Monday, May 31, 2010

Implikasi bantahan politik di Thailand

Siri bantahan politik yang berlaku di Thailand bermula dari Mac hingga Mei 2010 terhadap kerajaan pimpinan Abhisit Vejjajiva mengundang pelbagai implikasi ke atas negara itu. Bantahan besar-besaran diatur oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai National United Front of Democracy Against Dictatorship (UDD) atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Baju Merah’. Tuntutan UDD ialah meminta perdana menteri Abhisit berundur dan mengadakan pilihan raya yang demokratik.

Bagaimanapun beberapa siri rundingan yang diatur gagal menetapkan tarikh muktamad pilihan raya. Pembantah meneruskan konfrantasi ganas mereka ketika berhadapan dengan pasukan tentera dan percubaaan untuk mengadakan gencatan senjata menemui jalan buntu.

Dalam bantahan selama tiga bulan itu, lebih daripada 80 orang terbunuh dan enam orang tentera terkorban manakala lebih 2,100 orang cedera apabila pasukan tentera melumpuhkan kumpulan pembantah pada 19 Mei 2010.

Berikut adalah urutan masa kejadian bantahan yang bermula pada Mac 2010.

14 Mac - Kumpulan Baju Merah berkumpul di tengah Bangkok, mengadakan bantahan besar-besaran secara aman sambil menduduki beberapa kawasan pentadbiran kerajaan.

16 Mac - Pembantah menabur darah mereka sendiri di hadapan Rumah Kerajaan.

30 Mac - Siri rundingan dengan kerajaan menemui jalan buntu.

3 April - Kumpulan Baju Merah menguasai kawasan perniagaan di sekitar Bangkok.

7 April - Perdana Menteri Abhisit mengisytiharkan darurat.

10 April - Tentera diarahkan menyurai kelompok pembantah menyebabkan 25 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.

22 April - Letupan bom membunuh seorang pembantah dan mencederakan 85 yang lain. Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain.

28 April - Seorang anggota tentera ditembak dalam pertempuran di utara Bangkok.

13-17 Mei – 36 orang terbunuh dalam pertempuran sengit di Bangkok.

19 Mei - Tentera Thailand merempuh kubu pembantah menyebabkan enam orang terbunuh. Pemimpin Baju Merah menyerah diri dan ditahan.

Bantahan 14 Mac 2010 merupakan yang terbesar dalam sejarah Thailand. Tumpuan utama Baju Merah ialah di jambatan Phan Fah. Sebahagian besar kelompok Baju Merah datang dari luar Bangkok khususnya di utara Thailand.

Pada April, mereka mula berkubu di Ratchaprasang menyebabkan kerajaan Abhisit mengisytiharkan darurat pada 8 April. Dua hari selepas itu, pasukan tentera memulakan gerakan memusnahkan kubu Baju Merah namun gagal. Walau bagaimanapun seramai 24 orang termasuk wartawan Jepun telah terbunuh dan lebih daripada 80 orang mendapat kecederaan.

Kemarahan kumpulan Baju Merah terus memuncak dengan menyerang Hospital Chulalongkorn dan tindakan ini menimbulkan kemarahan awam.

Cadangan Baju Merah untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh tiga bulan ditolak oleh Abhisit. Bagaimanapun kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengadakan pilihan raya pada 14 November 2010. Tarikh ini diterima baik oleh Baju Merah dengan beberapa syarat tambahan menyebabkan Abhisit menarik balik tawaran berkenaan.

Kubu kuat Baju Merah, Ratchaprasang dikelilingi kereta kebal dan pasukan penembak tepat. Pada 13 Mei, penasihat keselamatan kepada pembantah, Khattiya Sawasdiphot telah ditembak ketika sedang mengadakan sesi temu bual bersama akhbar The New York Times.

Sehingga 18 Mei, seramai 41 orang telah terkorban dan 250 lagi cedera. Kerajaan mendakwa kematian berkenaan disebabkan oleh tembakan yang dilepaskan dari kumpulan pembantah atau pembantah yang menyamar dengan mengenakan uniform tentera Thailand. Pihak tentera mengisytiharkan kawasan pertempuran sebagai ‘zon kebakaran hidup’ dan pasukan perubatan dilarang masuk ke kawasan berkenaan.

