Monday, November 30, 2009
Dari Beirut ke Jerusalem
Tahun: 2007 (edisi Bahasa Malaysia)
Penerbit: Harakah, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 403
Sabra dan Shatila adalah kem pelarian Palestin yang telah dimusnahkan oleh sekutu tentera Israel ejen-ejennya pada September 1982. Dalam masa empat hari iaitu U 15 hingga 18 September, seluruh kawasan di kem tersebut ditutup dan tentera menembak membabi-buta sesiapa sahaja yang mereka nampak.
Tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita, orang tua atau kanak-kanak, di mata tentera-tentera ini ialah semuanya menjadi sasaran. Semasa tentera berada di darat, pesawat pejuang canggih tentera udara Israel berterusan menggugurkan bom bagi meranapkan bangunan yang ada.
Mangsa-mangsa yang cedera meraung sekuat hati dalam bilik pembedahan terbuka. Jika sempat, mereka dibawa ke hospital paling hampir dan mendapat rawatan segera. Namun, operasi bedah dilakukan tanpa sarung tangan, topeng muka, anaestetik atau bekalan elektrik.
Mangsa-mangsa yang ditembak dan dibom bergelimpangan dibiarkan kerana masing-masing melarikan diri untuk berlindung daripada keganasan tentera Israel. Bilik mayat sesak dengan pesakit yang meninggal dunia. Ada mayat orang tua, kanak-kanak dan wanita. Mereka disusun bertindih-tindih kerana kekurangan ruang.
Banyak lagi kisah penderitaan rakyat Palestin selepas diserang oleh tentera Israel diceritakan dengan jelas oleh Dr Swee Chai. Pengalamannya melihat keadaan sebenar orang Palestin di Sabra dan Shatila telah mengubah persepsinya terhadap negara Israel dan rakyat Yahudi. Beliau melihat Israel sebagai sebuah negara yang zalim dan membunuh rakyat Palestin sama ada terang-terangan atau sembunyi.
Saturday, November 28, 2009
Veratum Album
Fikiran: Meracau, cakap tentang agama, sembahyang tunggang-langgang, caci-maki sepanjang malam, rasa tidak bernasib baik.
Kepala: Pening dengan peluh di dahi. Kepala panas.
Mata: Ada lingkaran biru atau hitam. Berair dengan tanda kemerah-merahan. Penglihatan berganda.
Hidung: Keluar darah.
Muka: Pucat, sejuk dan cengkung. Dagu rasa panas dan terbakar.
Mulut: Lidah sejuk, kering, pecah-pecah, merah dan bengkak. Rasa haus.
Perut: Lapar; mengidam buah, jus dan makanan masam. Sangat haus dengan air sejuk tetapi muntah bila diminum.
Seks Perempuan: Haid terlalu awal dan banyak.
Pernafasan: Susah bernafas dengan sesak di dada. Batuk diiringi kahak, muka biru dan kencing secara tidak sedar.
Umum: Seluruh tubuh menggigil. Tiba-tiba tenaga merosot. Sangat lemah dan letih.
Melarat: Selepas minum; sebelum dan semasa berak; bila bangun.
Lega: Semasa duduk dan baring (kecuali ketika badan lemah).
Patologi: Cirit-birit, perut memulas-mulas, penyakit saraf- gila,sedih, kecewa (kaitan agama), endometritis, bronchitis, kanak-kanak, pengsan kerana tahan sakit, demam sejuk, loya dan muntah (perempuan hamil).
Simptom Utama: Peluh sejuk di dahi; haus dengan air sejuk tetapi muntah bila minum.
Wednesday, November 25, 2009
Jangan bunuh intelektual
Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.
Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.
Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.
Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah "orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya".
Menurutnya lagi, "Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya."
Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.
Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.
Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.
Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:
-Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya. -Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin. -Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif. -Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun. -Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah. -Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar. |
Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.
-Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaranyang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru. -Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan. -Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu. -Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain. -Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih. -Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna. -Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan "mencerca", tetapi "mengkritik", yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama. |
Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara "intelektual" dan "ulama"? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?
Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, "pengislaman ilmu" oleh Ismail Faruqi dan "mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual" oleh Mohd Natsir?
-Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda. -Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara. -Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan. -Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi. -Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil. |
Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.
Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.
Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
(Utusan Online, 25/11/2009)
Tuesday, November 24, 2009
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (5)
Bagi menambah kefahaman kita terhadap perdagangan manusia, kita wajar memahami dua perkara asas: apakah yang dimaksudkan dengan penghijrahan tidak beraturan (irregular) dan perbezaan di antara perdagangan dan penyeludupan manusia.
Penghijrahan tidak beraturan merujuk kepada penghijrahan sama ada menggunakan pemeriksaan ataupun tidak, atau memasuki sesebuah negara dengan visa atau dokumen palsu, atau tinggal lebih masa setelah mendapat dokumen. Pendatang-pendatang asing Cina dilihat menggunakan pihak ketiga untuk membantu mereka seperti kongsi gelap bagi mendapatkan visa palsu, membayar seseorang untuk membantu mereka menyeberang sempadan atau dieksploitasi oleh pihak ketiga yang membawa mereka merentas sempadan.
Tujuan perdagangan bukan semata-mata membawa masuk pendatang asing dari satu negara ke negara lain sebaliknya mengambil kesempatan ke atas pendatang asing berkenaan yang dilihat kerap kali melanggar hak-hak asasi manusia.
Penyeludupan hanya melibatkan pendatang asing yang dibawa merentas sempadan. Sepanjang proses ini, mereka menderita dipukul, dirogol dan/atau dibawa dengan bot yang tidak diketahui selamat dan boleh membawa maut.
Jajaran
Kumpulan-kumpulan jenayah mafia yang melibatkan diri dalam aktiviti penyeludupan dan perdagangan manusia sentiasa mengubah bentuk operasi mereka bagi menyesuaikan diri. Ia terpaksa dilakukan bagi diadaptasi dengan perubahan undang-undang supaya bisnes dapat diteruskan. Justeru, operasi yang lebih fleksibel menjadi keutamaan. Jajaran yang digunakan untuk membawa ‘muatan manusia’ kadangkala mudah dan dibuat secara langsung namun sebahagian besar masanya berbelit-belit. Dari segi pengurusan perjalanan, biasanya pendatang ini dikelompokkan dalam kumpulan lima orang.
Kadangkala mereka menyamar sebagai sebahagian daripada rombongan pelancong atau delegasi perdagangan kerajaan (mungkin terjadi kerana rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan). Dalam semua kes, terdapat ejen yang menyediakan dokumen untuk menyebrang sempadan (dokumen asli dengan visa palsu).
Sebahagian daripada jajaran ini ialah: melalui negara-negara selatan CIS seperti Kazakhstan, Kvrgvzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan ke Rusia dan dari situ, mereka menuju ke Ukraine, Slovak dan republik Czech seterusnya ke Eropah Barat. Jajaran alternatif ialah dari Rusia ke negara-negara Baltik, seterusnya ke negara-negara Scandinavia atau poland untuk ke Jerman. Jajaran popular ialah melalui belgrade yang membolehkan pandatang Cina terbang ke Sepanyol.
Faktanya ialah, terdapat Chinatown di Belgrade dengan hampir 40,000 orang Cina. Kewujudan tempat ini telah menyediakan ruang perlindungan sementara kepada pendatang Cina yang baru sampai dari China. Terletak di pinggir bandar dengan 30 orang berhimpit-himpit dalam apartment untuk empat orang, ia menyediakan batu loncatan kepada pendatang asing yang masuk ke negara Barat yang kaya-raya. Situasi ini membunyikan loceng amaran kepada Kesatuan Eropah. Malah ia membantu Serbia dan presiden Vojislav Kostunica menutup laluan gerombolan pendatang asing ini daripada sampai ke Eropah melalui pintu belakang. Laluan ini dibuka apabila Mira Markovic, isteri bekas presiden Slobodan Milosevic membuat keputusan membina Chinatown pada 1995. Pada 1996, Milosevic melawat China dan tahun seterusnya pendatang-pendatang asing Cina mula tiba di Belgrade. Oleh kerana Blok 70 (Chinatown) dengan Milosevic, jajaran ini semakin sukar kerana bekas presiden itu sedang dipenjarakan.
Satu contoh dalam kes Belgrade ini ialah seorang pendatang Cina yang bernama Chin. Chin telah merancang untuk berhijrah ke Eropah. Dia mendekati ‘penyedia perkhidmatan’ di kampungnya iaitu sebuah kongsi gelap kecil untuk membuat perbincangan. Pada masa yang sama Chin meyakinkan keluarganya untuk meminjamkan wang. Selepas semuanya cukup, Chin meningalkan kampungnya di China dengan bayaran US$30,000 menuju ke Eropah dengan paspot palsu. Ahli keluarga sanggup membantu Chinkerana berharap ada dalam kalangan keluarga mereka yang akan dibantu oleh Chin selepas tiba di Eropah kelak.
Perjalanan ke London melalui Belgrade lebih mudah dengan kapal terbang kerana pendatang asing Cina dapat masuk dengan bebas kerana tidak perlukan visa. Dari Belgrade, Chin menuju ke Hungary, republik Czech sebelum kasuk ke dalam kesatuan Eropah dengan mendaki gunung dan menyeberang sempadan secara berjalan kaki. Keesokan harinya, dia sudah berada di Jerman.
Selepas jerman, dia dibawa ke Belgium di mana Chin diletakkan dalam bilik kecil di sebuah rumah selama sebulan dengan memakan roti dan air kosong. Kemudian Chin dimasukkan ke belakang trak bersama lapan orang pendatang asing ialin dan tiba di London.
