penjawat awam ke jabatan lain menyebabkan kemarahan dan bantahan awam. Seterusnya persaingan sengit antara beberapa kelompok berbeza untuk merebut kuasa menjadikan keadaan politik bertambah tegang. Pihak yang pro kepada kerajaan, pembangkang dan angkatan tentera memberi laluan kepada gambaran kabur terhadap masa depan rakyat yang banyak dipengaruhi oleh perjalanan politik negara.
Tidak ada harapan untuk berbincang tentang peranan pihak eksekutif atau perundangan yang dapat berkongsi pandangan tentang isu-isu utama negara. Sebaliknya setiap satu terpisah dengan bahagian masing-masing yang dipengaruhi oleh kuasa-kuasa luar. Parahnya kewujudan fraksi ini dijejak dengan penahanan pegawai keselamatan kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri, parlimen dan kerajaan.
Apabila ia berkaitan dengan tugas asasi kerajaan, undang-undang dan arahan, pengurusan sumber dan reformasi- persepsi umum terhadap pihak berkuasa amat negatif dan terdedah pada kritikan.
Berdasarkan kepada semua pertimbangan ini, ditambah dengan pandangan-pandangan yang meyakinkan, negara itu dilihat sedang beralih kepada sebuah negara yang akan berkonflik menyebabkan pasukan pengaman antarabangsa masuk untuk menyelesaikan masalah. Pandangan yang terlalu ekstrem ialah Kyrgyzstan akan berpecah kepada dua- satu bahagian akan bersama-sama dengan Uzbekistan dan satu lagi kekal sebagai Kyrgyzstan.
Dalam kalangan pakar-pakar politik antarabangsa, ada dua kemungkinan yang akan berlaku.
Pandangan pertama melihat Kyrgyzstan akan kembali melaksanakan sistem autokratik kerana sebilangan besar rakyat negara itu belum bersedia untuk melaksanakan proses demokrasi. Mungkin seorang pemimpin yang kuat akan muncul ataupun sebuah kerajaan junta yang menggabungkan polis dan pasukan keselamatan. Akhirnya akan berlaku revolusi dan anti revolusi di mana salah satunya akan menang.
Pandangan kedua pula ialah melihat Kyrgyzstan akan berubah menjadi sebuah Afghanistan- peperangan saudara. Idea yang menakutkan ini membayangi fikiran banyak pihak, dalam dan luar negara. Bagaimanapun pandangan ini tidak mengambil kira banyak perkara.
Konflik yang berlaku di Kyrgyzstan tidak dapat lari daripada ketidakadilan sosial khususnya di wilayah Osh. Konflik di Osh telah berlaku pada tahun 1990 dan berulang lagi pada tahun 2010. Institusi sosial di Osh jauh ketinggalan di mana hanya 25 peratus kanak-kanak yang hadir ke tadika. Bilangan sekolah hanya untuk 65 peratus penduduk. Di selatan Kyrgyzstan, bilangan tempat kemudahan awam adalah sangat sedikit. Tidak banyak perkhidmatan yang disediakan. Setiap saat penduduk di situ menyuarakan rasa tidak puas hati. Semua faktor ini menyumbang kepada ketegangan sosial dan ketidakpuasan rakyat.
Konflik yang berlaku dilihat tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku seiring dengan perubahan sosial. Memusnahkan institusi sedia ada dan membentuk sistem yang lebih demokratik selalu berhadapan dengan kekeliruan nilai, pengasingan pengaruh dan tidak berkesan. Faedah terbesar yang diperoleh oleh masyarakat Kyrgyzstan ialah mempelajari hidup dalam suasana pertentangan kepentingan pelbagai pihak.
Dalam masyarakat yang berusaha membentuk sebuah kerajaan demokratik, sebarang konflik akan memusatkan pada satu arah. Kepelbagaian kepentingan yang muncul dalam konflik di Kyrgyzstan membolehkan rakyat negara itu belajar untuk hidup bersama. Bahaya besar yang menanti mereka ialah menjalarnya pemerintahan kuku besi yang memberi ruang kepada revolusi dan tekanan.
Konflik di Kyrgyzstan hanya dapat diatasi melalui proses intervensi dengan mengehadkan hak dan kebebasan awam demi mengembalikan kestabilan negara itu.
No comments:
Post a Comment