Pada pagi 19 Mei, kenderaan perisai tentera menggempur Ratchaprasang menyebabkan lima orang terbunuh. Pihak tentera dilaporkan telah menembak pasukan perubatan yang hendak membantu pembantah yang cedera. Pukul 1.30 tengah hari, pemimpin-pemimpin Baju Merah atau UDD menyerah diri dan ditahan. Mereka meminta semua penyokong bersurai dan balik ke kawasan masing-masing.

Setelah pengumuman serah diri dibuat, penyokong Baju Merah di Udon Thani, kawasan timur laut Thailand telah membakar pekan kecil kerana membantah tindakan tersebut.

Peristiwa bantahan besar-besaran di Thailand telah memberi implikasi besar kepada masyarakat dan negara itu. Selain menggugat keselamatan masyarakat awam, perniagaan turut terhenti seketika dan pemimpin negara serantau bimbang jika kekacauan merebak melangkaui sempadan Thailand.

Dalam krisis ini, pelbagai ancaman, janji-janji manis dan ugutan gagal menghalau Baju Merah keluar dari Bangkok. Dengan keadaan keganasan yang berterusan, persengketaan awam semakin melebar dan meruncing.

Sejarah Thailand sentiasa bergolak dengan rampasan kuasa dan kekacauan politik. Keadaan ini semakin meningkat sehingga menjejaskan kestabilan politik negara. Semenjak Thaksin memegang kuasa, bantahan besar-besaran terhadap corak kepimpinannya dilancarkan oleh kelompok Baju Kuning dan mereka menguasai dua lapangan terbang di Bangkok. Kerajaan pro Thaksin akhirnya dijatuhkan melalui tindakan mahkamah. Penyokong-penyokong Thaksin meniru taktik yang digunakan Baju Kuning dengan memenuhi jalan-jalan utama di Bangkok.

Kenapa terdapat perbezaan warna dalam kancah politik Thailand?

Ia ada satu cara untuk membentuk dan memupuk identiti. Baju Kuning dikaitkan dengan hari Isnin sempena kelahiran Raja Thai. Ia sebagai tanda setia kepada raja dan kumpulan elit yang telah mendominasi politik Thailand sejak beberapa tahun lamanya. Penyokong-penyokong Thaksin memilih warna merah bagi membezakan mereka dengan penyokong raja.

Apakah yang menjadi punca perbalahan?

Pada dasarnya ia merupakan perebutan kuasa yang klasik. Keadaan ini boleh digambarkan sebagai pertembungan di antara yang kaya dengan miskin tetapi lebih kompleks kerana pemimpin Baju Merah adalah seorang jutawan yang bebas bergerak dan tidak berada di dalam negara. Thaksin merangkak untuk meraih kuasa dengan memperkenalkan polisi yang popular dalam kalangan penduduk miskin di luar bandar.

Pendekatan radikal ini telah membangkitkan kemarahan golongan elit yang khuatir kedudukan dan kepentingan mereka akan dipinggirkan sedikit demi sedikit.

Masyarakat awam juga khuatir dengan tuduhan rasuah dan cara melampau Thaksin untuk memerangi sindiket pengedaran dadah sehingga menyebabkan beberapa kes kematian misteri. Thaksin juga dikecam kerana zalim dalam menyelesaikan sengketa di Selatan Thai yang majoriti adalah muslim.

Akhirnya pihak tentera menyingkirkannya melalui rampasan kuasa yang didokong oleh kelompok kelas pertengahan dan elit. Di sinilah bermulanya pergelutan untuk merebut kuasa di antara penyokong setia Thaksin dan mereka yang setia kepada tentera, aristokrat dan Parti Demokrat.

Jadi, apakah implikasi terhadap bantahan ini?

Jika tidak dikawal, bantahan ini boleh merebak ke seluruh negara dan mengancam keselamatan serantau. Hubungan Thailand dan Kemboja disurami dengan isu pelantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi Hun Sen. Malah Selatan Thai yang bergelora mungkin memberi kelebihan kepada puak pemisah untuk mengaktifkan kegiatan mereka dengan menimbulkan keadaan huru-hara. Dengan tamatnya bantahan pada 19 Mei lalu, keselamatan sempadan terkawal dan kerajaan Abhisit dapat memberi perhatian kepada perkembangan ekonomi dan menstabilkan semula iklim politik Thailand.

No comments:

Post a Comment