Jenayah gabungan
Dua aktiviti ini iaitu penyeludupan dan perdagangan manusia bukan setakat membayangkan kekejaman terhadap hak-hak asasi seseorang malah menunjukkan terdapatnya perlakuan nejayah yang serius. Ia juga bererti jenayah-jenayah lain adalah sebahagian daripada dua aktiviti ini. Geng mafia yang membawa Chin ke jerman melakukan satu pakej jenayah hanya untuk satu operasi mereka.
Di sebalikmelanggar undang-undang imigresen, pemalsuan dokumen juga satu jenayah. Malah, apa sahaja yang diperlukan untukmelancarkan operasi penyeludupan- surat perjanjian, cap, pasport, permit, lesen memandu dan sebagainya- semuanya dipalsukan. Lebih lanjut lagi terdapat penglibatan ahli-ahli mafia dalam misi Chin yang memberi maksud kerjasama maskimum diperlukan bersama kod-kod dan tingkah laku berbeza. Koordinasi ini amat perlu untuk meminimumkan kos operasi dan memaksimumkan keuntungan. Sebab itulah Chin tidak dimuatkan dalam trak bersama lima orang, sebaliknya disumbat bersama lapan orang kerana ahli penyeludup mendapat untung yang lebih banyak jika lebih ramai yang dapat diseludup pada satu-satu masa.
Mudahnya pendatang asing Cina melepasi kawalan di sempadan adalah kerana pegawai-pegawai polis yang mudah dirasuah seperti du Rusia, Lithunia, latvia, Estonia, Belgrade dan Belarus. Pengawal sempadan dan pegawai polis hanya memperoleh US$50 hinga US$80 sebulan, justeru memberi habuan akan memudahkan pendatang asing ini dilepaskan.
Satu fakta yang wajar diakui ialah ahli-ahli kumpulan mafia bekerja dengan cekap, di luar dan dalam kawasan sendiri adalah satu fenamena yang tidak diketahui sebelum ini. Malah dalam bisnes lain, mereke asering bersaing kerana perlu menguruskan kehidupan sendiri. Jadi, mereka cuba mempelbagaikan kegiatan bisnes dengan mendapatkan lebih banyak kilang, restoran dan kedai memberi pinjaman wang serta mengitar semula pekerja. Seperti mana bisnes yang sah, perusahaan haram sebegini juga berhadapan dengan penyesuaian teknologi komunikasi danpengangkutan. Oleh itu, di tempat mereka biasanya terdapat video, faks, perbankan antarbangsa bawah tanah, satelit, Internet dan capaian pada penerbangan antara benua yang sentiasa bersedia.
Respon emosi Eropah
Kehadiran pendatang asing siukur dengan cara: objektif iaitu jumlah sebenar peratusan penduduk dlam kategori pendatang asing dalam setiap negara Kesatuan Eropah, dan subjektif iaitu bagaimana perasaan penduduk setiap negara apabila melihat pendatang asing di negara sendiri. Oleh itu dalam bahagian ini, kita akan menyatakan ukuran terhadap kehadiran pendatang asing di pekan dan bandar sekitar Eropah. Maknanya, ia bukan sekadar kehadiran pendatang asing Cina sebaliknya semua penduduk luar negara.
Negara-negara Nordik adalah contoh terbaik. Generasi muda yang mempunyai latar belakang pendatang sering kali menjadi mangsa kepada stereotaip ini.
Artikel lain:
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (4)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (3)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (2)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)
Monday, November 23, 2009
Liberalisasi komuniti
Tahun: 2005
Penerbit: Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia
Muka Surat: 268
Usaha meningkatkan kecemerlangan sosial dan pembangunan komuniti adalah bertitik tolak daripada ledakan arus globalisasi yang tidak hanya melanda komuniti di negara ini malahan seluruh dunia. Tidak kira di mana baik negara maju ataupun sedang membangun. Ini bermakna, sesebuah masyarakat yang tidak mengikut arus globalisasi, komunitinya dianggap seperti ‘katak di bawah tempurung’ iaitu tidak mengenali dunia luar. Mereka dikira tersekat dalam world view yang sempit dan tidak sealiran dengan perkembangan semasa. Malahan dianggap sebagai ketinggalan dari arus pembangunan seluruhnya. Begitulah hebat dan dahsyatnya pengaruh ledakan gelombang globalisasi yang berteraskan sistem maklumat dan liberalisasi ekonomi yang juga merupakan revolusi pembangunan yang ketiga dikenali sebagai ‘The Third Wave of Revolution’ selepas Revolusi Industri dan Revolusi Pertanian. Gelombang ketiga ini umpama tsunami yang rakus dan menggila tanpa mengenal batasan usia, bangsa, geopolitik, geoekonomi dan budaya. Oleh itu, bagi mengelakkan sesebuah komuniti itu ditelan oleh gelombang tersebut perlulah ada persediaan rapi kerana pembangunan komuniti itu sendiri merupakan kesejajaran yang perlu ada dalam masyarakat bagi mencapai apa yang dikatakan sebagai kehidupan moden masa kini.
Kesan globalisasi sudah menampakkan tanda-tanda yang negatif terhadap ekonomi sesebuah negara terutama negara-negara yang belum bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan cabaran yang sangat hebat ini. Ekonomi sesebuah negara mungkin lumpuh sepenuhnya jika tidak ada pelan tindakan dan persediaan kukuh dilakukan untuk menangani cabaran-cabaran yang bakal dihadapi. Contohnya ialah peluang perdagangan atau perniagaan, tidak dinafikan setiap individu mempunyai peluang yang luas untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka. Namun dengan persaingan yang sangat kompetetif bukan sahaja di negara sendiri tetapi juga saingan hebat dari negara luar pastinya akan menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh pedagang atau usahawan menjadi lebih hebat lagi. Justeru ekonomi negara juga harus divariasikan kepada pelbagai sektor yang berpotensi tinggi dalam menjana ekonomi yang mantap. Usaha-usaha dalam membangunkan sektor teknologi maklumat (IT) dan multimedia antara tumpuan utama sebagai penggerak pembangunan dalam sektor-sektor lain seperti pertanian, perkhidmatan dan lain-lain bidang.
Kehadiran buku ini adalah produk daripada Konvensyen Kebangsaan Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti 2005 yang menghimpunkan artikel berkaitan pembangunan komuniti di Malaysia. Ia mengandungi beberapa subtopik penting yang berkaitan dengan pembangunan komuniti seperti dasar sosial negara, pembangunan sosioekonomi, industri dan teknologi, pendidikan, perpaduan kaum, kepimpinan dan patriotisme.
Buku ini sesuai dibaca oleh pensyarah dan pelajar yang berminat dalam pembangunan komuniti yang menitikberatkan keadilan sosial, pendidikan dan perkembangan masyarakat dalam ekonomi, teknologi maklumat dan hubungan etnik.
Thursday, November 19, 2009
Tapak semaian anak pokok
Gigihnya seseorang usahawan sangat akrab dengan minat dan kecenderungan bidang yang diterokainya.
Sejak akhir-akhir ini harga getah bertambah baik. Jika dulu ramai pekebun getah berminat dengan kelapa sawit dan tanaman lain, sebaik sahaja harga getah melambung tinggi di pasaran, ramai yang kembali menanam pokok getah. Jadi, bisnes semaian anak getah adalah bisnes yang menguntungkan.
Permintaan benih getah yang tinggi menjadikan seorang peneroka, Mohd Izani, tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pekebun getah. Bermula dengan beberapa ribu anak pokok getah, kini beliau menjual lebih 80,000 anak pokok getah dengan pendapatan di antara RM12,000 hingga RM15,000 sebulan. Jika sekadar menjadi penoreh getah semata-mata, beliau mungkin mendapat RM3,500 sebulan sahaja.
Anak pokok getah boleh dijual dengan harga RM2.20 hingga RM2.40 sepokok mengikut saiz. Pendapatan bulanan yang diperoleh telah menjadikannya seorang yang hidup senang mengusahakan ladang getah sendiri seluas 16 hektar. Pasarannya ialah pekebin getah di sekitar Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan.
Wednesday, November 18, 2009
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (4)
Proses globalisasi mencetuskan persaingan yang sengit. Ia menjadi fenomena dunia dan memberi kesan kepada negara-negara Eropah di mana kos buruh secara umumnya lebih kurang sama dari satu negara ke negara lain. Gaji minimum juga tinggi. Oleh itu, satu cara untuk menyelaraskan kos buruh supaya menepati tahap kelayakan dan produktiviti ialah melalui penguatkuasaan. Kaedah ini dapat menjimatkan kos-kos tidak langsung seperti cukai dan sumbangan sosial serta gaji. Ia juga mengurangkan permintaan tenaga kerja asing yang tidak layak dalam pasaran Eropah.
Peraturan-peraturan buruh menjadikan tenaga kerja buruh pendatang asing lebih murah dan fleksibel. Polis yang menyerbu kedai-kedai ‘sweatshop’ atau tempat pendatang asing ini dipaksa bekerja dengan upah yang rendah dan bertanya kepada pekerja-pekerja tersebut mendapati kedai seperti itu menjadi tempat sementara untuk kilang-kilang yang lebih besar dalam industri pakaian, barangan kulit dan kasut. Perbezaan di antara permintaan dan penghantaran sangat kecil iaitu 12 hingga 24 jam. Contohnya, jika ada permintaan ke atas jaket, pengilang menyediakan corak dan berharap dapat disiapkan dalam beberapa jam. Industri pakaian di Eropah yang berjumlah US$800 bilion mendapat manfaat utama dan menjadi tumpuan penyeludupan manusia.
