Ramai daripada kita sering tercari-cari kaedah atau cara untuk meyakinkan diri sendiri. Ada yang mengeluarkan wang sendiri bagi menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan sama ada di dalam atau luar negara. Tidak cukup dengan dalam bilik-bilik kuliah, aktiviti luar dan lasak menjadi pilihan. Kalau bukan di darat, laut pun diterjah.
Pelaburan yang besar untuk membina keyakinan diri belum tentu memberi impak yang maksimum dan bergraduat sebagai seorang yang 100 peratus berkeyakinan diri. Jika sistem pembentukan keyakinan diri itu berjaya, wujudlah sifat yakin dalam diri. Yakin dalam semua hal- bercakap, buat keputusan, analisis masalah atau merumuskan sesuatu peristiwa.
Dalam usaha membina keyakinan diri, di mana kita harus bermula? Ia bergantung pada individu kerana keyakinan diri tidak boleh dipindahkan dari seorang kepada seorang yang lain, atau dari bapa kepada anak atau dari suami kepada isteri. Begitu juga dari seorang yang tersohor kepada peminatnya.
Keyakinan diri mesti bermula dari individu khususnya kemahiran komunikasi. Namun komunikasi ini mempunyai konsep yang luas, jadinya di mana perlu diberi perhatian? Sama ada mahu ataupun tidak, kemahiran bercakap adalah kemahiran yang mesti dikuasai.
Apakah maksud kemahiran bercakap ini? Ia bukannya bercakap banyak atau berjela-jela sehingga membosankan orang lain tetapi bersuara untuk menyatakan pandangan dan keberanian tersebut diiringi dengan ketertiban.
Contohnya begini. Dalam satu ceramah, penceramah menanyakan soalan yang minta dijawab. Dalam kalangan peserta, masing-masing diam dan tidak memberi sebarang maklum balas kepada soalan tersebut. Maknanya, peserta tidak memiliki kemahiran komunikasi yang baik dalam aspek keberanian bersuara. Keadaan ini berbeza dengan situasi berikut. Seorang peserta tidak setuju dengan isi kandungan penceramah lalu keluar ke hadapan dan berkata, ‘Tuan, saya amat teruja dengan ceramah tuan mengenai perkara itu tetapi saya rasa ia kurang lengkap. Saya berpendapat begini...’
Ini adalah cara orang yang yakin dan ada tertib bersuara di khalayak. Kemahiran beginilah yang wajar dicontohi khususnya pelajar dan generasi muda yang mula menceburkan diri dalam dunia pekerjaan.
No comments:
Post a Comment