‘Mamit dah banyak berubah sekarang,’ bisik Adi, anak saudara Mamit ketika saya bertanya khabar keadaannya. Baru sebulan Mamit menjalani pembedahan pintasan jantung di Jerudong Park Medical Centre (JPMC). Keadaannya masih lemah biarpun dapat berjalan ke sana-sini. Ketika saya sampai di halaman rumahnya, Mamit keluar perlahan-lahan dan sekali-sekala cuba memberi senyuman. Terasa ada kelainan apabila bersalam dengan Mamit, kelibatnya sangat ‘slow’ apatah lagi ketika bercakap. Sepatah ditanya, terasa lambat sekali untuk membuka mulut.
Sekali-sekala Mamit tunduk sambil mulut sedikit terbuka, terkumat-kamit untuk menyatakan sesuatu namun tidak juga keluar perkataan yang dipilihnya.
Walaupun sakit, Mamit gagahkan juga melayan saya sekeluarga. Riak wajahnya masih kurang berseri, jauh bezanya ketika kami berjumpa pada Februari lalu. Ketika itu, Mamit sentiasa tersenyum, kadang-kadang bergurau dan ketawa riang. Geraknya juga pantas dan pantang dikeloi, pasti dia akan terus menyahut dan bersuara.
Kini semuanya berbeza.
Sejak dimasukkan ke JPMC akibat serangan angin ahmar, senyum ketawa Mamit tidak lagi kelihatan. Sepuluh hari di unit rawatan rapi, ingatan Mamit banyak yang telah hilang. Rakan-rakan yang suatu ketika dulu diingatinya, kini ramai yang ‘lenyap’ dari memori. Rakan-rakan yang pernah minum teh tarik, rakan-rakan yang kerap berjemaah di Masjib Kampung Beribi, rakan-rakan yang pernah naik kereta dan bermalamnya di rumahnya kini sudah tidak dikenalinya seperti dulu.
Isterinya, Kak Midah begitu tabah dan setia disisi Mamit. Saat-saat sakit datang menyapa Mamit adalah ujian kesetiaan seorang isteri. Walaupun ketika berbual Kak Midah sering senyum dan ketawa, namun jauh di sudut harinya berkumpul risau dan bimbang yang menggunung kerana Mamit perlu diperhati dan dilayan setiap masa.
Sejarah kesihatan Mamit tidaklah begitu baik biarpun dia nampak sihat dan cergas. Secara berkala dia perlu mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi bagi menstabilkan kandungan gula dan tekanan darah. Sebagai penguasa di jabatan kerajaan, Mamit perlu sentiasa bersedia apabila dipanggil untuk membuat pemeriksaan kehalalan ayam dan daging di terminal Muara. Jenis kerjaya yang dipilih Mamit membuatkannya mendapat ramai kenalan khususnya dari agensi penguatkuasa dan ahli perniagaan.
Justeru, apabila Mamit hadir dalam majlis perkahwinan anak perempuannya, rakan-rakan yang belum mengetahui keadaan Mamit berasa cuak apabila sapaan mereka tidak dijawab. Terkejut dan simpati. Dalam setiap masa, Mamit lebih suka duduk berbanding melayan tetamu yang hadir.
Sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, saya menghantar pesanan ringkas kepadanya.
‘Alhamdulillah, kami dah sampai KL tadi. Mamit rajin2 pi kelas terapi nanti cepat baik. Zahir.’
Selang beberapa minit, saya menerima SMS Mamit.
‘Terima kasih datang brunei, maaf kerana layanan tidak sbrapa... lain kali aku sihat kami dtg kl, insya Allah.’
Saya tahu bukan Mamit yang hantar SMS kerana susunan ayatnya sangat berbeza. Ingatan saya kepada beliau saya panjangkan dalam doa supaya Mamit cepat pulih dan kembali bekerja. Doktor kata Mamit seorang yang kuat semangat dan dapat ceria seperti dulu. Jika Mamit dapat hadir ke sesi terapi, otot-otot tangan dan kakinya akan kuat semula dan kami dapat menikmati teh tarik dan roti canai di Restauran Akhbar Ria, Sengkurong.
Mamit, semoga biskita sihat dan dipanjangkan umur.
No comments:
Post a Comment