Daripada penyiasatan, terdapat modus operandi tertentu dalam penyeludupan ini. Majikan yang terperangkap dalam persaingan sengit sentiasa berikhtiar mencari jalan untuk mengurangkan kos manakala orang tengah- kongsi gelap Cina dan rakan bisnes yang lain- bersedia menyediakan pekerja-pekerja haram dengan mengurangkan kos buruh. Prosedur pasaran buruh Eropah yang ketat dan kos yang tinggi melonjakkan permintaan tenaga buruh terhadap pendatang asing apabila pasaran dunia dibuka. ‘Sweatshop’ yang sebelum itu hanya ketara di Maghribi dan Turkey kini bercambah di Eropah. Penyumberan luar dalam rangkaian kedai seperti ini berupaya menyediakan produk berdasarkan permintaan- menjadi penyelesaian kepada industri kecil dan sederhana dalam pasaran. Lalu perhambaan era moden menggunakankesempatan ke atas kehadiran pendatang-pendatang asing Cina ini.
Faktor penarik seperti ini berkait rapat dengan isu-isu lain. Pendatang asing Cina begitu bersemangat hendak mengetahui apa yang sedang menunggu mereka sebaik sahaja tiba di Eropah. Ketua kongsi gelap yang menyeludup mereka merentasi benua dan banyak negara, tahu bagaimana memancarkan imej positif dan mengasyikkan negara destinasi pilihan. Sudahnya, pendatang ini mendapat gambaran salah dan palsu tentang apa yang akan mereka dapat sebenarnya.
Gambaran salah ini berkembang menjadi harapan yang menggunung dan menjadi penarik kepada keputusan mereka untuk meninggalkan China menuju Eropah. Masalahnya ialah imej ini diberikan oleh kongsi gelap hanyalah imej Eropah yang bersifat stereotaip dan klasikal. Realiti sebenar akan muncul apabila mereka menamatkan perjalanan dan mula ‘bekerja’ atau dalam erti kata lain ia bermakna perhambaan moden di zaman moden.
Sebenarnya, apabila mereka memasuki negara Eropah, mereka akan menemui sejumlah kerja yang disusun dalam ekonomi pasaran gelap yang tidak memerlukan sebarang dokumen, sama ada untuk bekerja atau menetap di situ. Di sesetengah negara, peraturan-peraturan imigresen amat ketat tetapi penguatkuasaan sangat lemah dan perilaku pendatang asing ini tidak dipedulikan sangat. Justeru, pendatang asing perlu bekerja dalam tempoh yang panjang kerana terpaksa melakukannya untuk hidup. Barangkali salah satu sebab kenapa pembuat dasar di Eropah kurang mengambil berat situasi ini adalah kerana ia menggerakkan perkembangan ekonomi dan persaingan. Seterusnya ekonomi pasaran gelap dan bawah tanah terus berkembang dan menjadi daya penarik kepada pendatang-pendatang asing Cina yang sebenarnya adalah dalam rangkaian perhambaan.
Perdagangan hamba
Perdagangan jenis ini dikenali dengan penyeludupan manusia. Hakikat sebenarnya tidak. Ia adalah edisi moden bagi perhambaan. Ia menjadi kenyataan bukan sahaja kerana faktor penarik dan penolak tetapi melibatkan kumpulan mafia. Di dalam rangkaian ini, terdapat sistem pengangkutan dan pergerakan yang besar, menguruskan perjalanan hamba dari wilayah paling miskin ke wilayah kaya-raya di Eropah dan Amerika Utara. Permintaannya semakin meningkat di seluruh dunia. Pada tahun 1975, aliran gerakan migrasi seluruh dunia dianggarkan seramai 85 juta orang dan hari ini berjumlah 185 juta setahun, yang menjadikan kumpulan mafia semakin kaya. Dalam trend ini, pendatang asing Cina hanyalah sebahagian kecil daripada perdagangan hamba yang wujud di seluruh dunia.
Jaringan komuniti Cina antarabangsa menyediakan kerangka perjalanan yang kerap berubah, bergantung pada kaedah pemantauan yang diguna pakai di sempadan, pesisir pantai dan pusat pemeriksaan masuk di lapangan terbang. Namun, kemudahan jaringan ini bukan sekadar mengawal perdagangan hamba. Bagi orang Cina, ia adalah perkhidmatan yang sangat diperlukan bagi membawa mereka ke luar dari China. Mereka sedar bayaran mesti dilakukan dan bersedia membayarnya sama ada di hadapan atau belakang kaunter. Jelas, bisnes ini cuba mengurangkan kos untuk melipatgandakan keuntungan khususnya kepada mafia. Keadaan semula jadi jaringan pendatang Cina dan dialek bahasa orang selatan China menyebabkan sukar bagi pihak berkuasa menembusi struktur organisasi ini. Jadi, negara yang menjadi pilihan pendatang Cina merasa terancam dan bertindak melindungi diri.
Bagaimanapun, risiko yang tinggi sebenarnya memberi pulangan yang lumayan. Jadi, setiap urusan mesti mengurangkan risiko, memaksimumkan keuntungan dan mesti bertambah lebih banyak. Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan penyeludupan manusia adalah bisnes US$8 bilion setahun.
Dalam perkiraan sesetengah kumpulan mafia, bisnes manusia kurang berisiko berbanding penyeludupan dadah. Ia umpama membuat pelaburan dalam saham berisiko tinggi, menawarkan prospek wang panas yang pantas jika semuanya dibuat dengan betul. Penyeludupan manusia unpama melabur dalam bon. Wang akan terus bertambah tahun demi tahun dan risikonya sangat rendah.
Persoalan utama yang sering timbul ialah apakah yang berlaku ke atas pendatang-pendatang Cina yang terlibat dalam perdagangan ini apabila tiba ke destinasi terakhir perjalanan mereka? Pengalaman-pengalaman lepas hanya meunjukkan tiga pilihan yang ada: menjadi usahawan, hamba atau mati.
Hamba
Kita melihat sepintas lalu sebelum ini iaitu terdapat pendatang asing Cina yang membayar sejumlah wang kepada kumpulan kongsi gelap dalam bentuk wang tunai. Cara lain untuk membayar ialah dengan melakukan kegiatan jenayah untuk kongsi gelap berkenaan berdasarkan kehendak mereka sebelum memulakan perjalanan.
Jika seorang pendatang tidak berupaya membayar seperti yang dikehendaki, dia hidup atas hutang. Kumpulan-kumpulan mafia ini terdiri daripada kongsi gelap Cina, bekas negara Yugoslavia (seperti pengikut isteri bekas presiden, Slobodan Milosevic), mafia Albania, mafia Italy (Sacra Rota Unita), mafia Greek-Turkey-Pakistan, mafia Rusia (bekas pegawai-pegawai KGB yang membuka bisnes sendiri), Yakuza di Jepun dan banyak lagi. Keadaan ini membayangkan pendatang-pendatang Cina meletakkan pilihan: lebih baik menjadi buruh seperti hamba di negara kaya daripada hidup melarat di negara sendiri. Jadi, sebaik sahaja tiba di negara idaman, katakan Perancis, mereka diminta bekerja 12 hingga 16 jam sehari dalam keadaan berhutang, kebebasan yang terhad, dokumen perjalanan disimpan, bayaran upah yang lewat dan sentiasa diancam akan diserbu pihak berkuasa semata-mata untuk membayar balik wang pendahuluan yang telah digunakan. Di sebalik persekitaran yang mengerikan, pendatang asing Cina yang dieksploitasi ini melihat adanya sinar di penghujung hidup mereka. Di fikiran masing-masing, apa yang dilalui hanyalah dalam tempoh yang singkat umpama pengorbanan seorang bapa ke atas anaknya.
Sebaliknya ada sesetengah kes apabila mereka tidak dapat menyediakan wang dan tidak dapat menanggung beban, lalu melaporkan keadaan mereka kepada pihak polis. Sebaik sahaja polis datang dan membuat serbuan, jaringan jenayah ini dipecahkan. Mafia Cina, Rusia dan negara-negara Balkan yang terlibat dalam penyeludupan ini serta-merta dikenal pasti.
Sebagai pekerja asing, pendatang Cina dibayar 50 sen setiap satu bagi produk pakaian atau kasut. Baju yang berharga US$25 daripada kontraktor berdaftar dapat diperoleh hanya dengan harga dari US$1 hingga US$5 daripada kedai ‘sweatshop’. Di negara yang sering berbangga kerana pekerja-pekerja mereka memiliki hak dan kebebasan, ia menjadi tidak bererti kepada pekerja-pekerja Cina yang terperangkap dalam sindiket kongsi gelap dan kumpulan mafia.
Masalah muncul apabila polis melakukan serbuan di kiosk atau gerai jualan pendatang Cina ini. Bagaimana meruntuhkan tiga tembok besar yang menghalang polis?
Pertama, budaya orang Cina, kedua ialah bahasa dan ketiga, berdiam diri. Mereka berdiam diri kerana berbeza keperluan, datang dari wilayah yang berlainan dan dialek bahasa tidak sama. Semua masalah ini memberi kesan jika tindakan undang-undang diambil kerana mahkamah perlu menyediakan jurubahasa bagi setiap pendatang asing Cina yang didakwa.
Krisis ini melibatkan kos yang tinggi untuk diselesaikan. Sebagai contoh, menurut Interpol, dalam setiap kes yang melibatkan penyeludupan pendatang asing dari China ke Jerman, pencarian rumah ke rumah melibatkan 140 buah rumah di 27 bandar, menyelongkar 12,000 panggilan telefon yang didaftarkan atas lima talian, menahan 170 suspek dan mengesan 280 kes yang melibatkan pendatang asing.
Artikel lain:
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (3)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (2)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)
Tuesday, November 17, 2009
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (3)
Beberapa faktor individu yang saling berkait antara satu sama lain menyumbang kepada faktor penolak ini. Elemen-elemen ini adalah sebahagian daripada sejarah China, perubahan politik dan ekonomi serta perkembangan demografi.
Hanya dua dekad yang lalu, faktor penolak kepada perpindahan di dalam dan dari China agak memberi kesan kerana penahanan politik, peperangan, bencana alam seperti banjir dan kemarau. Bagaimanapun hari ini, dengan perubahan ekonomi yang pesat, meningkatnya umur sebilangan penduduk, pengangguran di luar bandar dan perpindahan penduduk, semuanya menjadi pemacu kepada aliran migrasi yang lebih pantas.
Purata lapan peratus kadar dalam negara kasar yang dicapai oleh China di sekitar tahun 1990-an menjadi faktor utama kepada pelaburan asing sebanyak US$50 bilion di China. Pelaburan ini berjaya menghasilkan US$700 bilion bagi eksport tahunan negara itu. Justeru, China menjadi kilang dunia dan memonopoli pelaburan luar. Bagaimanapun kebanyakan kilang yang muncul kesan daripada pelaburan besar ini berpusat di sekitar kawasan pantai dan golongan muda yang berhijrah ke sini berupaya memenuhi permintaan tenaga kerja di sana.
Malah, perkembangan pembangunan sangat memberangsangkan di seluruh China. Sekitar 35 peratus daripada 1.3 bilion rakyat negara itu tinggal di bandar tetapi 72 peratus kadar dalam negara kasar dihasilkan di bandar-bandar di mana 85 peratus pelaburan dilakukan dalam sektor harta.
Situasi ini mencetuskan jurang pendapatan yang besar. Penduduk Beijing dan bandar raya pesisir pantai memperoleh 6000 yuan (US$845) tetapi di tempat lain hanya 2000 yuan (US$285). Lebih malang lagi, di kawasan luar bandar petani perlu membayar cukai. Rasuah pula berleluasa. Dalam keadaan inilah petani dan pekerja di kawasan luar bandar menerima tekanan untuk berpindah.
Kenyataannya ialah terdapat 900 juta penduduk luar bandar termasuk 400 juta petani dan China memiliki terlalu ramai mereka yang bekerja dalam sektor pertanian. Selepas China diterima menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WHO), perpindahan luar bandar ke bandar semakin bertambah dan harga ladang menjunam. Namun, China masih memiliki ladang terbesar di dunia, memberi makan kepada 22 peratus penduduk dunia. Dalam masa lima tahun, hampir 23 juta penduduk China dijangka berpindah ke kawasan bandar di mana berjuta-juta orang akan bersaing untuk mendapatkan pekerjaan. Lebih banyak tenaga manusia berbanding pekerjaan. Oleh itu China mesti mewujudkan 100 juta peluang pekerjaan bagi tempoh satu dekad yang akan datang untuk menyerab pekerja-pekerja yang belum memperoleh sebarang pekerjaan seperti petani, lepasan sekolah dan pekerja yang diberhentikan. Pekerja telah diberhentikan kerana dasar penswastaan yang diperkenalkan China sebelum itu di mana 50 juta pekerja hilang pekerjaan masing-masing setelah perusahaan milik negara dikurangkan 40 peratus pada tahun 1995 hingga 2002. Perberhentian ini menyebabkan pekerja-pekerja berkenaan dipaksa mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
Walau bagaimanapun tekanan untuk pekerja berpindah ke tempat lain dijangka berkurangan pada tahun 2025 sebaliknya China akan membawa masuk pekerja-pekerja dari Asia Tenggara. Biarpun sukar meramalkan keadaan pasaran buruh dalam masa satu dekad di hadapan, ramai pakar mendakwa pembangunan ekonomi China wajar diperlahankan bagi mengurangkan pekerja-pekerja yang tidak mahir berpindah ke luar negara.
Alasan mereka ialah dasar kelahiran penduduk China telah meningkatkan bilangan golongan tua di negara itu yang akan memberi kesan kepada perkembangan pantas ekonomi. Menjelang tahun 2050, unjuran penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjangkakan umur penduduk tua (65 tahun dan ke atas) membentuk 14 peratus jumlah penduduk China.
Sistem dokongan ke atas kebajikan golongan pesara akan berubah dengan pengurangan penduduk muda. Situasi ini adalah cerminan kepada keadaan yang berlaku pada masa ini di mana pada tahun 2050, dijangka kebanyakan negara Eropah memiliki jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding tahun 2000. Sebagai contoh, 25 buah negara Kesatuan Eropah mempunyai perkembangan tahunan penduduk yang menyamai perkembangan penduduk India dalam tempoh satu minggu.
Perkaitan di antara kadar pengangguran yang tinggi di China dan meningkatkanya aliran perpindahan penduduk disahkan sendiri oleh pendatang haram China di Eropah. Mereka bermula di timur laut China dan bergerak ke Perancis, Italy dan Belanda. Kebanyakannya datang dari daerah Liaoning dan Heilongjiang.
China sepatutnya tidak terpengaruh dan leka dengan aliran migrasi ini dengan mengecualikan perbincangan pelbagai hala ASEM untuk menghentikan kemasukan pendatang haram ke Eropah. Namun, persepsi Eropah ialah melihat China menggunakan pendatang asing ini sebagai satu bentuk diaspora baru yang menyediakan capaian kepada teknologi terkini dan pasaran global. Dalam masa yang sama, China cuba menarik kembali Cina Seberang Laut untuk pulang ke negara itu dan membangunkan Shanghai atai Guangzhou.
Faktor penarik
Terdapat beberapa faktor yang menarik keluar masyarakat Cina berpindah ke Eropah. Barangkali satu faktor yang sangat kukuh ialah mendapat kerakyatan Eropah atau penduduk tetap. Dalam keadaan begitu, mereka mampu menarik keluar ahli keluarga yang lain untuk bersama-sama berpindah. Namun terdapat faktor-faktor lain yang lebih penting.
Eksport tahunan China yang besar iaitu US$700 bilion telah menjadikan China sebagai pemimpin eksport dalam kalangan negara-negara membangun. Walau bagaimanapun kebanyakan eksport ini dihasilkan oleh syarikat-syarikat luar yang berpengkalan di China di mana kebanyakan wanita-wanita muda yang berhijrah ke bandar dan di bawah 25 tahun, tinggal di asrama berkelompok syarikat ini, bekerja 13 jam sehari dengan pendapatan US$3.
Dibandingkan dengan kos pengeluaran anak patung Barbie yang dijual pada harga 10 euro di pasaran Eropah, di China cuma berharga 0.25 euro. Melihat kepada dunia baru yang datang bersama globalisasi, para pekerja ini mula sedar dan merasakan peluang adalah milik mereka. Sebagai contoh, jika salah seorang wanita ini bekerja di restoran Cina di mana-mana negara Eropah, pendapatan seminggu yang diperoleh dapat menampung keluarganya selama dua hingga tiga bulan di China. Jika mereka bekerja kuat, pendapatan setahun di Eropah menyamai lapan tahun bekerja di China.
Lebih menarik lagi, jika mereka mendapat maklumat terdapat negara-negara Eropah yang sedang merekrut jururawat dari China- seperti Ireland, yang menghadapi kekurangan jururawat, jumlah permohonan ke sana amat banyak. Biarpun gaji jururawat di Ireland berasaskan kualiti dan pengalaman kerja, bagi wanita China ia amat berbaloi.
Bagi kebanyakan orang Cina sama ada belum bekerja atau sedang mencari kerja, peluang seperti ini tidak boleh dilepaskan begitu saja. Mereka rasa tidak bahagia tinggal di China dan mahu mengubah keadaan hidup. Mereka bersungguh-sungguh mahu lakukan perubahan tersebut. Bagaimanapun prosedur keluar negara begitu ketat, jadi mereka mendapatkan sokongan keluarga. Seterusnya mencari seseorang yang dapat menyediakan khidmat membawa mereka ke Eropah. Semuanya berlaku secara haram. Sebaik sahaja mendapat sokongan keluarga khususnya wang belanja, mereka akan membayar ‘ejen pelancongan’ yang sebenarnya adalah penyeludup manusia.
Selepas berada di luar negara, mereka mula menulis surat menceritakan kehidupan bahagia di tempat baru tanpa memberitahu bagaimana susah dan deritanya kehidupan kerana ingin menjaga maruah diri. Cerita-cerita menarik ini akan memberi galakan kepada penduduk kampung yang lain untuk mencuba.
Kes lain yang berlaku ialah sesetengah penyeludup manusia ini menawarkan pakej yang merangkumi perjalanan, tempat tinggal, pekerjaan dan pembantu peribadi. Inilah godaan wang panas dalam kegiatan kongsi gelap. Pakej yang disediakan ini mendapat sokongan daripada mereka yang benar-benar mencari kehidupan baru di Eropah.
Selepas melengkapkan perjalanan, barulah mereka merasai realiti sebenar kehidupan di Eropah. Pendatang asing yang ditemui di selatan Eropah mengakui senario ini. Sebahagian besar pendatang asing bekerja di sektor perkhidmatan sebagai buruh, pencuci, pekerja restoran, pekerja hotel dan buruh binaan. Di Perancis dan Italy, pendatang asing bekerja di restoran dan perusahaan yang dibuka terdapat di Chinatown.
Apabila pendatang asing Cina bercadang menggunakankemudahan-kemudahan yang ada untuk berhijrah, mereka akan melakukannya. Bermula pada 1850 hingga 1930, waktu ini adalah fenomena hijrah masyarakat Cina ke Amerika Syarikat dan Australia, kemudian dari 1931 hingga 1960 adalah era profesional Cina pergi ke luar negara untuk mengajar anak-anak pendatang Cina. Gelombang terakhir bermula lewat 1960-an di mana masyarakat Cina yang menetap di negara luar berhijrah ke negara-negara dunia ketiga termasuk Asia Tenggara yang berpindah ke Eropah.
Artikel berkaitan:
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (2)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)
Monday, November 16, 2009
Hari-hari dalam hidupku
Tahun: 2007
Penerbit: Pustaka Salam Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 366
Buku ‘Hari-hari dalam hidupku’ ini mengisahkan peristiwa benar liku-liku kehidupan seorang wanita Islam yang gigih mempertahankan umatnya daripada dilanda arus kesesatan. Kegigihan beliau seharusnya menjadi teladan kepada para pemuda yang cintakan agama ini. Zainab Al-Ghazali adalah seorang pejuang dakwah masa kini. Beliau lahir di tengah-tengah keluarga yang menekankan kepentingan pendidikan Islam. Sejak zaman remaja beliau bertekad untuk mewakafkan dirinya menegakkan kesucian Islam. Beliau telah mengasaskan penubuhan Jama’ah Muslimat pada tahun 1937. Pertubuhan itu adalah satu organisasi yang bertujuan memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam, membantu keluarga yang mana suaminya telah dipenjarakan oleh pemerintah Mesir.
Kegigihan dan keikhlasan beliau di atas jalan dakwah ini telah mempertemukannya dengan Hasan Al-Banna, pengasas dan mursyid am Ikhwan Muslimin yang pertama. Pertemuan ini telah menyebabkan beliau kemudiannya memberikan bai’ahnya kepada Hasan Al-Banna dan menjadi anggota Ikhwan Muslimin. Ini kerana beliau meyakini bahawa bekerja untuk menegakkan negara Islam adalah wajib dan kerja-kerja itu hendaklah melalui sebuah jemaah Islam yang mencontohi jemaah Islam pimpinan Rasulullah SAW. Jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan Al-Banna adalah jemaah Islam pertama yang telah ditubuhkan pada tahun 1928 iaitu empat tahun selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki. Jemaah itu bercita-cita hendak mengembalikan Islam ke dalam kehidupan manusia ataupun menegakkan kembali daulah Islam.
Kisah Zainab adalah kisah perjuangan dan kesabaran. Beliau sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kebenaran yang menjadi prinsipnya. Semasa era pemerintahan presiden Jamal Abdul Nasser, puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimin dipenjara dan diseksa. Zainab Al-Ghazali dengan penuh kemampuan yang dimilikinya berusaha sedaya upaya meringankan bebanan keluarga mereka yang dipenjarakan. Pelbagai bantuan kebendaan dan rohani dihulurkan.
Rancangan untuk membunuhnya telah dilakukan. Akhirnya beliau ditangkap dan dipenjarakan dan bermulalah siri penyeksaan ke atasnya. Namun Allah telah menyelamatkannya. Ketika menghadapi saat-saat penyeksaan di dalam penjara, Jamal Abdul Naseer telah mengarahkan beliau diseksa dengan penyeksaan yang berat.
‘Atas perintah Jamal Abdul Naseer, Presiden Republik Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.’
Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai lagi seksaan yang berlaku ke atasnya. Namun beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah, ‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.’
Akhirnya beliau keluar daripada penjara pada tahun 1971. Semangat serta keyakinan kepada pertolongan Allah menghadapi segala bentuk penyeksaan menjadikan beliau sebagai teladan (qudwah) kepada generasi pejuang kebenaran sehingga hari kiamat.
Saturday, November 14, 2009
Aconitum Napellus
Fikiran: Rasa takut; fikir akan mati. Rasa takut tidak dapat ditenteramkan. Meratap, marah dan kesal dengan perkara-perkara yang remeh-temeh. Takut dalam kumpulan ramai atau melintas di tengah-tengah jalan yang sibuk (jalan raya, pasar). Cemas. Sedih dengan bunyi muzik yang keterlaluan. Sangat sensitif dengan cahaya atau bunyi.
Kepala: Sakit kepala (seperti air yang mendidih). Rasa penuh dan berat jika semuanya ditolak keluar melalui dahi. Pening (vertigo); teruk bila mengangkat atau menggoyangkan kepala terutama selepas berbaring dalam bilik yang panas; pening rasa hendak muntah. Kulit kepala sensitif dengan sentuhan dan angin sejuk.
Mata: Merah. Kelopak mata bengkak, rasa keras dan merah. Sensitif dengan cahaya terutama cahaya matahari. Mata berair kerana sangat sakit. Radang membran mukus (conjunctivitis) kerana rasa pedih benda asing yang masuk ke dalam mata.
Telinga: Sangat sensitif dengan bunyi bising.
Hidung: Deria bau yang tajam terutama bau yang kurang menyenangkan. Hidung berdarah (epistaxis); darah merah muda. Hidung berair (coryza) disertai dengan bersin. Membran mukus kering; hidung tersumbat dengan keadaan kering atau sedikit berair. Sakit di pangkal hidung.
Muka: Kelihatan takut dan bimbang. Pucat dan kemerah-merahan berselang-seli. Rasa muka membesar atau bengkak. Bila diangkat, keadaan muka merah bertukar menajdi pucat lesi dan sedikit rasa pening. Pipi rasa berdenyut-denyut dan kebas. Urat-urat rasa menyucuk (neuralgia) terutama di bahagian kiri dengan keadaan tanpa dapat duduk dengan selesa; berdenyut-denyut dan kebas.
Mulut: Bibir dan lidah kering. Lidah bengkak, ada selaput putih dan rasa menyucuk-nyucuk. Rasa pahit; bau busuk dan reput seperti telur kemuruk. Gusi; panas dan bengkak merah (radang gusi). Sakit gigi kerana sejuk; gigi sensitif dengan udara sejuk.
Kerongkong: Merah, kering, sempit; kebas, menyucuk-nyucuk dan menyengat.
Tonsil: Bengkak dan kering; menyucuk-nyucuk di sebelah belakang. Radang yang akut sebabkan tonsil membengkak dan sakit berterusan.
Perut: Sensitif bila disentuh. Terdapat tekanan dalam saluran perut kerana rasa berat atau seperti ada batu. Bisa tiba-tiba bila muntah (kerana ulser atau gastrik).
Abdomen: Kembung, panas terbakar dan sensitif dengan sentuhan (abdomen kembung kerana ada angin). Rasa terbakar dan dipotong-potong dalam usus dan menjadi lebih teruk kerana tekanan atau berbaring sebelah kanan. Lega bila panas. Sakit perut sebabkan tidak boleh duduk diam. Penyempitan uluran (hernia) dengan muntah. Tiba-tiba hati rasa menyucuk-nyucuk dan sakit; susah bernafas.
Najis: Kerap buang air besar dan kecil diiringi rasa sakit. Najis warna hijau. Air kencing warna merah. Kanak-kanak mengalami cirit-birit. Najis berlendir dan sembelit silih berganti. Buasir berdarah.
Kencing: Air kencing sedikit merah, panas dan amat sakit kerana saluran kencing mendapat radang. Takut hendak kencing; kencing rasa sakit, susah dan titik demi titik. Kencing berdarah (haematuria). Tahan kencing hingga menjerit dan tidak boleh duduk diam; kanak-kanak tahan kencing kerana sejuk menyebabkannya tidak boleh duduk diam dan selalu menangis.
Organ Seks: Pundi-pundi zakar bengkak, lebam dan keras. Keinginan seks menurun tetapi meningkat di sebelah petang. Haid terhalang kerana takut, marah dan menyesal sesuatu kejadian. Haid kerap berlebihan dan disertai dengan hidung berdarah. Keputihan pada perempuan yang agak banyak, melekat-lekat dan kekuningan. Radang ovari kerana aliran haid tiba-tiba perlahan.
Pernafasan: Suara serak dan parau. Larinks sensitif dengan sentuhan. Batuk dan sukar bernafas bila terjaga dari tidur; sangat sakit; batuk kering yang pendek dan kuat. Batuk bila digeletek; kerap keluar kahak dengan warna darah terang. Kanak-kanak sentiasa pegang kerongkong setiap kali batuk; lega bila baring terlentang. Batuk berterusan selepas demam, minum air sejuk, hisap rokok, berbaring ke kiri atau kanan, sebelah petang; lebih teruk selepas tengah malam (1 hingga 3 pagi). Sakit menyucuk-nyucuk di dada kerana batuk; tidak boleh berbaring sebelah kanan. Boleh dapat lelah bila batuk disekat.
Jantung: Bimbang dan berdebar-debar; laju dan kuat. Sakit menyucuk-nyucuk tiba-tiba dan rasa sesak dalam jantung; dada rasa sempit. Kadar demam dan batuk adalah kerap, cepat dan keras.
Kakitangan/Belakang: Leher amat sakit. Lebam antara bahu. Kebas di belakang badan menghala ke arah kaki dan tangan bawah. Tangan panas dan kaki sejuk; tangan kiri. Tapak tangan berpeluh; kuku kebiru-biruan. Kaki rasa kebas selepas duduk. Betis kejang; lutut tidak tegap; longlai.
Kulit: Bintik-bintik kecil (gooseflush) kerana sejuk atau takut; merah bersinar-sinar, bengkak panas dan kering. Gatal dengan rasa sakit menyucuk-nyucuk dan kehitam-hitaman; kurang bila digaru. Rasa ada binatang merayap di atas kulit.
Tidur: Menguap sekali-sekala kerana tidak dapat tidur; tengah malam; rasa bimbang, kurang rehat, resah tentang masa hadapan. Mimpi nampak jelas apa yang berlaku pada hari tersebut.
Demam: Sejuk di permulaan demam; letih selepas petang selepas berbaring. Demam dengan rasa panas, gelisah, pipi merah, badan menggigil, dahi dan telinga panas. Dahaga dan tidak dapat rehat. Bernafas pendek dan cepat dengan debaran jantung yang kuat. Berpeluh-peluh jika diselimut.
Konstitusi: Merah kulit muka; rambut hitam; otot-otot tegang; kanak-kanak demam yang kuat; mudah terpengaruh (allergic) dengan perubahan persekitaran; orang tua yang telah berumur; minda aktif; perempuan muda; mudah gugup.
Melarat: Petang; senja; malam (1 hingga 3 pagi); baring sebelah sahaja; dalam bilik panas; terdedah dengan bunyi muzik yang kuat; asap rokok; semasa mabuk.
Lega: Tempat terbuka; duduk diam; selepas berpeluh.
Patologi: Tidak dapat rehat cukup; selesema; pengsan; demam; kebas; takut; gelisah; batuk; sakit mata dan telinga; kanak-kanak jaundis.
Simptom Utama: Serangan penyakit tiba-tiba; lega dengan panas.
Friday, November 13, 2009
Tiru ketabahan Nabi Ayub a.s
Nabi Ayub a.s adalah salah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Kehidupannya diuji dengan penyakit selama 18 tahun dan kawan-kawannya lari meninggalkan Nabi Ayub a.s kecuali isterinya.
Kehidupan baginda sangat bahagia, dilimpahi kekayaan harta dan anak-anak yang ramai. Namun ujian Allah bermula apabila kekayaannya ditukar kepada kemiskinan dan anak-anaknya mati seorang demi seorang.
Bagi orang awam, ujian Allah merupakan pembersihan dosa-dosa terdahulu. Barangkali kesalahan-kesalahan lalu menjadi penghalang kepada rahmat Allah dalam hidup. Jika tidak, ujian memang saja hendak diberi kerana Allah ingin memberi hikmat yang tertentu. Di samping itu ujian juga sebagai penambah pahala.
Allah tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya kerana ujian yang diberi adalah yang terbaik untuk diri seseorang. Ciri-ciri ujian yang menepati seseorang ialah ia mengikut tahap keimanan. Sebab itulah para nabi dan rasul menerima ujian yang sangat berat, diikuti orang soleh sehinggalah orang kebanyakan.
Ibnu Kathir berkata, ‘Kisah Nabi Ayub a.s adalah kemuncak dalam kesabaran kerana ketinggian dalam iman kepada Allah.’
Dalam surah Al-Anbia ayat 83 hingga 84 dinyatakan, ‘Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).’
Ayat ini menerangkan perihal Nabi Ayub a.s yang penuh adab berdoa kepada Allah. Baginda tidak menyatakan permintaannya secara khusus tetapi penuh pujian kepada Allah yang memahami keadaan dirinya ketika itu.
Dalam menempuh ujian dan cabaran hidup, orang beriman harus melihatnya dari persepktif positif. Sama ada ringan atau berat, semua ujian memberi kebaikan kepada orang beriman. Jika berat, boleh jadi rasa susah, mungkin susah itu membawa kebaikan kepada diri seperti dapat menilai kembali keputusan atau tindakan yang diambil sebelum ini.
Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s kerana doanya itu, mengembalikan semula harta dan anak-anak yang telah hilang sebelum itu sebagai sebahagian daripada rahmat Allah.
Maksud surah A-Saad ayat 42, ‘Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).’
Sebagai orang yang sentiasa berhadapan dengan ujian dan cabaran, baik dalam keluarga, tempat kerja atau dalam masyarakat, adalah wajar bagi kita untuk menilai pengajaran di sebalik ujian berkenaan.
Ujian hidup yang kita hadapi bukannya satu bentuk hinaan Allah ke atas hamba-Nya yang beriman kerana Allah menguji seseorang mengikut kehendaknya. Kita tidak ada daya upaya hendak menolaknya.
Menolak ujian yang kita hadapi mesti menggunakan bahasa yang sebaik-baiknya seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ayub a.s di mana baginda memilih bahasa yang beradab. Perkara yang wajar berada di fikiran kita ialah menerima ujian dengan sabar dan pada masa yang sama berusaha mencari jalan keluar dengan gigih.
Nabi Ayub a.s memberi pengajaran kepada orang beriman untuk bersedia dengan ujian Allah. Biar teruk sekali pun, ikhtiar mesti dicari supaya kesedihan dan kepayahan yang dilalui dapat diatasi dengan cara terbaik.
Thursday, November 12, 2009
Bagaimana Finland merencana pendidikan negara
‘Finland telah berjaya berada di kedudukan satu atau dua dengan keupayaan yang tinggi dalam celik huruf, matematik dan sains. Jika dapat dilihat secara keseluruhan dalam pelbagai bidang, Finland mungkin berada di kedudukan pertama. Negara ini menerima markah yang sangat tinggi dalam pencapaian pelajar di peringkat antarabangsa,’ kata Duta Finland ke Thailand Sirpa Maenpaa.
Prestasi keseluruhan pelajar-pelajar sekolah di Finland telah mendapat reputasi yang baik di peringkat dunia. Ini membuktikan sistem pendidikan di negara itu sangat berjaya. |
‘Paling menarik, keputusan yang dicatatkan oleh Finland adalah seragam. Ia bukannya datang dari sesetengah pelajar yang cemerlang sebaliknya prestasi keseluruhan pelajar,’ katanya.
PISA ada peperiksaan peringkat dunia yang dibuat tiga tahun sekali. Ia menguji keupayaan pelajar yang berumur 15 tahun dan diuruskan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Dibangunkan sejak 1997, PISA yang pertama dijalankan pada tahun 2000. Negara-negara yang tidak menyertai OECD turut dijemput menyertainya.
Beberapa fakta pendidikan di Finland sangat menarik untuk dibuat perbandingan. Masalah keciciran sekolah rendah sangat rendah iaitu kurang daripada 0.5 peratus. Manakala kelas ulangan hanya dua peratus. Perbezaan antara sekolah sangat kecil kerana semua pelajar diwajibkan hadir sebanyak 190 hari setahun selama empat hingga tujuh jam sehari. Kerja sekolah tidak banyak, cukup untuk pengukuhan dan tidak ada lagi kelas tambahan selepas waktu sekolah.
Bagi kerja-kerja sekolah yang diberikan, ia mengambil masa hanya beberapa jam untuk dihabiskan berbanding sesetengah negara di Asia yang mendapat markah tinggi dalam PISA, mereka bergantung pada kerja-kerja sekolah yang kadangkala membebankan.
Apakah strategi kerajaan Finland bagi membangunkan system pendidikan mereka?
Maenpaa berkata ramai pendidik di seluruh dunia berminat untuk mengetahui bagaimana Finland menambah baik sistem pendidikan mereka dengan berkesan.
Perkara pertama ialah semua pendidik dikehendaki mendapatkan pendidikan peringkar sarjana sama ada mereka mengajar di sekolah rendah atau menengah.
Kedua, sistem pendidikan negara itu diperturunkan kuasa kepada pihak perbandaran malah kepada guru itu sendiri. Justeru, guru yang memiliki kelayakan peringkat sarjana mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan kaedah terbaik mengajar pelajar-pelajar mereka.
‘Pendidikan diberi penghormatan yang sangat tinggi dalam masyarakat Finland. Kami telah melabur dalam menyediakan asas pendidikan yang berkualiti untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada semua pelajar sama ada mereka dapat belajar atau tidak di sekolah. Ia tidak bermakna kami mengerahkan mereka menjadi pelajar terbaik. Kami memberi sokongan kepada semua pelajar termasuk yang lemah,’ katanya.
Menurut Kementerian Pendidikan Finland, enam peratus daripada kadar dalam negara kasar diperuntukkan kepada sektor pendidikan. Tidak hairanlah negara itu dapat menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya.
‘Kami mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah rendah selama sembilan tahun. Semua sekolah dan universiti dibiayai oleh kerajaan tempatan dan persekutuan. Buku untuk pendidikan asas juga diberi percuma. Makanan diberi bagi mempastikan pelajar memiliki tenaga yang mencukupi untuk pembelajaran mereka,’ jelas Maenpaa.
Terdapat juga beberapa buah sekolah persendirian yang menerima subsidi daripada kerajaan.
Kerajaan Finland melihat pendidikan percuma sangat dihargai di negara itu kerana pelaburan dalam modal insan meningkatkan kualiti penduduk. Ia juga dijadikan sebagai pintu utama kepada perubahan masyarakat di mana seseorang yang berpendidikan dapat memperkasa dirinya dalam masyarakat yang bersaing tanpa mengira sama ada kaya atau miskin.
Dianggarkan 96 peratus pelajar Finland memiliki minat yang tinggi untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi selepas menamatkan pendidikan rendah.
Di luar sekolah, negara itu mempunyai perpustakaan bandaran yang dibina dipinggir bandar. Ia memberi manfaat ke atas tahap pelajaran pelajar, pada masa yang sama usahawan dan sektor perniagaan memberi galakan untuk meneruskan pembelajaran.
Aspek lain yang menggalakkan suasana pembelajaran di Finland ialah budaya membaca di rumah di mana kanak-kanak yang menonton filem-filem antarabangsa melalui televisyen dapat membaca dengan cepat sari kata dalam bahasa Finland. Filem-filem itu tidak diterjemahkan dalam bahasa mereka sebaliknya dikekalkan dalam bahasa asal. Bagi negara-negara Eropah yang lain, kebanyakannya menterjemahkan bahasa asal filem berkenaan ke dalam bahasa mereka.
Satu faktor yang mesti diambil kira ialah kadar pembandaran yang tinggi di negara itu iaitu 63 peratus. Faktor ini juga menyumbang kepada literasi yang tinggi dalam kalangan penduduk Finland.
Wednesday, November 11, 2009
Masjid di Switzerland dibuka kepada bukan Islam
‘Pada saya, ia bermakna mendedahkan diri kepada orang lain, memberitahu mereka bahawa sebagai muslim, kita membuka pintu kepada mereka. Kerana itulah kita berada di sini dengan kamu,’ kata seorang wanita muslim yang mengambil bahagian dalam hari terbuka yang dianjurkan.
Inisiatif ini dilakukan oleh beberapa buah pertubuhan Islam negara itu yang membenarkan masjid dibuka bagi menggalakkan pelawat datang setiap hari.
Switzerland menjadi tempat tinggal kepada 400,000 muslim dan Islam menjadi agama kedua selepas Kristian. Terdapat 200 buah masjid tetapi hanya empat buah yang mempunyai menara. Di samping umat Islam, paderi Roman Khatolik turut meminta para pengundi menolak cadangan pengharaman menara tersebut.
Pihak penganjur berkata hari terbuka berkenaan diadakan bagi meningkatkan dialog dan kefahaman masyarakat terhadap Islam.
‘Kami berharap pertemuan ini akan membuka pintu dialog dan meningkatkan kefahaman,’ kata Hisham Maizar, presiden Persekutuan Pertubuhan Islam Switzerland.
Dialog membantu masyarakat bukan Islam di Switzerland menghargai nilai-nilai Islam. Ia juga dapat meningkatkan kerjasama antara agama. Ramai masyarakat Kristian akan menghargai peluang melawat masjid dan belajar mengenai ajaran Islam.
Para pelawat yang datang ke masjid disambut oleh sukarelawan Islam yang menjawab beberapa persoalan berkaitan Islam. Pada masa yang sama mereka juga dibenarkan melihat orang Islam mengerjakan solat di ruang utama masjid.
Seorang wartawan dari BBC, Imogen Foulkes yang melawat masjid di Zurich berkata dia dan rakan-rakan bukan Islam yang lain amat gembira dengan lawatan berkenaan.
Tuesday, November 10, 2009
Konsep Satu Malaysia: perspektif kumpulan sokongan dua
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif bagi meninjau pandangan responden terhadap konsep Satu Malaysia. Pengkaji memilih kaedah fenomenologi bagi menyempurnakan kajian kerana dapat menjawab persoalan kajian berlandaskan latar belakang responden kajian yang sukarela berkongsi pengetahuan mereka dan boleh menjelmakan banyak maklumat terselindung.
Monday, November 09, 2009
Malam Pengantin
Tahun: 2009
Penerbit: Solar Care, Kota Bharu, Kelantan.
Muka Surat: 64
Melangkah ke alam perkahwinan adalah umpama melalui satu gerbang sempadan dua daerah; pada daerah sebelumnya merupakan sesuatu yang haram serta ditakutkan dengan dosa akan berubah menjadi satu kebajikan dan dijanjikan dengan pahala di daerah baru itu. Hanya dengan bersyaratkan cap mohor di atas paspot untuk melewati garis sempadan, yakni paspot “aqad nikah.” Selesai aqad nikah maka terpikul tanggungjawab bersama dan termeterailah suatu perjanjian persefahaman di antara dua jiwa serta di antara dua keluarga.
Kedua: Menggagas nasihat untuk pengantin
Ketiga: Menelusur adab sopan dalam menunaikan hajat
Keempat: Cetera contoh malam pengantin.
Saturday, November 07, 2009
Ruang kebencian dakwah
Pemimpin kerajaan dan pembangkang turut mempertikai kewajaran tangkapan berkenaan. Antaranya ialah perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan motif penahanan tersebut sambil menegaskan tindakan menahan Dr Mohd Asri adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz berkata, “Nasihat saya kepada JAIS, jangat buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia.”
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula menyifatkan tindakan JAIS hanya mengundang gelak ketawa negara jiran sambil berkata, “Perempuan yang pakai baju nampak pusat tidak pula ditangkap oleh JAIS, manakala ulama ditangkap kerana tiada sijil.”
Pengarah JAIS mempertahankan tindakan jabatan itu menangkap Dr Mohd Asri adalah kerana tidak ada tauliah mengajar agama di negeri Selangor.
“Kegiatan Mohd Asri mengadakan ceramah di Selangor tanpa tauliah JAIS memang telah dipantau sejak tiga tahun lalu iaitu ketika beliau masih memegang jawatan mufti.”
Perkara pokok dalam isu ini ialah tauliah yang mana disifatkan sebagai lapuk oleh mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Ia adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Masalah juga timbul ketika mengeluarkan tauliah apabila mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya.
Pertentangan di antara pihak berkuasa agama dan ilmuan dijangka akan memberi nafas baru kepada ruang dakwah di Malaysia di sebalik pemikiran sempit JAIS ketika ini. Pemantauan ke atas media dan laman web di Internet menunjukkan masyarakat Islam khususnya golongan muda tidak senang dengan layanan JAIS ke atas Dr Mohd Asri itu. Justeru, dijangkakan dalam masa sepuluh hingga 15 tahun yang akan datang, kefahaman Islam dalam masyarakat akan lebih baik dan majlis ilmu akan lebih diminati.
Friday, November 06, 2009
Jadikan Perlembagaan negara sebagai subjek teras
Namun dalam keadaan itu, masih terdapat rakyat yang dihimpit dilema dan tidak yakin untuk berbangga sebagai rakyat negara tercinta ini. Ada yang mempertikaikan hak-hak yang dinikmati oleh kaum-kaum tertentu.
Ramai yang lupa atau sengaja membelakangkan hak-hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam keadaan ini, di manakah kesedaran kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghayati Perlembagaan Persekutuan yang membawa kita ke tahap ini.
Perlembagaan negara telah menggariskan susur galur hak-hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai "payung" negara. Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan pemerintahan bercorak raja berperlembagaan.
Itulah yang diamalkan sejak merdeka dan ia termaktub juga di dalam Perlembagaan.
Hak-hak asasi sebagai warganegara juga terkandung di dalam Perlembagaan itu. Setiap hak bagaimanapun perlu digunakan mengikut lunas-lunas perundangan sebagaimana yang termaktub di dalam Rukunegara iaitu "Kedaulatan Undang-Undang" dan "Keluhuran Perlembagaan".
Namun apa yang menyedihkan kini ialah Perlembagaan itu telah dipersoalkan oleh pihak-pihak yang tamakkan kuasa dan mempunyai agenda tersirat.
Ada yang mengatakan hormat dan menjunjung Perlembagaan tetapi menjadi "talam dua muka" dan "gunting dalam lipatan".
Mereka menganggap seolah-olah Perlembagaan Persekutuan diwujudkan untuk kerajaan semata-mata dan bukan untuk semua rakyat.
Pada pendapat saya, keadaan ini akan berterusan sekiranya Perlembagaan tidak dijadikan subjek teras di bangku sekolah.
Kini jika ada pun hanyalah semangatnya sahaja yang wujud dalam subjek Sivik dan Pengajian Am di tingkatan enam.
Rasanya sudah tiba masanya untuk kita mewujudkan subjek Perlembagaan Persekutuan untuk anak-anak di sekolah.
Ini penting sebelum wujud lebih ramai penduduk yang cuba dan terus menyoal satu demi satu perkara-perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Yang nyata, tindakan mempersoalkan segala dasar yang dibuat berdasarkan Perlembagaan bukanlah satu tindakan yang bijak.
Ia mempamerkan seolah-olah kewujudan "induk" undang-undang ini tidak relevan dengan suasana politik dan ekonomi semasa. Sedangkan tanpa kita sedari, inilah Perlembagaan yang menjadi sumber kekuatan kita sebagai sebuah negara merdeka dan inilah sumber kekuatan yang dipanggil perpaduan nasional.
Maka sesuai dengan semangat 1Malaysia yang cuba disemarakkan kini, saya berpendapat sangat wajar untuk kita semua belajar dan diwajibkan menghayati Perlembagaan negara.
Pemimpin hari ini memimpin dengan berpandukan Perlembagaan yang mewakili semangat pemimpin-pemimpin terdahulu.
Mereka itu pergi dengan meninggalkan benih perpaduan yang mencambahkan keamanan dan kemakmuran ekonomi dan sosial kepada kita semua.
Maka kita tidak perlu lagi merasa sangsi dengan segala nikmat yang dikecapi hari ini kerana jika kita terus mempersoalkan hak dan Perlembagaan, kita hanya meragui diri kita sendiri.
Cintailah Perlembagaan Persekutuan 1957 kerana satu hari nanti apabila anak-anak kita bertanya bagaimanakah negara kita bermula, terangkan sahaja mengenai Perlembagaan itu.
Pengakhirannya anak-anak kita akan lebih menghargai sebuah kehidupan bernama 1Malaysia. Maka jadikanlah pendidikan Perlembagaan sebagai satu subjek teras di sekolah, khususnya di peringkat menengah.
ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor
(Utusan Online, 6/11/2009)
Wednesday, November 04, 2009
Usahawan cendawan
Pendapatannya sekarang secara kasar ialah RM12,000 sebulan. Bisnesnya ialah cendawan tiram.
Bermula pada 2004, kini cendawan tiramnya menghasilkan sehingga 70 kilogram. Dari mana beliau dapat idea untuk bisnes yang lumayan ini?
Di Hatyai, Thailand.
Teknologi di sana sangat ringkas. Bahan-bahan untuk membina rumah cendawan sangat mudah: kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia. Teknologi cendawan petani Thailand ini sangat mudah dan ringkas tetapi dapat menghasilkan kualiti cendawan yang sangat tinggi. Inilah yang membuatkan Nor Sanusi tertarik untuk membina bisnes cendawan tiram di kampungnya.
Susah payah Sanusi membuat rumah cendawan, berjumpa pakar di Jabatan Pertanian dan tidak jemu menimba pengalaman dalam selok-belok cendawan ini. Pasaran cendawan juga semakin berkembang kerana permintaan daripada bisnes masakan tomyam dan cendawan goreng di sekitar Kelantan dan Terengganu.
Satu kilogram cendawan biasanya dijual dengan harga RM5.80, dia boleh dapat RM400 sehari. Pasaran cendawan semakin popular dan akhirnya kejayaan Nor Sanusi mendapat tempat di akhbar supaya contoh kejayaan ini menjadi ikutan orang ramai.
Bekerja sendiri kadangkala sangat sukar pada awalnya, tetapi setelah berhempas-pulas, akhirnya menjadi berjaya dan hidup senang-lenang.
Tuesday, November 03, 2009
Wakil rakyat Bebas mesti kuat bekerja
Demikian luahan wakil rakyat yang mengambil keputusan untuk menyokong Barisan Nasional. Keputusan berkenaan diambil kerana beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR.
Namun, umum melihat tindakan tersebut ada kena-mengena dengan saranan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak akan menyimpan sesiapa saja yang tidak tahu membuat kerja kerana beberapa masalah akan timbul dan menyukarkan kerajaan negeri untuk membangunkan kebajikan dan sosial rakyat.
Bagi mengiyakan keputusannya, Badrul Hisham menyatakan beliau telah dimalukan dan diaibkan oleh pemimpin PKR itu. Pada masa yang sama beliau juga tidak lagi menaruh keyakinan ke atas kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering kali melengah-lengahkan kes liwat yang sedang dihadapinya.
Sebagai wakil rakyat, Badrul Hisham sangat prihatin dengan kelewatan kes liwat namun masalah dirinya yang menyusahkan orang lain tidak pun diberi perhatian. Penduduk di kawasan Pelabuhan Klang mengadu kepada kerajaan negeri Selangor berkenaan ketidakupayaan wakil rakyat kawasan itu untuk menjalankan kewajipannya. Khalid juga pernah menasihatkan Badrul Hisham supaya berhenti daripada menjadi wakil rakyat Pelabuhan Klang sekiranya tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya.
Tanggungjawab seorang wakil rakyat bukan setakat membuka pejabat gerakan atau menghadiri majlis-majlis keraian, ia lebih daripada itu. Semua lapisan rakyat di kawasannya berhak mendapat khidmat profesional seorang wakil rakyat lebih-lebih lagi ahli parti. Justeru “Yang Berhormat” wajar memberi khidmat kepada semua rakyat di kawasannya tanpa pilih kasih.
Wakil rakyat seperti Badrul Hisham adalah wakil rakyat yang bermasalah. Beliau dilihat tidak cekap dan tidak layak menjadi pemimpin di Pelabuhan Klang sepertimana yang ditegaskan oleh Khalid. Ada juga maklumat yang menyatakan wakil rakyat itu dilihat sering hadir di majlis anjuran Barisan Nasional yang mana tindakan ini memperlihatkan tipisnya kesetiaan sebagai ahli parti pentadbir kerajaan negeri Selangor.
Memilih wakil rakyat juga bukannya mudah kerana pengundi terpaksa menunggu selama lima tahun untuk menentukan calon yang terbaik. Jika kualiti calon yang menang seperti Badrul Hisham menjadi pemimpin dan tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan, rakyatlah yang akan rugi.
Pembangunan mental, fizikal dan spiritual mereka akan tergendala. Prasarana yang sepatutnya dibina untuk kegunaan rakyat, tidak dapat dibina kerana wakil rakyat tidak mahu buat kerja.
Kes wakil rakyat malas dan tidak mahu kerja ini wajar menjadi iktibar kepada pengundi dan parti-parti politik semasa. Rakyat sudah tentu tidak mahu mendapat “Yang Berhormat” yang hanya pandai berjanji ketika kempen tetapi selepas menang pilihan raya mula menimbulkan masalah kepada parti dan rakyat. Hakikatnya pengundi dan rakyat di Pelabuhan Klang berhak mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada wakil mereka.
Monday, November 02, 2009
Autonomi di selatan Thailand, pilihan penyelesaian jangka panjang
Keadaan mangsa yang terbunuh sangat mengerikan di mana sesetengahnya dipenggal kepala dan sebahagian yang lain pula hancur anggota badan akibat ledakan bom.
Pencetus kepada siri pembunuhan dan keganasan ini ialah serangan ke atas pos tentera di Narathiwat pada 4 Januari 2004 diikuti peristiwa berdarah di Masjid Kerisik, Pattani pada April 2004 yang menyebabkan 106 penduduk Islam terbunuh. Seterusnya peristiwa di Tak Bai, Narathiwat pada Oktober tahun yang sama melibatkan 76 orang Islam terbunuh.
Kedua-dua peristiwa itu dikaitkan dengan kekerasan oleh pihak tentera Thailand ketika meleraikan konflik di dua tempat berkenaan.
Pada tahun ini, 8 Jun 2009, 11 penduduk Islam ditembak mati ketika sedang sembahyang di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Narathiwat.
Sejak Thaksin Shinawatra menjadi perdana menteri Thailand hingga ke era Abhisit Vejjajiva, penyelesaian konflik di selatan Thailand tidak pernah dimuktamadkan di sebalik pelbagai idea dari Bangkok. Berbagai-bagai pendekatan dan janji ditaburkan kepada penduduk tiga wilayah namun tidak pernah menjadi menu utama pentadbiran mereka.
Keadaan yang sangat ketara di wilayah berkenaan ialah berkaitan sosioekonomi penduduk yang masih bergelut dengan kemiskinan dan pengangguran. Pattani, Yala dan Narathiwat dianggap sebagai kawasan hitam bagi kakitangan awam kerana mereka yang bermasalah akan dihantar ke sana untuk ‘pemulihan’.
Selatan Thailand berasal dari sebuah kerajaan Kesultanan Melayu Islam sehinggalah tahun 1902 apabila diserang dan ditakluk oleh kerajaan Siam Buddha. Pemimpin dan pejuang pembebasan Pattani silih-berganti namun masih gagal sehingga kini. Kewujudan beberapa pergerakan menjadikan perjuangan masyarakat Islam semakin aktif seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP). Kelompok ini percaya membebaskan selatan Thailand hanya dapat dicapai melalui senjata.
Shawn W. Crispin, seorang penganalisis menyatakan penyelesaian berkekalan di wilayah selatan itu amat sukar kerana doktrin rasmi kerajaan Thailand ialah menubuhkan negara Buddha dan Islam perlu diberi tekanan daripada berkembang. Justeru, barisan akhir yang sedang mengekang peluasan doktrin ini iaitu pejuang pemisah tidak perlu diberi ruang untuk meluaskan pengaruh mereka.
Artikel beliau yang disiarkan dalam Courrier International pada Oktober 2001turut melihat keganasan yang berlaku ketika ini khasnya di kawasan tumpuan ramai telah dicetuskan oleh serangan balas dendam sesama anggota polis berbanding pejuang pemisah. Pandangan beliau agak logik kerana operasi puak pemisah ialah di kawasan hutan dan gunung berbanding di bandar atau tempat terbuka.
Sebaliknya, International Crisis Group (ICG) yang berpengkalan di Brussels mengeluarkan laporan mereka pada Jun lalu yang bertajuk “Recruiting militants in southern Thailand” menyatakan punca utama penglibatan pejuang pemisah adalah untuk mempertahankan identiti dan menentang peminggiran. Perubahan polisi dan amalan yang meminggirkan etnik Melayu Islam di selatan Thailand adalah langkah penting dalam tindakan selepas ini, dan patut meletakkan rasa hormat ke atas bahasa, agama dan budaya mereka.
Cadangan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak supaya selatan Thailand diberi autonomi bagi menyelesaikan konflik disambut baik oleh Abhisit dengan berkata, “Ia pendekatan yang baik.” Kedua-dua pemimpin itu akan turun ke wilayah bergolak pada Disember ini untuk melihat penyelesaian jangka panjang itu menjadi kenyataan.
Pandangan Najib amat menarik kerana latar belakang beliau yang pernah menjadi menteri pertahanan selama beberapa tahun mewajarkannya memberi cadangan yang konkrit. Autonomi yang dicadangkan itu dirasakan dapat menamatkan kebanjiran serangan, mengurangkan keganasan, memberi peluang kepada penduduk tempatan memilih pemimpin sendiri di samping menambah peluang pekerjaan, pendidikan dan kebebasan agama.
Pada masa yang sama, kerajaan Thailand perlu berusaha mendapatkan kepercayaan penduduk Islam supaya mereka merasakan kerajaan benar-benar mengambil berat kepentingan dan masalah mereka.
Walaupun Thailand cuba meminta bantuan kerajaan Malaysia termasuk kerajaan negeri-negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, keganasan tetap dianggap sebagai masalah domestik Thailand dan negara itu perlu menyelesaikan sendiri masalah tersebut. Prinsip “tidak mencampuri urusan negara lain” menjadi pegagangan anggota negara-negara ASEAN dan campur tangan negara luar dianggap sebagai mengganggu urusan dalaman sesebuah negara anggota.
Idea autonomi dan apa jua cadangan selepas ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan keganasan dan mengembalikan keamanan di wilayah bergolak. Perbincangan dua hala di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi menyelesaikan konflik dan keganasan seharusnya dibuat bersungguh-sungguh dan disokong oleh semua pihak bertelagah.